Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Lanjut lelong dara

Posted: 29 Dec 2013 12:46 PM PST

Rio de Janeiro: Catarina Migliorini, pelajar kolej berusia 23 tahun di Brazil yang menjadi tumpuan dunia kerana melelong daranya, kini mengiklankan lagi untuk melelong daranya itu.

Pada masa sama, wanita itu juga menimbang untuk menerima lamaran seorang jutawan Arab. Pada 2012, seorang jutawan Jepun menawar Catarina AS$780,000 (RM2.6 juta) untuk membeli daranya menerusi lelongan secara online.


Bagaimanapun, urusan jual beli itu gagal dan dia sekali lagi melelong daranya menerusi laman web VirginsWanted2.com.

Tawaran itu dilanjutkan dari 12 Disember hingga 12 Februari. Catarina juga berkata, dia menerima lamaran daripada seorang jutawan Arab.


Tanpa mendedahkan identiti lelaki itu, Catarina memberitahu mereka saling berbual menerusi Skype dan menyifatkan lelaki berkenaan sebagai 'penganut Islam progresif.' "Saya mengambil keputusan untuk meneruskan tawaran itu. Pada masa sama, saya menerima lamaran daripada seorang jutawan Arab. dan kini menimbangnya kerana ia membabitkan perkahwinan.


"Memandangkan musim panas menjelang dan sudah tentu banyak parti diadakan, saya mengambil keputusan untuk melanjutkan lelongan itu bagi sambil menimbang tawaran itu. "Jutawan Arab itu kelihatan begitu romantik dan menguasai 11 bahasa. Dia berumur antara 35 dan 40 tahun, kacak dan pintar. "Dia tinggal di rumah agam. Saya melihatnya menerusi skype," katanya.

Foto

CATARINA

Bagaimanapun, menurut Catarina, lelaki itu tidak bersetuju dengan tindakannya melelong daranya sehingga sanggup menawarkan AS$1.5 juta (RM4.9juta) kepadanya supaya menghentikan lelongan itu, berkahwin dengannya dan berpindah ke negara asalnya.


"Dia tidak suka dengan tindakan saya. Dia anggap tidak sesuai kerana saya cantik, muda, berbakat dan cerdik.

"Dia mahu mengahwini saya dan mencadangkan kami bertemu di Malta supaya dapat berkenalan lebih rapat.


"Malta negara berkecuali dan saya boleh membawa keluarga saya. Semuanya dia akan tanggung.


"Saya suka berbual dengannya kerana dia penyayang, romantik dan pintar. Tetapi saya tidak mahu berkahwin kerana ia membabitkan wang yang banyak. " Ia membabitkan perasaan cinta dan saya tidak mahu terikat," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Ratu Elizabeth ada 6 bulan untuk hidup

Posted: 29 Dec 2013 12:43 PM PST

London: Menurut laporan terkini yang menggemparkan daripada majalah Globe Amerika, ketua monarki Britain Ratu Elizabeth mendedahkan kepada Putera William dan isterinya, Kate Middleton yang dia "hanya mempunyai enam bulan lagi untuk hidup".

Dalam edisi terbarunya, Globe juga mendedahkan maklumat lanjut mengenai sambutan pahit manis Krismas terakhir Elizabeth dan niat jahat Camilla yang terus mempengaruhi suaminya, Charles untuk menaiki takhta di sebalik pengakuan ibunya itu.


Laporan terbaru dalam majalah itu turut mendakwa William mencetuskan kemarahan nenenknya selepas dia melompat di pentas ketika acara amal Istana Kensington dan menyanyikan lagu Livin' on a Prayer bersama Taylor Swift dan Jon Bon Jovi.

"Elizabeth memanggil William dan memarahinya kerana tidak sopan untuk seorang bakal raja menyanyi di pentas dan dia mahu cucunya tidak berkelakuan demikian pada masa depan," kata satu sumber.


