Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Tak mahu Stadium Shah Alam'

Posted: 07 Oct 2013 10:28 AM PDT

Kuala Lumpur: "Kelebihan akan memihak kepada Kelantan".

Itu reaksi salah seorang pemain senior Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak setuju perubahan stadium yang diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam berbanding Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang menjadi gelanggang tuan rumah Gladiators sepanjang musim ini.

"Bagi pemain, bermain di Shah Alam seolah-olah beraksi di stadium berkecuali yang secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada lawan. Pasti ramai penyokong mereka akan hadir memenuhi stadium.

"Seperti Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV yang menjadi gelanggang keramat mereka, kami juga menganggap Stadium MPS seperti itu. Kami hanya tewas beberapa kali musim ini. Kenapa stadium perlu ditukarkan semata-mata untuk memenuhi permintaan penyokong lawan," katanya.

Foto

AKSI peminat ATM di Stadium MPS.


Presiden Persatuan Bolasepak ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin sebelum ini mengarahkan perbincangan diadakan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai pertukaran stadium selepas menyingkirkan LionsXII di suku akhir kerana dijadual berdepan lawan yang mempunyai penyokong yang ramai.


Stadium MPS dilihat terlalu kecil untuk berlangsungnya pertemuan separuh akhir berkenaan apabila sekadar mempunyai kapasiti 16,000 berbanding Stadium Shah Alam yang mencecah 80,000 penonton.

"Saya turut tidak merasakan aspek keselamatan menjadi masalah jika bermain di Selayang kerana ia boleh ditingkatkan bagi memastikan perlawanan berjalan dengan lancar. Untuk aksi separuh akhir ini seolah-olah kami bermain di stadium berkecuali (Stadium Shah Alam) dan di tempat lawan (Stadium Sultan Muhammad IV). Tiada sebarang kelebihan di laman sendiri," kata pemain berpengalaman itu.

ATM melangkah bergaya ke separuh akhir apabila menewaskan LionsXII 4-1 di Stadium MPS hasil sokongan padu kira-kira 13,000 penyokong Gladiators walaupun tewas 0-1 pada suku akhir pertama di Stadium Jalan Besar. ATM dijadual bertemu Kelantan untuk separuh akhir pertama pada 18 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

FAM ubah gelanggang separuh akhir

Posted: 07 Oct 2013 10:14 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan gelanggang separuh akhir pertama Piala Malaysia membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menentang Kelantan akan berlangsung di Stadium Shah Alam dan bukannya Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang menjadi gelanggang tuan rumah Gladiators.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM Datuk Afandi Hamzah berkata, perkara berkenaan sudah dibincangkan dengan ATM sebagai tuan rumah untuk aksi separuh akhir pertama.

"Kita mengambil langkah mengadakan perbincangan sebaik saja selesai suku akhir Piala Malaysia kerana menjangkakan kehadiran penyokong yang ramai. ATM turut menyatakan persetujuan mereka dengan pertukaran gelanggang ini walaupun pada awalnya Stadium MPS didaftarkan pasukan berkenaan," katanya.

Afandi menambah, tindakan berkenaan bagi membolehkan lebih ramai penyokong kedua-dua pasukan hadir memberikan sokongan, kawalan yang lebih baik dan aspek lain agar perlawanan berlangsung dengan lancar.


"Bagaimanapun status tuan rumah masih lagi milik ATM. Mereka bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan, tiket dan perkara-perkara berkaitan," katanya.


Terdahulu badan induk berkenaan menerusi satu kenyataan memaklumkan pertukaran gelanggang berkenaan dengan tarikh dan masa tidak berubah iaitu 18 Oktober ini serta dijadualkan bermula jam 8.45 malam.

