Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kereta Jimmy kena bakar

Posted: 07 Oct 2013 12:21 PM PDT

Kampar: Kereta milik pelakon dan pengacara program Trek Selebriti, Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 33, ditemui dibakar hingga rentung hanya selepas beberapa jam kenderaan itu dilaporkan hilang di Simpang Pulai, di sini.

Kereta model Chevrolet Optra itu didakwa dilarikan penjenayah malam kelmarin, ketika artis berkenaan pulang ke Ipoh untuk menghadiri majlis pengebumian seorang saudara terdekatnya.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, penemuan kereta hanya disedari orang ramai sekitar jam 7.30 pagi semalam apabila kenderaan itu ditemui terbakar berhampiran Batu 5 1/2, ladang kelapa sawit Kota Bahru, di sini.

Menurutnya, orang awam yang mengesyaki ia ada kaitan dengan perbuatan jenayah lalu segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar untuk memaklumkan kejadian itu.

Foto

ANGGOTA polis melakukan siasatan terhadap kereta Jimmy.


"Berikutan itu, anggota peronda bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati kereta model Chevrolet berwarna hitam hangus dibakar.


"Anggota polis menjalankan siasatan terhadap nombor casis pada kereta dibakar itu bagi mengenal pasti pemiliknya dan melakukan semakan susulan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum mengenal pasti kenderaan itu milik seorang selebriti tanah air, Jimmy Shanley," katanya, semalam.

Menurutnya, kereta itu sebelum ini dilaporkan hilang di Simpang Pulai, sebelum laporan dibuat pemiliknya, Jimmy di Balai Polis Simpang Pulai.

"Polis tidak menemui sebarang objek yang digunakan suspek untuk membakar kereta itu. Malah, tiada satu pun barang milik mangsa di dalam kenderaan itu yang terselamat.

"Kes itu kini diambil alih pihak polis Ipoh untuk siasatan lanjut dan Jimmy dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan. Bagaimanapun, saya anggap kes ini pelik kerana kereta itu dibakar selepas dicuri," katanya.

Beliau berkata, anggota Unit Polis Forensik turut dipanggil ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan dan mengesan sekiranya terdapat mangsa di kawasan berhampiran.

"Bagaimanapun, tiada mangsa ditemui dan kereta itu baru saja dibakar beberapa jam sebelum ditemui. Polis menyiasat sebarang kemungkinan dan kaitan perbuatan jenayah itu dengan unsur khianat atau sebagainya," katanya.

Sementara itu, Jimmy yang dihubungi wartawan enggan memberikan sebarang ulasan berhubung kejadian itu berikutan masih dalam pihak polis.

Jimmy sebelum ini pernah mendapat liputan meluas media apabila kes penceraian dan tuntutan penjagaan anaknya berlarutan selama hampir dua tahun.

Dia sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan Nursuhaila Eliani Suhaimy pada 1 Oktober 2010 sebelum tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010, iaitu 20 hari selepas bernikah sebelum bercerai pada 10 Oktober 2012.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Zahrah Rania Shanley yang kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

'Makan sekejap...'

Posted: 07 Oct 2013 12:20 PM PDT

Kuala Lumpur: Gara-gara tidak mengendahkan peraturan lalu lintas, seorang wanita terpaksa membayar RM250 apabila kereta Toyota Vios miliknya ditarik lori penunda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Ops Halangan, di Jalan Telawi, di sini, semalam.

Dalam operasi yang dijalankan pasukan Penguat Kuasa Trafik Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Azmi Wahid bersama DBKL dengan dibantu Balai Polis Pantai bermula jam 2 petang hingga 4 petang itu, wanita berusia 20-an itu sempat merayu untuk tidak diambil tindakan kerana hanya parkir sekejap untuk makan, namun tindakan tegas tetap diambil terhadapnya.

