Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


BOLA SEPAK: Tukar taktik

Posted: 12 Dec 2013 10:17 AM PST

Nay Pyi Taw: Pendekatan berbeza akan diambil Datuk Ong Kim Swee apabila turun menentang Laos hari ini dengan bahagian tengah diperkuatkan selain menggunakan hanya seorang penyerang.

Pengendali berusia 43 tahun itu dijangka melakukan sekurang-kurangnya lima pertukaran dengan Ahmad Hazwan Bakri yang tidak diturunkan ketika menentang Brunei menjadi pilihan mengetuai jentera serangan.

Kapten Irfan Fazail, Thamil dan D Saavindran akan mengukuhkan bahagian tengah bersama S Sivanesan dan Mohd Nasir Basharudin dengan pemain seperti Nazmi Faiz Mansor, Ashri Chuchu dan Mohd Rozaimi Abd Rahman dijangka memanaskan bangku simpanan terlebih dulu.

"Setiap perlawanan jurulatih (Kim Swee) mempunyai perancangan tersendiri. Laos lebih bagus berbanding Brunei dan mungkin kita akan mengukuhkan barisan tengah. Kami perlu bertahan dan menyerang sebagai satu unit," kata Irfan selepas menjalani latihan semalam.


Katanya yang tampil beraksi sepanjang perlawanan di Stadium Zeyer Thiri menentang Brunei, motivasi dan tahap keyakinan pemain tetap tinggi walaupun sekadar mencatat kemenangan 2-0 Selasa lalu.


"Tidak semua yang dirancang akan menjadi. Ia adalah (menentang Brunei) perlawanan pertama dengan kami perlu menyesuaikan diri dan saya harap selepas ini mana-mana pemain yang berpeluang akan meledak jaringan untuk skuad negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

RENANG: Satu saat hilang emas

Posted: 12 Dec 2013 10:12 AM PST

Nay Pyi Taw: Kuartet 4x200 meter gaya bebas berganti-ganti lelaki negara hanya kurang satu saat berbanding Singapura untuk sekadar meraih pingat perak semalam sekali gus meleburkan harapan meraih emas.

Namun catatan 7 minit 27.32 saat dilakar menerusi gandingan Lim Ching Hwang, Kevin Yeap, Daniel Bego dan Welson Sim berjaya memecahkan rekod kebangsaan iaitu 7:31.44s yang dicatat di Sukan Perpaduan Islam di Palembang, September lalu.

Bego yang turun selaku perenang ketiga antara yang menyerlah apabila berjaya merapatkan jurang dengan Singapura selepas dua perenang negara, Ching Hwang dan Kevin agak ketinggalan.

Namun Welson Sim yang turun selaku perenang keempat hanya sedikit ketinggalan sekali gus menyaksikan skuad negara sekadar berpuas hati dengan perak manakala Singapura pingat emas dengan catatan 7:26.67s. Indonesia ketiga dengan catatan 7:35.13s.


"Inilah yang terbaik mampu kami lakukan. Kami sudah melakukan semampu mungkin tetapi Singapura nyata lebih bagus.


"Saya percaya kami mampu melakukan lebih baik selepas ini tetapi untuk hari ini (semalam), hanya perak mampu diberikan kepada Malaysia," kata Daniel.

Sementara itu, dalam acara 200 meter rampaian individu wanita, Erika Kong menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan catatan 2:23.97s manakala Nadia Adrianna Redza kelapan (2:26.07).

Harn Tern Jian yang beraksi dalam acara 200 meter kuak lentang lelaki pula di tempat kelima dengan catatan 2:07.89.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

SEPAK TAKRAW: Jamaluddin kecam persembahan buruk tekong

Posted: 12 Dec 2013 10:10 AM PST

Nay Pyi Taw: Usahkan pingat perak, pingat gangsa belum tentu berada dalam genggaman skuad sepak takraw lelaki negara.

Skuad negara mengalami dua kekalahan semalam dan lebih memilukan 1-2 di tangan tuan rumah Myanmar selepas kecundang 0-3 kepada juara bertahan Thailand pada sesi pagi.

Malaysia kini mesti menundukkan Indonesia 3-0 pada perlawanan terakhir hari ini jika mahu merebut pingat.

Jika Myanmar kalah 0-3 kepada Thailand, ada kemungkinan kiraan semula dilakukan dan Malaysia berpeluang meraih Perak atau gangsa.


Di Palembang dua tahun lalu, Malaysia memenangi gangsa berpasukan lelaki.


Ia juga kekalahan kedua Malaysia dalam acara berpasukan lelaki kepada Myanmar dalam sejarah Sukan SEA selepas 1999 di Brunei.