Menurut kenyataan itu, ATM memohon perubahan gelanggang berkenaan atas faktor penambahan jumlah penonton yang dijangka berlaku dan aspek keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

Johor DT bakal rombak pasukan

Posted: 07 Oct 2013 10:13 AM PDT

Johor Bahru: Johor Darul Takzim (DT) dikhabarkan akan membuat rombakan besar-besaran dalam usaha memburu kejuaraan Liga Malaysia (Liga M) sama ada menjulang Piala Liga Super, Piala FA atau Piala Malaysia pada musim depan selaras dengan impian Tunku Ismail Sultan Ibrahim merevolusikan bola sepak Johor.

Justeru perubahan drastik itu menjanjikan skuad Harimau Selatan berwajah baru dan difahamkan sembilan pemain skuad itu akan dikekalkan manakala beberapa pemain lagi akan diserapkan dalam skuad Johor yang beraksi di Liga Perdana yang turut akan dirombak untuk memburu kejuaraan liga berkenaan.

Difahamkan pemain yang akan dikekalkan adalah penjaga gol, Muhammad Al-Hafiz Hamzah, Nurul Azwan Roya, Norshahrul Idlan Talaha, Jasazrin Jamaluddin, Mohd Akram Mahinan, Mohd Hadin Azman, Mohd Nazri Ahmad, kapten Aidil Zafuan Abd Radzak dan Safiq Rahim manakala Ahmad Tharmimi Saiban, Tuah Iskandar, Irfan Abd Ghani dan beberapa pemain lain kemungkinan menyertai Johor di Liga Perdana.

Pemain pertahanan Muslim Ahmad yang sering memanaskan bangku simpanan tampak diketepikan berikutan prestasi tidak memberangsangkan sepanjang kempen Piala Malaysia dan saingan Liga Super.

Foto

MAHALI (kiri) bakal sertai Johor DT.


Turut tersenarai untuk dinaikkan pangkat menyertai skuad Harimau Selatan adalah Mohd Izuan Jarudin manakala khidmat See Kok Luen masih kekal bersama Johor musim depan yang turut mendapat khidmat pemain pertahanan Singapura, Baihakki Khaizan.


Apa pun kedudukan Safee Sali masih samar sama ada akan beraksi bersama Johor di Liga Perdana atau kembali menyertai kelab asalnya, Arema FC pada saingan Liga Super Indonesia selepas Johor DT yang mendapatkan khidmat penyerang kebangsaan itu secara pinjaman bakal berakhir, November ini.

Namun skuad Harimau Selatan yang akan dibimbing ketua jurulatih Cesar Ferrando Giminez akan diperkuatkan dengan kehadiran empat tonggak Selangor, Mohd Amri Yahyah, Mahali Jasuli, Mohd Asaruddin Putra Omar dan penjaga gol kelahiran Johor, Norazlan Razali.

Skuad Harimau Selatan sudah melengkapkan kuota tiga pemain import selepas mengikat bekas pemain Argentina, Pablo Aimar, bekas pemain bawah 21 tahun Sepanyol, Braulio Rodriguez dan pemain tengan LionsXII, Hariss Harun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

Tugas berat skuad negara

Posted: 07 Oct 2013 10:08 AM PDT

Kuala Lumpur: Tugas sukar menanti skuad kebangsaan apabila menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi persahabatan di China, esok.

Ini kerana UAE memiliki reputasi cemerlang apabila tidak pernah tewas dalam 13 perlawanan dan terbaru, mereka menewaskan Laos 2-0 pada Sabtu lalu.

Dua jaringan separuh masa kedua Ali Mabkhout dan Salam Saleh ketika menentang Laos sudah cukup untuk memberikan kemenangan selesa buat skuad kendalian Mahdi Ali yang turut berada dalam rangka persiapan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Hong Kong pertengahan bulan ini.

Malaysia pula kembali ke China selepas ditewaskan skuad kebangsaan negara itu 2-0 dalam satu aksi persahabatan bulan lalu.


Bagi pemain berpengalaman negara, Mohd Amri Yahyah, skuad negara kendalian Datuk K Rajagobal pasti mahukan keputusan positif dalam pertemuan menentang UAE itu walaupun hadir tanpa beberapa tonggak utama seperti Norshahrul Idlan Talaha, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Mohd Fadhli Shas. Harimau Malaya akan menentang Bahrain pada kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, pada 15 Oktober ini.


