Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kim Swee sahut cabaran

Posted: 03 Dec 2013 01:36 PM PST

Kelana Jaya: "Saya percaya sesiapa saja yang menjadi jurulatih skuad kebangsaan pasti mahu mencapai kejayaan lebih baik," kata jurulatih sementara skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee.

Jelas apa yang disuarakan oleh pengendali itu menggambarkan beliau cukup bersemangat untuk membaiki prestasi skuad Harimau Malaya sekali gus menyahut cabaran ketua jurulatih Datuk K Rajagobal yang akan melepaskan jawatan apabila kontraknya berakhir 31 Disember ini.


Rajagobal dalam sidang media terakhir kelmarin melahirkan harapan untuk melihat penggantinya mampu membimbing skuad kebangsaan ke tahap lebih tinggi dan mengatasi pencapaiannya yang memenangi pingat emas Sukan SEA Laos 2009 dan Piala AFF 2010.

Bagi Kim Swee yang juga jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23), beliau tidak menganggap apa yang dinyatakan oleh rakan sejawatnya itu ditujukan kepadanya memandangkan beliau hanya jurulatih sementara hingga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapatkan pengganti untuk mengisi 'kerusi panas' itu.


Malah beliau lebih berminat untuk memberi fokus kepada KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar bulan ini berbanding tugasan barunya bersama skuad senior.


"Saya hanya dilantik sebagai jurulatih sementara. Saya tidak berpendapat kenyataan itu merujuk kepada saya. Kami memahami tugas masing-masing dan kenyataan itu bagi saya terlalu umum. Apa yang paling mustahak buat masa ini adalah memberi tumpuan kepada tugasan di Sukan SEA.

Foto

KIM Swee (kanan) menjawab soalan wartawan pada sidang akhbar perlawanan persahabatan antara skuad B-23 negara dengan FC Ryukyu.

"Selepas Sukan SEA, barulah saya akan memberi perhatian kepada Harimau Malaya itupun jika FAM masih belum menemui calon jurulatih tetap," kata Kim Swee.


FAM sebelum ini membuat keputusan tidak melanjutkan kontrak Rajagobal yang bersama skuad kebangsaan sejak 2009 dan melantik Kim Swee sebagai pengganti sementara mereka mencari jurulatih baru dari luar negara seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Sekiranya badan induk itu gagal mencari jurulatih baru sebelum aksi dengan Yaman pada Mac depan, Kim Swee yang membimbing skuad B-23 memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 dijangka membimbing skuad kebangsaan bagi tugasan terakhir kempen kelayakan Piala Asia itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/04

Moyes laung keyakinan

Posted: 03 Dec 2013 10:28 AM PST

Manchester: Dua hari sebelum pertemuan dengan Everton di Old Trafford esok, pengurus Manchester United David Moyes melaung keyakinan bahawa cabaran sebenar anak buahnya dalam usaha mempertahankan gelaran Liga Perdana akan kembali mantap sebelum hujung tahun ini.

Skuad Red Devils itu tergelincir ke tangga kelapan liga selepas keputusan seri 2-2 menentang Cardiff City dan sebelum itu turut menerima keputusan serupa ketika bertemu Tottenham Hotspur.


Tetapi, pertemuan menentang pasukan lebih bawah termasuk Aston Villa, Stoke, Hull serta Norwich akan hanya tiba selepas pertembungan dengan Everton dan Moyes tidak fikir mereka akan mengambil banyak masa untuk kembali menempatkan diri di kedudukan teratas.

"Kami sedar bahawa kami tidak berada di kedudukan seperti yang diharapkan tetapi perjalanan masih jauh dan saya rasa kami masih boleh meningkatkan persembahan. Saya sangat pasti mengenai perkara itu," katanya.


"Saya harap kami akan berada di kedudukan yang kami harapkan atau setidak-tidaknya hampir dengannya. Banyak lagi perlawanan yang akan kami harungi dalam tempoh lapan minggu daripada sekarang dan berkemungkinan besar kami akan berada di kedudukan terbaik menjelang hujung tahun.


"Tottenham bukan mudah untuk ditundukkan dan mereka mempunyai kekuatan yang ampuh. Mereka sudah beberapa kali membuktikannya.

