Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Padah minum bir jatuh sungai

Posted: 09 Dec 2013 09:47 AM PST

Queensland: John Macdonald sedang memancing di Sungai Brisbane di Australia pada Mac tahun lalu apabila tin bir di tangannya terjatuh ke sungai.

Dengan segera dia mengambil semula tin minuman berkenaan dan tanpa berfikir panjang kembali menikmati arak berkenaan.

Beberapa jam kemudian Macdonald, 60, mengalami kesakitan melampau pada perutnya.
Kesakitan itu berlanjutan beberapa lama memaksa Macdonald mengunjungi hospital beberapa kali apabila perutnya membesar.

Foto

PENYAKIT misteri Macdonald memaksa dia menjalani pembedahan beberapa kali.

Foto

MACDONALD menanggung kesakitan selepas meminum bir yang bercampur air dari Sungai Brisbane.

Dia juga menjalani pembedahan di Hospital Caboolture apabila antibiotik dibekal doktor gagal merawat penyakit berkenaan.

Namun masalah itu gagal dibendung, malah Macdonald terpaksa dibedah kali ketiga di Hospital Diraja Brisbane dan doktor menjangkakan masalah itu akan diatasi.

Sebaliknya semua pihak terkejut apabila perut Macdonald menjadi lebih besar.

Pada 8 Mei lalu Macdonald sekali lagi dibedah di Brisbane untuk membuang bengkak pada perutnya.

Seperti biasa doktor yakin ia akan menamatkan masalah perut Macdonald.
Namun di luar jangkaan masalah itu kembali lagi dan Macdonald merayu kepada mana-mana pihak supaya membantunya.

Masalah menjadi lebih rumit apabila doktor tidak dapat melakukan apa-apa kepadanya untuk tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan lagi.

Kata Macdonald, setiap kali doktor membedah perutnya keadaan hanya kembali normal untuk seketika.

"Tetapi tidak lama selepas itu keadaan perut saya kembali membesar dan terpaksa melalui proses perubatan berulang kali," katanya.

Menurut Macdonald, penyakit dihadapinya itu membuktikan Sungai Brisbane jauh lebih tercemar berbanding sangkaan umum.

"Saya mendedahkan masalah ini dengan harapan seseorang tampil membantu saya mengatasi kesakitan supaya saya boleh kembali bersama keluarga," katanya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/10

Jantung tentera AS dicuri

Posted: 09 Dec 2013 09:39 AM PST

Philadelphia: Keluarga anggota Tentera Marin AS yang membunuh diri di Greece mendakwa dia ditanam tanpa jantung selepas kerajaan negara itu melakukan autop- si haram dan tidak memulangkan organ berkenaan.

Sarjan Brian LaLoup sedang berkhidmat di Kedutaan AS di Athens apabila dia menembak diri sendiri pada malam 12 Ogos 2012.

Pemuda berasal dari Coatesville itu menghadiri parti apabila mengaku mahu membunuh diri kepada seorang rakannya.

Menurut dokumen mahkamah, LaLoup, 22, merungut apabila merasai tiada sesiapa menyayangi dirinya.


Dia kemudian menembak mukanya sendiri.


Saman dikemukakan keluarga LaLoup mendakwa dia tidak dibawa ke hospital untuk dirawat sebaliknya diajak terus minum.

Pada petangnya LaLoup pergi ke sebuah bilik di dalam bangunan kedutaan yang menjadi tempat simpanan senjatanya sebelum membunuh diri.

Ketika kejadian LaLoup didakwa mabuk dan tertekan.

Warisnya percaya mayat LaLoup dibiar tanpa kawalan dan ada pihak tertentu menjalankan pembedahan haram bagi mengeluarkan jantungnya.

Apabila mayat LaLoup diterbangkan ke AS, autopsi kedua dijalankan dan barulah kehilangan jantung tentera terbabit dikesan.

Namun keluarga LaLoup tidak diberitahu sehinggalah dia selamat dikebumikan.

Apabila aduan dibuat kerajaan Greece memulangkan jantung berkenaan ke AS tetapi ujian DNA mendapati organ itu bukan milik LaLoup.