Walaupun menyedari ketiadaan Norshahrul pastinya paling dirasai kerana memberi impak ketara kepada jentera serangan negara yang banyak bergantung kepada kelincahan penyerang Johor Darul Takzim itu, Amri berkata, situasi berkenaan tidak mematahkan semangat skuad negara.

"Saya yakin pemain yang dibawa ke China untuk menentang UAE mampu mengisi kekosongan mereka yang cedera. Kami mengharapkan keputusan positif kali ini dan mencapai keserasian yang diinginkan jurulatih," kata Amri.

Pemain berpengalaman itu pastinya menjadi taruhan untuk bergandingan dengan Safee Sali bagi menggempur kubu UAE berdasarkan persembahan konsisten dipamerkannya di pentas antarabangsa dan domestik, namun Rajagobal turut mempunyai pilihan lain seperti Ahmad Fakri Saarani dan Mohd Khyril Muhyameen Zambri.

"Belum tentu lagi pemain mana yang akan diturunkan, terpulang kepada jurulatih namun seandainya diberikan peluang saya akan memberikan yang terbaik," kata Amri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

Kim Swee nekad akhiri 'gangguan dalaman'

Posted: 07 Oct 2013 10:07 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengendali bawah 23 tahun negara Ong Kim Swee mahu menamatkan segera usaha 'pancing-memancing' pasukan luar terhadap pemain Harimau Muda A yang kini menggalas tugas besar untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA, Disember ini.

Pemain Harimau Muda A dilapor menarik minat pasukan tempatan susulan prestasi baik dipamerkan mereka selepas mendapat pendedahan di tahap tertinggi seperti tempoh latihan yang panjang di Eropah.

"Saya berharap selepas ini, pemain akan mampu fokus terhadap Sukan SEA. Tiada lagi 'gangguan dalaman' mengganggu mereka kerana masa semakin suntuk untuk mempersiapkan pemain agar berada pada tahap terbaik.

"Satu pengumuman penting akan dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai perkara ini esok (hari ini) membabitkan masa depan pemain selain perancangan mengenai latihan fasa akhir skuad bawah 23 tahun," kata Kim Swee yang masih segar dengan kejayaan menjulang Pestabola Merdeka bulan lalu.


Sebelum ini Johor Darul Takzim (DT) dilapor berhasrat memancing tiga tonggak utama skuad berkenaan iaitu kapten pasukan Irfan Fazail, Fadhli Mohd Shas dan Fandi Othman dengan semua pemain berkenaan masih layak untuk bersama skuad negara sehingga tahun depan.


Namun tiga pemain pertahanan Muhd Hazwan Rahman, pemain tengah Mohd Syahid Zaidon dan penyerang Izzaq Faris Ramlan pasti dilepaskan kerana berusia 23 tahun.

Mengenai usaha tuan rumah Sukan SEA, Myanmar yang menawarkan ganjaran lumayan terhadap barisan pemainnya bagi memberi rangsangan seandainya berjaya meraih pingat emas di Naypitaw, Kim Swee berkata, ia tidak mencetuskan kebimbangannya.

"Ia perkara biasa. Indonesia pernah melakukan perkara sama ketika kita bertemu mereka di final pada 2011 di Jakarta, namun pemain negara tetap berjaya menewaskan mereka untuk memenangi pingat emas.

Tiada apa yang perlu saya bimbangkan kerana paling mustahak kami memberikan tumpuan kepada persiapan sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

'Lupakan saja Sepang'

Posted: 07 Oct 2013 10:05 AM PDT

Kuala Lumpur: Dilema terus membelenggu pelumba Moto3 negara Zulfahmi Khairuddin menjelang saingan Grand Prix Motosikal Malaysia hujung minggu ini.

