Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


'Rangka hidup' pegang watak Wonder Women

Posted: 05 Dec 2013 09:31 AM PST

Los Angeles: Peminat filem Hollywood merungut kerana aktres Israel, Gal Gadot diberikan tawaran sebagai Wonder Woman dalam filem Batman vs Superman.

Semalam penerbit filem itu mengumumkan Gal, 28, ditawarkan ditawarkan watak Wonder Woman tetapi mendapat reaksi negatif di kalangan peminat.


Kebanyakan mereka berpendapat Ratu Cantik Israel 2004 itu tidak memiliki tubuh yang menawan, malah terlalu kurus.

Peminat yang cuma dikenali sebagai CarlPearce666 menulis: "Saya dengar Warner Bros menawarkan watak Wonder Woman kepada rangka hidup... memang pelik!"


Seorang lagi peminat haz_elnino pula menulis dalam Twitternya: "Satu-satunya perkara yang saya bimbangkan apabila Gal Gadot menjadi Wonder Woman ialah dia terlalu kurus bagaikan pesakit anoreksia.


Masa untuk tambahkan berat badan." Bagaimanapun, pengarah filem itu Zack Snyder berkata Gal ialah pilihan yang tepat untuk watak itu. Filem Batman vs Superman bakal ditayangkan pada 17 Julai 2015. - Agensi

Foto

GAL

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/06

Korban SMS curang

Posted: 05 Dec 2013 09:29 AM PST

London: Seorang pegawai polis wanita membunuh diri selepas tersilap menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) kepada suaminya walaupun ia ditujukan untuk kekasihnya.

Inkues mengenai kematian Gail Crocker diberitahu, wanita terbabit banyak menghabiskan masa dengan seorang pegawai polis lain ketika suaminya, Peter, menjalankan urusan di luar kawasan Pada satu hari Gail, 46, menulis SMS untuk mengucapkan "terima kasih" atas kejadian yang mereka lalui bersama kepada kekasihnya.


Namun Gail tersalah hantar dan SMS berkenaan diterima Peter, 49.

SMS daripada ibu kepada dua anak itu berbunyi: "Terima kasih di atas malam yang indah. Saya harap kita dapat melakukannya sekerap mungkin." Apabila suaminya pulang ke rumah di St Stephen, Cornwall, Gail mengakui dia menghabiskan masa bersama rakan sejawatnya - yang tidak dinamakan dalam inkues berkenaan - tetapi menegaskan kejadian itu tidak pernah berlaku sebelum ini.


Pasangan suami isteri yang sudah bersama sejak 30 tahun itu kemudian bertengkar sebelum Gail mengambil ubat tidur berlebihan sehari kemudian. Gail kemudian masuk ke but keretanya.


Mayat Gail ditemui bersama botol ubat tidur yang sudah kosong serta nota terakhir daripadanya.

Peter berkata, Gail ada merayu dan meminta maaf kepadanya selepas mereka bertengkar. "Gail ialah nyawa saya dan kami ada membuat pelbagai rancangan bersama. "Tidak berbaloi dia membunuh diri kerana saya rasa hilang arah tujuan tanpanya," katanya.


Inkues diberitahu bahawa Gail menghantar SMS pada 12 Jun lalu, Pasangan itu juga bertengkar sekali lagi pada pagi berikutnya. Gail juga menghubungi Peter di tempat kerja hingga lelaki itu berang lalu menghempas telefonnya ke lantai.

Apabila Peter tiba di rumah tidak lama kemudian, dia mendapati isterinya sudah tiada. "Sewaktu saya pulang Gail tiada. Dia tidak menghubungi saya hingga malam," katanya.


Gail dikatakan turut menghubungi balai polis tempat dia bekerja, memberitahu tidak dapat datang bertugas kerana cuti sakit. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/06

Murid campak budak malang dari tingkat 25

Posted: 05 Dec 2013 09:27 AM PST

Beijing: Seorang murid perempuan mencampak budak lelaki yang ditemuinya bersendirian di dalam lif melalui balkoni menyebabkan mangsa terbunuh, semalam.

Yuanyuan yang berusia kurang dari dua tahun, sebelum itu berada di dalam lif bersama ibunya serta seorang budak perempuan di sebuah bangunan apartmen di Chongqing, barat daya China.


Rakaman kamera litar tertutup di dalam lif menunjukkan ketika ibunya menolak keluar basikal kecil dari lif, pintunya tiba-tiba tertutup.

