Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Sakit belakang ganggu Zulfahmi

Posted: 12 Oct 2013 12:06 PM PDT

Sepang: Kesakitan belakang jelas sedikit mengganggu Zulfahmi Khairuddin pada sesi kelayakan semalam yang menyaksikan dia hanya mampu mencatat masa 2 minit 15.474 saat untuk meraih petak ke-14 pada perlumbaan sebenar hari ini.

Pelumba kelahiran Banting, Selangor itu yang belum pulih sepenuhnya selepas terbabit dengan kemalangan di Grand Prix Aragon dua minggu lalu, dilihat sukar menyaingi kelompok barisan depan yang menyaksikan rakan sepasukan Luis Salom menyambar petak pertama.


Catatan masa Zulfahmi tidak begitu memberangsangkan meskipun melakukan banyak pusingan untuk cuba mencatat masa terbaik tetapi usahanya itu gagal membuahkan hasil yang dimahukan.

Dia terpaksa berpuas hati dengan catatan masa terpantas yang dilakukan pada pusingan ke-11 dan ia pasti menyukarkan pelumba berusia 22 tahun itu untuk mengulangi podium kedua yang diraih musim lalu pada perlumbaan hari ini.


"Satu keputusan yang sangat bagus sebab saya masih lagi bergelut dengan kesakitan.


"Saya bergelut ketika mengambil selekoh dan apabila motosikal bergegar sukar untuk saya mengawalnya.

Foto

Zulfahmi Khairuddin

"Saya tetap yakin dapat kurangkan kesakitan ini sebelum bermulanya perlumbaan esok (hari ini). Apapun, inilah saja yang terbaik mampu saya lakukan," katanya.


Sementara itu, dua pelumba wild card negara, Amirul Hafiq Azmi dan Husni Aizat Malik seperti dijangka bakal bermula di petak belakang selepas masing-masing mencatat masa ke-32 dan 33 terpantas.

Mewakili pasukan Touchline SIC Ajo, Amirul Afiq mencatat masa 2 minit 17.757 saat manakala Husni Aizat 2 minit 17.814 saat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

Jangan perlekeh Poland

Posted: 12 Oct 2013 11:59 AM PDT

London: Pengurus Roy Hodgson mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah keupayaan Poland menjelang pertemuan terakhir kelayakan Piala Dunia selepas Three Lions semakin hampir menjejakkan kaki ke Brazil menerusi kemenangan 4-1 ke atas Montenegro, awal pagi semalam.

Pemain yang baru dipanggil, Andros Townsend muncul wira England pada perlawanan di Stadium Wembley itu apabila membuat hantaran yang membolehkan Wayne Rooney meledak gol pertama di minit ke-48 sebelum dia sendiri memusnahkan impian Montenegro untuk bangkit dengan gol ketiga pasukannya.


Kemenangan itu membolehkan England mengetuai Kumpulan H sekali gus bermakna mereka boleh layak ke pusingan akhir di Brazil jika mengatasi Poland di Wembley, Selasa ini.

England tampak bersemangat apabila Townsend menjaringkan gol pada minit ke-78 selepas Dejan Damjanovic merapatkan jurang gol.


Jaringan sendiri Branko Boskovic membolehkan England lega selepas gol yang dihasilkan Rooney.


Townsend yang juga bintang Spurs itu menjaringkan gol menerusi rembatan kaki kanan daripada jarak 25 ela manakala Daniel Sturridge melengkapkan aksi gemilang England menerusi sepakan penalti pada masa tambahan.

Kekalahan 1-0 Poland di tangan Ukraine di Kharkiv bermakna mereka sudah tidak layak ke Piala Dunia tetapi Hodgson pantas mengingatkan pemainnya bahawa Poland tidak akan sesekali memberi laluan mudah.


"Saya melihat perlawanan mereka. Pada babak pertama, mereka beraksi sangat baik ketika menentang Ukraine. Mereka mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol," katanya.

"Jika mereka mengulangi persembahan seperti itu pada perlawanan Selasa nanti, pasti kami akan berdepan halangan besar.


"Tetapi saya percayakan pemain saya. Kami masih belum kalah dalam kumpulan kelayakan ini.


"Kami mampu untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dan dengan sokongan peminat di Wembley, saya yakin mereka mampu melakukannya." England akan bermain tanpa khidmat Kyle Walker selepas dia dilayangkan kad kuning kedua ketika menentang Montenegro sekali gus terpaksa menjalani penggantungan satu perlawanan.


