Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Gara-gara curang

Posted: 08 Oct 2013 08:36 AM PDT

Hong Kong: Seorang wanita China ditahan kerana memaksa teman lelakinya berlutut di jalan raya sebelum menampar muka lelaki itu berulang kali.

Lelaki berusia 23 tahun yang dikenali sebagai Chui itu dituduh bermain kayu tiga apabila membawa pulang seorang wanita lain ke flatnya di Hong Kong.


Selepas teman wanitanya mengheret Chui ke jalan raya dan mula bertindak kasar, jiran tetangga berkumpul dan merakam adegan itu yang kemudian dimuat naik ke YouTube.

Wanita berusia 20 tahun bernama Cheng itu kemudian ditahan kerana disyaki melakukan kekerasan, manakala mangsa dikejarkan ke hospital.


Kejadian itu berlaku Jumaat lalu di kawasan Kowloon City selepas Chui membawa pulang seorang wanita ke flatnya walaupun dia berpacaran dengan Cheng.


Cheng memaksa Chui berlutut di kaki lima sambil diperhatikan jiran tetangga dan menuduhnya curang. Wanita yang mengikut Chui pulang turut berdiri di sisi mangsa ketika pasangan itu bertengkar.

Foto

ADEGAN Chui ditampar oleh Cheng sambil diperhatikan seorang lagi wanita yang mengikut lelaki itu pulang.

Bagaimanapun, Chui menegaskan dia tidak mengajak wanita terbabit pulang dan meminta kekasihnya itu mendengar dulu apa yang hendak dikatakannya.


"Dengar dulu apa yang hendak saya katakan sebelum kamu memukul saya," katanya.

Cheng yang berang kemudian mula menampar muka Chui hingga lelaki itu menjerit. "Kamu mempermainkan saya!" jerit Cheng.


Dia juga menggesa wanita yang berdiri di sisinya itu agar menjelaskan perkara yang sebenar. Kejadian itu dirakam seorang jiran yang mendesak supaya Chui memutuskan hubungan dengan Cheng dan tidak puas hati kerana mangsa tidak melawan kembali.


Jiran lain mula campur tangan tetapi dipintas Cheng yang menjerit agar mereka menjaga hal sendiri.


Kebanyakan saksi memihak kepada Chui dan seorang wanita berkata: "Berdirilah cepat, tolak perempuan yang berperangai buruk ini, kamu layak dapatkan wanita lebih baik." Seorang jiran menghubungi polis yang kemudian menahan Cheng.


Jurucakap polis memberitahu akhbar South China Morning Post yang mereka menerima panggilan telefon kira-kira jam 5.10 petang pada 4 Oktober lalu dari Kowloon City.


Selepas video insiden itu dimuat turun, ia berjaya menarik lebih 700,000 pengunjung dalam tempoh kurang dari tiga hari.


Polis yang tiba di tempat kejadian kemudian menahan Cheng sebelum menghubungi ambulans untuk membawa Chui ke hospital untuk rawatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/09

Rain adakan konsert di Jepun

Posted: 08 Oct 2013 08:24 AM PDT

Seoul: Ikon pop Korea Selatan, Rain akan mengunjungi Jepun bulan depan untuk konsert jelajah pertamanya selepas dia selesai menjalani khidmat ketenteraan.

Agensi pengurusan artis itu Cube DC semalam berkata, konsert 2013 Rain Zepp Tour: Story of Rain akan bermula di Nagoya pada 14 dan 15 November depan. Konsert itu yang menandakan ulang tahun ke-11 Rain menceburi bidang nanyian juga akan membawanya ke Fukuoka, Osaka dan Tokyo.


Bintang K-pop berusia 31 tahun itu selesai menjalani latihan khidmat ketenteraan selama 21 bulan Julai lalu.

Rain atau nama sebenarnya Jung Ji-Hoon ialah satu daripada nama besar dalam dunia K-pop yang mempunyai jutaan pengikut di Korea Selatan dan Asia. Pada Januari lalu, rain ditahan di berek selama seminggu kerana menyelinap keluar untuk bertemu bintang drama televsiyen Kim Tae-Hee ketika dalam tugasan rasmi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/09

Wanita lahir anak di taman

Posted: 08 Oct 2013 08:24 AM PDT

Oaxaca (Mexico): Seorang wanita melahirkan anak seorang diri di sebuah taman dekat luar sebuah klinik umum di Mexico.

Laporan mengenai wanita daripada suku Orang Asli itu mencetuskan kemarahan di media sosial. Foto yang diterbitkan di akhbar dan media sosial menunjukkan Irma Lopez, 28, berlutut sambil menangis di taman bersama seorang bayi yang masih bertali pusat di luar pusat kesihatan awam di Oaxaca.


Kejadian berkenaan mencetuskan kemarahan rakyat di rangkaian laman media sosial.

