Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Madonna belajar al-Quran

Posted: 05 Oct 2013 11:02 AM PDT

Los Angeles: Ikon pop AS, Madonna semalam mendedahkan dia sedang mempelajari Al-Quran.

"Adalah penting mempelajari semua kitab suci penganut agama lain," kata penyanyi berusia 55 tahun itu kepada edisi terbaru majalah Harper Bazaar.

"Seperti kata sahabat saya Yaman, seorang penganut Islam yang baik adalah juga Yahudi yang baik dan Yahudi yang baik adalah juga penganut Kristian yang baik dan seterusnya. Saya amat bersetuju dengannya," kata Madonna.

Foto

GAMBAR Madonna menghiasi majalah Harper Bazaar edisi November.

Dalam wawancara itu, Maddona mengaku pernah diperkosa dengan pisau diacu pada belakangnya ketika terkial-kial menempa nama sebagai artis di New York.

Selain diperkosa, apartmen didiaminya turut diceroboh tiga kali dan berkata dia sentiasa dalam ketakutan sebelum muncul sebagai penyanyi dan penari tersohor.

Dalam artikel itu, Madonna mengimbau kenangannya ketika di Britain. Dia berkahwin dengan pengarah Guy Ritchie dan tertarik dengan kehidupan dan pandangan desa di situ.

"Kehidupan di New York bukan seperti apa yang saya impikan. Kedatangan saya di situ tidak diterima dengan tangan terbuka," kata penyanyi itu.

Madonna pernah menjadi model bogel untuk kelas lukisan. Kami duduk bertentangan dan saling berpandangan.

"Ketika pertama kali diperkosa, saya diseret ke atas bumbung rumah sambil lelaki itu mengacu pisau di belakang badan.

"Tiga kali apartmen saya dipecah masuk. Saya tidak tahu mengapa. Tiada barang berharga pun di situ. Kali pertama mereka cuma mengambil radio.

"Saya sentiasa dalam ketakutan dan tidak selesa dengan bau kencing dan muntah terutama pintu masuk tangga ke apartmen saya," kata penyanyi itu.

Namun penyanyi itu kagum dengan kehebatan bangunan tinggi dan keluasan New York.

"Kesesakan laluan pejalan kaki, bunyi bising trafik dan kesibukan warga kotanya memberi kejutan kepada urat saraf.

"Saya seperti berada dalam dunia asing. Saya seperti pahlawan yang merempuh musuh untuk hidup. Saya rasa kembali hidup dan bertenaga," katanya dalam temu bual berkenaan.

Dalam temu bual itu, Madonna juga mengimbau kenangannya menjadi bintang dalam seawal usia 20-an, menganut Kabbalah dalam usia 30-an sebelum berkahwin dengan Ritchie dan berpindah ke Britain pada usia 45 tahun. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

Lelaki AS potong mayat isteri mati dalam tahanan

Posted: 05 Oct 2013 10:59 AM PDT

Los Angeles: Seorang lelaki Amerika Syarikat yang didakwa memotong isterinya mati dalam tahanan ketika menunggu perbicaraan.

Frederick Hengl, 69, yang menghidap kanser prostat meninggal dunia di unit perubatan Penjara Pusat San Diego, kata jurucakap Pejabat Kesihatan penjara itu, semalam.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tidak berperikemanusian terhadap isterinya Anna Faris yang menghidap Alheizmer.

Polis yang mengadakan siasatan di rumah pasangan itu selepas menerima aduan jiran mengenai bau busuk pada 16 November tahun lalu, menemui cebisan daging yang dimasak atas dapur.


Hengl dalam proses memotong tubuh isterinya ketika kediamannya diserbu.

Kepala mangsa ditemui dalam peti ais. Pisau pemotong, dan gergaji ditemui dalam bilik air berdekatan. Satu guni berisi anggota manusia turut ditemui.

Jiran berkata, mereka tidak nampak kelibat mangsa lebih sebulan dan mendengar bunyi kuat alat gergaji dipasang dari rumah pasangan berkenaan.

Peguam tertuduh, Debby Kirkwood berkata, tertuduh tidak bersemangat meneruskan hidup selepas kematian pasangannnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

Tukang paip gugur kandungan

Posted: 05 Oct 2013 10:59 AM PDT

Dubai: Seorang wanita Asia ditemui mati di sebuah flat di Dubai selepas cubaan menggugurkan kandungannya oleh tukang paip gagal.

