Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Masih belum putus nasib

Posted: 09 Oct 2013 07:30 PM PDT

Kuala Lumpur: Pengendali bawah 23 tahun negara Ong Kim Swee mengaku masih belum memutuskan mengenai masa depannya bagi memberikan tumpuan penuh terhadap persiapan mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar pada Disember nanti.

Namun pengendali kelahiran Melaka itu menyuarakan hasratnya untuk kekal bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) andai khidmatnya masih diperlukan badan induk bola sepak negara itu.


"Saya harap dapat kekal di FAM sekiranya masih diperlukan terutamanya untuk membantu aspek pembangunan. Saya mendapat beberapa tawaran sebelum ini dan sudah boleh membuat keputusan namun saya ketepikan dulu kerana mahu fokus terhadap tugas di Myanmar terlebih dulu," kata Kim Swee.

Kontrak pengendali berkenaan tamat hujung tahun ini, sama seperti jurulatih negara yang lain termasuk ketua jurulatih skuad senior negara Datuk K Rajagobal.


"Semua pihak tahu kontrak saya tamat hujung tahun ini namun saya masih belum putuskan apa-apa mengenai masa depan. Tumpuan saya hanya terhadap misi di Myanmar kerana saya menjangkakan saingan kali ini sengit berdasarkan persiapan dilakukan lawan," katanya.


Namun Kim Swee paling bimbang persiapan pasukan Thailand yang dianggap penuh misteri berbanding pencabar lain.

"Tidak banyak maklumat saya tahu mengenai Thailand kecuali kemenangan besar mereka ketika membelasah China 5-1 tempoh hari. Persiapan pasukan lain juga tidak boleh diperkecilkan seperti Indonesia (mara ke final Sukan Perpaduan Islam), Myanmar dan Vietnam yang melakukan persiapan di Eropah," katanya.


Sementara itu undian bola sepak Sukan SEA dijadual pada awalnya 24 Oktober ditunda kepada 29 Oktober dengan skuad negara tampil selaku juara bertahan untuk dua edisi berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/10

'Soal wang no 2!'

Posted: 09 Oct 2013 07:29 PM PDT

Kuala Lumpur: "Kami tidak akan memusnahkan karier dan pelaburan jutaan ringgit yang diterima selama ini".

Itu janji kapten Harimau Muda A Irfan Fazail, salah seorang enam pemain yang diberikan pilihan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya mahu meninggalkan skuad bawah 23 tahun negara kendalian Ong Kim Swee penghujung tahun ini.


"Sudah ada contoh sebelum ini bagaimana bekas pemain yang meninggalkan pasukan gagal mengekalkan prestasi. Saya serta rakan yang lain bertekad tidak mahu ia berulang dan berjanji akan mengekalkan prestasi sebaik mungkin terutamanya disiplin bagi memastikan mampu mendapat perhatian jurulatih bagi mewakili negara pada masa depan," kata perancang tengah berusia 22 tahun kelahiran Johor itu.

Kebimbangan mengenai prestasi bintang muda negara tercetus apabila beberapa pemain meninggalkan skuad bawah 23 tahun negara sebelum ini gagal mempamerkan aksi konsisten dan terbaik walaupun mendapat bayaran lumayan.


Selain Irfan, lima lagi pemain yang diberikan pilihan oleh FAM membabitkan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Mohd Fadhli Shas, Izham Tarmizi Roslan, A Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri dengan kesemuanya masih diterima sehingga penghujung tahun depan seandainya mahu kekal bersama Harimau Muda A yang mempunyai tugasan besar menghadapi Sukan Asia 2014 di Korea Selatan.


Beberapa pemain berkenaan dilapor mendapatkan tawaran lumayan hingga ada yang mencecah RM30,000 sebulan namun Izham Tarmizi dan Ahmad Hazwan membayangkan untuk kekal bersama Harimau Muda A.

Mengenai hala tuju diri sendiri, Irfan berkata, dia masih menanti tawaran konkrit daripada Johor Darul Takzim (Johor DT) seandainya kelab berkenaan benar-benar beminat mahu mendapatkan khidmatnya.


"Saya sememangnya mengharapkan cabaran baru dan mungkin masanya sudah tiba pada tahun depan untuk beraksi bersama pasukan lain. Namun saya masih menantikan tawaran konkrit mengenai perkara ini," katanya.

Malah dia menyuarakan keyakinannya untuk bersaing dalam kesebelasan utama walaupun terdapat ramai pemain berpengalaman dan senior seandainya bersama Johor DT musim depan.


"Saya yakin dengan pengalaman diraih bersama Harimau Muda A selama ini dan pendedahan perlawanan di Eropah mampu memberikan peluang kepada saya merebut tempat dalam kesebelasan utama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/10

'Pancing' Suarez

Posted: 09 Oct 2013 07:27 PM PDT

London: Pengerusi Liverpool Tom Werner berhasrat menghadiahkan Luis Suarez aksi bola sepak Liga Juara-Juara di Anfield musim depan.

Bintang kontroversi Uruguay itu berhasrat meninggalkan kelab pada musim panas lalu, namun dia akhirnya kekal dan memukau sejak kembali daripada penggantungan perlawanan yang dibawa dari musim lalu kerana menggigit lengan pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic.


