Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Ibu kota dilanda banjir kilat

Posted: 10 Oct 2013 06:56 PM PDT

Kuala Lumpur: Ratusan kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas lebih sejam malah beberapa kenderaan tenggelam akibat banjir kilat berikutan hujan lebat melanda ibu kota, petang semalam.

Air mulai naik berikutan hujan lebat bermula kira-kira jam 3.30 petang itu.


Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kesesakan beberapa jalan utama yang dinaiki air hingga menyukarkan kenderaan melalui kawasan berkenaan, kira-kira jam 5.15 petang.

"Kami juga menerima laporan mengenai beberapa kenderaan ditenggelami air di Jalan Kuching dan Jalan Rahmat. "Kebanyakan kenderaan ditenggelami air adalah yang ditinggalkan di tempat letak kenderaan oleh pemilik yang bekerja di bangunan berhampiran.


"Bagaimanapun, tiada laporan pokok tumbang dan kemalangan jiwa dilaporkan setakat petang ini (semalam)," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.


Harian Metro difahamkan, Jalan Ipoh, Jalan Pantai Baru, Jalan Bangsar, Kampung Malaysia Raya, Sungai Besi dan Bandar Tasik Permaisuri turut dilanda banjir kilat dan pengguna lalu lintas terperangkap selepas kenderaan mereka dimasuki air.

Foto

PENIAGA, Noraini Baba termenung melihat kedainya dinaiki air di Jalan Rahmat, petang semalam.

Foto

ORANG ramai mengharung air selepas Jalan Rahmat dilanda banjir kilat.

Di Selangor, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya hanya menerima maklumat banjir kilat di kawasan Bangi dan Petaling Jaya, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

Bencana kepala angin

Posted: 10 Oct 2013 06:55 PM PDT

Kudat: Keadaan angin kencang dan rempuhan 'kepala angin' secara tiba-tiba dipercayai menjadi punca pesawat DHC-9 Twin Otter milik MASwings terhempas selepas dua cubaan mendarat gagal.

Menurut seorang penumpang yang terselamat, Erwanshah Einin, 23, berkata ketika kejadian, juruterbang cuba mendarat namun keadaan angin kuat menyebabkan pesawat terpaksa naik semula dan berpatah balik untuk membuat pendaratan kali kedua di Lapangan Terbang Kudat.


"Ketika hendak mendarat sekali lagi, pesawat masih gagal merapati landasan disebabkan angin kencang sebelum sekali lagi cuba naik semula ke udara.

"Namun, ketika itu tayar hadapan pesawat merempuh bumbung rumah yang terletak kira-kira 200 meter dari lapangan terbang lalu terhempas," katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Kudat, di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 petang, pesawat membawa 14 penumpang termasuk dua kru kabin dalam penerbangan dari Kota Kinabalu menuju ke Sandakan terhempas ketika singgah di lapangan terbang berkenaan.


Kejadian itu menyebabkan seorang penumpang, Tan Ah Chai, 96, dan pembantu juruterbang Marc Joseph Bansh, 23, terbunuh.maut ketika mendapatkan rawatan di hospital manakala lima lain cedera termasuk dua kritikal.

Foto

PESAWAT terhempas berhampiran halaman sebuah rumah.

Foto

JURUTERBANG pesawat terselamat dalam kejadian.

Foto

MANGSA diusung keluar dari pesawat oleh anggota paramedik sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Semua mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kudat.


Menurut Erwanshah, sebaik pesawat merempuh bumbung rumah dan terhempas, semua penumpang menjerit serta terhumban di tempat duduk masing-masing.

"Sebaik menyedari pesawat sudah berhenti bergerak, saya yang duduk pada baris ketiga lantas membuka pintu pesawat dan mengarahkan semua penumpang keluar.


"Pada masa sama, saya turut membantu seorang warga emas yang duduk di bahagian hadapan yang panik sehingga gagal membuka tali pinggang keselamatan dipakainya selain berjaya membawa keluar seorang kanak-kanak," katanya.


Erwanshah berkata, mengenangkan pesawat itu mungkin meletup menyebabkan dia nekad mencari jalan keluar secepat mungkin.


"Kini saya baru berasa trauma dengan apa yang berlaku, tambahan pula ini kali pertama saya menaiki pesawat ini untuk pulang ke Sandakan," katanya.


Erwanshah yang bekerja sebagai kerani mengakui dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Aidiladha.


Seorang lagi penumpang, Junaini Bladi, 52, berkata ketika pesawat gagal melakukan pendaratan kali pertama, dia sudah membayangkan sesuatu buruk bakal berlaku.


Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya sedang menunggu laporan daripada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan Malaysia Airlines (MAS) mengenai kejadian itu.


Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan mengenai kemalangan itu malam tadi beliau berkata, pihaknya memberi jaminan kepada keluarga mangsa hasil siasatan akan didedahkan sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

'Datuk Seri' kasanova cabut lari

Posted: 10 Oct 2013 06:51 PM PDT

Georgetown: Lelaki yang meloloskan diri daripada tahanan polis ketika berada di Mahkamah Sesyen, di sini, kelmarin, adalah suspek 'kasanova Internet' yang pernah menyamar sebagai doktor untuk menipu wanita.

Suspek juga pernah menyamar mempunyai gelaran 'Datuk Seri' untuk memperdayakan mangsanya hingga sanggup menyerahkan barang kemas, wang tunai atau barang berharga lain.


Lelaki terbabit berdepan pendakwaan dan perbicaraan membabitkan 10 kes penipuan di negeri ini.

Berikutan kejadian itu juga, seorang pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) ditahan bagi membantu siasatan.


Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, suspek yang meloloskan diri itu dikenal pasti sebagai K Prabaharan, 45, dengan alamat terakhirnya di No 26, Taman Mas, Ipoh, Perak.


Menurutnya, lelaki terbabit mempunyai ketinggian 1.5 meter dengan berat 50 kilogram, berambut pendek dan bermisai nipis.

Foto

SUSPEK

"Suspek sedang berhadapan dengan perbicaraan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan termasuk empat kes di Timur Laut dan masing-masing dua di Barat Daya, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.


"Selain itu, suspek juga mempunyai satu kes di Ringlets, Cameron Highlands di Pahang dan turut memiliki rekod kesalahan serta amat dikehendaki polis di Segamat, Johor, Sungai Petani, Kedah dan Taiping, Perak," katanya.

Menurutnya, pegawai polis yang ditahan itu pula direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengenai kejadian suspek berjaya meloloskan diri.


Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan, Seksyen 224 kanun yang sama dan Seksyen 225(a).


Dalam kejadian itu, suspek dikatakan dibawa anggota polis pengiring dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, Pahang ke Penjara Pulau Pinang, sebelum dihubungi seorang pegawai polis wanita terbabit untuk dibawa ke pejabatnya.


Suspek diminta dibawa ke pejabat pegawai terbabit dengan alasan lelaki itu mempunyai kes sebutan di Mahkamah Sesyen Georgetown.


Ketika berada di pejabat pegawai polis terbabit, suspek yang berkemeja-T ungu dan seluar pendek coklat dan masih bergari berjaya meloloskan diri.


Selepas hampir dua jam usaha mengesan suspek gagal menemuinya, satu laporan polis mengenai kehilangannya dibuat.


Pada Februari lalu, akhbar ini melaporkan suspek yang juga seorang juruteknik komputer mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan di tiga mahkamah berasingan membabitkan penipuan terhadap lima wanita dan seorang remaja perempuan pada tahun lalu.


Prabaharan didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown atas tuduhan menipu tiga wanita berusia 29 hingga 68 tahun.


Lelaki terbabit juga didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam kerana dituduh memperdayakan seorang wanita menyerahkan barang kemas dan kad mesin juruwang automatik (ATM) sebagai janji untuk berkahwin dengannya.


Suspek turut didakwa di Mahkamah Majistret Jawi kerana menipu dua wanita yang juga adik-beradik berusia 16 dan 45 tahun untuk menyerahkan sepasang subang emas, wang tunai sebanyak RM10,000 dan seunit telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Y.


Lelaki terbabit dikatakan menipu semua mangsanya dalam kejadian antara September hingga November lalu.


Suspek dikatakan berkenalan dengan semua mangsanya itu menerusi laman sosial Facebook (FB) sebelum mengumpan dengan kata-kata manis termasuk berjanji akan berkahwin.


Dia juga dilaporkan pernah menggunakan nama seperti Shiva Nair, Dr Ragunathan Nair, Ragu dan Keeran Raj untuk memperdayakan mangsanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

Ribut landa Arafah

Posted: 10 Oct 2013 06:15 PM PDT

Hujan dan ribut yang melanda kawasan sekitar Arafah, petang semalam hingga mengakibatkan beberapa khemah untuk jemaah haji Malaysia runtuh, tidak menjejaskan persiapan Tabung Haji dalam menguruskan jemaah bagi menunaikan ibadat wukuf bermula Isnin minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kebanyakan khemah yang runtuh itu adalah yang belum siap dipasang dan belum diikat sepenuhnya.