Bagi kesalahan itu, kereta Toyota Vios milik wanita terbabit ditunda ke Depoh Tunda Kenderaan DBKL di Jalan Jinjang, di sini, dan dia perlu membayar RM200 termasuk kompaun, upah tunda serta upah simpan RM5 sehari untuk mengambil semula kenderaan itu.

Azmi yang ditemui selepas Ops Halangan itu berakhir berkata, operasi dijalankan selepas pihaknya mendapat aduan orang ramai berhubung tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan sesuka hati sehingga menghalang laluan.

Foto

ANGGOTA penguat kuasa menunda kereta milik wanita terbabit.


"Segelintir masyarakat masih bersikap endah tak endah dengan peraturan lalu lintas. Jika tidak mengikut peraturan sebenarnya akan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.


"Ops Halangan ini dilakukan dalam dua fasa iaitu dari jam 11 hingga 1 tengah hari sebelum disambung dari jam 2 petang hingga jam 4.30 petang. Polis mengeluarkan sebanyak 83 saman manakala 59 saman lagi dikeluarkan DBKL. Lima kenderaan pula turut ditunda.

"Tindakan saman dan tunda ke atas kenderaan itu diambil atas kesalahan melakukan halangan serta meletak kenderaan sesuka hati. Operasi akan dijalankan berterusan pagi dan petang secara berkala," katanya.

Hadir sama, Ketua Polis Balai Pantai, Inspektor Mohd Suhaibi Sulong dan Inspektor DBKL kawasan Bangsar/Brickfields, M Selvaraj.

Azmi turut menasihatkan orang ramai terutama yang mengunjungi Jalan Telawi, Bangsar atau kawasan pusat perniagaan lain supaya meletakkan kenderaan di tempat disediakan serta tidak melakukan halangan lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

Wanita tolak hasrat rujuk diugut bakar

Posted: 07 Oct 2013 12:18 PM PDT

Ampang: Seorang lelaki yang 'gila talak' tergamak membelasah bekas isteri dengan kayu selain mengugut mahu membakar wanita itu hidup-hidup selepas hajatnya untuk rujuk semula ditolak.

Lelaki berusia 30-an itu difahamkan sebelum itu sanggup menunggu bekas isterinya yang bekerja sebagai jurujual di sebuah premis perniagaan di Pandan Indah, di sini, hampir dua jam sebelum menyerang wanita terbabit.


Berikutan kejadian itu, mangsa yang berusia 38 tahun mengalami lebam pada badan selain pecah bibir. Namun, sempat melepaskan diri daripada bekas suaminya itu sebelum mendapatkan bantuan rakan.

Sumber berkata, mangsa yang bimbang akan 'diserang' bekas suaminya lagi turut membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, kelmarin.


Dalam kejadian jam 10 malam Sabtu lalu, sumber berkata, mangsa berjalan untuk pulang ke rumahnya yang terletak berhampiran tempat kerja.


"Secara tiba-tiba tangannya ditarik seorang lelaki dan sebaik berpaling, mangsa mendapati lelaki itu adalah bekas suaminya. Lelaki terbabit kemudian membawa mangsa ke kawasan tangga premis.

"Bekas suami mangsa dikatakan mengajak supaya tinggal bersamanya dan berhasrat untuk rujuk semula. Bagaimanapun, mangsa enggan menuruti hasrat itu menyebabkan bekas suaminya naik angin," katanya.


Katanya, kedegilan mangsa menyebabkan bekas suaminya mengugut mahu membakarnya hidup-hidup sekiranya masih berkeras dan tidak mahu kembali bersama.

Difahamkan, mangsa tidak mengendahkan ugutan itu sebaliknya cuba melepaskan diri, namun bekas suaminya itu tetap tidak berpuas hati.


Sumber berkata, lelaki itu turut bertindak menampar mangsa beberapa kali sebelum mengambil kayu yang terdapat berhampiran kawasan itu lalu membelasah mangsa bertubi-tubi.