"Namun sifat mesra Puteri Diana yang menari bersama John Travolta dan memeluk Elton John masih diwarisi anak lelakinya.


"William memberitahu neneknya yang dia maklum dengan etika ahli keluarga diraja, tetapi dia mahu rakyat menganggapnya sebagai ahli keluarga diraja yang mudah didekati ramai," kata sumber itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Pencuri telan rantai emas dipaksa makan 96 pisang

Posted: 29 Dec 2013 12:42 PM PST

Mumbai: Seorang pencuri dipaksa makan 96 biji pisang dalam masa 24 jam dalam usaha untuk membolehkan dia mengeluarkan semula rantai emas yang ditelannya.

Damu Gupta, 28, meragut rantai milik seorang doktor beberapa minit sebelum mangsa menaiki kereta api di Mumbai.


Bagaimanapun, mangsa, Dr Sheetal Kamble yang menyedari rantainya diragut menjerit sebelum penumpang lain mengejar Gupta.

Suspek yang panik kemudian menelan rantai seberat 11 gram itu. Ketika orang ramai menangkapnya mereka gagal menemui rantai yang dicurinya menyebabkan dia dilepaskan.


Bagaimanapun, seorang saksi yang melihat Gupta menelan rantai itu melaporkan kejadian kepada polis yang bertugas di stesen kereta api berkenaan.


Gupta ditahan ketika kereta api berhenti di stesen berikunya sebelum dia dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan X-ray. Hasil pemeriksaan menunjukkan rantai itu berada dalam perutnya.

Polis memaksa dia menelan 96 pisang dalam masa sehari dan akhirnya rantai berkenaan keluar selepas dia membuang air besar. Gupta mengaku mencuri rantai itu dan menelannya kerana bimbang dibelasah orang ramai. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Tawan Bangkok

Posted: 29 Dec 2013 12:41 PM PST

Bangkok: Penunjuk perasaan anti kerajaan merancang 'menawan Bangkok' selepas cuti Tahun Baru ini.

Pemimpin tunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban berikrar demikian lewat kelmarin ketika bercakap kepada penunjuk perasaan di Dataran Demokrasi.


Katanya, selepas bercuti Tahun Baru penunjuk perasaan perlu datang semula untuk menawan Bangkok bagi mengembalikan kuasa kepada rakyat.

"Saya minta saudara kita di seluruh Thailand supaya bersedia dan membantu kita menawan Bangkok," katanya.


"Nantikan isyarat daripada kami. Bawa pakaian dan makanan bersama anda kerana kita akan berjuang selama beberapa bulan sehingga kita berjaya.


"Bagi saudara kita di Bangkok, kita tidak akan berganjak walaupun seinci daripada bandar raya ini. Kita tidak akan benarkan orang Thaksin (bekas perdana menteri) kekal dan mengambil kesempatan terhadap rakyat," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, jika ada penduduk Bangkok yang bimbang mengenai keadaan yang berlaku, mereka perlu kekal untuk sementara waktu di wilayah lain.


Sementara itu, pemimpin baju merah, kumpulan yang menyokong kerajaan berkata, mereka perlu bersedia untuk bangkit dan menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa.

Gesaan itu dibuat selepas panglima tentera Jeneral Prayuth Chan-ocha tidak menolak kemungkinan pihaknya akan merampas kuasa.


Nattawut Saikua, Timbalan Menteri Perdagangan dalam kerajaan sementara yang juga pemimpin Barisan Bersatu Bagi Demokrasi menentang Kuku Besi (UDD) berkata semalam, kenyataan Prayuth Jumaat lalu mencetuskan kebimbangan di seluruh negara itu.


Seorang lagi pemimpin UDD, Jatuporn Prompan berkata, jika rampasan kuasa berlaku, tentera akan dilihat sebagai menyokong Suthep. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Kemelut politik Thai ragut 8 nyawa

Posted: 29 Dec 2013 12:40 PM PST

Bangkok: Lapan orang terbunuh dan lebih 300 lagi cedera sejak dua bulan lalu berikutan ketegangan politik yang kian memuncak hingga mendorong kepada pertempuran dengan polis Khamis lalu dan insiden tembakan kelmarin.

