Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Padah nak cantik

Posted: 10 Oct 2013 01:55 PM PDT

Beijing: Seorang wanita yang cuba mendapatkan suntikan untuk menggebukan pipinya di pusat rawatan haram selepas diberitahu majikannya yang mukanya cengkung kini mengalami kecacatan.

Xiao Lian dari Gansu, China hanya berusia 17 tahun apabila dia mendapatkan suntikan menggebukan pipinya.


Pada mulanya Xiao gembira dengan keputusan suntikan itu tetapi lima tahun kemudian, dia mula menghadapi masalah. Kini mukanya yang bengkak menyebabkan dia kelihatan lebih tua berbanding usia sebenarnya iaitu 28 tahun.

Xiao sentiasa bencikan mukanya yang cengkung dan komen majikannya di kedai tempat dia bekerja sambilan menjadi pendorong untuk dia mengubah penampilannya.


"Muka kamu sangat cengkung dan kamu nampak macam orang miskin. Wajah kamu ini menyebabkan golongan kaya tidak mahu ke kedai ini," kata majikannya sebagaimana dipetik daripada Guilin Life News.


Xiao kemudian memutuskan untuk mendapatkan prosedur untuk menggebukan pipinya.

Foto

WAJAH Xiao yang bengkak (kanan).

Namun ketika dia bertanya di klinik pembedahan plastik, kos prosedur itu terlalu mahal dan dia tidak mampu untuk melakukannya.


Ekoran kekecewaannya, rakan Xiao membawanya ke sebuah klinik lain yang berjanji akan menawarkan prosedur sama dengan harga lebih murah.

Kali ini dia mampu untuk melakukan prosedur itu. Doktor yang menjalankan rawatan itu kelihatan mahir walaupun klinik terbabit tidak mempunyai lesen beroperasi yang sah.


Doktor terbabit menyuntik muka Xiao sebanyak 10 kali dalam tempoh sebulan. Pada awalnya, suntikan itu benar-benar menggebukan pipinya dan dia amat gembira dengan keputusan yang diperoleh itu. Bagaimanapun, pada 2009 ketika dia berusia 24 tahun, mukanya mulai bengkak. Hidung, mata dan bentuk wajahnya juga mula berubah. Pada awal tahun ini, muka Xiao betul-betul bengkak, matanya melendut dan rambutnya juga mulai gugur.


Dia pergi mendapatkan nasihat doktor di hospital dan turut menjalani ujian yang menunjukkan selama ini dia diberi suntikan gel hydrophilic polyacrylamide. Bahan itu sebelum ini digunakan untuk membesarkan payudara, tetapi kini diharamkan di China untuk penggunaan pembedahan kosmetik selepas didapati bertoksik.


Xiao benar-benar trauma dengan apa yang berlaku hingga dia pernah terfikir untuk membunuh diri.


Kini, dia menjalani pembedahan memperbaiki wajahnya di pusat pembedahan kosmetik di Guangzhou.


Doktor memberitahunya disebabkan bahan bertoksik itu masih ada dalam tubuhnya untuk tempoh lama, maka sukar untuk memulihkan prosedur asal itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

Wanita muda kaya dikecam elak cukai

Posted: 10 Oct 2013 01:49 PM PDT

Manila: Seorang wanita muda Filipina yang mencetuskan kemarahan selepas dia memuat naik gambar di Internet memaparkan gaya hidup mewahnya, termasuk yang menunjukkan dia mandi bersama wang akan didakwa kerana mengelak daripada cukai.

Jeane Napoles dikecam secara meluas ekoran gambarnya di media sosial yang menunjuk-nunjuk, memaparkan kereta dan kondominium mewah yang dimilikinya di AS. Ibunya kini disiasat ekoran satu daripada skandal rasuah terbesar di Filipina.