"Mangsa nekad melawan sebelum berjaya melarikan diri dan menghubungi rakan serumahnya bagi meminta bantuan," katanya.


Berikutan itu, mangsa tampil membuat laporan polis kerana bimbang bekas suaminya itu akan menyerangnya lagi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

4 lelaki berparang serang restoran

Posted: 07 Oct 2013 12:18 PM PDT

Gombak: Seorang pemilik sebuah restoran berusia 34 tahun di Taman Sri Gombak, di sini kerugian hampir RM10,000 selepas empat lelaki bersenjatakan parang menyamun pekerjanya selain melarikan 290 kotak rokok pelbagai jenama dan wang perniagaan, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, sebuah kereta Proton Wira berhenti di hadapan restoran itu sebelum sekumpulan lelaki terus menyerang pekerja mangsa yang berada di dalam premis sambil mengacukan parang.


Menurut sumber, mereka juga diarahkan supaya tidak melawan jika tidak mahu dicederakan menyebabkan pekerja terbabit akur dan hanya berdiam diri.

"Kejadian terbabit berlaku terlalu pantas dan lelaki terbabit terus mengambil wang tunai yang berada di kaunter selain merampas rokok pelbagai jenama.


"Malah, telefon bimbit pekerja terbabit turut dilarikan penjenayah," katanya.


Sumber berkata, pekerja berkenaan kemudian terus menghubungi mangsa yang terus bergegas ke restorannya.

"Akibat kejadian itu, mangsa kerugian dianggarkan RM10,000. Mangsa turut membuat laporan di Balai Polis Gombak," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

'Botingkek bukan ciplak lagu Racks'

Posted: 07 Oct 2013 12:16 PM PDT

Kuala Lumpur: Penulis dan penerbit lagu hip hop, DJ Fuzz menyangkal dakwaan lagu Botingkek yang dipopularkan Waris meniru lagu Racks nyanyian asal penyanyi rap Amerika Syarikat, YC.

Sebaliknya, Fuzz atau nama sebenarnya Farzwa De Attaher Emir, 35, berkata, Botingkek yang dihasilkan bersama Waris adalah olahan lagu Racks sebagai penghormatan kepada pemilik karya asalnya.

"Lagu Botingkek bukan meniru atau menciplak Racks. Botingkek dihasilkan dengan mengambil inspirasi daripada lagu itu saja dengan olahan baru.

"Sebenarnya olahan adalah perkara biasa dan menjadi budaya dalam genre rap dan hip hop di mana-mana pun," katanya, semalam.


Fuzz berkata, sejak lagu itu dikeluarkan pertengahan tahun ini pihaknya tidak pernah mengumumkan kepada khalayak lagu Botingkek karya ciptaannya.


"Masyarakat perlu faham kebanyakan karya hip hop hari ini banyak mengolah lagu sedia ada. Hanya kerana kami ambil contoh muzik asal tak bermakna kami tiru atau curi lagu.

"Saya hasilkan pelbagai lagu dan tak dinafikan banyak, di antaranya mengambil inspirasi daripada muzik asal pengkarya lain," katanya.

Fuzz berkata, dia berasa kecewa dengan tuduhan melulu ke atas pihaknya tanpa usul periksa hanya kerana segelintir pihak mengesan persamaan antara dua lagu itu.

"Segelintir pihak memang suka menggembar-gemburkan sesuatu perkara hanya mereka nampak persamaan.

"Pada saya perkara begini adalah bergantung kepada penilaian individu itu sendiri. Bagi saya, ini (olahan lagu) benda biasa dan tak patut jadi isu atau masalah pun," katanya.

Racks adalah lagu nyanyian YC atau nama sebenarnya Christopher Daniels Miller, 28, hasil ciptaan bersama komposer Nayvadius Wilburn dan Sonny Uwaezuoke. Ia dipetik daripada album YC berjudul Got Racks yang dikeluarkan pada April 2011.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

No comments:

Post a Comment