Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Ben 10' nadi Penyu

Posted: 07 Dec 2013 09:25 AM PST

Kuala Terengganu: Bekas penyerang berbisa Kelantan, Norfarhan Mohamad bersama dua lagi tonggak pasukan itu, Zairo Anuar Zailani dan Faiz Subri kini bakal menjadi nadi utama Terengganu dalam mengibar cabaran Liga-M musim depan.

Norfarhan yang dinobat penyerang terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2013 bersama dua rakannya dari pasukan The Red Warriors itu sudah mula menjalani latihan di bawah kendalian Abdul Rahman Ibrahim.


Dia yang digelar 'Ben 10' menimbulkan kontroversi selepas didakwa melanggar kontrak apabila menandatangani kontrak bersama Johor Darul Takzim (JDT) sebelum membuat 'pusingan U' untuk menyertai pasukan Terengganu.

Pemain kelahiran Wakaf Tapai, Marang itu berdepan tindakan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas menerima aduan secara rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).


Sebelum ini, Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Norfarhan boleh beraksi dengan mana-mana pasukan tetapi persatuan yang mahukan pemain itu perlu membayar nilai yuran perpindahan dan kontrak untuk semusim berjumlah RM490,000.


Selain Norfarhan, Terengganu turut diperkuat dua lagi tonggak The Red Warriors iaitu pemain tengah, Zairo dan Mohd Faiz.

Foto

NORFARHAN kibar cabaran bersama Terengganu.

Pasukan itu juga berjaya mendapatkan semula penjaga gawang yang beraksi bersama Selangor, Sarbinee Allawee Ramli, pertahanan T-Team, Mazlizam Mohamad, dua pemain PKNS Selangor, Ahmad Azlan Zainal dan Mohd Nor Hakim serta penyerang skuad Harimau Muda, Izzaq Faris Ramlan.


Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bakal menguji lima pemain import bagi mencari penyerang berkualiti untuk diserapkan ke dalam skuad Penyu.

Lima pemain berasal dari Perancis, Ghana dan Ivory Coast akan diuji dalam tempoh terdekat dalam latihan dan perlawanan persahabatan yang akan diatur.


Timbalan Presiden PBSNT Marzuki Sulong berkata, pasukan Terengganu hanya memiliki seorang pemain import pertahanan, Vincent Bikana selepas tidak melanjutkan kontrak penyerang dari Cameroon, Jean-Emmanuel Effa Owana.


"Buat masa ini, dua penyerang iaitu Marcio Souza de Silva dan Moussa Koita sudah menjalani latihan untuk sesi pemilihan. Kita sudah menguji beberapa penyerang import, tetapi semua yang datang tidak menepati ciri yang dikehendaki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/08

Misi sukar Gunners

Posted: 07 Dec 2013 08:00 AM PST

London: Pendahulu Liga Inggeris, Arsenal bakal berhadapan lawan hebat, Everton lewat malam ini dan pasukan yang menewaskan Manchester United itu seakan mendapat tonik baru bagi menundukkan pasukan kendalian Arsene Wenger.

Wenger berkata, anak buahnya perlu berhadapan dengan pasukan hebat dan ia akan memberikan masalah kepada mereka jika tidak berhati-hati.


"Mereka pasukan yang hebat. Sehingga kini, Everton hanya kalah dengan Manchester City dan kemudian melakar kemenangan ke atas Chelsea dan United. Everton juga berada di landasan terbaik liga dan mereka juga akan menjadi pencabar buat kami.

"Namun kami bernasib baik kerana setiap perlawanan besar seperti ini memberikan amaran awal supaya kami mengekalkan permainan yang menarik dan tidak hilang fokus," katanya. Kemenangan 1-0 ke atas Manchester United sejak Ogos 1992 baru-baru ini bakal meningkatkan keyakinan pasukan kendalian Roberto Martinez untuk turut melakar kemenangan pertama ke atas Arsenal sejak kali terakhir mereka menang di Stadium Emirates pada 1996.