Ketika tuan punya badan bersungguh-sungguh mahu turun berlumba meskipun belum pulih sepenuhnya daripada pembedahan kecil di pergelangan tangan kanannya akibat kemalangan di Grand Prix Aragon, Institut Sukan Negara (ISN) menasihatkan pelumba berusia 22 tahun itu berehat lebih lama sekali gus memintanya melupakan hasrat beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Ketua Pegawai Eksekutif ISN Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz secara terbuka meminta Zulfahmi melupakan saja aksi di Sepang, namun beliau juga berkata, segala-galanya terpulang kepada pelumba kelahiran Banting, Selangor itu.

"Zulfahmi melalui fasa pemulihan dengan baik tapi nasihat saya kepadanya supaya berehat seminggu lagi bagi membolehkan kecederaan itu pulih sepenuhnya. Kecederaan yang menimpanya itu biasanya mengambil masa antara tujuh hingga sembilan minggu untuk pulih tapi selepas melakukan pembedahan, proses pemulihan semakin singkat tapi saya tetap percaya dia belum bersedia untuk kembali berlumba.


"Sukan yang diceburinya berisiko tinggi dan pada bila-bila masa saja dia boleh terjatuh sekali lagi. Kami sudah menasihatkannya tapi segala-galanya terpulang kepada Zulfahmi.


"Dia begitu teruja untuk beraksi di tempat sendiri dan berharap dapat pulih sepenuhnya minggu ini. Bagaimanapun, Zulfahmi beritahu dia hanya akan membuat keputusan muktamad selepas menjalani sesi latihan Jumaat ini," katanya selepas menemui pelumba Red Bull KTM Ajo itu semalam.

Sementara itu, Zulfahmi tetap tekad untuk turun berlumba selepas mencipta sejarah muncul pelumba pertama negara menaiki podium kedua di litar sama tahun lalu.

"Saya hanya akan membuat keputusan muktamad selepas sesi latihan sebab perlu menguji keupayaan bersama jentera. Harapan saya, dengan doa dari peminat dan ahli keluarga, saya dapat memulakan perlumbaan dengan baik Ahad ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

'Bukan beri tekanan'

Posted: 07 Oct 2013 10:02 AM PDT

Kuala Lumpur: Bukan mahu meletakkan tekanan atau mencari kesalahan, namun keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong ke dua kejohanan besar Terbuka Denmark dan Perancis, seharusnya menjadi persoalan.

Ketika Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff mengambil pendekatan tegas untuk lebih teliti dalam menghantar pemain beraksi ke luar negara dan menitikberatkan soal sasaran, mengapa agaknya gandingan utama negara itu akan dihantar beraksi tanpa matlamat jelas.

Jurulatih beregu Paulus Firman, sama seperti jurulatih yang mengendalikan gandingan itu sebelum ini, tidak mahu memberitahu sasaran jelas yang diletakkan di bahu pasangan negara itu kerana enggan memberi tekanan kepada mereka.

"Saya tidak mahu meletakkan tekanan ke atas mereka, yang penting proses mereka lalui. Jika menang, bagaimana dan siapa yang mereka atasi. Jika kalah, kita mesti melihat bagaimana mereka tewas," kata Paulus.


Proses menang kalah, bukan lagi asing dalam semua sukan, namun jurulatih itu sendiri mengakui gandingan itu tidak mampu melakukan persediaan terbaik kerana Kien Keat pasti sibuk dengan persiapannya untuk berkahwin.


"Selepas Kejohanan Dunia, kemahuan mereka untuk bermain masih ada tapi kita tahu yang Kien Keat akan berkahwin dan dia terlepas beberapa sesi latihan untuk memastikan persiapan majlis perkahwinannya berjalan lancar. Kita mesti memahaminya. Tapi saya tidak mahu perkahwinan itu menjadi alasan," kata Paulus.

Sebelum ini, Paulus menegaskan prestasi Kien Keat-Boon Heong bakal menentukan peluang mereka beraksi di Siri Super Final yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Disember ini.