Kekalahan skuad negara kepada tuan rumah lebih banyak disebabkan kesilapan tekong yang memberi banyak mata percuma kepada lawan apabila servis sering tersangkut di jaring atau terkeluar.

"Saya terkilan kerana kelemahan tekong kita termasuk yang berpengalaman menjadi punca utama kekalahan hari ini. Tekong gagal membantu meraih mata apabila sering melakukan kesilapan.

"Jika tekong tidak banyak melakukan kesilapan, keputusan mungkin tidak seburuk ini," kata ketua jurulatih negara Jamaluddin Hassan.

Malaysia menurunkan regu Syahmi Husin (tekong), Norshahruddin Mad Ghani dan Farhana Adam sebagai regu pertama menentang trio Myanmar yang dibarisi Aung Myo Swe, Zaw Zaw Aung dan Kyaw Soe Win dan mereka tumpas 18-21, 21-18 dan 9-21.

Regu kedua Fazil Asri (tekong), Hanafiah Dolah dan Syareenqamar Salehan gagal menyelamatkan nasib skuad negara selepas tunduk 21-15, 14-21, 11-21 kepada Yazar Tun, Thant Zin Oo dan Si Thu Lin.

Satu-satunya kemenangan diperoleh menerusi regu ketiga Izurin Refin (tekong), Kamal Alfiza Shafie dan Muqlis Borhan yang mengatasi regu lawan 21-14, 21-14.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

MENEMBAK: Gangsa ubat duka

Posted: 12 Dec 2013 10:09 AM PST

Yangon: Hanya pingat gangsa menjadi pengubat duka trio raifal prone 50m wanita negara apabila Nur Suryani Mohd Taibi, Muslifah Zulkifli dan Haslisa Hamed gagal memberi persembahan membanggakan di Lapang Sasar North Dagon, Yangon semalam.

Malaysia mengutip 1,736 mata di belakang trio Thailand (1,775) dan Myanmar (1,767) yang meraih pingat emas dan perak.

Aksi terbaik penembak negara hadir menerusi Muslifah yang menduduki tangga ke-10 dengan 583 mata diikuti Nur Suryani di tangga ke-11 dan Haslisa di tangga ke-16. Emas milik penembak tuan rumah Kyaw Thu Thu yang meraih 595 mata.

"Dari segi persembahan, saya sudah memberikan yang terbaik hingga ke tembakan terakhir malah jurulatih memberitahu tembakan akhir saya menjadi mata penentu gangsa kerana kami mengatasi Vietnam dengan satu mata," kata Muslifah.


"Biarpun dapat gangsa, saya puas hati kerana melakukan yang terbaik. Saya rasa kami sudah melakukan yang terbaik, saya percayakan mereka. Jika tiada mereka berdua tidak mungkin kami akan dapat gangsa."


Bagi Nur Suryani, dia tidak meletakkan aksi pertamanya di temasya sukan besar ini sebagai alasan kegagalannya tetapi mengaku terlalu menekan diri sendiri.

"Semuanya berpunca daripada diri sendiri. Mungkin terlalu memberi tekanan terhadap kemampuan diri," katanya.

"Sesiapapun boleh menang. Ia bergantung kepada nasib dan persediaan mental masing-masing."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

WUSHU: Tak bantah - Khairy

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Nay Pyi Taw: Tiada bantahan akan dilakukan jika atlet negara menjadi mangsa keputusan berat sebelah pengadil atau juri pada temasya Sukan SEA kali ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan ia sebagai perkara biasa pada temasya dwitahunan itu dan tidak bercadang membuat bantahan demi menjaga hubungan antarabangsa sesama negara Asean.

"Ada dua matlamat dalam Sukan SEA iaitu sukan dan hubungan antarabangsa. Semua ini perlu kita jaga," katanya ketika ditemui di Nay Pyi Taw semalam.

"Ini bukan perkara baru (mutu pengadilan berat sebelah) dan kami maklum mengenai mutu pengadilan yang tidak memuaskan. Sudah jadi adat pertandingan dan saya harap atlet fokus kepada acara yang masih dilangsungkan."


Beliau ditanya sama ada kontinjen negara mahu membuat bantahan selepas juara wusyu dunia Ho Mun Hua menjadi mangsa mutu pengadilan pada temasya kali ini.


Mun Hua gagal meraih pingat emas sekalipun beraksi lebih cemerlang berbanding pemenang pingat emas.

Khairy berkata, Malaysia akan memastikan mutu pengadilan tidak boleh dipertikai apabila menjadi tuan rumah pada 2017.