Dengan ketiadaan Tom Cleverley akibat cedera, Hodgson berkata beliau mungkin menggunakan khidmat pemain bawah 21 tahun England.


Pengurus Montenegro Branko Brnovic mengakui pertahanannya bergelut untuk menyekat kemaraan Townsend.


"Dia seorang pemain berkualiti dan pantas," kata Brnovic.


"Sayap England memang laju dan kami berdepan kesukaran untuk mengekang mereka. Itulah sebabnya mereka menang." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

Del Bosque tak puas hati

Posted: 12 Oct 2013 11:58 AM PDT

Madrid: Meskipun menang dan hanya ketinggalan satu mata untuk layak ke Piala Dunia tahun depan, pengurus Sepanyol Vicente del Bosque tetap kurang gembira dengan prestasi skuadnya yang sekadar menang 2-1 mengatasi Belarus, awal pagi semalam.

Jaringan babak kedua menerusi Xavi dan Alvaro Negredo meletakkan tuan rumah dalam kedudukan selesa sebelum gol lewat permainan Sergei Kornilenko membolehkan Belarus merapatkan jurang.


Sepanyol bermula perlahan dan pergerakan mereka mudah dibaca lawan dengan Del Bosque mengharapkan aksi lebih mantap anak buahnya menjelang perlawanan terakhir menentang Georgia, Selasa ini.

"Perlawanan itu mengikut panduan yang kami jangkakan tetapi mereka perlu lebih mantap. Semua lawan kami bermain hebat.


"Permainan yang dipamer tidak lancar tetapi paling penting kami menang dan kian menghampiri matlamat.


"Kami membuat perubahan diperlukan pada separuh masa kedua untuk menembusi pertahanan lawan menerusi gerakan bahagian sayap. Kami seolah-olah berasa selesa menjaringkan gol pertama dan kedudukan itu yang sangat berbahaya. Saya rasa kami perlu mencari lebih banyak gol." Bekas pemain Real Madrid itu melakukan dua kejutan dalam kesebelasan utama apabila menurunkan Michu pada penampilan pertamanya berbanding Negredo di bahagian serangan serta meletakkan Victor Valdes menggantikan penjaga gol yang memenangi Piala Dunia dan Kejuaraan Eropah, Iker Casillas.

Michu tidak pernah berada dalam skuad asal Del Bosque dan dipanggil saat akhir menggantikan David Villa yang mengalami kecederaan.


Jurulatih berusia 62 tahun itu menegaskan penyerang Swansea City berkenaan mendapat penampilan pertamanya selepas menunjukkan kesungguhan dalam latihan meskipun kemudiannya digantikan Negredo pada minit ke-55.

"Saya gembira menurunkan Michu dan menyaksikan dia berlatih. Dia bersemangat tinggi dan tiba tepat pada masanya dalam kotak penalti. Ia perlawanan sukar baginya tetapi dia memiliki keyakinan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

Red Bull sapu bersih

Posted: 12 Oct 2013 11:58 AM PDT

Suzuka, Jepun: Pelumba Australia Mark Webber mengetuai senarai pemandu Red Bull yang menyapu bersih petak hadapan menjelang perlumbaan sebenar hari ini sekali gus menafikan seketika ruang untuk rakan sepasukan serta pendahulu kategori pelumba, Sebastian Vettel untuk muncul juara di Grand Prix Jepun.

Vettel yang mungkin memenangi gelaran dunia keempat pada usia 26 tahun jika menang di GP Jepun, turut mengharapkan pelumba Ferrari, Fernando Alonso menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan atau lebih bawah.


Pada sesi kelayakan semalam, Vettel berdepan masalah sistem jenteranya dan terpaksa berpuas hati untuk memulakan perlumbaan sebenar di petak kedua.

Pelumba Jerman itu yang ditewaskan oleh Webber buat pertama kalinya dalam usaha memburu petak utama musim ini, tetap menjadi pelumba pilihan untuk menang.


Alonso yang ketinggalan 77 mata di belakang Vettel dengan baki lima perlumbaan, sekadar menduduki petak kelapan di Suzuka.


"Ia perlumbaan yang bagus. Sebastian berdepan masalah dengan sistem jenteranya di sesi kelayakan justeru, masih ada ruang untuk pelumba lain memintasnya," kata Webber.

