Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Malang pekerja rajin

Posted: 30 Nov 2013 09:01 AM PST

London: Seorang tukang kebun kurang upaya yang tidak pernah ponteng bakal kehilangan pekerjaan yang digemarinya itu selepas 27 tahun berkhidmat.

Media semalam melaporkan, Daniel White (gambar), 44, mula bertugas di bandar kelahirannya, Collett Park di Shepton Mallet, Somerset, sejak berusia 17 tahun.

Namun, dia bakal kehilangan pekerjaan itu dalam tempoh 11 minggu lagi akibat masalah lambakan pekerja selepas firma baru mengambil alih kontrak di taman tempat dia bekerja.

Saudara-mara White kemudian melancarkan petisyen di Internet untuk menyelamatkan pekerjaan lelaki terbabit dan mendapat sambutan menggalakkan.


Setakat ini lebih 6,000 penduduk di Britain, Amerika Syarikat, Australia dan Itali menandatangani petisyen berkenaan.


Ibu White, Rachel Williams semalam tindakan majikan anaknya sungguh kejam.

Kata Rachel, hanya pekerjaan itu yang mampu dilakukan dan digemari White.

"Dia melakukan semua kerja memotong rumput, merapikan kawasan taman permainan dan mengutip sampah.

"Kelmarin, dia berkata kepada saya: Ibu, saya tidak fikir saya mampu menghadapi situasi ini.

"Kata-katanya melukakan hati saya," katanya.

White asalnya diambil bekerja oleh Majlis Perbandaran Shepton Mallet untuk merapikan Collett Park.

Dia masih dibenarkan terus bekerja apabila sebuah firma swasta mengambil alih kontak berkenaan pada 2002.

Bagaimanapun, November tahun lalu, Landscape Group memenangi kontrak pembersihan di situ.

Kini kakitangan taman akan menjadi sebahagian pasukan yang bertugas di kawasan lebih luas.

White yang tidak boleh memandu berkata, tidak selamat untuknya diambil bekerja di tempat lain.

Dia dipercayai satu-satunya pekerja yang akan dipecat.

Marylou Gillingham dari Australia yang menandatangani petisyen itu berkata, tindakan memecat White yang tidak pernah lewat datang bekerja selama 27 tahun sangat menjengkelkan.

Sementara itu, Landscape Group berkata, pihaknya sudah cuba mencari tempat yang selamat selama setahun untuk White bekerja tetapi tidak menemuinya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01

Misteri 50 pokok Krismas dicuri

Posted: 30 Nov 2013 08:56 AM PST

Florida: Polis menyiasat dakwaan kecurian lebih 50 pokok krismas jenis Fraser di sebuah premis jualan di Pensacola semalam.

Agensi berita melaporkan, Suzanne Eaton menerima 300 pokok baru pada Isnin lalu di premisnya untuk dijual dengan harga sehingga AS$120 (RM387) menjelang sambutan Krismas bulan depan.

Bagaimanapun, dua hari kemudian dia menyedari jumlah pokoknya semakin berkurangan.

Eaton berkata, ia kejadian pertama sepanjang pengalaman 27 tahun menjual pokok krismas dan menganggarkan jumlah kerugian sehingga AS$5,000 (RM16,100).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01

Helikopter polis terhempas: 3 maut

Posted: 30 Nov 2013 08:55 AM PST

Glasgow: Pasukan keselamatan Scotland semalam bergegas menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan sebuah pub di sini selepas sebuah helikopter polis terhempas mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga maut dan puluhan yang lain parah.

Helikopter itu memusnahkan bumbung Clutha Pub yang dipenuhi kira-kira 100 pengunjung ketika mereka asyik mendengar persembahan muzik pada malam sebelum hari memperingati pemimpin Kristian Scotland, St Andrew.

Menurut saksi, helikopter membawa dua pegawai polis serta juruterbang awam itu menghempas bangunan berkenaan seperti batu besar dari langit.

Pengunjung bar pula berkata mereka terdengar bunyi deruan angin sejurus sebelum siling bangunan itu runtuh.

Foto

KIPAS helikopter dapat dilihat terkeluar dari bumbung pub berkenaan.


Pihak bomba melaporkan berjaya bercakap dengan beberapa orang yang masih terperangkap dalam bangunan satu tingkat itu yang dilaporkan berada dalam keadaan tidak stabil.


Pegawai bomba Lewis Ramsay berkata penyelamat perlu berhati-hati ketika cuba memastikan berapa orang yang sebenarnya masih terperangkap.