Keadaan itu menyebabkan mangsa tinggal berdua saja dengan murid terbabit. Apabila pintu lif tertutup, murid perempuan itu mendukung Yuanyuan sebelum menghempas mangsa ke lantai. Tidak cukup dengan itu Yuanyuan ditendang, dipukul dan dipijak berulang kali. Apabila pintu lif terbuka di tingkat 25, murid berkenaan menolak mangsa keluar. Laman web berita berbahasa Inggeris Shanghaiist melaporkan ketika itulah murid terbabit mencampak Yuanyuan dari bangunan itu sama ada dari tingkap atau balkoni. Kesan tompokan darah turut dilihat berhampiran dengan mayat Yuanyuan ditemui di atas tanah.


Kanak-kanak berkenaan dikejarkan ke hospital berdekatan tetapi meninggal dunia akibat kecederaan dialami. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/06

'Suthep sakit jiwa'

Posted: 05 Dec 2013 09:26 AM PST

Bangkok: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand Surapong Tovichakchaikul berkata, pemimpin antikerajaan Suthep Thaugsuban adalah individu "tidak normal" dan seperti pesakit mental.

Mengulas cadangan Suthep yang mahu mewujudkan "Majlis Rakyat" untuk mentadbir sementara Thailand, Surapong berkata, ia langsung tidak munasabah. "Idea Suthep adalah khayalan semata-mata.


"Lebih elok jika Suthep berjumpa doktor sakit jiwa kerana dia mungkin menghadapi tekanan melampau akibat pelbagai kes perundangan dan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya.

"Keadaan itu mungkin mendorong dia tidak berfikir secara normal," katanya. Surapong juga mencadangkan supaya Suthep menyerah diri jika mahu berunding dengan pihak kerajaan.


Selasa lalu Suthep mencadangkan penubuhan Majlis Rakyat menggunakan kuasa raja mengikut Seksyen 7 perlembagaan negara itu.


Ia bermakna Raja Thailand boleh melantik perdana menteri dan Kabinet baru secara langsung. Sementara itu, golongan akademik juga mengutuk cadangan Suthep kerana bertentangan dengan demokrasi, malah ibarat bom jangka yang mampu mengakibatkan perang saudara pada masa depan.

Naib Rektor Universiti Thammasat Nakharin Mektrairat berkata, idea Suthep itu tidak mungkin dapat direalisasikan.


Menurutnya, pengunduran Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan pembubaran dewan rakyat menjadi tindakan terbaik untuk menamatkan konflik berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/06

Warga Thai perlu bersatu

Posted: 05 Dec 2013 09:25 AM PST

Bangkok: Raja Thailand Bhumibol Adulyadej menyeru rakyatnya sentiasa bertindak demi kebaikan negara dalam ucapan ulang tahun kelahirannya semalam.

Tanpa merujuk kepada kekacauan politik yang melanda negara itu, Bhumibol, 86, mengingatkan rakyat Thailand supaya saling membantu dan memberi sokongan sesama mereka.


"Rakyat Thailand perlu sentiasa ingat perkara ini dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab demi kepentingan awam, kestabilan negara dan keselamatan negara tercinta," katanya.

Bhumibol juga raja paling lama memerintah di dunia - dianggap kebanyakan warga Thailand seperti bapa yang banyak meredakan krisis sebelum ini.


Sambutan diadakan di istananya di tepi pantai di Hua Hin, kira-kira 190 kilometer dari Bangkok, kediamannya bersama Permaisuri Sirikit sejak keluar dari hospital, Ogos lalu.


Turut hadir, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra, pemimpin tertinggi pasukan tentera dan polis dan pemimpin pembangkang.

Permaisuri Sirikit yang diserang strok Julai tahun lalu bagaimanapun tidak kelihatan.


Putera Mahkota Thailand Raja Maha Vajiralongkorn turut mengucapkan selamat kepada ayahnya selain berjanji menunaikan permintaan Raja itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/06

Sitok sudah berpindah ke Bali

Posted: 05 Dec 2013 09:25 AM PST

Jakarta: Penulis Sitok Srengenge yang berdepan dengan tuduhan serangan seksual terhadap dua siswa Universiti Indonesia (UI) dilaporkan berpindah ke Bali.

Media semalam mendakwa, Sitok meninggalkan rumahnya di kawasan Pejaten, Pasar Minggu, Jakarta Selatan sejak seminggu lalu.


Menurut penjaga dan pemandu rumah sewa itu, sasterawan terbabit ditemani beberapa kenalan lelakinya ketika memindahkan pelbagai barang peribadinya.

Sebelum ini Sitok, 48, mengakui pernah meniduri seorang siswa UI tetapi menafikan kejadian itu membabitkan paksaan.


Kata penjaga terbabit, Sitok mendiami rumah berkenaan sejak dua tahun lalu.


"Kalau tidak salah dia maklumkan akan berpindah ke Bali.