Justeru waris LaLoup mengemukakan saman dan menuntut pampasan bernilai kira-kira RM394,000. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/10

Pesan makanan dapat beg berisi ribuan dolar

Posted: 09 Dec 2013 09:38 AM PST

Nashville: Sepasang suami isteri yang memesan makanan segera melalui kaunter pandu lalu mendapat lebih daripada apa yang diingini - satu beg berisi wang.

Menurut media wang bernilai ribuan dolar itu disiapkan untuk dihantar ke bank tetapi diletakkan dalam beg kertas yang digunakan untuk pelanggan berhampiran kaunter pesanan pagi semalam.

Seorang petugas secara tidak sengaja menyerahkan beg berkenaan kepada pasangan Greg dan Stacye Terry yang membuat pesanan sarapan.

Namun petugas itu menyedari kesilapan berkenaan sejurus kemudian dan mengikut pasangan terbabit ke rumah mereka yang terletak tidak jauh dari situ.

Sementara itu Stacye berkata, suaminya terkejut apabila membuka beg kertas berkenaan dan mendapati ia dipenuhi wang.

"Saya terfikir untuk melarikan wang itu tetapi menyedari ia tidak wajar," katanya.

Pasangan itu kemudian mengambil gambar wang berkenaan sebelum menyerahkannya kembali kepada pekerja restoran terbabit.


- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/10

10 maut kereta api rempuh lori bawa bahan bakar

Posted: 09 Dec 2013 09:37 AM PST

Jakarta: Sekurang-kurangnya 10 maut semalam apabila sebuah kereta api komuter merempuh lori membawa bahan bakar.

Jurucakap polis Kolonel Rikwanto berkata, kejadian di selatan Jakarta itu turut mengakibatkan kematian jurutera kereta api berkenaan selain 20 yang lain parah.

Kereta api yang dikendalikan syarikat PT KAI Commuter terbabit menuju ke arah pusat bandar Jakarta ketika kejadian yang berlaku pada waktu tengah hari itu.

Jurucakap syarikat, Eva Chairunisa berkata, lori berkenaan membawa gas cecair petroleum (LPG), namun pihak polis melaporkan ia membawa minyak petrol.

Dua gerabak tergelincir akibat pertembungan itu manakala ratusan penumpang berlari dalam keadaan panik dari kereta api berkenaan.

Pegawai bomba, Sukarno berkata, Pasukan penyelamat turut mengeluarkan tiga mayat yang ditemui tersepit.

Punca kejadian masih disiasat.

Penumpang, Veronica berkata, kereta api berkenaan berhenti mengejut sejurus sebelum rempuhan berlaku.

"Saya mendengar letupan sebelum gerabak dipenuhi asap tebal menyebabkan kami sukar bernafas.

"Saya duduk di tepi pintu tetapi tidak mampu bergerak kerana dipijak penumpang lain.

"Kami berjaya melepaskan diri selepas tingkap dipecahkan orang dari luar.


Ramai yang melecur tangan, kaki serta perut," katanya yang ketika itu duduk di koc khas wanita.

Kejadian itu berlaku berhampiran lokasi satu lagi kemalangan membabitkan pertembungan dua kereta api pada 1987 yang mengorbankan 156 orang.


- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/10

Yingluck umum bubar Parlimen

Posted: 09 Dec 2013 09:37 AM PST

Bangkok: Perdana Menteri Thailand semalam mengumumkan akan membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya lebih awal dalam usaha meredakan krisis politik negara itu yang semakin meruncing.

Pengumuman mengejut berkenaan dibuat selepas 140,000 penunjuk perasaan berarak untuk 'persemukaan terakhir' di Bangkok dalam usaha menggulingkan kerajaan Yingluck Shinawtra itu.

Buat masa ini belum jelas sama ada tindakan Yingluck itu mampu memuaskan hati penunjuk perasaan yang bukan saja mahukan beliau mengundur diri, malah mahu menghapuskan pengaruh politik dipegang keluarganya.

"Selepas mendengar pandangan semua pihak saya memutuskan untuk mendapat perkenan raja bagi pembubaran Parlimen.