"Kami akan cuba yang terbaik kerana tidak mahu apabila atlet negara menang, ia menjadi pertikaian bukan saja dalam kalangan negara bertanding, tapi rakyat dan peminat," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

BERBASIKAL: Kesilapan jurulatih punca hilang pingat

Posted: 12 Dec 2013 10:06 AM PST

Nay Pyi Taw: Harapan untuk menyaksikan skuad basikal bukit (MTB) menyumbang sekurang-kurangnya pingat gangsa menerusi acara berpasukan merentas desa semalam, lebur selepas kesilapan percaturan dilakukan jurulatih.

Gandingan Junaidah Juss, Mohd Zulhafiz Saipuddin, Masziyaton Mohd Radzi dan Shahrin Amir, sepatutnya mampu menyumbang pingat tetapi segala-galanya tidak menjadi selepas jurulatih Noor Alfizan Othman melakukan percaturan sendiri tanpa berbincang dengan mereka berempat.

Akibatnya pingat diharapkan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila skuad negara hanya menduduki tempat keempat.

"Sepatutnya kami memang boleh dapat pingat, malah saya letak sasaran untuk meraih pingat tapi jurulatih buat keputusan melakukan percaturan tanpa berbincang dengan kami.


"Selepas melihat kepada susunan pelumba, kami mula rasa kecewa dan hanya sekadar melakukan yang terbaik saja," kata Shahrin Ahmad ketika ditemui selepas tamat saingan semalam.


Shahrin ingin menebus kekecewaan itu dengan cuba untuk meraih pingat pada acara individu hari ini.

"Saya tak ada pilihan lain selain perlu menang acara individu," katanya.

Sementara itu Masziyaton yang meraih pingat perak menerusi acara individu wanita dua tahun lalu di Indonesia, mahu menukar warna pingat yang dimenangi itu kepada emas pada kali ini.

"Tapi saya tahu ia bukan mudah kerana yakin akan menerima cabaran sengit daripada pelumba Vietnam dan Indonesia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

BINA BADAN: Cabaran pasti sengit

Posted: 12 Dec 2013 10:04 AM PST

Yangon: Selesai sudah tugas sebagai pembawa bendera sewaktu majlis pembukaan temasya Sukan SEA Nay Pyi Taw kelmarin, kini masanya untuk jaguh bina badan negara, Sazali Abdul Samad memberi tumpuan terhadap misi memburu pingat emas di Yangon.

"Ia satu penghormatan buat saya sejak menyertai sukan ini selama 26 tahun, menjadi atlet pertama sukan ini yang diberi peluang membawa bendera di Sukan SEA," katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di Yangon pagi semalam, perkara pertama dilakukan adalah memeriksa berat badannya sama ada masih sesuai untuk pertandingan bawah 70kg.

"Sebaik tiba, saya dapati berat badan saya 72 kilogram. Saya terus pergi berjemur di kolam renang hotel dan berat turun kepada 71kg dan kemudian 70.8.

"Selepas ini saya akan melakukan sauna dan mungkin berat boleh turun lagi," katanya.

Sebelum pertandingan pula menurutnya, dia akan mengambil karbohidrat untuk membentuk tubuhnya meskipun pada masa sama perlu mengawal pengambilan air.

Ditanya mengenai persaingan, pemenang Mr Universe dan Mr Asia lapan kali itu mengaku bakal berdepan cabaran getir daripada peserta lain pada pertandingan kali ini.

"Di mana saja saya bertanding, saingan tetap ada, tidak kiralah sama ada bertanding di peringkat dunia, Asia atau Sukan SEA sekalipun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

Yangon meriah, Nay Pyi Taw sunyi

Posted: 12 Dec 2013 10:03 AM PST

Hanya sejam, laluan hidup saya berubah 360 darjah. Daripada ketenangan di Nay Pyi Taw yang menjadi fokus aktiviti edisi ke-27 Sukan SEA, saya beralih ke Yangon yang turut mempersembahkan beberapa acara di sini.

Membandingkan Nay Pyi Taw dan Yangon, bagaikan langit dan bumi.

Memilih menggunakan tambang lebih murah mendedahkan wajah sebenar Yangon seawal menjejakkan kaki di lapangan terbang domestik.

Jika Nay Pyi Taw yang menjadi ibu negara baru Myanmar sejak 2006, terasa lebih tenang, mungkin kerana masih baru, malah di anggap salah seorang pemandu teksi kami seperti Putrajaya (ya, dia pernah bekerja di Malaysia selama 10 tahun!), Yangon pula sudah terlalu sesak.