"Hujan dan banjir menjelang musim haji sudah jadi macam kes tahunan kerana di Arab Saudi apabila hampir musim haji, jemaah masjid di Masjidil Haram dan Nabawi akan mengadakan solat hajat memohon hujan.

"Berdasarkan pengalaman yang lalu apabila hampir musim haji, berlakunya hujan dan insya-Allah, hujan ini tidak menjadi satu fenomena besar kerana khemah ini belum siap dipasang sepenuhnya," katanya ketika mengadakan lawatan ke pusat operasi Tabung Haji dan bertemu dengan jemaah haji Malaysia yang menetap di Abraj Al-Janadiriyah, di sini, semalam.


Beliau berkata, pengurusan Tabung Haji sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan persiapan untuk khemah itu akan diuruskan pihak muassasah yang mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan perkara berkenaan.


Katanya, semua khemah yang mengalami kerosakan sudah dibaiki, semalam dan cuaca juga dilaporkan kembali panas, sekali gus akan mengeringkan khemah dan permaidani yang basah.

Foto

KENDERAAN harungi banjir di Arafah.

Kawasan Arafah mengalami hujan lebat kira-kira jam 3.30 petang (waktu tempatan) kelmarin dan kira-kira 30 peratus khemah jemaah Malaysia terjejas akibat angin kencang.


Dalam pada itu, Jamil Khir turut menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan Arab Saudi menghalang jemaah haji daripada memasuki Tanah Suci ekoran cuaca buruk dan banjir yang berlaku di Arafah.

Katanya, semua jemaah haji Malaysia sudah memasuki Makkah dan tiada seorangpun jemaah yang datang menerusi Tabung Haji menghadapi sebarang masalah.


"Ada berita yang saya dengar, terdapat jemaah daripada syarikat atau ejen swasta yang tidak diiktiraf dan tidak berdaftar dengan Tabung Haji kini menghadapi masalah visa haji dan mereka tersangkut di lapangan terbang di ibu negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

'Saya bukan pencuri'

Posted: 10 Oct 2013 06:11 PM PDT

Miri: Niat murni seorang lelaki untuk mengambil layang-layang terputus tali yang jatuh di pekarangan sebuah kilang di Piasau utara, di sini, kelmarin, mengundang padah apabila dibelasah sehingga patah tangan kanan selepas disangka mahu mencuri di premis itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, lelaki 33 tahun terbabit dikatakan terlebih dulu disergah dua lelaki dipercayai pekerja dan pemilik kilang berkenaan sebelum membelasahnya menyebabkan kecederaan di muka, kepala dan leher.


Pengawal keselamatan itu dikatakan dibelasah teruk menggunakan batang besi oleh kedua-dua lelaki terbabit tanpa belas kasihan meskipun sudah memberikan penjelasan selain merayu tidak terus dibelasah.

Mangsa yang enggan dikenali mendakwa, sebelum kejadian dia bersama beberapa rakan serta adiknya bermain layang-layang di kawasan tanah lapang berhampiran rumahnya tetapi tiba-tiba tali layang-layang terputus.


Menurutnya, dia cuba mengesan arah layang-layang itu jatuh dengan menunggang motosikal sebelum ternampak ia tersangkut pada bumbung kilang terbabit dan memasuki kawasan itu untuk mengambilnya.


"Bagaimanapun, ketika mengambil layang-layang itu, tiba-tiba dua lelaki menahan serta menuduh saya menceroboh ke kawasan kilang untuk mencuri.

Foto

MANGSA ditahan di Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan.

"Saya cuba minta maaf serta menjelaskan perkara sebenar, namun penjelasan tidak diendahkan sebaliknya terus dibelasah menggunakan batang besi menyebabkan tangan saya patah," katanya ditemui di Wad Lelaki Hospital Miri, di sini, semalam.


Katanya, mujur dia meletakkan motosikal di luar kilang terbabit dan kesempatan itu digunakan untuk menyelamatkan diri ketika dua lelaki terbabit sedang membincangkan sesuatu.

"Saya terpaksa menunggang motosikal menggunakan tangan kiri berikutan tangan kanan patah dan dua lelaki itu cuba mengejar saya menggunakan Toyota Hilux, tetapi tidak berjaya berikutan jalan raya sesak ketika itu.


"Sebaik tiba di rumah, saya pengsan sebelum dibawa ke Hospital Miri oleh keluarga bagi mendapatkan rawatan," katanya.


Laporan sudah dibuat keluarganya di Balai Polis Pusat Miri, di sini, semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. dan keterangan mangsa diambil bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

No comments:

Post a Comment