"Pilihan raya baru akan diadakan mengikut sistem demokrasi," katanya dalam ucapan penuh beremosi disiarkan di televisyen.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya akan menetapkan tarikh secepat mungkin dan beliau sendiri akan terus mengetuai kerajaan sementara sehingga perdana menteri baru dilantik.

Sebagai satu formaliti, pembubaran parlimen itu perlu dipersetujui raja manakala pilihan raya diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu.

Kira-kira 140,000 orang turun ke jalanan Bangkok untuk protes terakhir itu menyebabkan kesesakan teruk di jalan utama.

Mereka turut membawa bendera, membunyikan wisel selain memegang kain rentang besar yang tertulis 'Undurlah Shinawatra.' Lebih 60 sekolah termasuk sekolah antarabangsa ditutup semalam sebagai langkah berjaga-jaga.

Pemimpin pergerakan itu tidak mengulas pengumuman Yingluck, namun penunjuk perasaan menganggap perkembangan berkenaan sebagai tidak bermakna.- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/10

Pilihan raya mungkin pada 2 Februari

Posted: 09 Dec 2013 09:36 AM PST

Bangkok: Kerajaan Thailand semalam berkata, ia mencadangkan 2 Februari sebagai tarikh pilihan raya dua jam selepas perdana menterinya membubarkan dewan rakyat parlimen dalam usaha meredakan kemelut politik negara itu.

Jurucakap Teerat Ratanasevi berkata, tarikh itu dicadangkan ketika mesyuarat Kabinet di Bangkok.

Tarikh itu bagaimanapun perlu dipersetujui Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu secara rasmi.

Jurucakap suruhanjaya berkenaan, Jinthong Intarasri berkata, pegawai pilihan raya akan berunding dengan kerajaan dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara itu.

Bagaimanapun, penganalisis politik menjangka pilihan raya tidak cukup untuk memuaskan hati semua penentang Yingluck yang mahukan negara itu terus bebas daripada pengaruh keluarganya.

Yingluck semalam mengumumkan beliau akan terus mengetuai kerajaan sementara sehingga perdana menteri baru dilantik melalui proses pilihan raya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/10

Penentang masih belum puas

Posted: 09 Dec 2013 09:36 AM PST

Bangkok: Penunjuk perasaan antikerajaan Thailand semalam berazam untuk meneruskan perjuangan mereka menggulingkan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra tanpa mengendahkan pengumumannya untuk mengadakan pilihan raya.

Penunjuk perasaan menuntut supaya 'Majlis Rakyat' dilantik yang dilihat mampu menyekat pengaruh abang Yingluck, Thaksin, ahli perniagaan yang juga bekas perdana menteri negara itu yang digulingkan tujuh tahun lalu.

"Kami akan terus berjuang sehingga rejim Thaksin dihapuskan.

"Walaupun Parlimen dibubarkan dan pilihan raya bakal diadakan, rejim Thaksim masih berkuasa," kata ketua mereka Suthep Thaugsuban.

Sementara itu, parti pemerintah Thailand mengesahkan Yingluck akan bertanding dalam pilihan raya berkenaan.

"Sudah pasti beliau bertanding kerana sudah lama menunjukkan kalibernya.

"Parlimen dibubarkan kerana pihak kami amat yakin.

"Kami mahu Parti Demokrat turut menyertai pilihan raya itu dan bukannya bermain-main di jalanan," kata ketua Parti Puea Thai, Jarupong Ruangsuwan.

Semalam, ratusan penunjuk perasaan membanjiri bandar Bangkok yang turut disertai penyokong Parti Demokrat.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/10

Penghormatan buat Mandela

Posted: 09 Dec 2013 09:35 AM PST

Johannesburg: Lebih 70 pemimpin dunia - dari Presiden Barack Obama hingga Hassan Rouhani (Iran) - bakal tiba di Afrika Selatan untuk memberi penghormatan kepada Nelson Mandela minggu ini dalam perhimpunan pertama seumpamanya demi seorang daripada tokoh keamanan paling hebat dalam sejarah.