Bagaimanapun, kehilangan beberapa pemain utama Everton seperti Leighton Baines yang mengalami kecederaan seakan menggoyahkan peluang Everton untuk menundukkan Arsenal.


Menurut Martinez, pada perlawanan penting seperti itu, perkara yang tidak mahu dialaminya ialah kehilangan pemain berpengalaman.

"Baines terpaksa direhatkan apabila jari kakinya patah. Namun harapan saya ialah mahu melihatnya kembali kepada latihan pasukan sebelum menjelang Krismas ini. "Kami sudah mengharungi 14 perlawanan musim ini. Walaupun kehilangan beberapa pemain, saya mahu fokus untuk berada di tangga teratas liga dikekalkan pemain dan mengakhiri musim ini dengan skuad terbaik," katanya.


Sementara itu, pemain tengah Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan bekas pasukannya, Everton berada di landasan terbaik untuk mendapatkan keputusan menarik.

"Kemenangan mereka atas Manchester adalah satu keputusan yang mengejutkan. Mereka mempunyai musim yang menarik dan dalam masa sama memiliki keputusan perlawanan yang baik walaupun berhadapan dengan pasukan lebih hebat. Ia bukan sesuatu yang mudah.


"Kami tahu mereka tidak akan mudah mengalah. Saya juga pasti Arsenal akan menerima tentangan hebat daripada mereka malam ini," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/08

Hodgson akui laluan England berliku

Posted: 07 Dec 2013 08:00 AM PST

London: Roy Hodgson menyifatkan England bakal menghadapi laluan sukar menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 di Brazil apabila pasukannya diundi untuk berada di dalam kumpulan D, salah satu kumpulan yang menampilkan pasukan gergasi bola sepak dunia.

England dijadualkan bertemu Itali, Uruguay dan Costa Rica sebelum mereka boleh layak ke kelompok 16 pasukan terakhir sekali gus meniti laluan berliku untuk ke final.


Hodgson berkata, beliau mengharapkan England diundi dalam kumpulan yang lebih mudah namun tidak menolak dia juga sudah bersedia sekiranya mereka diundi dalam kumpulan yang lebih hebat.

"Kami berada dalam kumpulan yang sukar. Dengan lawan seperti Itali dan Uruguay, ia sudah pasti bukan perlawanan yang mudah.


"Semua tahu kekuatan Itali. Malah, kami juga pernah dikalahkan mereka ketika suku akhir Piala Dunia yang lalu. Pastinya tidak akan banyak senario yang menyaksikan kami melompat kegembiraan selepas menjaringkan gol. Bagaimanapun, ia bukan sebab untuk kami mengalah dan pastinya, England juga akan memberi tentangan hebat," katanya.


England akan bertemu Itali pada 14 Jun diikuti Uruguay pada 19 Jun di Sao Paolo. Kemudian barulah pasukan itu akan bertandang ke Belo Horizonte, 24 Jun bagi menentang Costa Rica.

Hodgson berkata, mereka mempunyai kelebihan apabila England ditempatkan dan berlatih di Rio de Janeiro sepanjang kejohanan itu.


Sementara itu, penyerang England dan Manchester United, Wayne Rooney berkata, untuk jadi yang terbaik mereka perlu menewaskan pasukan yang hebat.

"Bukan mudah tetapi itulah hakikatnya. Untuk menjadi yang terbaik, kita perlu berdepan dan tewaskan mereka. Sudah pasti ia kumpulan yang sukar tetapi saya tidak sabar untuk beraksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/08

Reaksi jurulatih lepas undian

Posted: 07 Dec 2013 07:59 AM PST

Brazil: Pandangan jurulatih selepas majlis undian Piala Dunia Brazil 2014:

Kumpulan A

Jurulatih Brazil Luiz Felipe Scolari:

"Memang bagus dapat memulakan kejohanan dengan menentang pasukan Eropah kerana mereka mungkin belum dapat menyesuaikan diri dengan suasana di Brazil serta mereka mungkin masih tercari-cari rentak," katanya mengenai pertemuan pertama menentang Croatia, 12 Jun.