"Kami ada dua minggu untuk mengharungi perlawanan di tempat sendiri. Kami menang tiga perlawanan di tempat lawan dan catatan kami di Liga Juara-Juara juga baik. Memang kami tidak berada di atas tetapi kami juga tidak berada di kelompok terbawah." Moyes berkata, penyerang Wayne Rooney yang menjaringkan dua gol ketika seri dengan Spurs, layak untuk dipuji berdasarkan persembahannya setakat ini dan yakin pemain itu akan menunjukkan aksi sebenar bertemu bekas pasukannya itu malam esok.


Rooney dijual kepada United oleh Moyes ketika beliau masih bergelar pengurus Everton.

"Dia layak dipuji atas kematangan yang ditunjukkan," tambah Moyes. "Dia bermain bijak dan menjaringkan gol. Dia mengambil setiap peluang yang terhidang." United akan melihat semula tahap kecergasan penyerang Belanda Robin van Persie yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan ibu jari dan pangkal paha manakala pemain tengah Michael Carrick sudah pasti tidak diturunkan gara-gara kecederaan betis.


Sementara itu, pengurus Everton Roberto Martinez tidak fikir anak buahnya sudah melupakan apa yang berlaku di Old Trafford musim lalu.


Moyes sendiri tidak pernah menang di gelanggang keramat United itu ketika masih membimbing Everton.


Kali terakhir Everton menang di Old Trafford ialah pada Ogos 1992 iaitu ketika mereka di bawah kendalian Howard Kendall. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/04

Ba penyelesai kemelut Blues

Posted: 03 Dec 2013 10:28 AM PST

London: Demba Ba dilabel mampu memainkan peranan penting dalam usaha Chelsea untuk memenangi Liga Perdana Inggeris buat pertama kali sejak 2010.

Ba menjaringkan gol pertama musim ini apabila melengkapkan kemenangan 3-1 Blues ke atas Southampton dan yakin persembahannya akan semakin menjadi ketika skuad bimbingan Jose Mourinho itu bertandang ke Stadium of Light untuk bertemu Sunderland, malam esok.


Sumbangan penyerang Senegal yang masuk sebagai pemain gantian itu membantu mengubah aksi Chelsea dan pertahanan, Branislav Ivanovic percaya kekuatan fizikal Ba bakal memberi kelebihan kepadanya berbanding Fernando Torres dan Samuel Eto'o.

Ivanovic berkata: "Demba sudah membuktikan pada setiap minit bahawa dia seorang pejuang yang memiliki kekuatan fizikal.


"Ada kalanya anda perlu mengubah corak permainan dan cuba bermain menerusi hantaran jauh. Demba mampu bermain dengan gaya ini dan ia adalah penting buat pasukan," katanya - AFP.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/04

Badi tempat lawan

Posted: 03 Dec 2013 10:27 AM PST

London: Pertahanan Manchester City Gael Clichy mengaku kelabnya mampu mengekalkan label selaku pencabar Liga Perdana Inggeris asalkan mereka mampu mengatasi semua masalah.

City bertandang ke West Brom awal pagi esok dengan rekod yang tidak begitu baik berbanding sembilan pasukan teratas lain.


Anak buah Manuel Pellegrini itu hanya menang sekali, 3-1 ke atas West Ham Oktober lalu, sepanjang enam perlawanan di tempat lawan dan empat kekalahan serta satu seri menceritakan segala-galanya.

Di sebalik aksi longlai di tempat lawan, City tetap mampu menduduki tangga ketiga liga hasil catatan cemerlang di tempat sendiri dan kini hanya enam mata di belakang pendahulu, Arsenal.


Begitupun, pertahanan kiri Clichy, 28, sedar City perlu meningkat terutama di tempat lawan dalam usaha memulihkan imej mereka dan ia perlu bermula dengan perlawanan di The Hawthorns.


"Kami perlu menang di tempat lawan dan memastikan memperoleh mata setiap kali bermain," kata Clichy. "Anda perlu melihat kepada sudut positif. Walaupun kami tewas ketika menentang Cardiff, Aston Villa dan Sunderland, kami masih bermain baik berbanding semua lawan itu.

Foto

CLICHY (kanan) diasak pertahanan Swansea pada pertembungan liga.

