Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Skru ganggu tulang saya'

Posted: 13 Oct 2013 10:14 AM PDT

Sepang: Pelumba Moto3 negara Zulfahmi Khairuddin terpaksa menarik diri daripada perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia semalam selepas merasai kesakitan yang amat sangat di pergelangan tangan kanannya hasil pembedahan kecil yang dilakukan sebelum ini.

Zulfahmi yang mewakili pasukan Red Bull KTM Ajo mengambil keputusan itu selepas sempat keluar seketika pada sesi pemanas badan di sebelah pagi sebelum kembali semula ke pit.

"Saya rasai kesakitan ini sejak bangun tidur dan selepas itu ambil keputusan untuk buat suntikan di pergelangan tangan.

"Bila mula sesi pemanas badan, saya mula rasa tidak selesa seperti tidak dapat memegang dengan baik. Bila masuk ke selekoh, saya juga tak dapat brek dengan baik.

Foto

ZULFAHMI (kiri) tidak dapat berlumba kerana berasa sakit selepas bangun tidur.


"Doktor lakukan ujian imbasan dan mendapati skru yang ditanam di tangan saya mengganggu tulang. Itu yang menyebabkan saya rasa amat sakit.


"Selepas berbincang dengan pasukan, kami ambil keputusan untuk tarik diri sebab tak guna saya berlumba kalau tak dapat mengutip mata dan berada di kedudukan belakang.

"Saya minta maaf kepada semua penyokong. Saya harap mereka faham situasi yang saya alami sekarang ini," katanya.

Ketiadaan Zulfahmi menyaksikan hanya pelumba wildcard Amirul Hafiq Azmi dan Husni Aizat Malik diharap dapat mencuri tumpuan penyokong yang hadir di Sepang.

Namun kedua-duanya juga mempamer aksi mengecewakan apabila gagal menamatkan perlumbaan selepas Amirul Hafiq terjatuh pada awal saingan meskipun berjaya menduduki tempat ke-20, begitu juga dengan Husni Aizat.

Rakan sepasukan Zulfahmi, Luis Salom bagaimanapun mengubat kekecewaan pelumba kelahiran Banting, Selangor itu apabila menaiki podium pertama selepas bersaing sengit hingga tamat dengan Alex Rins.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

Masalah tayar halang Hafizh kutip mata

Posted: 13 Oct 2013 10:12 AM PDT

Sepang: Meskipun gagal mengulangi kejayaan penamat keempat musim lalu, pelumba wildcard Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah tetap berasakan pencapaian tempat ke-16 satu keputusan yang baik.

Meletakkan sasaran untuk mengutip mata, masalah tayar menghalang hasrat pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu yang sekadar bertahan di kelompok pertengahan hingga tamat perlumbaan.

Perlumbaan semalam dihentikan seawal pusingan pertama selepas berlaku insiden pelanggaran membabitkan lima pelumba.

Antara yang terbabit pelumba wildcard dari Thailand Decha Kraisat, serta pelumba Malaysia Zaqhwan Zaidi.

Foto

HAFIZH (No 55) akhiri perlumbaan di tempat ke-16.


Perlumbaan bersambung semula kira-kira setengah jam selepas itu dengan dipendekkan daripada 19 kepada 12 pusingan.


"Ketika perlumbaan dihentikan seketika, kami ambil keputusan untuk melakukan pelarasan yang berbeza ke atas jentera saya. Tapi bila berlumba semula, saya mengalami masalah tayar.

"Ia tidak terlalu mencengkam terutama ketika mengambil selekoh. Jadi saya sekadar bertahan semampu mungkin dan akhirnya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16," kata Hafizh.

Meskipun mengaku sedikit kecewa gagal memenuhi sasaran untuk meraih mata, Hafizh tetap gembira kerana sekurang-kurangnya dapat menghiburkan penyokong yang datang ke Sepang.

"Selepas Zulfahmi (Khairuddin) tak dapat berlumba, saya rasa sedikit tertekan. Saya tekad untuk memberikan yang terbaik kepada peminat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

Azlan puas hati tamat di tempat ke-22

Posted: 13 Oct 2013 10:11 AM PDT

Sepang: Penunggang IDEMITSU Honda Team Asia, Azlan Shah (gambar) Kamaruzaman menganggap kejayaan menamatkan perlumbaan di tempat ke-22 adalah yang terbaik sejak dia menyertai Kejuaraan Motosikal Dunia bermula di Grand Prix San Marino.