"Kami berusaha memastikan bangunan itu stabil terlebih dulu sebelum membawa keluar mangsa," katanya.

Menurut Ramsay, 125 anggota bomba menyelamatkan beberapa mangsa yang mengalami pelbagai kecederaan.

Pegawai polis Rose Fitzgerald berkata punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti.

Mangsa Grace MacLean berkata pengunjung ketika itu mendengar persembahan muzik.

"Tiada bunyi rempuhan atau letupan, cuma deruan angin yang kuat diikuti asap tebal.

Malah semua orang, termasuk pemuzik ketawa dan bergurau mengatakan asap itu hasil persembahan mereka yang 'meletup.'

"Mereka terus bermain muzik namun asap semakin tebal.

Tiba-tiba terdengar bunyi jeritan sebelum pub terus dipenuhi debu. Kami tidak dapat melihat apa-apa dan sukar bernafas," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen dari Parti Buruh, Jim Murphy berkata, beliau kebetulan memandu di kawasan itu tidak lama selepas kejadian.

"Saya terus keluar membantu mangsa. Ramai yang cedera termasuk di kepala dan ada yang dalam keadaan tidak sedar," katanya.

Masjid Pusat Glasgow yang terletak berhampiran juga menawarkan bantuan ruang untuk menempatkan mangsa selain tenaga sukarelawan.

Pengarang akhbar Sun edisi Scotland, Gordon Smart berkata, beliau melihat helikopter itu jatuh.

"Seperti dalam mimpi saya melihat helikopter itu jatuh laju dari jarak tinggi. Saya yakin ia pesawat polis," katanya. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01

Remaja maut diserang jerung

Posted: 30 Nov 2013 08:53 AM PST

Sydney: Seorang remaja maut dibaham jerung, semalam, seminggu selepas kejadian sama mengakibatkan kematian peluncur air.

Polis New South Wales berkata mereka menerima panggilan kecemasan mengenai serangan jerung di Coffs Harbour, kira-kira 450 kilometer (km) di utara Sydney.

Kenyataan polis menyebut, seorang remaja lelaki dipercayai berusia 18 tahun sedang meluncur bersama rakannya kira-kira 100 meter dari pantai apabila kakinya dibaham jerung.

"Rakannya terus membawanya ke pantai dan dia diberi rawatan pasukan paramedik, namun disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu," katanya.

Jurucakap paramedik pula berkata mangsa mengalami kecederaan teruk pada kakinya, namun punca kematian dipercayai serangan jantung akibat trauma.

Minggu lalu seorang peluncur air berusia 35 tahun mati dibunuh jerung di Gracetown, kira-kira 270km di selatan Perth.

Jerung sering memasuki perairan Australia, namun jarang menyerang manusia dengan hanya 15 kejadian dilaporkan dalam setahun.

Kejadian terakhir sebelum serangan minggu lalu direkodkan pada Julai 2012 membabitkan seorang peluncur air di barat Australia.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01

Botol mineral 'bunuh' bayi

Posted: 30 Nov 2013 08:50 AM PST

London: Seorang wanita menerima pampasan lumayan selepas mahkamah menganugerahi pampasan kerana kecuaian pakar perbidanan menyebabkan kandungannya gugur akibat ditimpa botol air mineral.

Joanna Budzikowska, 28, mendapatkan rawatan pakar selepas mendapati bayinya tidak bergerak-gerak apabila dia secara tidak sengaja menjatuhkan sebotol air mineral di perutnya pada 31 Ogos 2011.

Bidan pelatih yang memeriksa Joanna di Hospital St Michael's, Bristol, merekodkan kandungannya selamat dan aktif.

Bagaimanapun dua minggu kemudian Joanna mengalami sakit perut sebelum dimaklumkan bayi itu sudah meninggal dunia.

Mahkamah Tinggi London dimaklumkan bayi itu mungkin dapat diselamatkan jika tindakan awal diambil untuk merawatnya.

Sehubungan itu, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan yang menyediakan khidmat perbidanan di hospital berkenaan mengakui bertanggungjawab atas kejadian itu bersetuju membayar sejumlah pampasan yang tidak didedahkan namun dianggar berjumlah £100,000 (RM528,000).

Peguam Joanna, Andrew Bowman berkata anak guamnya mengalami trauma akibat kejadian itu malah terpaksa melalui kesakitan selama 20 jam untuk melahirkan anaknya yang sudah mati.

Malah, katanya, wanita itu masih menerima rawatan psikologi disebabkan kejadian itu.