"Mungkin kami perlu lebih menumpukan perhatian terutama di babak akhir perlawanan, dalam kotak penalti dan kami perlu menjaringkan gol awal. Apabila anda menjaringkan gol awal, permainan pasti berbeza." Semangat City dilonjakkan menerusi aksi membanggakan pemain tengah Samir Nasri yang menjaringkan dua gol ketika menang 3-0 ke atas Swansea hujung minggu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/04

'Kami perlu elak tekanan'

Posted: 03 Dec 2013 10:26 AM PST

London: Penjaga gol Arsenal Wojciech Szczesny yakin tekanan dihadapi pasukannya selepas gagal memenangi apa-apa kejuaraan sejak 2005 tidak akan menjejaskan cita-cita mereka mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Skuad bimbingan Arsene Wenger itu masih belum membawa pulang sebarang piala sejak memenangi Piala FA pada 2005.


Namun mereka kini mendahului pasukan lain di kedudukan teratas liga selain menang 3-0 di Cardiff hujung minggu lalu, perlawanan yang menyaksikan Aaron Ramsey menjaringkan dua gol ketika menentang bekas kelab dan tempat lahirnya itu.

"Kami berada di kedudukan yang kami inginkan dan mahu berada di sini selama mungkin," kata Szczesny.


"Tapi sebenarnya, kedudukan kami ketika ini tidak begitu penting," kata pemain Poland itu.


"Namun, apa yang penting kedudukan kami ketika Mei nanti dan jika kami mampu meneruskan aksi seperti ini, sudah tentu kami akan tetap berada di puncak liga.

"Banyak yang perlu kami lakukan serta banyak perlawanan sukar yang perlu kami harungi. Tidak ada gunanya kami memberi tekanan kepada diri sendiri. Kami perlu menikmati setiap perlawanan kerana ia akan membolehkan kami mempamer aksi terbaik." Dua gol Ramsey ketika menentang Cardiff membolehkan dia mengumpul 15 gol untuk kelab dan negaranya setakat ini.


Pemain antarabangsa Wales itu mempamer aksi membanggakan musim ini selepas berehat lama akibat kecederaan kaki yang dialami sebelum ini.

"Setakat ini dia memang bermain dengan cemerlang," kata Wenger.


"Anda biasanya mahu terus ke depan dalam keadaan sebegini tapi buat masa ini, biarlah kami menikmati apa yang sedang berlaku."- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/04

'Kami bayar'

Posted: 03 Dec 2013 10:26 AM PST

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedia membayar denda yang dikenakan ke atas pemain, sekiranya didapati bersalah gagal menyertai kejohanan yang diwajibkan semata-mata mengikut kehendak persatuan, iaitu mengutamakan kepentingan negara.

Hal itu dinyatakan Pengarah Kejohanan BAM, Dr Koay Ban Hing ketika menegaskan setiap pemain yang mewakili Malaysia perlu mengutamakan tanggungjawab demi negara, bukan kepentingan diri semata-mata.


"Kami mahu pemain meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi seperti menyertai kejohanan terbuka yang lebih fokus kepada kejayaan individu itu sendiri. Jadi, sekiranya pemain seperti Datuk Lee Chong Wei yang perlu membatalkan penyertaan dalam kejohanan yang wajib disertai, demi mengutamakan kepentingan negara, BAM sedia membayar denda yang dikenakan," kata Ban Hing.

Kenyataan itu tampil selepas beliau diminta mengulas mengenai rancangan BAM bagi menghadapi tahun sibuk 2014, termasuk mencabar kejuaraan Piala Thomas di New Delhi, India.


Pemain seperti Chong Wei yang berada dalam kelompok ranking 10 teratas dunia, diwajibkan menyertai semua enam kejohanan berstatus Siri Super Perdana serta empat daripada tujuh kejohanan Siri Super, jika gagal menyempurnakan kuota penyertaan itu, seseorang pemain akan dikenakan denda.


Justeru, sebagai contoh, jika Chong Wei diminta untuk tidak menyertai satu kejohanan bagi mengelak kecederaan sebelum saingan Piala Thomas atau kejohanan lain yang lebih bersifat kenegaraan, persatuan itu sedia membalas jasa pemain yang mengikut arahan persatuan.

Foto

CHONG Wei wajib sertai semua kejohanan Siri Super Perdana.

Ban Hing berkata, BAM akan sentiasa meniupkan semangat tanggungjawab kepada negara dalam diri setiap pemain.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/04

Iskandar tidak sabar kembali ke litar

Posted: 03 Dec 2013 10:25 AM PST

Kuala Lumpur: Selepas aksi cemerlang di Sepang, Mohd Iskandar Raduan tidak sabar untuk tampil buat kali kedua dalam saingan CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Shah Alam, hujung minggu ini.