"Memang perlawanan itu seimbang tetapi kami tinggal di sini, bekerja di sini dan kami lebih tahu mengenai negara kami."

Jurulatih Mexico Miguel Herrera

"Kami perlu berdepan tiga lawan sukar. Kami perlu bekerja keras dan kami juga perlu realistik.

"Ia boleh dianggap kumpulan maut buat kami. Tetapi kami mahu sampai ke tahap yang kami sasarkan."

Kumpulan B

Jurulatih Sepanyol Vicente del Bosque

"Saya tidak fikir kami berada di dalam kumpulan maut, kumpulan lain juga mempunyai lawan kuat. Tetapi saya akui bahawa kumpulan kami agak sukar.

"Kami perlu bersedia sejak hari pertama dan menumpukan seluruh perhatian kami. Perlawanan kali ini menuntut kesungguhan dan kami tidak boleh bergantung kepada kesilapan lawan semata-mata."

Jurulatih Belanda Louis van Gaal

"Seperti yang semua tahu, ia kumpulan sukar. Keadaan persekitaran akan membuatkan ia lebih sukar. Kami akan menentang juara dunia dan kami tidak pernah menang ke atas Australia serta Chile. Kami bermain di gelanggang yang bukan mudah."

Kumpulan C

Jurulatih Colombia Jose Pekerman

"Ia agak seimbang. Kami mempunyai satu wakil Afrika, Asia dan Eropah. Kami pernah membuktikan keupayaan kami bertanding dengan mana-mana pasukan sekalipun."

Jurulatih Greece Fernando Santos

"Ini mungkin salah satu kumpulan sukar kerana semua pasukan mampu layak dengan kekuatan yang kami miliki.

"Colombia mempunyai serangan yang kuat, Ivory Coast cukup berpengalaman manakala Jepun mengintai untuk mengejutkan kami. Bagaimanapun, Greece tetap berpeluang untuk ke kelompok 16 pasukan terakhir."

Jurulatih Jepun Alberto Zaccheroni

"Kami akan bermain di bawah cuaca panas tetapi kami pernah mempunyai pengalaman bermain dalam keadaan itu iaitu ketika Piala Konfederasi 2013.

"Mungkin kami tidak bernasib baik kerana ditempatkan di dalam kumpulan yang mengandungi pasukan hebat."

Kumpulan D

Jurulatih Itali Cesare Prandelli

"Kami tidak bimbang dengan kumpulan. Saya hanya risau jika media mengatakan bahawa ia adalah mudah.

"Cuaca di Manaus membimbangkan saya selain memikirkan cara bagaimana untuk mengatasi semua lawan kami. Kami mungkin ada kelebihan tetapi saya mahu anda tahu bahawa kami tidak berdepan lawan mudah."

Jurulatih England Roy Hodgson

"Ia kumpulan sukar, tidak dapat dinafikan. Ramai yang setuju dengan saya tetapi tidak boleh dinafikan bahawa Itali dan Uruguay seharusnya menjadi pasukan pilihan.

"Kami perlu membuat banyak perjalanan untuk ke venue dan kami agak bernasib baik kerana ditempatkan di Rio de Janeiro. Justeru, kami hanya perlu ke Manaus sekali saja. Dua lagi perlawanan kami ialah di Sao Paulo dan Belo Horizonte."

Jurulatih Uruguay Diego Forlan

"Jika dibandingkan dengan kumpulan lain, inilah kumpulan yang paling sukar. Tetapi kami pernah mengharungi perkara serupa dan kami berjaya melepasinya."

Kumpulan E

Jurulatih Perancis Didier Deschamps

"Ia mungkin menjadi lebih sulit. Apa yang bagus mengenainya ialah kami tidak akan bermain di daerah utara di mana suhunya agak tinggi.