Pada perlumbaan pertama itu, Azlan sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-24 sementara dua minggu lalu di Grand Prix Aragon, dia gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh.

"Sebenarnya saya agak bergelut dengan motosikal. Sebab itu saya tidak konsisten pada setiap pusingan.

"Tapi dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-22 sudah satu kejayaan peribadi untuk saya. Tidak ada rasa kecewa, sebaliknya saya puas sebab dapat merasai pengalaman berlumba di depan penyokong sendiri," katanya.


Azlan berkata, dia akan terus belajar mengenai saingan Moto2 pada baki tiga perlumbaan lagi selepas ini.


"Saya akan cuba buat yang terbaik pada pusingan seterusnya di Phillip Island," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

Zaqhwan gagal tamat perlumbaan

Posted: 13 Oct 2013 10:09 AM PDT

Sepang: Mohd Zaqhwan Zaidi tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa gagal menamatkan perlumbaan apabila terbabit dengan kemalangan membabitkan lima pelumba pada awal saingan Moto2 yang menyaksikan perlumbaan terpaksa dimulakan semula.

Menggantikan pelumba TechnoMag-CarXpert, Randy Krummenacher yang mengalami kecederaan, Zaqhwan bukan saja gagal menamatkan perlumbaan, malah disahkan mengalami kecederaan patah tulang selangka akibat rempuhan kuat dengan pelumba lain.


"Tidak dapat dinafikan saya kecewa dengan kemalangan ketika perlumbaan tadi (semalam). Pada asalnya saya berharap untuk menghabiskan perlumbaan di kedudukan ke-25 terbaik tetapi nasib kurang menyebelahi saya.

"Apapun saya tetap bersyukur kerana kecederaan dialami tidak begitu serius dan saya ingin berterima kasih kepada pihak pengurusan Technomag CarXpert kerana sudi memberikan peluang beraksi dalam Moto2 pada Grand Prix Malaysia.


"Walaupun gagal menamatkan perlumbaan, saya banyak mempelajari perkara baru itu dunia Grand Prix dan pengalaman ini akan saya gunakan untuk meningkatkan prestasi saya pada saingan SuperSports 600cc pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS di litar Losail bulan depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

Caterham laung amaran Moto2

Posted: 13 Oct 2013 10:09 AM PDT

Sepang: Tan Sri Tony Fernandes mengumumkan Kumpulan Caterham akan menyertai perlumbaan Moto2 mulai tahun depan dengan pasukan yang baru dibentuk Caterham Moto Racing Team.

Penunggang Amerika Syarikat, Josh Herrin sudah dikenal pasti sebagai seorang daripada dua pelumbanya dan Caterham menandatangani perjanjian dengan Suter Racing Technology untuk membina casis Caterham-Suter dalam tempoh dua tahun akan datang.


"Ini sekadar satu permulaan memenuhi impian kami dalam perlumbaan motosikal," menurut pengerusi bersama Caterham, Kamaruddin Meranun.

Tony, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan tambang murah AirAsia, memiliki sebuah pasukan dalam Formula Satu sejak 2010 dan kini ia dikenali sebagai Caterham-Renault.


AirAsia turut menaja penunggang Moto3 Malaysia, Zulfahmi Khairuddin, yang tidak berlumba pada Grand Prix Motosikal Malaysia semalam kerana kecederaan pergelangan tangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

Lexi ungguli LPGA Malaysia

Posted: 13 Oct 2013 10:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Lexi Thompson dari Amerika Syarikat memecah dominasi Korea Selatan pada kejohanan LPGA Malaysia selepas menjuarai edisi 2013 semalam dengan perbezaan empat pukulan untuk membawa pulang hadiah wang tunai AS$300,000 (RM953,000).

Kemenangan Lexi, 18, menyaksikan dominasi Korea selama tiga tahun berturut-turut menerusi Kang Ji Min, Choi Na Yeon dan Park In Bee kini berakhir biarpun pada dua hari pertama pertandingan, Lee Il Hee mengungguli senarai pendahulu.