"Kami membaca akhbar dan mengikuti perkembangannya di Internet. Di situlah kami dengar mengenai Jeane," kata Ketua Biro Cukai Pendapatan Kim Henares. Siasatan kerajaan mendapati ibu Jeane, Janet yang juga seorang ahli perniagaan membantu ahli Parlimen Filipina menggelapkan wang 10 bilion peso (RM733 juta) milik dana kerajaan.

Tiga senator pembangkang, di samping bekas presiden Gloria Arroyo yang kini dipenjarakan kerana tuduhan penipuan pilihan raya dan rasuah adalah antara mereka yang turut terbabit dalam siasatan dan berdepan tuduhan jenayah kerana menyalah guna dana kerajaan.


Skandal rasuah itu menggesa beribu-ribu orang berarak di jalan raya dalam perhimpunan besar-besaran bagi menentang rasuah.


Sebelum skandal itu, Jeane, 23, sering muncul di Tumblr, Instagram dan YouTube untuk memuat naik imej mengenai gaya kehidupannya yang mewah.

Namun, selepas akhbar Filipina menyiarkan berita mengenai kaitan ibunya dengan skandal rasuah Jun lalu, gambarnya mencetuskan kemarahan di negara miskin itu apabila ramai percaya beberapa keluarga menjadi kaya secara tidak adil. Jeane tidak mengaktifkan akaun media sosialnya tetapi gambar dan videonya terus tersebar secara meluas. Henares berkata, aduan mengelak daripada cukai dikenaka ke atas Jeane tiada kaitan dengan tuduhan rasuah yang dihadapi ibunya. Biro itu memetik kondominium di Los Angeles yang menjadi tempat tinggal Jeane berharga 54.73 juta peso (RM4.05 juta) pada 2011 dan dia turut memiliki hartanah di Filipina yang dibelinya pada tahun lalu.


Sebagai pelajar yang belajar bidang fesyen, Jeane tidak memfailkan pengisytiharan cukai pendapatan dan itu menjadi bukti dia mengelak daripada cukai, kata Henares.

"Kami sentiasa berkata, tiada salahnya menjadi kaya selagi anda bayar cukai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

Akauntan sembunyikan wang peruntukan makan dalam coli

Posted: 10 Oct 2013 01:48 PM PDT

Los Angeles: Seorang akauntan wanita dari Jabatan Perkhidmatan Makanan di daerah Rialto didapati memasukkan sejumlah besar wang peruntukan makan tengah hari untuk sekolah ke dalam colinya.

Perbuatan Judith Oakes, 48, menggelapkan wang AS$3 juta (RM9.56 juta) untuk dana makan tengah hari bagi sekolah di daerah itu dirakam kamera litar tertutup CCTV.


Judith dilantik menjadi akauntan di daerah itu sejak 16 tahun lalu. Pengurus jabatan berkenaan di Rialto, Derek Harris segera menghubungi polis apabila menyedari rakaman mengenai perbuatan kakitangannya itu pada 7 Ogos lalu.

Judith meletakkan jawatan sehari selepas ditahan.


Polis yang kemudian memeriksa kediamannya turut menemui wang tunai ribuan dolar dan mengesyaki Judith sudah menggelapkan wang sejak tujuh tahun lalu. Ketua Polis Rialto, Randy De Anda memberitahu akhbar Los Angeles Times yang Judith menyelia wang makan tengah hari untuk 29 sekolah di daerah itu.


Judith didakwa Selasa lalu atas jenayah menggelapkan wang, menurut Inland Valley Daily Bulletin.

Akhbar berkenaan melaporkan Judith hidup dengan mewah. Dia dan mendiang suaminya Jack Oakes memiliki kenderaan mewah, jet ski dan kenderaan padang pasir. Suami wanita terbabit mati pada 2010. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

Tiga kereta Akil dirampas

Posted: 10 Oct 2013 01:47 PM PDT

Jakarta: Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) merampas tiga kereta mewah milik bekas ketua hakim mahkamah perlembagaan Akil Mochtar dalam serbuan kelmarin.