Seorang penunjuk perasaan antikerajaan maut dan tiga lagi cedera parah selepas ditembak lelaki tidak dikenali berhampiran kompleks kerajaan awal pagi kelmarin, kata petugas kecemasan. Empat lelaki berkenaan ditembak kira-kira jam 3 pagi dekat pintu pagar keempat kompleks kerajaan, menurut Pentadbiran Metropolitan Bangkok untuk Pusat Khidmat Perubatan Kecemasan Erawan.


Seorang lelaki turut ditembak ketika memandu berhampiran kompleks kerajaan kira-kira sejam kemudian, kata polis.

Penunjuk perasaan Yottana Aongart dari Chumpon ditembak di rusuk. Peluru dari rusuk kanan menembusi rusuk kirinya. Dia dimasukkan ke Hospital Klang tetapi meninggal tidak lama kemudian.


Yottana, 26, ialah mangsa kelapan yang maut dalam demonstrasi antikerajaan. Lima maut di Universiti Ramkhamhaeng pada awal bulan, manakala dua lagi terbunuh dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dengan polis di Stadium Thai-Jepun di Din Daeng Khamis lalu. Lebih 300 cedera dengan sebahagiannya dalam keadaan parah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Jenayah di Jakarta diramal meningkat

Posted: 29 Dec 2013 12:40 PM PST

Jakarta: Polis di ibu negara Indonesia ini menjangka jenayah akan meningkat pada 2014.

Ketua polis Putut Eko Bayuseno berkata, andaian itu dibuat memandangkan pilihan raya dijadual berlangsung tahun itu.


"Kami meramalkan jenayah akan bertambah, baik dari segi kuantiti mahupun kualiti kerana 2014 akan berlangsung pilihan raya Parlimen dan juga presiden," katanya.

Sebanyak 51,444 kes jenayah dicatatkan di Jakarta dan kawasan sekitarnya sepanjang 2013.


Menurut Putut, pihaknya juga yakin corak jenayah juga akan semakin canggih dan pelbagai tahun depan. "Bentuk jenayah konvensional akan berterusan. Ancaman keganasan akan meningkat.


"Kecanggihan dari segi melakukan jenayah juga akan bertambah, tidak kiralah yang berkait dengan politik atau ekonomi," kata Putut. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

15 korban serangan berani mati

Posted: 29 Dec 2013 12:39 PM PST

Moscow: Lima belas orang mati dan ramai lagi cedera apabila seorang pengebom wanita meletupkan dirinya di sebuah stesen kereta api di selatan Russia.

Kejadian itu sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai keselamatan menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk yang akan berlangsung di Sochi Februari depan.


Setakat ini, belum ada pihak mengaku bertanggung jawab dalam serangan di Volgorad itu. Ia berlaku beberapa bulan selepas pemimpin pejuang kemerdekaan Chechnya Doku Umarov menggesa dilancarkan serangan baru di Russia, termasuk temasya serangan itu.

Volgograd, 900 kilometer ke selatan Moscow terletak kira-kira 650 kilometer ke timur laut Sochi.


Jurucakap Jawatankuasa Siasatan Russia, Vladimir Markin berkata, pengebom itu meletupkan dirinya di depan mesin pengimbas logam di pintu masuk utama stesen berkenaan.


"Apabila dia melihat seorang anggota polis berhampiran mesin berkenaan, dia gugup dan meletupkan dirinya," kata Markin dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kawalan keselamatan menyebabkan jumlah kematian terkawal. Tiga belas orang mati di tempat kejadian sementara dua lagi di hospital. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Ikrar bebaskan Lubnan daripada senjata Hizbullah

Posted: 29 Dec 2013 12:38 PM PST

Beirut: Sebuah pakatan Lubnan yang menentang pergerakan Hizbullah semalam berkata, negara itu patut bebas daripada senjata kumpulan berkenaan.