"Berapa banyak kata-kata yang diluahkan pun tidak dapat membayangkan perasaan saya ketika ini. Berjalan menuju ke lubang ke-18 sambil disorak ceria oleh peminat yang tahu saya sudah memenangi kejohanan ini, sememangnya saya rasakan amat istimewa," kata Lexi selepas menjulang trofi kejuaraan daripada Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hamimah Hamidun di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC).

"Saya bekerja keras untuk kembali ke tahap ini sejak tahun lalu dan hanya kembali muncul juara selepas 43 kejohanan yang saya sertai. Kemenangan kedua dalam kerjaya profesional saya ini, jauh lebih baik berbanding yang pertama.

Foto

LEXI bersama trofi kejohanan.


"Memenangi kejuaraan kedua adalah jauh lebih sukar daripada pertama kerana saya perlu menunggu lebih lama. Apa lagi dalam kejohanan ini yang dipenuhi dengan pemain terbaik dunia.


"Saya gembira dapat bermain bersama Suzann (Pettersen) dan (Lee) Il Hee, mereka pemain yang baik dan memberi saingan yang hebat. Saya hanya mengekalkan momentum kerana tahu, dua pemain ini mampu mencipta kejutan, jadi saya terus melakukan birdie dan par."

Ironinya, hanya Lexi seorang menghabiskan setiap pusingan di bawah 70 pukulan (67-63-66-69).

Il Hee pula sekadar mencatat dua atas par 73 pada hari terakhir saingan hingga menyebabkannya tercicir ke tangga ketiga, berkongsi kedudukan dengan pemain Norway, Suzann yang mengumpul 12 bawah par 272.

Sementara itu, juara Reignwood di China minggu lalu, Feng Shanshan mempamerkan kehebatannya mencatat empat bawah par 67 untuk muncul naib juara dengan 15 bawah par 269.

Naib juara memenangi AS$186,577 (RM592,000) dan ketiga AS$120,026 (RM381,000).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

'Lexi buat kami makin tua'

Posted: 13 Oct 2013 10:06 AM PDT

Kuala Lumpur: "Dia membuatkan kami kelihatan tua," itulah kata-kata gurauan spontan keluar dari mulut Feng Shanshan dari China mengenai kemenangan yang dicapai Lexi Thompson, 18, dari Amerika Syarikat pada LPGA Malaysia Sime Darby semalam.

"Beraksi satu kelompok dengannya semalam (kelmarin pada pusingan ketiga), hayunannya sangat kasar tapi itu tidak memberi kesan kepada badannya. Saya seperti terkedu dan berasa alangkah baiknya jika berusia 18 tahun," katanya.


Shanshan, 24, yang menjuarai LPGA Klasik Reignwood di China minggu lalu berkata, kejayaan Lexi pasti menjadi suatu pencapaian besar buat pemain AS itu terutamanya pemain remaja yang bertukar kepada pro lebih pada usia amat muda.

"Menjadi pemain pro pada usia amat muda dan menjadi juara pada usia belasan tahun sememangnya hebat.


"Sebagai remaja, dia sendiri sibuk menghadiri kelas dan apabila keluar menyertai kejohanan terutamanya pemain AS, kerana menjadi pro pada usia muda, biasanya hanya dilakukan pemain Asia pada 17 dan 18 tahun.


"Saya rasa apa yang dicapainya ini amat baik kerana sekarang, kita memiliki lebih ramai pemain muda Amerika dalam Jelajah kerana ini adalah kejohanan berstatus Jelajah Amerika, sudah tentu kita mahukan lebih ramai pemain Amerika," kata Shanshan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

Michelle fokus permainan sendiri

Posted: 13 Oct 2013 10:05 AM PDT

Kuala Lumpur: "Satu perkara yang saya pelajari pada kejohanan ini mengenai golf adalah tidak kira dengan siapapun kita beraksi, akhirnya fokus permainan sendiri yang lebih penting kerana banyak aspek akan memberi kesan jika gagal fokus," kata Michelle Koh, pemain golf negara yang menerima anugerah Pemain Amatur Terbaik LPGA Malaysia di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) semalam.

Pemain berusia 23 tahun yang baru berkira-kira menjadi profesional tahun depan, bukan hanya muncul pemain amatur terbaik kejohanan, malah menjadi pemain terbaik tempatan dan lebih manis, dia menamatkan kejohanan empat pusingan itu di depan bekas pemain nombor satu dunia, Yani Tseng dari Taiwan.