Polis mengklasifikan kematian wanita itu ada kaitan sindiket kumpulan pelacuran. Tiga suspek, termasuk seorang tukang paip ditahan.

Mangsa berusia 20-an ditemui dengan kesan suntikan dadah lima hari selepas cubaan menggugurkan kandungannya gagal.

Polis memberitahu terpaksa memecahkan pintu apartmen di kawasan Rafaa selepas menerima panggilan penjaga keselamatan mengenai bau busuk dari kediaman itu.


"Koroner mengesahkan mangsa mati sejak lima hari lalu. Kami dapati apartmen berkenaan disewa sindiket untuk kegiatan pelacuran," kata Ketua Polis Jenayah Dubai, Khalil Al Mansouri. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

Akil miliki ganja

Posted: 05 Oct 2013 10:58 AM PDT

Jakarta: Ketua hakim Indonesia yang ditahan minggu ini kerana didakwa menerima suapan AS$300,000 (RM953,940) mungkin berdepan tuduhan memiliki dadah selepas bahan larangan itu ditemui di pejabatnya.

Pihak berkuasa berkata, penahanan Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan Akil Mochtar Rabu lalu dibuat ekoran tangkapan pegawai tinggi bekalan tenaga negara itu Ogos lalu dan beberapa siri kes rasuah berkait dengan Parti Demokratik pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. "Ketika memeriksa pejabat ketua hakim berkenaan, pihak berkuasa menemui dadah," kata jurucakap Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK), Johan Budi dalam sidang akhbar semalam. Satu sumber yang tidak mahu dikenali di KPK berkata, pegawai agensi berkenaan menemui ganja tetapi jumlahnya tidak dapat dipastikan.


Akhbar Jakarta Globe semalam melaporkan yang hakim terbabit menampar muka seorang wartawan tempatan selepas dia ditanya sama ada sudah bersedia jika jarinya dipotong kerana menerima rasuah.

Soalan wartawan itu berhubung dengan kenyataan Akil sebelum ini yang menyatakan mereka yang dituduh terbabit dalam kes rasuah patut dipotong jarinya.


Akil disyaki menerima rasuah dalam dua kes pilihan raya kecil di Kalimantan dan Pulau Jawa, kata Johan.


KPK memberikan kuasa luar biasa bagi menyiasat golongan kaya dan berpengaruh di Indonesia yang menduduki tangga ke-118 dalam senarai negara yang paling banyak mengamalkan rasuah di dunia daripada 176 negara yang disediakan Transparency International. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

Susilo gesa anggota TNI bersikap adil, profesional

Posted: 05 Oct 2013 10:57 AM PDT

Jakarta: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengingatkan Tentera Indonesia (TNI) mengenai tanggungjawab mereka supaya bersikap adil dan profesional sepanjang pilihan raya tahun depan.

"Hasil pembaharuan dalaman TNI perlu ditunjukkan ketika pilihan raya tahun depan. "Tolong pastikan keutamaan tentera sebaris dengan kepentingan negara," katanya dalam satu majlis meraikan ulang tahun TNI ke-68 di pangkalan tentera udara Halim Perdanakusuma di Jakarta. Susilo berkata, pembaharuan dalaman TNI yang diperkenal pada 1998 sudah pun menunjukkan hasil yang amat ketara.


"Kita sudah selesai dengan agenda pembaharuan TNI. Sejak 1998, TNI konsisten menjalankan pembaharuannya. Saya berterima kasih kepada semua anggota TNI dan keluarga mereka kerana menyelesaikan proses pembaharuan yang panjang," katanya dalam majlis berkenaan.

Susilo menegaskan keputusan pembaharuan dalaman tentera perlu dilaksanakan dalam pelbagai aspek kehidupan di negara itu, termasuk pengurusan perundangan dan pilihan raya presiden. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

100 terbunuh menjelang pilihan raya Filipina

Posted: 05 Oct 2013 10:57 AM PDT

Manila: Hampir 100 pegawai desa dan pemimpin berpotensi maut menjelang pilihan raya pada 28 Oktober ini.