Bandar yang didiami hampir 6 juta penduduk itu mempunyai tarikan tersendiri seperti Pagoda Shwedagon, Taman Kandawgyi mahupun Pasar Bogyoke Aung San pasti menarik tumpuan pelancong.

Begitupun, dengan kesesakan sedia ada, mana mungkin untuk Yangon kembali menganjurkan Sukan SEA seperti yang pernah dianjurkannya kali terakhir pada 1969, ketika itu dikenali sebagai Sukan SEAP.

Untuk ke venue pertandingan, pastinya mengundang masalah logistik yang jelas sekali perlu ditangani.

Namun, untuk mengenang kegemilangan Yangon (dulunya Rangoon) yang pernah menjadi juara Sukan SEAP pada 1961 dan 1969, mungkin wajar untuk menganjurkannya di sini.

Tinjauan awal saya mendapati dari segi promosi dan publisti menerusi kain rentang, banner dan papan iklan, Yangon juga tidak mahu kalah.

Apa yang saya harapkan dengan kemeriahan Sukan SEA di Nay Pyi Taw, jangan lupakan Yangon yang turut memeriahkan temasya sukan ini selain Mandalay dan Pantai Ngwesaung.

Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

MEMANAH: Khairul hela nafas lega

Posted: 12 Dec 2013 10:01 AM PST

Nay Pyi Taw: Pemanah utama recurve negara, Khairul Anuar Mohamad berdepan dugaan besar sebelum tiba di Nay Pyi Taw, Myanmar untuk menyertai Sukan SEA ke-27 apabila terputus hubungan dengan keluarganya di Terengganu.

Fikiran dan fokusnya yang menjalani latihan fasa akhir di Kuala Lumpur terganggu hingga pada satu ketika membuat keputusan untuk pulang ke kampungnya di Kemaman bagi mengetahui nasib sebenar keluarganya.

"Saya gagal menghubungi ahli keluarga di Kemaman kerana banjir yang berlaku secara mengejut minggu lalu. Saya terputus hubungan tiga hari namun akhirnya berjaya menghubungi mereka dan bersyukur semuanya selamat.

"Hanya selepas itu saya mampu fokus kepada latihan dan meneruskan misi meraih tiga pingat emas di Sukan SEA ini," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di Pusat Memanah Wunna Theikdi semalam.

Foto

KHAIRUL Anuar ketika sesi latihan, semalam.


Pemanah berusia 22 tahun yang berada di ranking kesembilan dunia itu menjadi harapan untuk melakar sekurang-kurangnya dua pingat emas dalam acara individu dan berpasukan selain berpasukan campuran.


"Tiada tekanan kerana saya menyasarkan tiga pingat emas. Kebanyakan pertandingan sebelum ini saya tetapkan sasaran separuh akhir namun gagal meneruskan fokus untuk aksi final atau penentuan tempat ketiga kerana sudah berjaya menepati sasaran.

"Kali ini saya sasar emas dengan harapan fokus saya berterusan hingga final dan seterusnya muncul juara," katanya.

Tambah Khairul, walaupun sudah mendapat rentak apabila mampu melakukan panahan seperti biasa, dia perlu fokus menjelang aksi sebenar bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

HOKI: 'Peluang rangkul emas lebih tinggi'

Posted: 12 Dec 2013 10:00 AM PST

Nay Pyi Taw: Kapten skuad hoki negara di Sukan SEA Myanmar, Mohd Sharun Nabil Abdullah, yakin gandingan pemain senior dan junior yang membarisi pasukan itu mampu menghadirkan emas buat Malaysia.

"Semua sudah sedia maklum sasaran kita di sini hanya pingat emas. Kita akan cuba yang terbaik," katanya.

Malah kesempatan ini mahu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain berusia 28 tahun yang sebelum ini tidak pernah beraksi di pentas Sukan SEA.

"Sebelum ini hanya pasukan junior diturunkan ke Sukan SEA, kali ini mereka memberi peluang kepada tujuh atau lapan pemain senior yang tidak pernah bermain di Sukan SEA," kata pemain berasal dari Terengganu itu.


"Bagi saya peluang untuk memenangi pingat emas lebih tinggi dengan adanya gandingan seperti ini. Kita harap pemain sudah bersedia.


"Saya terus menyertai skuad senior dan peluang seperti ini akan saya manfaatkan sebaik mungkin."

Sharun mengaku tidak sukar untuk membentuk keserasian dalam kalangan pemain senior dan junior memandangkan mereka berlatih bersama setiap hari dan kenal sikap masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

No comments:

Post a Comment