Catatan masanya satu minit 30.915 saat adalah 0.174 lebih pantas berbanding Vettel.


"Saya gembira dapat berlumba di petak depan dan anda perlu mengambil setiap peluang yang ada. Ia mendorong semangat saya saya. Jentera saya tidak bermasalah di sini dan itulah yang saya suka mengenainya." Lewis Hamilton yang memandu jentera Mercedes dan Romain Grosjean (Lotus) berkongsi barisan kedua manakala pemandu Ferrari, Felipe Massa di petak kelima.

Nico Rosberg mengisi petak keenam bersama jentera Mercedes dengan Nico Hulkenberg di petak ketujuh bersama jentera Sauber.


Kejayaan ke-12 Webber untuk memulakan perlumbaan di petak utama menamatkan kejayaan Vettel yang sudah tiga kali berturut-turut berada di petak utama sebelum ini.


"Sebastian pastinya akan mencuba sebaik mungkin dan saya pula mahu menang," kata Webber. "Ia tidak akan jadi seperti perlumbaan sebelum ini. Dia tidak lagi menakluki setiap petak utama di mana-mana litar.


"Cuba kita lihat apa yang berlaku pada hujung perlumbaan nanti." Vettel muncul pelumba terpantas Jumaat lalu tetapi berdepan masalah sistem jenteranya awal pagi kelmarin.


Masalah itu berlarutan hingga sesi kelayakan sekali gus menyebabkan pengendaliannya terganggu dan terlepas petak utama. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

Eugenie layak final WTA pertama

Posted: 12 Oct 2013 11:39 AM PDT

Osaka: Pemain remaja Kanada Eugenie Bouchard layak ke final WTA pertamanya semalam selepas menewaskan pemain tuan rumah, Kurumi Nara pada Terbuka Jepun.

Pemain berusia 19 tahun itu menang 6-2 6-2 ke atas Kurumi dan bakal bertemu bekas juara Terbuka Amerika Syarikat, Sam Stosur yang menundukkan pemain AS, Madison Keys 6-1 6-2 pada satu lagi separuh akhir.


Eugenie dan Nara yang masing-masing beraksi buat kali pertama pada separuh akhir WTA, saling bertukar servis sebelum pemain Kanada itu menemui rentak dan menamatkan perlawanan dengan mudah.

Pilihan kelima itu dilihat tidak bermasalah untuk mengatasi lawan yang tiga tahun lebih tua darinya itu sekali bakal memperbaiki kedudukannya di dalam ranking dunia sebaik senarai terbaru dikeluarkan esok.


Eugenie berdepan tugas sukar untuk merangkul kejuaraan WTA pertamanya kerana terpaksa menentang Sam yang mempamer persembahan meyakinkan di Osaka.


Pemain Australia yang diletakkan sebagai pilihan ketiga itu pernah tewas di final dua tahun lalu selepas muncul juara pada 2009.

Servisnya ternyata sukar diambil Madison dan pemain berusia 29 tahun itu hanya hilang 12 mata menerusi servis.


"Saya rasa permainan saya bertambah baik hari ini," kata Sam.

"Saya sering bermain baik di Jepun kerana saya seronok di sini. Setiap hujung tahun, banyak kejohanan dianjurkan di Asia dan sudah tentu Terbuka Jepun menjadi salah satu kejohanan yang paling saya minati.


"Saya sangat bersemangat ketika ini," kata pemain nombor 20 dunia itu yang bakal memburu gelaran kelimanya hari ini.


"Saya tidak sabar menunggu esok. Pastinya ia final yang hebat. Saya harap dapat mengulangi catatan empat tahun lalu." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

Bukan teraju baru Pahang

Posted: 12 Oct 2013 11:38 AM PDT

Kuantan: Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) menafikan kehadiran bekas pemain import Pahang, Alan Davidson untuk menyaksikan separuh akhir pertama Piala Malaysia minggu depan mempunyai agenda lain.

Sebaliknya, Setiausaha PBNP Fuzeimi Ibrahim berkata, kehadiran Davidson hanyalah sebagai tanda sokongan terhadap pasukan yang pernah diwakilinya dari 1992 hingga 1996.


Justeru, menurutnya, tidak timbul desas-desus Davidson yang kini berusia 53 tahun akan mengendalikan skuad Tok Gajah musim depan.

