Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Amukan berdarah

Posted: 02 Oct 2013 02:34 PM PDT

Shah Alam: Pelanggan sebuah restoran di Jalan Kristal, Seksyen 7, di sini gempar sebaik melihat kelibat seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah ditetak tiba-tiba rebah di kawasan berhampiran kaunter malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa berusia 41 tahun cedera di beberapa bahagian badan termasuk leher, bahu, tangan dan jari selepas ditetak seorang lelaki yang juga rakan serumahnya.

Beberapa minit sebelum ditemui rebah, mangsa dikatakan ditetak di rumah sewanya yang terletak di bahagian atas restoran berkenaan.

Selepas ditetak, mangsa terus melarikan diri dan cuba mendapatkan pertolongan orang ramai yang berada di restoran berkenaan sebelum rebah di depan kaunter kerana kecederaan parah di leher.

Foto

UNIT Forensik menjalakan siasatan di tempat kejadian.

Foto

KESAN darah pada pintu masuk restoran.


Sumber berkata, terkejut dengan kehadiran mangsa yang dipenuhi darah, pelanggan restoran berkenaan segera memberikan bantuan kecemasan dan menghubungi polis.


"Tidak lama selepas itu, seorang lelaki berusia 46 tahun muncul di restoran berkenaan sambil membawa parang yang digunakan untuk menetak mangsa sebelum dia ditahan orang ramai dan diserahkan kepada polis," katanya.

Difahamkan, mangsa dan lelaki berkenaan rakan serumah sejak setahun lalu.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa mangsa selepas dimaklumkan orang ramai yang berada di restoran berkenaan kira-kira jam 12 tengah malam.

Menurutnya, sebelum tiba di restoran berkenaan, dia ada menghubungi mangsa namun panggilannya tidak berjawab walaupun beberapa kali mencuba.

"Saya dan mangsa sering minum bersama di restoran berhampiran. Namun ketika saya menghubunginya untuk mengajak minum, panggilan tidak dijawab.

"Tanpa menyangka sesuatu yang buruk berlaku, saya terus pergi ke restoran berkenaan untuk bertemunya. Alangkah terkejutnya bila mendapati mangsa parah ditetak dan sudah dikejarkan ke hospital," katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Harian Metro difahamkan mangsa kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, dan dilaporkan stabil.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan kejadian itu dan suspek ditahan oleh orang ramai sebelum diserahkan kepada polis bersama sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Suspek berusia 46 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut bagi mengetahui motif kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

Siasat aduan stesen radio persenda Islam

Posted: 02 Oct 2013 02:33 PM PDT

Kuala Lumpur: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) akan menjalankan siasatan lanjut terhadap aduan pendengar sebuah stesen radio berbahasa Inggeris yang dikatakan mempersendakan Islam.

Pengarah Eksekutifnya, Mohd Mustaffa Fazil Mohd Abdan berkata, pendengar terbabit perlu membuat aduan secara bertulis kepada CMCF sama ada menerusi surat, borang aduan menerusi laman sesawang, www.cmcf.my atau emel.


"Pengadu perlu memberikan segala maklumat mengenai aduan yang ingin dibuat. Apabila aduan ini diterima, pihak kami akan terus menyiasat dan menghubungi stesen berkenaan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas mengenai aduan seorang pendengar yang hanya mahu dikenali sebagai Rais yang menghubungi Harian Metro semalam mendakwa DJ bukan Islam stesen radio swasta itu membincangkan topik mengenai Islam, bersama seorang panel jemputan yang juga bukan beragama Islam.


Menurut pendengar itu, pada petang Isnin lalu ketika memandu keretanya, dia tersentuh dengan topik yang dibincangkan penyampai radio dan panel itu yang secara terbuka membincang isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, sedangkan mereka bukan orang yang layak untuk membincangkan perkara berkenaan.


Katanya, dia terpanggil untuk membuat aduan kepada Harian Metro kerana ini bukan kali pertama, DJ radio itu memberikan komen dan membincangkan perkara mengenai Islam secara terbuka, kerana sebelum ini pernah mendengar mengenainya.

"Mereka bukan individu yang layak untuk memberi komen terhadap isu membabitkan agama lain, apatah lagi ia dibincangkan secara terbuka menerusi siaran radio," katanya.


Katanya, tindakan penyampai radio bersama seorang tetamu jemputan di studio ketika itu bersikap tidak adil tanpa menjemput individu layak seperti tokoh agama untuk berbicara lebih lanjut. "Apapun dia (penyampai radio) tidak berhak beri komen sebegitu dibimbangi memberi impak negatif pada pendengar bukan Islam. Jika mahu bincang topik agama, mereka perlu mengundang pakar yang lebih layak," katanya.

Sementara itu, Mohd Mustaffa berkata, pihaknya akan minta penjelasan stesen radio dimaksudkan sebelum mengambil sebarang tindakan.


"CMCF tidak boleh menghukum tanpa siasatan termasuk menyiasat sama ada tetamu jemputan berkelayakan atau tidak untuk memberi komen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

'Kami mangsa keadaan'

Posted: 02 Oct 2013 02:33 PM PDT

Kuala Lumpur: Pemilik tanah di Lot 2829 Mukim Setapak dekat sini, menafikan tindakan mereka menjadi punca kepada kejadian tebing setinggi 200 meter (m) runtuh sehingga membahayakan lebih 300 penduduk di Sungai Chinchin, Gombak.