"Sebelum ini, isterinya kadangkala datang melawatnya dan dia sendiri juga pulang ke Yogyakarta kerana anaknya di sana," katanya. dalam satu kenyataan, semalam. - Agensi Namun lelaki itu mendakwa tidak tahu kes rogol Sitok kerana menganggap penulis berkenaan lebih banyak menyendiri. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/06

Polis ambil keterangan RW minggu depan

Posted: 05 Dec 2013 09:25 AM PST

Jakarta: Pihak polis masih melakukan siasatan terhadap penulis Sitok Srengenge yang didakwa merogol pelajar wanita berusia 22 tahun.

Jurucakap Polis Metro Jaya Rikwanto berkata, mangsa hanya dikenali sebagai RW akan dipanggil minggu depan untuk memberi keterangan.


Katanya, pihaknya masih melengkapkan kertas siasatan dan soal siasat. Menurutnya, mangsa akan disoal terlebih dulu sebelum saksi lain.

"Selepas semuanya selesai memberi keterangan baru kami akan memanggil Sitok pula untuk disoal siasat," katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Sitok didakwa merogol mahasiswi Universiti Indonesia itu sehingga menyebabkannya kini hamil tujuh bulan.


Mengikut laporan polis, mangsa berkenalan dengan Sitok pada Disember tahun lalu ketika terbabit dalam kegiatan festival kreatif universiti terbabit.

Mangsa mendakwa dia diajak ke bilik Sitok Mac lalu untuk membincangkan festival itu, namun sebaliknya dia dirogol. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/06

Malang wanita lahir anak kedua

Posted: 05 Dec 2013 09:23 AM PST

Beijing: Seorang pekerja gudang di China Liu Fei didenda 330,000 yuan (RM174,777) atau 14 kali gaji tahunannya kerana melahirkan anak kedua.

Mahkamah juga mungkin menghalang kerajaan daripada memberikan hak asasi kepada anak Liu termasuk persekolahan dan faedah penjagaan kesihatan jika wanita terbabit gagal membayar denda berkenaan. Keadaan terdesak itu mendorong Liu, 41, menawarkan buah pinggangnya untuk dijual sebagai langkah mengumpul wang. Bagaimanapun Liu gagal.


Anak lelaki Liu kemudian merayu supaya ada mana-mana pihak yang sanggup membeli buah pinggangnya. Dilema dihadapi keluarga terbabit menyebabkan polis disaman atas alasan pihak berkuasa menafikan hak budak berkenaan didaftarkan atas faktor dasar anak tunggal diamalkan China. Kes itu akan dibicarakan di mahkamah Beijing hari ini.

Dokumen mahkamah menyatakan Liu tidak mampu membayar denda dikenakan ke atasnya.


Pada 2011, pegawai perancangan keluarga di Beijing memberitahu Liu yang dia tidak boleh mendapatkan "hukou" - istilah merujuk kepada hak mendaftarkan anaknya - jika tidak membayar denda berkenaan.


"Saya tidak tahu saya akan didenda sebanyak itu. Jika saya tahu, tidak mungkin saya melahirkan anak kedua," katanya. Kes Liu mengetengahkan situasi membebankan polisi perancangan keluarga di China. Dianggarkan kira-kira 13 juta kanak-kanak di China tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Sementara itu, ketua Biro Statistik Kebangsaan, Ma Jiantang berkata, pihak berkuasa menafikan hak pendaftaran kebanyakan kanak-kanak seumpamanya pada 2011 kerana keluarga mereka tidak mampu membayar denda polisi perancangan keluarga. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/06

Wanita hubungi pihak berkuasa 15,000 kali

Posted: 05 Dec 2013 09:23 AM PST

Tokyo: Polis Jepun semalam berkata, mereka menahan seorang wanita kerana menghubungi pihak berkuasa itu lebih 15,000 kali sepanjang tempoh enam bulan.

Pihak berkuasa berulang kali mengunjungi kediaman wanita berusia 44 tahun itu dan memintanya agar menghentikan perbuatannya berkenaan.


Polis akhirnya terpaksa menahan wanita terbabit apabila pujukan itu tidak diendahkan. Pegawai polis di Sakai, dekat Osaka berkata, wanita terbabit membuat 927 panggilan kecemasan dalam sehari dan perbuatannya mengganggu tugas polis.

"Kami pergi ke kediamannya 60 kali untuk memujuknya agar tidak menghubungi kami lagi tetapi gagal.


"Akhirnya kami tidak mempunyai pilihan kecuali menahannya," katanya dalam satu kenyataan, semalam. Pegawai polis itu berkata mereka percaya wanita terbabit mengalami kesunyian melampau. Wanita itu menghadapi tuduhan mengganggu tugas polis yang jika disabitkan bakal berdepan hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda 500,000 yen (RM15,815). - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/06

No comments:

Post a Comment