Jika cemerlang pada kedua-dua kejohanan itu, Kien Keat-Boon Heong yang berada di ranking kelapan Siri Super akan layak beraksi di Siri Super Final namun kalau gagal menyerlah, mereka mungkin beraksi di Sukan SEA Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

Carol Weymuller azimat Nicol

Posted: 07 Oct 2013 10:00 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas tujuh tahun, kejayaan menjuarai kembali Terbuka Carol Weymuller dianggap azimat terbaik buat ratu skuasy negara, Datuk Nicol David menjelang Terbuka Amerika Syarikat (AS) minggu depan.

Gelaran keempat bagi tahun ini diraih Nicol dengan menewaskan pemain Perancis, Camille Serme 12-10, 11-2, 11-5, sekali gus mencetuskan semula auranya di gelanggang Carol Weymuller selepas kali terakhir merasai pentas final dan juga kejuaraan kejohanan itu pada 2005.

"Selepas sekian lama, sememangnya saya gembira kerana kembali merangkul kejuaraan di sini. Suasana di sini amat hebat dan itulah yang menjadikan saya lebih bersemangat," kata Nicol.

Sambil mengakui Camille menampilkan permainan cemerlang pada set pertama, Nicol berkata, dia masih dapat mengawal rentak apabila mematahkan setiap pukulan berbahaya pemain lawan itu.


Nicol akan meneruskan buruan gelaran kelima tahun ini di Terbuka AS yang berlangsung di Philadelphia, AS bermula Jumaat ini.


"Saya gembira dengan kemenangan ini kerana ia menjadi tonik terbaik untuk aksi minggu depan," kata Nicol yang mahu mempertahankan kejuaraan dimenanginya tahun lalu.

Ratu skuasy negara itu akan membuka cabaran menentang pemain kelayakan dengan jangkaan tiada masalah ke final sebelum membuat perhitungan menentang Laura Massaro dari England atau Raneem El Weleily dari Mesir di final.

Tahun lalu, Nicol merangkul gelaran dengan menewaskan Raneem dalam pertarungan empat set.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

Ucapan tahniah PM

Posted: 07 Oct 2013 09:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David yang meraih kejuaraan keempat bagi musim 2013 apabila berjaya merampas semula kejuaraan Terbuka Carol Weymuller semalam.

"Syabas @NicolDavid kerana merampas semula Kejuaraan Terbuka Carol Weymuller di New York. Teruskan pencapaian cemerlang anda," kata Najib di laman twitternya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

Tuntut skuad hoki remaja, senior cemerlang

Posted: 07 Oct 2013 09:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menuntut skuad remaja dan senior lelaki kebangsaan supaya mempamerkan aksi cemerlang pada Kejohanan Dunia nanti.

Kejohanan Piala Dunia Remaja itu dijadual berlangsung di New Delhi, India dari 6 hingga 15 Disember ini, manakala Kejohanan Piala Dunia di the Hague, Belanda, pada 31 Mei hingga 15 Jun tahun depan.


"Saya tidak mahu Malaysia sekadar menjadi penumpang (dalam kedua-dua kejohanan itu)... jadi pasukan belasahan, saya mahu kita tewaskan setiap lawan dihadapi.

"Sebab itu, kita perlu tingkatkan persiapan dengan lebih teratur dan rapi," katanya selepas mempengerusi mesyuarat pentadbiran MHC di Shahzan House, semalam.


Sehubungan itu, beliau meminta barisan kejurulatihan remaja dan senior negara iaitu Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dan Paul Revington supaya tidak membangkitkan segala permasalahan mengenai pasukan masing-masing kepada media, terlebih dulu.


"Bukannya kita mahu memperkecilkan mana-mana pihak tapi untuk kebaikan pasukan supaya lebih fokus menghadapi kedua-dua kejohanan itu. Masalah pentadbiran atau kecil-kecilan akan diuruskan atau diselesaikan secara dalaman," katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

No comments:

Post a Comment