Wakilnya, Mohd Aris Samsudin, 73, sebaliknya berkata, kejadian itu berlaku disebabkan limpahan air yang luar biasa dari Taman Sri Gombak Town Villa yang terletak di bahagian bukit berikutan hujan lebat dalam tempoh dua minggu lalu. "Kejadian itu menyebabkan air dari kawasan perumahan 'town house' itu mengalir ke tanah kami memandangkan pemaju projek yang gagal menyediakan sistem perparitan dan saliran, sekali gus menyebabkan tanah runtuh berlaku.


"Justeru kami kecewa kerana seperti diugut akan dikenakan tindakan udang-undang sedangkan, masalah itu berpunca daripada pihak lain dan kami hanyalah mangsa keadaan," katanya ketika hadir di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di sini, kelmarin. Mohd Aris yang mewakili pemilik tanah lain di kawasan sama mendakwa, masalah itu tidak akan terjadi jika Majlis Perbandaran Selayang (MPS) tidak menutup mata terhadap enam aduan (antara 2007 hingga 2011) yang dibuat pihaknya termasuk berhubung kegagalan pemaju menyediakan sistem saliran air.

Katanya, pada 2011, MPS meminta pemilik tanah mengeluarkan perbelanjaan RM3 juta bagi membina tebing konkrit kekal sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap masalah itu. "Bagaimanapun, kami tidak mempunyai wang sebanyak itu. Malah, setiap kali berlaku hakisan tanah di tebing itu, kami terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menambaknya," katanya.


Sementara itu, Pegawai Daerah Gombak, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklum balas dari pemilik tanah walaupun Notis 7A sudah dikeluarkan sejak Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

Harap DBKL tidak naik cukai taksiran

Posted: 02 Oct 2013 02:32 PM PDT

Kuala Lumpur: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berharap kadar baru cukai taksiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tahun depan tidak dinaikkan secara mendadak hingga membebankan pemilik hartanah.

Ini berikutan DBKL semalam mengumumkan akan melaksanakan penilaian dan penyelarasan semula cukai taksiran ke atas 500,000 pegangan unit hartanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tahun depan.


Tindakan itu dilaksanakan berikutan DBKL tidak membuat penilaian semula sejak 1992 dan diperlukan berdasarkan beberapa faktor.

Pengarah Komunikasi FOMCA Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, kadar baru itu dibimbangi tinggi berikutan tempoh penilaian semula yang terlalu lama.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

21 murid, guru besar terhidu racun getah

Posted: 02 Oct 2013 02:31 PM PDT

Oleh Mohamad Hussin, Muhammad Saufi Hassan, Omar Osman, Zuliaty Zulkiffli, Maria Uffa Zulkafeli dan Nursyazwana Mansor

Sungai Petani: Seorang guru besar serta 21 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Jeniang, Batu 4, Gurun, terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, selepas mengalami sakit perut, pening dan muntah-muntah akibat terhidu racun yang dipercayai dibawa angin dari tapak semaian anak getah berdekatan sekolah itu semalam.

Dalam kejadian 2 petang, sekumpulan murid terbabit bersama guru besar sekolah itu, Noraini Murad, 50-an, berada di padang bagi menjalankan aktiviti latihan untuk sukan tahunan sekolah dan mereka dipercayai terhidu racun berkenaan sebelum berasa pening dan mula muntah.


Difahamkan, terdapat beberapa pekerja tapak semaian berhampiran sedang menyembur racun anak getah selama hampir tiga jam.

Ia menyebabkan semua murid terbabit termasuk guru besar mengadu sakit perut, muntah dan pening pada kira-kira jam 6 petang sebelum dikejarkan ke Hospital Yan (HY), namun kemudiannya dirujuk ke HSAH untuk tindakan lanjut. Setakat jam 9 malam tadi, hanya guru besar dan tiga pelajarnya ditahan di wad kecemasan HSAH, manakala 18 murid dirawat sebagai pesakit luar. Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah Dr Ismail Abu Taat berkata, kedudukan sekolah yang hampir dengan tapak semaian anak getah itu berkemungkinan menyebabkan mangsa terdedah kepada semburan berkenaan.


Katanya, simptom utama yang dilaporkan adalah pening, muntah dan sakit perut membabitkan pelajar dan guru di sekolah berkenaan. "Berdasarkan maklumat awal yang diterima ia mungkin berpunca daripada semburan bahan beracun dari kawasan tapak semaian anak getah berhampiran sekolah. "Murid dan guru yang dipercayai terhidu bahan berkenaan dilaporkan mengalami pening dan muntah sebelum dikejarkan ke hospital," katanya ketika dihubungi, di sini, malam tadi.


Dr Ismail berkata, setakat ini, pihaknya belum mengenal pasti jenis gas racun yang digunakan tapak semaian berkenaan.

Ibu mangsa, Daharah Din, 44, dari Kampung Batu 5 Jalan Jeniang, berkata, anaknya, Nurafikah Alias, 9, mula berasa pening di sekolah berkenaan sehingga berlarutan di rumah apabila dia muntah sejak jam 6 petang.


"Saya diberitahu oleh Nurafikah bahawa dia rakan dan guru besar sekolah sedang menjalankan latihan sukan di padang sekolah dan ketika itu pekerja di tapak semaian berhampiran menyembur racun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

No comments:

Post a Comment