"Pampasan dipersetujui di Mahkamah Tinggi menggambarkan keperitan dilalui mangsa akibat kejadian itu, selain dapat digunakan untuk rawatan psikologi yang masih diberi kepadanya," katanya.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01

Gajah mati sembelit

Posted: 30 Nov 2013 08:49 AM PST

Miami: Seekor gajah Asia berusia 41 tahun mati akibat sembelit di Zoo Miami, lapor media semalam.

Gajah dikenali sebagai Maude itu dilaporkan rebah sebelum mati dalam tempoh kurang seminit ketika menjalani pemeriksaan pada pagi Rabu lalu.

Jurucakap zoo berkenaan berkata, hasil bedah siasat menunjukkan saluran penghadaman haiwan itu dipenuhi tanah liat dan pasir.

Mineral asli seperti itu memang lazim dimakan gajah liar, namun dalam keadaan Maude ia mengakibatkan keadaannya lebih teruk ditambah pula dengan penyakit artritis yang menyukarkan pergerakan haiwan itu.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01

Suthep yakin Yingluck tumbang

Posted: 30 Nov 2013 08:49 AM PST

Bangkok: Polis semalam meningkatkan tahap keselamatan di ibu negara Thailand ketika ribuan penunjuk perasaan berhimpun di luar bangunan kumpulan telekomunikasi kerajaan dan berikrar untuk menawan pejabat Perdana Menteri Yingluck Shinawatra bagi melumpuhkan pentadbirannya.

Ketua demonstrasi, Suthep Thaugsuban memberitahu beribu-ribu penunjuk perasaan bahawa mereka akan mengumumkan kejayaan dan kekalahan rejim Thaksin hari ini.

Penunjuk perasaan juga bercadang mengepung Ibu Pejabat Polis Thailand, polis bandar raya Bangkok, bangunan kerajaan serta zoo.

"Kita perlu melanggar undang-undang untuk mencapai matlamat," katanya.

Beratus-ratus anggota polis mengosongkan bas dan van berhampiran pejabat perdana menteri di bangunan kerajaan di bahagian lama Bangkok.


Seorang pegawai polis memberitahu media kira-kira 5,000 anggotanya akan mengawal kawasan itu sepanjang hari.


Ancaman Suthep itu meningkatkan konflik antara kelas pertengahan dengan penyokong Yingluck dan abangnya Thaksin Shinawatra yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk luar bandar.

Menjelang tengah hari semalam, beribu-ribu penunjuk perasaan mula mengepung pejabat Organisasi Telefon Thailand (TOT) dan Pihak Berkuasa Komunikasi Thailand (CAT), dua syarikat telekom utama milik kerajaan.

Jurucakap perhimpunan, Akanat Promphan berkata, mereka akan menguasai kawasan itu sebagaimana dilakukan terhadap Kementerian Kewangan dan meminta kakitangan agar tidak bertugas.

Bagaimanapun, Kementerian Teknologi Maklumat menegaskan bahawa sistem sokongan sudah diaktifkan dan komunikasi di negara itu tidak akan terjejas.

Sementara itu, Suthep menggesa "rejim Thaksin" digantikan dengan "majlis rakyat" yang akan memilih individu terbaik untuk memimpin negara itu.

Namun, tuntutan itu ditolak Yingluck dengan alasan ia tidak menepati perlembagaan dan membantah sebarang pilihan raya baru diadakan dalam tempoh terdekat.- Reuters/AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01

Pengarah filem disyaki langgar polisi anak tunggal

Posted: 30 Nov 2013 08:48 AM PST

Shanghai: Pihak berkuasa akan menyoal siasat ejen pengarah filem Zhang Yimou selepas dia menghilangkan diri ekoran dakwaan menjadi bapa kepada tujuh anak walaupun China menguatkuasakan polisi anak tunggal.

Ejen pengarah filem epik "Hero" dan "House of Flying Daggers" itu dipanggil ke Wuxi, di timur China bagi menjawab dakwaan terhadap pengarah terbabit.

Pada Mei lalu, laporan dalam talian menyatakan Zhang yang mempesona dunia melalui garapannya dalam majlis pembukaan Sukan Olimpik Beijing 2008 mempunyai sekurang-kurangnya tujuh anak dan boleh didenda 160 juta yuan (RM84.6 juta).

Pihak berkuasa berkata, bulan ini mereka tidak dapat menjejaki Zhang dan sudah menghantar petugas mereka untuk mengesan pengarah itu dan isterinya, Chen Ting.

- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01

No comments:

Post a Comment