Sementara Yani menamatkan saingan di kedudukan ke-66, enam pukulan di belakang Michelle.

Pada aksi hari terakhir semalam, Michelle mencatat tiga atas par 74, membolehkannya mengumpul keseluruhan 10 atas par 294 dan menamatkan saingan di kedudukan ke-60.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

Tuah penalti

Posted: 13 Oct 2013 10:02 AM PDT

Gambang: Mereka mungkin gagal muncul juara dalam tempoh 70 minit namun SMK Mutiara Impian dari Pulau Pinang tetap berpuas hati apabila muncul juara Piala Liga Menteri Pendidikan (MELC) selepas menewaskan Sekolah Sukan Gambang pada perlawanan akhir, kelmarin.

Selepas permainan masa sebenar tamat dengan keputusan 1-1 diikuti 3-3 selepas masa tambahan, kedua-dua pasukan terpaksa mengharungi penalti yang akhirnya memihak SMK Mutiara Impian dengan keputusan 11-10 sekali gus muncul juara buat kali pertama sejak pertandingan itu diperkenalkan pada 2008.


"Kami berjuang hingga wisel penamat. Tahun lalu kami tewas menerusi masa tambahan dan kali ini, kami menang menerusi penentuan penalti." kata jurulatih SMK Mutiara Impian, Muhd Rakhi Mat Saad.

Sekolah Sukan Gambang pula mempunyai alasan untuk tersenyum lebar apabila pemain bawah 13 tahun yang mereka turunkan pada kejohanan itu berjaya menyaingi pemain lain yang lebih tua kerana pertandingan itu dikhaskan untuk skuad bawah 14 tahun.


Kelincahan dimiliki pemain mereka, Muhammad Izreen Mohd Zulkifle yang kerap membuat hantaran lintang menyaksikan rakan sepasukannya, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak berjaya menjaringkan gol pada minit ke-10.


Mutiara Impian menyamakan kedudukan melalui jaringan Muhamaad Husnul Isral Amran pada minit ke-67 memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

Muhammad Hadi sekali lagi meletakkan Gambang di depan sebaik masa tambahan dimulakan sebelum Muhammad Azmeer Aris Nor Rashid mengikat kedudukan untuk Mutiara Impian.


Muhammad Hadi melengkapkan hatrik di babak kedua masa tambahan pada minit ke-81 tetapi Muhammad Husnul mengheret perlawanan ke penentuan penalti menerusi gol pada minit ke-87.

Kedudukan terikat 5-5 selepas lima sepakan, memaksa pengadil mengarahkan penalti sudden death dan kegagalan pemain Gambang, Muhammad Hadi membenarkan Muhammad Fitri Adha menjaringkan gol kemenangan dengan keputusan 11-10.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

PKNS MTB tak patah semangat

Posted: 13 Oct 2013 10:01 AM PDT

Marang: Kegagalan menaiki podium pada Sirkit 3 Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di Bukit Mawi, minggu lalu tidak mematahkan semangat pelumba PKNS MTB, sebaliknya kelab dari Selangor itu bakal tampil dengan lebih bertenaga pada sirkit keempat nanti.

Kapten PKNS MTB Md Zamzuri Abdul Kadir, 42, berkata walaupun hasrat untuk memperbaiki catatan di trek Bukit Mawi dalam kategori Terbuka Metro (Jamboree) dan kategori Veteran Cross Country Olympic (XCO) Race tidak tercapai, matlamat itu tidak pernah pudar.


"Ketika saingan di Kellie's Castle, Perak dua pelumba remaja berjaya menaiki podium selepas menduduki tempat kelapan dan kesembilan, namun di Bukit Mawi prestasi pelumba sedikit hampa kerana gagal meraih gelaran.

"Namun, kami tidak menyalahkan pelumba kerana mereka sudah berusaha yang terbaik, keadaan trek yang mencabar berbanding dua sirkit terdahulu mungkin antara faktor pelumba gagal mengukir kemenangan.


"Bagaimanapun, pada sirkit keempat nanti, kami tidak akan lepaskan peluang untuk terus sertai Harian Metro MTB ini kerana penganjuran MTB itu antara yang terbaik pernah kelab sertai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

No comments:

Post a Comment