Polis Kebangsaan Filipina (PNP) berkata, dengan tinggal 24 hari lagi sebelum rakyat Filipina keluar mengundi, keganasan berhubung pilihan raya dijangka mencapai tahap maksimum walaupun PNP minggu lalu mengeluarkan arahan melarang orang awam, polis dan anggota tentera yang bertugas membawa senjata api.

Ketua Pengarah PNP, Jeneral Alan Purisima berkata, antara langkah keselamatan yang diambil ialah pelaksanaan ketat larangan senjata api, di samping pengaktifan pusat pemeriksaan kekal dan mudah alih.

Pegawai tinggi polis itu berkata, PNP bekerjasama rapat dengan tentera bagi menghalang sebarang cubaan kumpulan komunis, Tentera Rakyat Baru, mengeksploitasi pilihan raya dengan menuntut wang daripada calon.


Menurut rekod PNP, sejak 1 Januari hingga 22 September lalu, 96 pegawai desa dan calon berpotensi terbunuh dalam 177 insiden, manakala 41 yang lain cedera.

Pihak berkuasa berkata, antara punca keganasan yang berlaku ialah persaingan politik yang tercetus antara calon. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

Gesa kongres tamat krisis

Posted: 05 Oct 2013 10:56 AM PDT

Bali: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry semalam menggesa Kongres menamatkan krisis yang menyebabkan operasi kerajaan terhenti.

Beliau merayu mendesak mereka berfikir panjang dan mendalam mengenai kesan yang akan menimpa negara itu dan juga seluruh dunia.

Kerry berkata demikian ketika berada di Bali untuk menghadiri persidangan ekonomi bersama pemimpin Asia.

Presiden Barack Obama yang dijadual hadir membatalkan hasratnya kerana mahu berada di Washington bagi menangani krisis berkenaan yang menyebabkan sebahagian daripada operasi kerajaan terhenti buat hari kelima.


Dia menggesa agar anggota Kongres yang keras kepala "menamatkan isu itu sekarang, mengakhirinya hari ini."


Di samping itu, Kerry turut berikrar yang Amerika Syarikat akan terus memenuhi tanggungjawab sepanjang tempoh krisis berkenaan yang melumpuhkan sebahagian besar operasi kerajaan persekutuan dan mendorong ribuan penjawat awam tidak hadir ke pejabat.

"Kepada semua rakan dan seteru kami di seluruh dunia: Usah salah anggap dengan episod dalam politik Amerika ini dengan sesuatu yang lain kecuali hanya satu detik politik," katanya dalam persidangan berkenaan, semalam.

Namun, dia menyebut yang bantuan keselamatan kepada sekutu kritikal seperti Israel mungkin terjejas dan Pejabat Jabatan Perbendaharaan yang memantau sekatan terhadap negara seperti Iran dipaksa memberi cuti kepada hampir semua kakitangannya.

Kerry menegaskan yang dia percaya penutupan itu bukan untuk tempoh jangka panjang.

Di samping itu, Kerry menolak dakwaan mengatakan penutupan berkenaan dan pembatalan Obama ke persidangan di Bali itu adalah satu tanda "kelemahan."

"Saya tidak percaya ada orang yang yakin ini adalah satu kelemahan.

"Tiada seorang pemimpin pun di sini yang tidak akan berbuat demikian jika mereka berdepan dengan masalah dalam negara sendiri," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

Al-Qaeda mahu kuasai zon sempadan Iraq, Turki

Posted: 05 Oct 2013 10:55 AM PDT

Beirut: Kumpulan Al-Qaeda di Syria berjuang untuk mengusir pesaing mereka di kawasan bersempadan dengan Turki dan Iraq dalam usaha menguasai wilayah dari Iraq hingga ke utara Syria.

Beberapa sumber berkata, di bahagian utara dan timur, kumpulan negara Islam Iraq dan Levant (ISIL) mewujudkan pusat pemeriksaan di jalan raya ke sempadan dan membuka pangkalan tentera bagi menewaskan kumpulan penentang lain yang berjuang untuk menggulingkan Presiden Bashar al-Assad.


Menurut sumber, ISIL mengambil sumber asli dan menguasai jalan raya menggunakan kekejaman dengan tujuan memaksa populasi di situ berpindah. Penganalisis dan aktivis di kawasan itu turut mengesahkan taktik berkenaan.