"Kami memutuskan untuk membebaskan negara ini daripada pemilikan senjata yang tidak sah bagi mengekalkan kebebasan, kedaulatan dan keamanan," kata anggota pakatan 14 Mac, Fuad Siniora.


Bekas perdana menteri itu berucap pada majlis pengebumian rakannya Mohammad Chatah, seorang lagi anggota kumpulan itu yang vokal menentang dan mengkritik rejim Syria itu.

Chatah maut bersama enam lain dalam serangan bom di Beirut, Jumaat lalu.


Kumpulan 14 Mac menuduh serangan berkenaan di dalangi Hizbullah dan Syria.


"Kami mahu mengajak rakyat Lubnan menentang keganasan Hizbullan secara aman dan beradab," katanya.

Beliau menambah 'perang secara aman' itu akan diadakan tidak lama lagi.


Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut.

"Kami mahukan kebebasan dan keadilan. Kami tidak akan mengalah, kami tidak takut. Kami akan melindungi Lubnan - negara berdaulat yang aman," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Pejabat perisikan dibom

Posted: 29 Dec 2013 12:38 PM PST

Kaherah: Sebuah bom meletup berhampiran bangunan risikan ketenteraan di utara Mesir, semalam, menyebabkan empat askar cedera.

Pihak tentera dalam satu kenyataan melaporkan, letupan berlaku di wilayah Sharqiya di Delta Nil itu mengakibatkan tembok utama bangunan itu musnah.


Kejadian berlaku hanya selang seminggu selepas dua serangan lain di negara itu. Selasa lalu, seorang pengebom berani mati meletupkan keretanya di sebuah bangunan polis di Mansoura, utara Kaherah mengakibatkan 15 maut.

Sementara itu, Khamis lalu sebuah bom mengakibatkan lima cedera di Kaherah.


Pihak tentera menyifatkan serangan terbaru itu sebagai "satu lagi serangan pengecut dilakukan pihak pengganas." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Benghazi bukan perbuatan Al-Qaeda

Posted: 29 Dec 2013 12:37 PM PST

New York: Al-Qaeda tidak memainkan peranan secara langsung dalam serangan terhadap misi Amerika Syarikat (AS) di Benghazi yang melihat empat warga AS maut pada 11 September tahun lalu, lapor akhbar The New York Times, kelmarin.

Dalam siasatan yang disiarkan di laman webnya berdasarkan liputan meluas yang dilakukan di bandar Libya itu, akhbar berkenaan mendakwa pembunuhan duta AS Chris Stevens dan tiga rakannya didalangi pejuang tempatan.


Laporan itu dilihat mampu mengakibatkan kontroversi di Washington berikutan pentadbiran Obama berkali-kali dituduh menyembunyikan kebenaran di sebalik kejadian di Benghazi itu tuduhan yang dinafikan sekeras-kerasnya.

Akhbar itu turut mendakwa serangan mungkin disebabkan kemarahan akibat video anti-Islam yang disiarkan di rangkaian televisyen tempatan.


Berdasarkan temuramah dengan rakyat tempatan Benghazi yang didakwa mempunyai maklumat langsung berhubung kejadian itu, akhbar berkenaan berpendapat "tiada bukti Al-Qaeda atau mana-mana kumpulan antarabangsa ada memainkan sebarang peranan." "Sebaliknya, serangan diketuai pejuang yang meraih keuntungan daripada kekuatan tentera udara dan logistik NATO yang meluas ketika pemberontakan terhadap bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang mati dibunuh pada Oktober 2011," kata akhbar itu.


Menurut laporan itu, berdasarkan keterangan diperoleh daripada pegawai AS, seorang pemimpin pemberontak tempatan bernama Ahmed Abu Khattala dipercayai suspek utama dalang di sebalik kejadian di Benghazi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

No comments:

Post a Comment