"Kami tahu kekuatan Switzerland dan ia adalah lawan paling sukar. Kami tidak tahu kekuatan Ecuador dan Honduras. Kami hanya pernah bermain perlawanan persahabatan menentang pasukan Amerika Selatan sebelum ini."

Jurulatih Switzerland Ottmar Hitzfeld

"Kumpulan sukar dengan mentaliti berbeza.

"Pasukan Eropah akan menentang pasukan Amerika Selatan dan Amerika Tengah. Ia agak menarik. Perancis adalah lawan yang hebat."

Jurulatih Ecuador Reinaldo Rueda

"Kami lega dapat bertemu Honduras kerana saya pernah membimbing mereka. Kami tahu kekuatan mereka."

Jurulatih Honduras Luis Suarez

"Saya gembira tetapi kalau boleh saya tidak mahu bertemu Ecuador. Bukan hanya kerana Reinaldo (Rueda) tetapi juga negara itu sendiri - ia memberi banyak makna buat saya."

Kumpulan F

Jurulatih Argentina Alejandro Sabella

"Kami tidak berada di dalam kumpulan maut dan kami akan bermain di Rio de Janeiro, Belo Horizonte serta Porto Alegre.

"Semua orang tahu saya sukakan bola sepak Brazil dan mereka adalah tuan rumah kali ini. Mereka pasti menggegar."

Jurulatih Iran Carlos Queiroz

"Kami perlu menentang antara pasukan terbaik dunia dan kami tidak boleh mengharap untuk bertemu pasukan lemah. Tidak ada yang lemah di Piala Dunia."

Kumpulan G

Jurulatih Jerman Joachim Loew

"Kami akan kembali bertemu rakan lama. Memang seronok dapat bertemu AS. Saya memang rapat dengan jurulatih mereka, Juergen (Klinsmann). Kami sering bertukar pandangan tetapi sudah tentu ia berlaku sebelum Piala Dunia."

Jurulatih Portugal Paulo Bento

"Ia kumpulan yang seimbang dan bagi saya, pasukan pilihan adalah Jerman.

"Kami pernah bertemu Jerman di kejohanan Eropah lalu dan kami tewas 1-0 tetapi saya puas. AS dan Ghana juga mempunyai ramai pemain yang berpengalaman di peringkat Eropah."

Jurulatih Ghana Kwesi Appiah

"Memang hebat dapat bertemu Jerman dan AS yang kami tewaskan pada edisi 2010. Sudah tentu kali ini akan menyajikan lebih banyak kejutan."

Jurulatih AS Juergen Klinsmann

"Saya sudah merasakan sebelum ini bahawa kami pasti diundi bersama Jerman. Ia adalah kumpulan sukar buat kami. Portugal dengan Cristiano Ronaldo ... apa yang boleh saya katakan.

"Tetapi itulah Piala Dunia. Kami harap dapat mengejutkan ramai pihak di sini."

Kumpulan H

Jurulatih Belgium Marc Wilmots

"Ia menarik. Tidak ada pemain bertaraf dunia yang akan menjadi lawan kami. Saya tidak katakan ia mudah tetapi sasaran awal kami ialah untuk layak ke kelompok 16 pasukan terakhir."

Jurulatih Korea Selatan Hong Myung-bo

"Kami pernah menentang Russia bulan lalu tetapi kali ini kami perlu mengkaji semula kekuatan mereka. Ramai yang menganggap ini kumpulan mudah tetapi tidak. Mana-mana pasukan boleh layak ke pusingan kedua."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/08

Ingin cari wang?

Posted: 07 Dec 2013 07:56 AM PST

Jakarta: Bekas pemain bola sepak kebangsaan Indonesia Budi Sudarsono berkata, jika ada pemain bola sepak Republik itu yang ingin mencari wang, datanglah ke Malaysia dan bermain untuk mana-mana pasukan di Liga-M.