Pemimpin Cuba, Raul Castro, Presiden Zimbabwe Robert Mugabe dan Perdana Menteri Britain David Cameron turut mengesahkan kehadiran dalam acara bakal menjadi pertemuan terbesar pemimpin dunia dalam sejarah moden itu.

Mereka dijadual berkumpul di Stadium Bandar Raya di Johannesburg esok.

Stadium itu mempunyai kapasiti penonton 95,000 orang terletak di Soweto - bandar yang satu ketika dulu menjadi pusat gerakan perjuangan antiaparteid.

Ia bakal menjadi lokasi majlis memberi penghormatan kepada Mandela yang meninggal dunia pada usia 95 tahun 5 Disember lalu.

Stadium itu juga menjadi tempat terakhir Mandela muncul secara terbuka di tempat awam apabila dia melambai tangan ke arah penonton di pertandingan akhir Piala Dunia 2010.

Jurucakap Kementerian Luar Afrika Selatan Clayson Monyela berkata, kerajaan yakin tiada masalah untuk menyediakan kemudahan kepada semua pemimpin negara asing walaupun acara itu diatur dalam tempoh singkat.

"Kami mempunyai sistem yang berfungsi apabila keadaan memerlukan," katanya.

Mayat Mandela akan letakkan di Pretoria - tempat dia mengangkat sumpah sebagai presiden pada 1994 - selama lima hari lagi sebelum dikebumi di Qunu pada 15 Disember ini.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/10

Bapa saudara Kim Jong-un dipecat

Posted: 09 Dec 2013 09:34 AM PST

Seoul: Korea Utara semalam mengumumkan pemecatan bapa saudara Kim Jong-un yang sejak sekian lama dianggap tokoh kedua paling berpengaruh di negara itu.

Agensi Berita Pusat Korea melaporkan Jang Song-thaek diketepikan atas alasan rasuah, pengambilan dadah, berjudi, kaki perempuan dan mengamalkan gaya hidup tidak bermoral.

Menurut agensi berita rasmi Korea Utara itu, Jang, 67, menyalahguna kuasa dan terbabit dalam kegiatan rasuah serta berjudi di kasino ketika menjalani rawatan perubatan di negara luar.

Jang juga didakwa menjalin hubungan sulit dengan beberapa wanita dan mengunjungi rumah pelacuran.

Jang pernah dianggap sebagai mentor Jong-un sejak dia mengambil alih kuasa kepemimpinan Korea Utara pada 2011.

Perincian penyingkiran Jang dianggap luar biasa dilakukan agensi berita rasmi kerajaan dan sesetengah pihak menganggap ia adalah amaran Kim kepada mana-mana pihak yang menentangnya.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/10

Minum racun bekalan makanan dirampas

Posted: 09 Dec 2013 09:34 AM PST

Beijing: Seorang petani maut selepas meminum racun di rumah pemimpin masyarakat setempat selepas pihak berkuasa merampas bekalan makanan tahunannya gara-gara melanggar dasar anak tunggal China, lapor media semalam.

Menurut media pihak berkuasa merampas lebih 3.5 tan jagung Ai Guangdong, 45, minggu lalu.

Petani dari Liang'erzhuang di Hunan itu kemudian menemui ketua daerah itu untuk membincangkan isu berkenaan sebelum dia meminum racun dan mati di hospital.

Bapa kepada lima anak itu bergantung sepenuhnya kepada ladang jagung untuk menyara keluarga.

Ai dan isterinya Xie Yufeng membesarkan empat anak perempuan dan seorang lelaki.

Aktiviti pertanian mereka cuma menyumbang pendapatan kira-kira RM2,600 setahun.

China melaksanakan dasar anak tunggal kepada penduduknya dengan kelonggaran hanya diberi untuk anak kedua bagi sesetengah pasangan di luar bandar jika anak sulung mereka perempuan.


Namun Xie mendakwa pihak berkuasa mengambil bayaran sejak dia mendapat anak kedua dan menuntut bayaran RM3,200 apabila anak ketiganya lahir.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/10

No comments:

Post a Comment