"Saya ingin jelaskan kehadiran Davidson ke Pahang adalah secara kebetulan apabila beliau akan bertemu Tengku Mahkota Pahang (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah).


"Pada tarikh itu juga Pahang pula bertemu Sarawak pada aksi separuh akhir pertama dan Davidson mahu menyaksikan perlawanan itu sebagai tanda sokongan," katanya.


Selain membantu Pahang menjulang Piala Malaysia, Davidson turut mengemudi Tok Gajah meraih gelaran juara Piala Sumbangsih (1992 dan 1993), juara Liga (1992 dan 1995), naib juara Piala Malaysia (1994 dan 1995) dan naib juara Piala FA (1995).

Fuzeimi berkata, Davidson pasti mahu mengimbau kenangan manis bersama Pahang selepas menyarung jersi skuad Tok Gajah selama lima musim dan meraih piala berprestij dalam saingan Liga Malaysia.


Pada masa sama, menurutnya, Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan yang bersama menjulang Piala Malaysia 1992 adalah bekas rakan sepasukannya.

"Setakat ini, pengurusan PBNP masih belum membuat sebarang keputusan mengenai jurulatih yang akan mengendalikan Pahang musim depan kerana tumpuan kini kepada aksi separuh akhir pertama.


"Ini kerana keputusan melantik jurulatih hanya akan diputuskan Presiden PBNP (Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah) dan setakat ini semuanya belum dimuktamadkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

Bantu pemain pencen: Indra

Posted: 12 Oct 2013 11:38 AM PDT

Kota Bharu: Penyerang Kelantan, Indra Putra Mahayuddin menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencari jalan alternatif membantu pemain bola sepak profesional di negara ini yang kariernya sudah sampai di penghujung termasuk mereka yang tidak lagi boleh bermain akibat kecederaan.

Bekas pemain kebangsaan itu menganggap golongan itu wajar dibantu berikutan setiap pemain yang menjadikan bola sepak sebagai kerjaya, tidak memiliki skim pencen sebaik bersara daripada sukan itu kelak.


Indra yang juga ahli jawatankuasa (AJK) Persatuan Pemain Profesional berkata, setakat ini, hanya ada satu badan saja yang membantu serta menjaga kebajikan ahli sukan iaitu Yayasan Kebajikan Atlet (YAKEB).

Katanya, setiap pemain bola sepak profesional Malaysia tidak memiliki sebarang skim pencen kecuali caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Bagaimanapun, katanya, sebahagian wang caruman itu hanya boleh dikeluarkan sebaik usia pemain mencecah 50 tahun.


"Biasanya, pemain akan bersara daripada bola sepak sebaik usia mereka mencecah 37 tahun. Justeru, apa yang perlu dilakukan bekas pemain sebelum mereka dibenarkan membuat sebahagian pengeluaran KWSP itu.

"Mereka juga memiliki keluarga yang perlu disara. Bila pencen, takkan semua hendak menjadi jurulatih? Hendak melakukan kerja lain, mereka tidak ada kemahiran," katanya ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.


Indra berkata, sehubungan itu, dia mencadangkan supaya KBS menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan lain dalam usaha membantu golongan itu supaya tidak terpinggir.

Katanya, KBS dan agensi kerajaan lain boleh berbincang untuk mewujudkan beberapa perkara antaranya, penyediaan peluang pekerjaan, bengkel kemahiran atau peruntukan modal dalam bentuk pinjaman bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan.


"Semua elemen itu mampu mengembalikan keupayaan mereka untuk bekerja seterusnya dapat membantu menjalani kehidupan seperti masyarakat lain.


"Pihak kami tidak mahu pemain yang bersara itu hidup merempat atau menjadi gelandangan selepas ini walaupun satu ketika dulu, mereka disanjung oleh peminat dan pasukan tetapi sebaik pencen, terus tidak dipedulikan," katanya.


Indra juga mencadangkan kepada mana-mana pihak supaya melantik pemain bola sepak sebagai duta mereka.


"Ini peluang terbaik untuk pemain menjana pendapatan tambahan sekali gus dapat membantu syarikat terbabit mempromosikan produk masing-masing.


"Buat masa ini, hanya segelintir saja yang menjadi duta produk, selebihnya hanya mengharapkan gaji bulanan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

Futsal HM 2013 meriah

Posted: 12 Oct 2013 11:37 AM PDT

Kota Kinabalu: Saingan Karnival Futsal Harian Metro 2013 di Sabah berlangsung penuh meriah dan menyaksikan setiap pemain mempamer semangat kesukanan tinggi.