Bukan sekadar omong kosong tetapi Budi Sudarsono bercakap atas pengalamannya sendiri sepanjang terbabit dalam kancah bola sepak Malaysia.


Di media online bola sepak tempatan, bekas penyerang pasukan kebangsaan Indonesia itu berkata, selain menimba pengalaman dan pendedahan baru, gaji yang diterima pemain Liga-M juga lumayan dan paling penting, ia sentiasa dibayar tepat pada masanya.

Itulah yang dinikmati Budi Sudarsono ketika menyarung jersi skuad Polis pada kempen 2009.


"Kontrak serta gaji pemain bola sepak Malaysia lebih besar dari Indonesia. Semasa itu, saya bermain separuh musim di kelab PDRM, tetapi nilai kontrak hampir bernilai satu musim di Indonesia. "Apabila ingin mendapat wang, bolehlah bermain di Malaysia," kata Budi yang turut pernah beraksi bersama beberapa kelab di negaranya.


Dia berkata, daripada segi kemudahan, Malaysia dan Indonesia tidak jauh berbeza tetapi yang agak ketara ialah isu penyokong kerana menurutnya, hanya terdapat beberapa pasukan atau kelab yang mempunyai penyokong tegar, tidak seperti Indonesia.

"Sikap fanatik penonton kelab profesional Liga Super Malaysia masih kurang, justeru semangat pemain tidak membara. "Amat berbeza di Indonesia kerana sokongan sangat tinggi. Di Malaysia, pemain hanya mempunyai tanggungjawab untuk pasukan, tidak untuk peminat," kata bekas pemain kelab Persib Bandung, Persik Kediri dan Sriwijaya FC itu.


Musim depan, Budi Sudarsono akan bermain untuk kelab PSM Makassar.

Untuk saingan musim 2014, sekurang-kurangnya tiga pemain bola sepak pasukan kebangsaan Indonesia akan bermain dalam Liga-M, iaitu Hamka Hamzah (bekas pemain kelab Mitra Kukar), Andik Vermansyah (bekas pemain Persebaya 1927) dan Patrich Wanggai (bekas bintang Persipura).


Hamka akan bermain dengan PKNS FC, Andik di Selangor manakala Patrich menyertai T-Team.


Sekitar 1990-an, Robby Darwis pernah bermain untuk Kelantan diikuti Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy yang menyarung jersi Selangor pada 2005-2007.


Satu-satunya pemain Malaysia yang pernah bermain dalam saingan Indonesia Super League (ISL) ialah Mohd Safee Sali. Safee bermain untuk kelab Pelita Jaya (2011-2012) dan Arema Indonesia (2012).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/08

Angkara banjir Syukran tarik diri

Posted: 07 Dec 2013 07:55 AM PST

Shah Alam: Bencana banjir menidakkan peluang Ahmad Syukran Aizat untuk merebut gelaran naib juara keseluruhan kategori Wira apabila pasukannya, Suzuki Fortyone Racing terpaksa menarik diri daripada menyertai pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2013 di Shah Alam, hari ini.

Banjir besar yang melanda Pantai Timur menenggelamkan sebahagian besar pangkalan pasukan Suzuki Fortyone Racing di daerah Kemaman selain turut menyaksikan ketiadaan rakan sepasukan Syukran, Mohd Harith Farhan di dalam kategori Wira dan juga dua pelumba adik beradik kelas CP115, Mohd Emir Firdaus Hasan dan Mohd Emir Fareez Hasan.


Selepas sembilan pusingan, Syukran kini berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 115 mata, empat mata di belakang Mohd Syafiq Rosli (Hyperspeed YAM Honda Racing) yang berada di tangga kedua dengan 119 mata.

Meskipun gagal menghadirkan diri, tempat Syukran di tangga ketiga dianggap selamat memandangkan pencabar terdekat, Mohd Shafiq Rasol ketinggalan 23 mata di kedudukan keempat ketika ini.