Mereka mengecam perkhidmatan pusat kesihatan yang berkualiti dan diskriminasi terhadap Orang Asli di negara itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/09

Separuh pandu bas tanpa lesen

Posted: 08 Oct 2013 08:23 AM PDT

Jakarta: Hampir separuh daripada 28,000 pemandu pengangkutan awam di Jakarta sama ada tidak memiliki lesen memandu atau terlalu muda untuk memandu.

"Pemantauan kami menunjukkan kebanyakan pemandu terutama pada waktu malam masih di bawah umur.

"Malah, kadangkala mereka juga mabuk," kata Pengerusi Majlis Pengangkutan Jakarta, Azis Tigornya dalam wawancara dengan stesen televisyen BeritaSatu, semalam.

Beliau menggesa pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas ke atas mereka.


"Saya mahu polis menjalankan operasi besar-besaran terhadap kenderaan pengangkutan awam bagi menahan mereka yang tidak memiliki lesen memandu dan pemandu di bawah umur.


"Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana mereka membahayakan penumpang dan pengguna jalan raya lain," katanya dalam satu kenyataan.

Azis juga memberi amaran, Agensi Pengangkutan Jakarta akan membekukan permit pengangkutan awam dan menyita kenderaan yang menggunakan khidmat pemandu tanpa lesen.

Sementara itu, Ketua Agensi Pengangkutan Jakarta, Udar Pristono mengesahkan, ramai pemandu pengangkutan awam Jakarta tidak mempunyai lesen memandu, tetapi berkata, pihaknya sentiasa memantau amalan itu.

Udar berkata, bagaimanapun, serbuan yang dilakukan tidak berkesan dan satu-satunya cara untuk menghentikan masalah itu ialah dengan meminta kerjasama pemilik bas menggunakan khidmat pemandu yang layak saja. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/09

Ketua hakim bersih dari dadah

Posted: 08 Oct 2013 08:22 AM PDT

Jakarta: Ujian dadah terhadap bekas ketua hakim mahkamah perlembagaan, Akil Mochtar semalam menunjukkan keputusan negatif.

Pegawai kanan Agensi Dadah Nasional (BNN), Anang Iskandar mengumumkan keputusan ujian itu kepada wartawan semalam.


Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat bekas ketua hakim berkenaan yang ditangkap minggu lalu ketika menerima rasuah.

Sementara itu, jurucakap BNN, Sumirat Dwiyanto berkata, ujian ke atas rambut Akil juga menunjukkan dia bersih daripada dadah.


Akil ditahan 2 Oktober lalu oleh Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK).


Pegawai penguatkuasa KPK yang memeriksa pejabatnya menemui dua pil methamphetamine dan empat kapsul ganja BNN berkata, tidak dapat dipastikan sama ada dadah berkenaan milik Akil atau sebaliknya.

"Jika ia ditemui pada tubuhnya sudah pasti ia adalah miliknya," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/09

Tak benar bawa kenderaan berusia lebih 10 tahun

Posted: 08 Oct 2013 08:22 AM PDT

Bangkok: Polis bandar raya ini akan mengemukakan cadangan untuk untuk mengharamkan kenderaan melebihi 10 tahun daipada menggunakan jalan raya di bandar raya ini.

Ia sebahagian daripada rancangan bagi memperbaiki pengaliran trafik kecuali pemandunya.

Menurut cadangan itu, kenderaan itu boleh memasuki bandar raya Bangkok sekiranya pemiliknya membayar cukai sama seperti kenderaan baru.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Metropolitan, Mejar Jeneral Adul Narongsak berkata polis bandar raya itu akan mencadangkan Kementerian Pengangkutan mewujudkan undang-undang larangan sedemikian.


"Kereta yang dibenarkan dipandu di Bangkok perlu berusia tidak melebihi 10 tahun.


"Semua kereta berusia lebih 10 tahun hanya boleh digunakan di luar Bangkok," katanya dalam satu kenyataan.

Buat masa ini, kereta berusia tujuh tahun dan lebih mendapat 50 peratus pengurangan bayaran cukai jalan berbanding kereta baru.

Idea melarang kereta lama itu adalah sebahagian daripada 16 rancangan yang dicadangkan Polis Metropolitan bagi menangani masalah kesesakan di Bangkok tahun depan.

Kaedah lain termasuk menubuhkan mahkamah trafik di ibu negara Thailand itu, memodenkan peralatan lama di pusat kawasan trafik dan mengatur semula waktu persekolahan dan waktu bekerja. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/09

Aburizal yakin Golkar menang pilihan raya

Posted: 08 Oct 2013 08:21 AM PDT

Jakarta: Pengerusi Parti Golkar Aburizal Bakrie masih berharap partinya akan meraih 30 peratus undian dalam pilihan raya tahun depan walaupun ahli Parlimennya ditahan minggu lalu dalam skandal rasuah terbesar Indonesia.

Aburizal mengumumkan sasaran pilihan raya itu semalam dalam satu acara bersama ahli Parlimen partinya di Medan, Sumatera Utara. Sasaran 30 peratus itu dianggap tinggi berbanding 20 peratus sebelum ini yang diramal Agung Laksono, Timbalan Pengerusi Golkar dan anggaran 14 hingga 19 peratus yang dicatat dalam pelbagai pungutan pendapat.