Karnival selama dua hari bermula semalam di Suria Indoor Court Centre di Jesselton itu menyaksikan 54 pasukan menyertai kategori Terbuka Lelaki dan menarik perhatian kira-kira 7,000 pengunjung.


"Secara jujur, saya menyokong penuh penganjuran yang dilakukan Harian Metro ini kerana secara tidak langsung ia membantu meningkatkan aktiviti dan mutu futsal di negeri ini.

"Ia setidak-tidaknya menyediakan pertandingan yang kompetitif untuk pasukan tempatan.


"Malah kehadiran pasukan luar yang ternama seperti Bertam Ulu FC boleh dijadikan sebagai contoh untuk pasukan tempatan," kata kapten Mix Blood Basa, Ama Koten.


Pandangan Ama turut dipersetujui Pengurus Kukuak T-Rex, Haqir Al-Hafiz yang berharap Harian Metro akan menganjurkan karnival itu setiap tahun dan tidak hanya diadakan di Kota Kinabalu saja.

"Ia satu permulaan yang baik. Walaupun pertama kali diadakan oleh Harian Metro, sehingga kini saya melihat ia berjalan dengan sempurna dan lancar.


"Bermula daripada aspek pendaftaran yang sangat mudah, sistem yang teratur dan hadiah yang lumayan membuatkan semua pasukan gembira," katanya.

Tambahnya, karnival juga berjaya mengumpul sejumlah pasukan terbaik di Sabah seperti Hail Boy dan Sport De'Ny JR sekali gus menjanjikan saingan terbaik.


Selepas berlangsung dengan sengit semalam, saingan hari ini membabitkan aksi separuh akhir Terbuka Lelaki bagi merebut takhta kejuaraan.


Kategori Terbuka Wanita (19 pasukan) dan Lelaki Bawah 17 Tahun (29 pasukan) akan bermula hari ini.


Karnival yang mempertandingkan tiga kategori itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM15,200, barangan Figos dan pingat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

Hanya tinggal pasukan tempatan bersaing

Posted: 12 Oct 2013 11:37 AM PDT

Kota Kinabalu: Empat pasukan terbaik Terbuka Lelaki Karnival Futsal Harian Metro 2013 menyaksikan persaingan membabitkan pasukan tempatan.

Wakil tunggal Semenanjung, Bertam Ulu FC ditunjukkan jalan keluar di suku akhir selepas tewas 1-3 di tangan MNA 39.


Dengan keputusan itu, MNA 39 akan bertemu Amber FT di separuh akhir hari ini dengan satu lagi pertemuan membabitkan Two One FC menentang NABT.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

Jangka saingan sengit

Posted: 12 Oct 2013 11:36 AM PDT

Kota Kinabalu: Kehadiran bekas juara dua kali Grand Final Karnival Futsal Harian Metro, Bertam Ulu FC menarik perhatian ribuan pengunjung dan peserta yang bersaing pada kejohanan julung-julung kali diadakan di Sabah itu.

Semuanya ingin menyaksikan sendiri kehebatan skuad juara 2007 dan 2010 itu yang menjadi pasukan tunggal dari Semenanjung menyahut cabaran beraksi di Sabah.


"Kami sememangnya menjangkakan saingan lebih sengit akan diterima kerana pasukan tempatan pastinya tidak mahu tewas di tempat sendiri.

"Itu yang berlaku pada perlawanan pertama kami dengan ramai penyokong memberikan sokongan dan pemain lawan juga kelihatan bersemangat dalam situasi sebegini," kata kapten pasukan Bertam Ulu FC Jamaludin Alias.


Tambahnya, tidak banyak perbezaan dalam aspek kemahiran dan tahap permainan antara pasukan di Sabah dan Semenanjung.


"Cuma seperti yang kami jangkakan corak permainan akan lebih keras kerana sesetengah pemain di Sabah mempunyai fizikal yang berbeza," katanya.

Mengenai kesanggupan mereka bertandang ke Kota Kinabalu, Jamaludin berkata, mereka sememangnya menantikan sebarang kejohanan futsal yang dianjurkan Harian Metro.


"Kejohanan anjuran Harian Metro sememangnya paling berprestij dan terbesar di Malaysia. Ia adalah faktor utama yang menarik penyertaan kami," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

No comments:

Post a Comment