"Memang agak kecewa kerana tidak dapat beraksi namun ini semua perkara yang di luar kawalan kami. Meskipun begitu, secara keseluruhan saya masih berpuas hati dengan keputusan yang dipamerkan sepanjang tahun ini terutama dengan dua gelaran juara di Temerloh (Pusingan 7) dan di Sepang (Pusingan 9). Kami pun tidak menyangka mampu mencapai dua kemenangan tersebut pada musim ini. Kami akan bangkit untuk memburu kejayaan pada musim akan datang," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/08

Emas pertama negara

Posted: 07 Dec 2013 07:54 AM PST

Nay Pyi Taw: Diana Bong Siong Lin muncul penyumbang emas pertama negara di temasya Sukan SEA selepas mengungguli acara nanquan dalam sukan wushu semalm.berjaya memastikan kontinjen negara meraih pingat emas pertama apabila mengungguli acara nanquan.

Atlet kelahiran Sarawak berusia 28 tahun itu mempamerkan persembahan memukau di Stadium Tertutup A, Wunna Theikdi, merealisasikan harapan yang disandarkan kepadanya termakbul.


Katanya, kekuatan mental membolehkan dirinya muncul juara dalam berkenaan walaupun mengalami cirit-birit sejak beberapa hari lalu.

"Cirit-birit memang memberi kesan kepada persembahan, namun saya kuatkan mental dan fokus sehingga berjaya menamatkan persembahan," kata Diana yang kejayaannya itu menjadi penyuntik buat atlet negara mendekati sasaran pingat emas ke-1,000 di Sukan SEA.


Emas yang diraih juara acara nandao di Kejohanan Dunia pada bulan lalu di Kuala Lumpur itu, adalah yang ke-998 buat negara dalam temasya dwitahunan di peringkat Asia Tenggara itu.


"Saya hanya mempamerkan persembahan seperti yang dirancang walaupun agak bimbang sebelum beraksi, kerana diletakkan sasaran emas pada acara pertama saya.

"Namun segala-galanya saya lupakan sejurus turun ke gelanggang dan memberikan aksi terbaik. Markah 9.70 mata yang diberikan juri sudah cukup meyakinkan saya untuk memenangi emas," katanya yang turut memenangi emas di edisi 2007 dan 2009.


Dia turut berpeluang menambah koleksi emas apabila turut beraksi dalam tiga lagi acara selepas ini. Namun nandao menjadi sasarannya semalam kerana turun selaku juara dunia dalam acara itu.

Turut cemerlang, seorang lagi peserta Tai Cheau Xuen yang meraih gangsa dalam acara yang sama dengan mata 9.67, ketinggalan 0.01 mata kepada pemenang pingat perak dari Vietnam Minh Phuong Bui yang mengumpul 9.68 mata.


Selain itu seorang lagi peserta negara, Phoon Eyin yang mengumpul 9.46 mata, meraih gangsa dalam acara jianshu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/08

Fuad tidak rela kecewa lagi

Posted: 07 Dec 2013 07:53 AM PST

Peninju negara Mohd Fuad Redzuan tidak mahu kecewa sekali lagi pada penampilan ketiga di Sukan SEA.

Sejak dua edisi lalu, peninju berusia 22 tahun itu, terpaksa berpuas hati dengan sekadar melangkah ke suku akhir.


"Program latihan berintensiti tinggi selama tiga minggu cukup buat saya berasa yakin meraih emas kali ini.

"Latihan yang dijalankan sememangnya dimanfaatkan sepenuhnya, apalagi membabitkan perlawanan latihan sebanyak 10 kali bersama peninju kebangsaan Thailand," katanya yang bakal beraksi dalam kategori 49 kilogram.


Keyakinan Fuad adalah selaras dengan sasaran yang diletakkan Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM), mahukannya meraih satu daripada dua emas di Nay Pyi Taw.


"Saya tidak mahu terlalu memikirkan sasaran itu. Kini saya hanya mahu memberi fokus untuk melangkah ke final terlebih dulu," katanya.