"ISIL bertindak menggunakan kekerasan dalam usaha menyertai konflik pelbagai dimensi yang kompleks di utara dan timur Syria," kata Charles Lister dari pusat Keganasan dan Pemberontak IHS Jane. Malah, kumpulan jihad itu turut memantau strategi di forum Internet, menuduh kumpulan disokong Barat, termasuk Ahfad al-Rasul dan Briged Ribut Utara seperti Sahwa, dibiayai AS bagi menentang al-Qaeda di Iraq. Namun, Lister berkata, ISIL mengguna pakai "strategi yang dirasa dapat memperoleh dan mengukuhkan kuasa di wilayah Syria yang bersempadan dengan Iraq dan Turki", sejak ia mula campur tangan dalam konflik di Syria lewat musim bunga lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

Empat maut dalam demonstrasi Ikhwanul Muslimin

Posted: 05 Oct 2013 10:55 AM PDT

Kaherah: Empat orang maut dalam pertempuran yang tercetus di bandar raya ini kelmarin apabila penyokong Ikhwanul Muslimin melakukan demonstrasi membantah tentera yang menggulingkan Presiden Mohamed Mursi.

Pergaduhan turut tercetus selepas solat Jumaat di Iskandariah dan wilayah Assiut di Mesir apabila penyokong Mursi memenuhi jalan raya membuat bantahan terhadap rampasan kuasa pada 3 Julai lalu dan penangkapan pemimpin Ikhwan, lapor media kerajaan dan media.


"Empat orang terbunuh di Kaherah. Mangsa yang mati tidak termasuk anggota polis atau pasukan keselamatan," kata ketua perkhidmatan kecemasan Mesir, Khaled al-Khatib kepada media.

Ketua perkhidmatan ambulans Mesir, Ahmed al-Ansari mengesahkan jumlah kematian di Kaherah itu dan berkata, 45 lagi cedera dalam keganasan yang tercetus di seluruh negara itu. Bantahan itu dianjurkan kumpulan Gabungan Anti-Rampasan Kuasa yang diketuai oleh Ikhwan sebagai penentangan terhadap tindakan keras kerajaan baru disokong tentera kira-kira 2,000 anggota Ikhwan dipenjarakan.


Kaherah menyaksikan pertempuran paling buruk Ogos lalu apabila penyokong Mursi bertempur dengan pasukan keselamatan dan penentang presiden itu berhampiran Dataran Tahrir, pusat revolusi 2011 yang menyingkirkan pemimpin diktator Hosni Mubarak. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

Tentera asing gagal bunuh komander Al-Shabab

Posted: 05 Oct 2013 10:54 AM PDT

Mogadishu: Sekumpulan tentera khas asing dengan helikopter penyerang melancarkan serangan pada waktu malam terhadap pangkalan utama kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda di Somalia, Al-Shabab.

Bagaimanapun, kumpulan itu mendakwa serangan itu berjaya dipatahkan. "Musuh Allah cuba mengejutkan komander mujahidin dengan serangan waktu malam menggunakan helikopter tentera, tetapi mereka diberi pelajaran dan serangan itu gagal," kata komander Al-Shabab, Mohamed Abu Sulaimen. Saksi berkata, pasukan komando dipercayai dari negara Barat turun dari helikopter ketika cuba menyerang sebuah kediaman milik komander kanan Al-Shabab.


"Pejuang mujahidin kami yang berada dalam kediaman itu menyerang balas dan mereka melarikan diri," kata Abu Suleiman.

Saksi melaporkan terdengar bunyi tembakan bertalu-talu ketika helikopter itu berlegar di ruang udara.


"Saya terjaga apabila mendengar bunyi helikopter di kawasan kejiranan kami dan beberapa minit kemudian terdapat bunyi tembakan selama 10 hingga 15 minit," kata seorang penduduk tempatan.


"Kami tidak tahu apa sebenarnya berlaku, tetapi ia seolah-olah satu serangan terancang mensasarkan kediaman yang menjadi tempat tinggal komander Al-Shabab. Militan Al-Shabab yang menguasai sebahagian besar kawasan pedalaman di selatan Somalia mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan pusat beli-belah Westgate di Kenya yang menyebabkan 67 orang maut baru-baru ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

No comments:

Post a Comment