Sesudah lama berehat, pelumba kelahiran Seremban itu kembali ke kancah Cub Prix bersama pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM bagi menggantikan tempat Mohd Hilmi Affan pada pusingan lalu dan berjaya menyerlah apabila secara konsisten berada dalam kelompok 10 pelumba terbaik pada setiap sesi latihan serta turut layak ke sesi Superpole.


Sekalipun berjaya memulakan perlumbaan dari barisan kedua, masalah teknikal jentera memusnahkan hasrat pelumba berusia 28 tahun itu untuk menamatkan saingan dalam kelompok lima pelumba teratas apabila terpaksa menarik diri selepas empat pusingan.

"Saya sama sekali tidak menyangka mendapat keputusan baik seawal aksi pertama saya kembali berlumba. Lantas kerana ituMenyedari saya masih mampu memberikan saingan kompetitif, saya semakin bersemangat untuk menghadapi perlumbaan di Shah Alam minggu ini. Terima kasih kepada seluruh pasukan kerana membawa saya kembali ke kejuaraan Cub Prix ini," ujarnya.


Meskipun begitu, Iskandar tidak mahu keyakinan itu memakan diri sendiri kerana sedar saingan di Shah Alam pasti berbeza jika dibandingkan dengan perlumbaan di Sepang.


"Saya dapat beraksi dengan baik di Sepang kerana bentuk litarnya lebih lebar dan juga panjang yang banyak memerlukan kekuatan dan kepantasan jentera, jadi tidak banyak masalah untuk saya berlumba.

"Namun saingan di Shah Alam pasti berbeza. Berlumba di litar go-kart yang lebih sempit dan mempunyai selekoh tajam pasti sukar malah ruang untuk memintas juga agak terhad. Meskipun begitu, saya tidak sabar untuk kembali bersaing bersama pelumba lain dan mahu memberikan yang terbaik buat pasukan," jelas Iska ndar.


Maklumat lanjut sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-87338787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di www.malaysiancubprix.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/04

Skuad B-23 perlu pamer aksi terpuji

Posted: 03 Dec 2013 10:24 AM PST

Kelana Jaya: Kapten skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Irfan Fazail menggesa rakan sepasukan supaya memberikan aksi terpuji pada aksi persahabatan dengan kelab divisyen tiga Jepun, FC Ryukyu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam ini.

Bagi pemain perancang berusia 22 tahun itu, keputusan positif dalam perlawanan itu mampu memberi suntikan semangat kepada mereka dalam menggalas misi mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Myanmar bermula 10 Disember ini.


"Perlawanan ini cukup penting untuk kami mendapatkan keputusan yang baik sebelum ke Myanmar. Ini perlawanan terakhir kami untuk menilai kemampuan dan seharusnya semua pemain perlu menggunakan perlawanan pemanas badan ini sebaik-baiknya.

"Bertemu dengan FC Ryukyu pastinya perlawanan yang sukar buat kami tapi ia bukan alasan untuk kami tidak memberikan tentangan kepada mereka," katanya pada sidang media semalam.


Irfan berkata, meskipun beberapa tonggak skuad juara Sukan SEA 2011 Indonesia tidak dapat beraksi kerana lebih usia dan kehilangan pemain akibat kecederaan antaranya Wan Zack Haikal Wan Noor, Junior Eldstal, Nik Shahrul Azim Abd Halim, Gary Steven Robbart dan Fandi Othman, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu masih lagi mempunyai kekuatan tersendiri.


"Saya yakin pemain lain boleh menampung ketiadaan mereka. Kekuatan pasukan itu bukan hadir menerusi satu individu tapi menerusi semangat berpasukan. Suasana dalam kem ini begitu harmoni. Apa yang pasti, setiap pemain mengetahui tugas dan tanggungjawab mereka untuk aksi di Sukan SEA nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/04

Shakir tekad rebut tempat

Posted: 03 Dec 2013 10:23 AM PST

Kota Bharu: Penyerang baru Kelantan, Ahmad Shakir Ali mengakui sukar mendapat tempat di posisi serangan namun bertekad untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi memantapkan The Red Warriors (TRW) dalam saingan musim 2014.