Turut menambahkan keyakinan Fuad adalah ketiadaan peninju Thailand dalam kategorinya dengan peninju Filipina dan Indonesia dilihat sebagai pencabar.


Acara tinju akan bermula hari ini di Stadium Tertutup Wunna Theikdi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/08

Harapan emas taijiquan berkubur

Posted: 07 Dec 2013 07:53 AM PST

Harapan untuk meraih pingat emas dalam acara gabungan taijiquan dan taijijian lelaki hampir terpadam, selepas atlet wushu negara Loh Jack Chang sekadar menduduki tempat keenam dalam acara tajiquan yang dilangsungkan semalam.

Dia mengumpul 9.60 mata, ketinggalan 0.10 kepada pendahulu dari Filipina, Danial Parantac yang meraih 9.70 mata dengan seorang lagi peserta negara Loh How Choon sekadar meraih 9.57 mata.


"Saya melakukan kesilapan selepas lompatan, saya gagal mengimbangi badan namun tidak saya tak menganggap peluang sudah tertutup.

"Saya masih ada dua hari untuk memantapkan persembahan sebelum turun beraksi dalam acara taijijian pada Selasa dan acara itu adalah kegemaran saya," katanya.


Acara yang diwakili Jack Chang adalah salah satu daripada tiga pingat emas yang disasarkan kepada skuad wushu negara.


Jurulatih negara Yoong Thong Foong melihat peluang anak buahnya yang memenangi emas dalam dua acara gabungan berkenaan pada edisi 2009, amat sukar berdasarkan pungutan mata yang diraih.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/08

'Elak masalah berulang'

Posted: 07 Dec 2013 07:52 AM PST

Kuala Lumpur: Apa saja kemelut melanda persatuan sukan diharap dapat dilupakan terlebih dulu ketika misi memburu 40 pingat emas Sukan SEA sudah bermula.

Malah, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi yakin persatuan kini lebih fokus terhadap menyediakan atlet mereka untuk temasya sukan berkenaan.


"Saya yakin setakat ini tiada sebarang masalah dalam persatuan yang boleh menjejaskan prestasi atlet yang bertanding," katanya.

"Kami di MOM hanya menguruskan penyertaan atlet ke Sukan SEA dan daripada apa maklumat yang diperoleh, persatuan memang sudah sedia mempertaruhkan atlet terbaik masing-masing." Begitupun tidak dinafikan sebarang permasalahan dalam persatuan apatah lagi sepanjang penganjuran, mampu memberi impak yang tidak kurang seriusnya terhadap persatuan terbabit.


Jika dibiarkan, tempiasnya bakal dirasai atlet apabila program latihan dan pembangunan atlet juga terjejas.


Temasya Sukan SEA kali ini bakal menjadi medan terbaik buat beberapa persatuan seperti angkat berat, bola sepak, olahraga dan sepak takraw untuk membuktikan bahawa mereka masih lagi mampu menyumbang emas buat kontinjen negara walaupun sebelum temasya bermula, pelbagai masalah termasuk berkaitan imej membuatkan peminat tidak yakin dengan kemampuan atlet berkenaan.

Bagi Kok Chi, apa yang penting sekarang adalah memastikan atlet bertanding tidak berdepan sebarang masalah, antaranya kes doping yang sering menjadi igauan setiap kali penganjuran acara besar seperti Sukan SEA.


Kes kuartet 4x400m yang ditarik balik pingat emas mereka dan atlet angkat berat yang memenangi pingat gangsa di Sukan SEA Indonesia 2011 wajar jadi pengajaran kerana kesannya akan turut dirasai persatuan masing-masing.

"Ketua Pengarah Institut Sukan Negara, Datuk Dr Ramlan juga ada berpesan kepada atlet yang bakal menyertai Sukan SEA supaya tidak melakukan perkara yang akan mungkin akan memudaratkan mereka. Mereka perlu lebih berhati-hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/08

No comments:

Post a Comment