Aburizal yang menjadi calon presiden dari Golkar bagi pilihan raya 2014 berkata, dia menaruh harapan terhadap peratusan tinggi berdasarkan maklum balas positif rakyat terhadap kehadiran Golkar dan peranannya dalam masyarakat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/09

Ancam cuba bunuh lagi

Posted: 08 Oct 2013 08:21 AM PDT

New York: Pengganas Taliban yang menembak Malala Yousaafzai mengancam untuk cuba membunuh pelajar itu lagi jika berpeluang berbuat demikian.

Malala, 16, terselamat selepas ditembak di atas bas sekolah tahun lalu di Lembah Swat selepas mencetuskan kemarahan kumpulan itu menerusi kempennya yang lantang dan berani agar kanak-kanak perempuan diberi pendidikan.


Namun, jurucakap Taliban Shahidullah Shahid kelmarin berkata, remaja terbabit masih menjadi sasaran selepas menerbitkan buku mengenai pengalaman pahit yang dilaluinya itu.

Menurut Shahidullah, Malala bukan remaja perempuan yang berani dan tiada ketabahan. "Dia masih menjadi sasaran kami dan jika berpeluang membunuhnya maka kami akan rasa berbangga kerana dia menyerang Islam.


"Islam melarang membunuh wanita kecuali mereka yang menyokong kekufuran dan mencetuskan perang terhadap agama kami," katanya.


Malala ditembak di kepala berhampiran dengan mata kiri Oktober tahun lalu selepas dia menyeru agar kanak-kanak perempuan diberi pendidikan ekoran pengharaman Taliban yang melarang golongan itu pergi ke sekolah di tempat tinggal mereka di Pakistan.

Walaupun menerima ancaman serangan asid dan penderaan terhadap kanak-kanak perempuan yang ke sekolah, Malala tetap ingkar dan berazam untuk meneruskan persekolahannya. Dengan sokongan bapanya, Ziauddin, Malala menulis diari secara maya dan melakukan wawancara dengan wartawan bagi menggalakkan kanak-kanak perempuan mendapatkan pendidikan menyebabkan dia menjadi sasaran. Buku autobiografinya 'I Am Malala' mengisahkan lelaki bersenjata yang melepaskan tiga das tembakan ke arahnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/09

Populasi Muslim bakal tembus 70%

Posted: 08 Oct 2013 08:19 AM PDT

Dubai: Populasi umat Islam akan capai 70 peratus jumlah penduduk dunia dalam masa 30 tahun akan datang.

Penambahan penganut Islam itu disifatkan sebagai yang paling pantas di dunia.


Perkara itu nyatakan oleh Pengarah Urusan Thomson Reuters untuk Asia Barat dan Afrika Utara, Russel Haworth sebagaimana dipetik daripada laman web 24/7emirates.com.

Menurutnya, peningkatan itu juga didorong oleh kenaikan aset industri perbankan syariah yang dijangka mencapai dua trilion dolar pada 2014, pertumbuhan 19 peratus sejak empat tahun lalu. Pada 2011, jumlahnya mencecah 1.3 trilion.


Bagi industri halal, jumlah sumbangannya sudah mencapai 12 peratus dengan nilai 685 bilion dolar setahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/09

4 juta rakyat Syria terpaksa pindah akibat perang saudara

Posted: 08 Oct 2013 08:19 AM PDT

Geneva: Empat juta lagi rakyat Syria dijangka terpaksa meninggalkan kediaman mereka pada 2014 berikutan konflik perang saudara yang kian meningkat seperti mana diramal PBB.

Dua juta akan meninggalkan Syria sebagai pelarian, manakala 2.25 juta terpaksa berpindah dari kediaman mereka ke tempat lain di negara itu, menurut dokumen PBB kelmarin.

Konflik itu sudah pun memaksa lebih dua juta rakyat Syria melarikan diri setakat ini.

Anggaran sedia ada menyatakan kira-kira 3.2 juta rakyat Syria akan menjadi pelarian pada akhir tahun ini sebagaimana yang dikatakan Antonio Guterres, Pesuruhjaya PBB untuk Pelarian yang disifatkan sebagai "malapetaka kemanusiaan yang mengaibkan".


Ramalan itu dibuat ekoran pertemuan antara organisasi kemanusiaan dan pejabat Penyelaras untuk Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) di Amman bulan lalu.


OCHA berkata, dalam pertemuan itu, "peningkatan konflik perang saudara yang menyebabkan perkhidmatan utama terjejas dan mekanisme sokongan menjadi lemah" adalah senario paling ketara pada 2014 dan memberi amaran mengenai peningkatan ancaman terhadap aktivis kemanusiaan.

PBB menganggarkan 8.3 bilion rakyat Syria bakal memerlukan bantuan tahun depan, meruncingkan lagi keadaan sumber yang semakin berkurangan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/09

No comments:

Post a Comment