Kelantan yang membariskan beberapa penyerang berbisa termasuk penyerang import seperti Mohammed Ghaddar dan Francis Forkey Doe nyata memberi laluan sukar bagi pemain tempatan untuk meraih tempat dalam kesebelasan utama.


Ahmad Shakir, 24, berkata, peluang beraksi bersama TRW akan digunakan sebaik mungkin, malah bekas pemain Ngeri Sembilan itu tidak menafikan hasrat untuk melonjakkan namanya kembali selepas tersisih akibat dibelenggu kecederaan musim lalu.

Katanya, sebagai pemain baru dalam pasukan gergasi Pantai Timur itu, Ahmad Shakir berharap dapat menimba pengalaman dengan pemain senior seperti kapten Mohd Badhri Radzi atau Piya sekali gus mendapatkan keserasian dalam masa terdekat.


"Pasukan ini memiliki ramai penyerang hebat termasuk pemain import yang boleh menjaringkan gol dan saya tahu keadaan ini amat mencabar. Namun saya bersyukur kerana berpeluang dapat bermain dengan pasukan sehebat Kelantan.


"Kecederaan yang dialami beransur pulih dan saya tekad untuk mencapai sasaran peribadi ketika bersama pasukan ini," katanya semalam.

Menyedari harapan tinggi peminat TRW terhadapnya, Ahmad Shakir berkata, mental yang kuat diperlukan selain mempamerkan aksi terbaik bagi memenangi hati penyokong TRW.


"Bagi pemain baru, harapan penyokong adalah satu cabaran bagi saya dan saya berharap pemain senior dapat membantu saya meningkatkan prestasi ketika bersama TRW.

"Corak permainan Kelantan juga mungkin berbeza dengan pasukan lama tetapi saya akan cuba sedaya upaya untuk menyesuaikan diri. Saya perlu memperkuatkan mental saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/04

Benteng pertahanan T-Team jadi sasaran

Posted: 03 Dec 2013 10:23 AM PST

Kuala Terengganu: Desas-desus mengatakan dua tonggak pertahanan T-Team termasuk pemain import, Fabio Flor de Azevedo bakal 'disambar' pasukan lamanya, Terengganu mungkin tidak menjadi kenyataan apabila difahamkan kekal bersama The Titans.

Perkara itu timbul selepas Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dikatakan sedang mencari formula terbaik membentuk dua pasukan adik abang dalam mengharungi Liga Malaysia musim depan.


Fabio atau lebih mesra dengan panggilan 'Budin' beraksi bersama kelab Busaiteen FC dalam Liga Bahrain sanggup meninggalkan kelab yang disertai dari 2012 hingga 2013, dikatakan membuat keputusan sendiri untuk bermain dengan T-Team.

Pertahanan berusia 32 tahun yang pernah menyarung jersi skuad Penyu dari 2005 hingga 2008 itu menyatakan pendirian untuk membantu pasukan barunya itu berada dalam kelompok lima pasukan terbaik dalam Liga Super.


Ketua Pegawai Eksekutif T-Team Ab Rasid Jusoh berkata, selain Fabio, kapten Marzuki Yusof yang juga dikatakan bermain untuk Terengganu sebelum ini turut kekal bersama The Titans musim depan.


Menurutnya, pihaknya tidak dapat memberi kepastian sama ada dua pemain Terengganu, Mohd Fakhrurazi Musa dan Mohd Nor Hakim yang dikatakan mungkin menyertai skuad yang dibimbing Mohd Azraai Khor Abdullah atau tidak.

"Selepas diberitakan Fabio dan Marzuki menyertai Terengganu, kami membawa pemain pertahanan iaitu rakan sepasukan Patrich Wanggai dari kelab Persipura Jayapura, Indonesia, Octavio Dutra untuk diuji.


"Pemain ini diuji sebagai langkah awal untuk mengisi posisi pertahanan seandainya Fabio bermain untuk Terengganu. Seorang lagi pemain import dalam radar T-Team adalah Nelson Sam Martin," katanya di sini, semalam.

Isu pertukaran pemain kedua-dua pasukan bimbingan Abdul Rahman Ibrahim dan Azraai menjadi perhatian peminat bola sepak di negeri ini yang tertunggu-tunggu senarai pemain muktamad PBSNT.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/04

No comments:

Post a Comment