Satu daripada kereta itu disenarai sebagai milik pemandunya, Daryono.


Ketiga-tiga kereta dirampas KPK itu ialah Mercedes-Benz S350, Audi Q5 dan Toyota Crown Athlete. Selain menyita tiga kereta itu, pegawai KPK juga merampas aset bernilai Rp2 trilion (RM572,811) dari kediaman Akil di kompleks perumahan Liga Mas di Pancoran, Jakarta Selatan. Ekoran rampasan itu, KPK turut menyoal siasat Akil agar mengesahkan pemilikan tiga kenderaan terbabit yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes rasuah pilihan raya di Gunung Mas, Kalimantan Tengah dan Lebak, Banten. Timbalan Pengerusi Pusat Analisis dan Laporan Transaksi Kewangan (PPATK), Agus Santoso mendedahkan yang institusinya sudah memfailkan laporan kepada KPK berhubung transaksi mencurigakan dibuat Akil pada tahun lalu.

Menurutnya, PPATK sudah merekod sebilangan transaksi tidak tetap, tetapi tidak mengulas lanjut mengenainya.


"Ia adalah laporan perisikan, tetapi biar KPK yang mengesahkannya kerana ia transaksi dibuat Akil Mochtar. KPK akan memberitahu kita jumlahnya," katanya.


Sementara itu, ahli Parlimen Almuzzammil Yusuf menggesa pihak berkuasa mengesahkan siapa pemilik dadah yang ditemui di pejabat Akil selepas ujian dadah terhadapnya didapati negatif. Almuzzammil yang juga Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Dewan Perwakilan III, yang menyelia hal ehwal perundangan menggesa polis dan Agensi Dadah Nasional (BNN) agar menyiasat kes itu hingga ke akar umbi. Dia berkata, jika siasatan tidak menghasilkan keputusan yang wajar, tidak mustahil ada pembabitan pihak ketiga dan Akil mungkin diperangkap. Almuzzammil berkata, walaupun rakyat berang dengan kes Akil, penguatkuasa undang-undang tidak boleh menolak kemungkinan yang hakim terbabit mungkin diperangkap agar dia disingkirkan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

Misuari masih berada di Sulu

Posted: 10 Oct 2013 01:46 PM PDT

Manila: Tentera Filipina semalam berkata, Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari dipercayai masih berada di Sulu.

Mahkamah Zamboanga City kelmarin mengeluarkan waran tangkap terhadap Misuari dan tiga pembantu kanannya kerana mengepung bandar raya berkenaan hingga meragut 200 nyawa dan menyebabkan 100,000 penduduk terpaksa berpindah. "Kami percaya dia masih ada di Sulu," kata jurucakap tentera Ramon Zagala kepada wartawan di kem Aguinaldo.


Menurut Ramon, maklumat berkenaan disalurkan perisik tentera di kawasan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

95,000 kawal keselamatan

Posted: 10 Oct 2013 01:46 PM PDT

Makkah: Arab Saudi mengerahkan 95,000 anggota polis di Makkah dan kawasan suci lain untuk memastikan keselamatan hampir dua juta jemaah pada musim haji yang akan bermula beberapa hari lagi.

Menteri Dalam Negeri Putera Muhammad bin Naif yang mengumumkan demikian turut menggesa jemaah tidak mengambil kesempatan untuk menggunakan ibadah itu bagi mempromosi fahaman politik masing-masing.


Katanya, pasukan keselamatan sudah bersiap sedia untuk menghalang sebarang kemungkinan serangan pengganas atau ancaman sepanjang ibadah tahunan itu.

"Buat julung kalinya kami menubuhkan pasukan khas haji dan umrah yang dianggotai 40,000 orang. Mereka akan menyediakan kawalan keselamatan bagi memastikan jemaah haji dapat menunaikan ibadah ini dengan aman dan selamat," katanya.


Muhammad turut memberi amaran kepada jemaah bahawa sebarang kekacauan akan membawa kepada kemalangan jiwa kerana kehadiran begitu ramai jemaah di kawasan yang sempit.


Beliau yang melawat khemah pasukan keselamatan di Mina dan beberapa kawasan lain berkata, pasukannya sudah mengambil langkah secukupnya untuk memastikan keselamatan jemaah.

"Arab Saudi gembira untuk memberi khidmat kepada tetamu Allah dan menyediakan suasana selamat dan selesa untuk mereka melaksanakan ibadah itu," kata menteri berkenaan.


Muhammad berkata, pihaknya berterima kasih kepada Kementerian Pertahanan, Pengawal Kebangsaan dan pasukan perisik polis kerana membantu mengekalkan keselamatan pada musim haji ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

Khemah runtuh hujan lebat landa Mina, Arafah

Posted: 10 Oct 2013 01:45 PM PDT

Makkah: Tujuh jemaah cedera apabila beberapa khemah runtuh akibat angin kencang dan hujan lebat yang melanda Mina dan Arafah kelmarin. Mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan.

Jurucakap Pertahanan Awam Abdullah Al-Harthi berkata, pihaknya menerima amaran daripada pejabat presiden mengenai meteorologi dan persekitaran menyatakan kemungkinan hujan lebat melanda Makkah sebelum menggariskan langkah yang perlu diambil untuk menanganinya.


Langkah itu termasuk menerima bantuan tentera, memasang peralatan canggih, mengerah pasukan penyelamat dan memindahkan penduduk di kawasan berisiko menghadapi cuaca buruk.

Sementara itu, pegawai keselamatan yang berkawal di pusat pemeriksaan di sepanjang jalan menuju ke Makkah menghantar pulang 1,587 jemaah tempatan yang cuba memasuki tanah suci untuk menunaikan haji tanpa memiliki permit.


Sementara itu, Komander Abdullah Al-Obaid yang mengetuai pasukan keselamatan di Baheeta berkata, pegawainya menahan 179 ekspatriat yang memegang permit penduduk tetap yang tidak sah dan 10 rakyat tempatan kerana membawa jemaah haram. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

Sekat jemaah haram

Posted: 10 Oct 2013 01:45 PM PDT

Jeddah: Polis di sini meningkatkan langkah bagi menyekat kemasukan jemaah tanpa permiat daripada memasuki Makkah menerusi laluan padang pasir di sekitar bandar raya ini.

Jurucakap polis Jeddah, Nawaf Al-Bouq berkata, untuk tujuan itu anggotanya dengan bantuan kelengkapan dikerah mengawal di beberapa lokasi.


"Matlamat kami ialah untuk memastikan ibadah haji berjalan lancar bagi jemaah yang ada permit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

Kempen mudahkan jemaah luar tunai haji

Posted: 10 Oct 2013 01:44 PM PDT

Makkah: Sekumpulan rakyat tempatan dan ekspatriat menyertai kempen bergelar "Tinggal di rumah, usah ganggu jemaah haji" yang bertujuan membolehkan tetamu Allah terutama dari luar negara menunaikan haji dengan selesa.

Wanita tempatan, Amani Al-Hiraimly berkata, dia menubuhkan jawatankuasa khas bersama sekumpulan saudara-mara dan jiran tetangga menyeru golongan wanita di daerah mereka agar 'tinggal di rumah' dan tidak ke Makkah tahun ini bagi memberi laluan kepada wanita lain menunaikan haji. Menurutnya, jawatankuasa itu mengedarkan buku panduan dan risalah bagi mendidik wanita agar tidak mengulang ibadah haji yang hanya wajib dilakukan sekali seumur hidup. Katanya, sekumpulan jiran tetangga sudah memahami objektif kempen dan memutuskan untuk menetap di rumah tahun ini. "Biar kami beri laluan kepada orang lain yang menunaikan ibadah berkenaan buat kali pertama dengan selesa," katanya dalam satu kenyataan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

No comments:

Post a Comment