"Ada minat ditunjukkan terhadapnya dari kelab lain sepanjang musim panas lalu tapi penting kami cuba mengekalkannya.

"Dia seorang daripada pemain terhebat dunia dan kami berasa mampu menjadi sebuah kelab yang lebih kuat jika dia berada dalam pasukan berbanding tanpanya.


"Ia tidak bermakna saya tidak hormati keinginan kuatnya untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara. Tapi ia pasti satu hari yang amat menggembirakan pada Mei tahun depan jika kami layak beraksi pada Liga Juara-Juara dengan berakhir dalam kelompok empat teratas dan dia menjadi sebahagian daripada pasukan.


"Memang menjadi hasrat kami untuk mengekalkannya selama mungkin.

"Harapan kami adalah membentuk sebuah kelab juara dan dia menjadi sebahagian daripadanya. Apa yang sudah berlaku tinggal sejarah dan saya amat meminatinya." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/10

Misi Poyet pulih Sunderland

Posted: 09 Oct 2013 10:16 AM PDT

Sunderland: Pengurus baru Sunderland Gus Poyet berazam menyuntik keyakinan baru terhadap pemain Wearsiders selepas mengambil alih daripada pengurus sementara Kevin Ball, selain menegaskan legasi ditinggalkan Paolo Di Canio kini sekadar sejarah.

Pengendali berusia 45 tahun dari Uruguay yang juga bekas pemain tengah Chelsea dan Tottenham, menamatkan tugas pengurusan pertama bersama Brighton secara penuh kontroversi Mei lalu namun kini kembali dengan kontrak dua tahun di Stadium of Light.


Bercakap mengenai bekas pengurus, beliau berkata: "Masa buat Paolo sudah berakhir dan kini masa untuk melangkah ke depan. Kami berbeza dan saya tidak fikir bagus dibandingkan dengan orang lain.

"Saya tahu banyak mengenai pemain di Sunderland dan sedar mereka kini lebih sukar dengan kehadiran seorang lagi pengurus baru.


"Saya perlu memastikan mereka selesa di sini dan kami akan pastikan mereka bersedia.


Mengenai masa-masanya di Albion, beliau berkata: "Sasaran saya adalah membuktikan saya cukup bagus bagi Liga Perdana dan sebab itu saya berada di sini. "Saya kini memperoleh peluang dan meskipun ia satu cabaran yang sukar, tapi saya bersedia menghadapinya.

"Apabila anda berada di tangga tercorot seperti yang kami alami pada masa ini, setiap orang akan berkata ia pasti sukar. Ideanya di sini adalah perlu percaya dan yakin. Daripada apa yang saya lihat, saya percaya kami boleh terselamat daripada tersingkir." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/10

Setaraf Schumacher, Fangio

Posted: 09 Oct 2013 10:15 AM PDT

Suzuka, Jepun: Penguasaan Sebastian Vettel dianggap membosankan dan turut terpaksa menerima cemuhan peminat tetapi pemandu Red Bull itu semakin hampir untuk mengesahkan kejuaraan dunia kali keempat berturut-turut pada perlumbaan Formula Satu (F1) di Jepun, hujung minggu ini.

Andai muncul juara dan pesaing terdekat Fernando Alonso gagal menamatkan perlumbaan di lapan tempat teratas, Vettel bakal mengikut jejak langkah Juan Manuel Fangio dan Michael Schumacher muncul pelumba ketiga meraih kejuaraan keempat berturut-turut.


Sensasi Jerman berusia 26 tahun itu, juga bakal menyamai rekod empat kejuaraan diraih Alain Prost dan berpeluang menyamai rekod lima kejuaraan dilakar Fangio pada era 1950-an.

Satu lagi kejuaraan pada musim depan akan menyaksikan Vettel menyamai rekod lima kejuaraan berturut-turut diraih Schumacher ketika bersama Ferrari dari 2000 hingga 2004.


Selepas dicemuh peminat sukan itu termasuk ketika meraikan kemenangan empat perlumbaan terakhir, timbul persoalan sama ada peminat menyanjung kejayaannya atau berharap aksi kompetitif perlumbaan ini muncul kembali.


Kemenangan Vettel di Korea Selatan selepas bermula di petak pertama, hujung minggu lalu melebarkan jurangnya selaku pendahulu kepada 77 mata.

Alonso seolah-olah sudah menyerah kalah kerana jika berjaya menghalang Vettel muncul juara di Jepun, juara bertahan F1 itu mungkin mengecapinya di India atau Abu Dhabi, dua perlumbaan selepas Jepun.


"Trofi juara bukanlah perkara utama pada masa ini," kata Alonso, juara dunia 2005 dan 2006 bersama jentera Renault.

"Tempat kedua pasukan lebih realistik," jelasnya.


Prinsipal Ferrari Stefano Domenicali sudah mengucapkan tahniah kepada pelumba Red Bull itu.


"Peluang tipis untuk kami memenangi kejuaraan dunia. Tahniah kepada Vettel dan pasukannya kerana mereka sememangnya layak memenangi kejuaraan ini," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/10

FRMC 2 'takluk' Litar Elite

Posted: 09 Oct 2013 10:15 AM PDT

Kuala Lumpur: Tuah menyebelahi pasukan FRMC yang menghantar empat pasukan untuk menyertai Pusingan 5 Kejohanan KBS MAM Kapcai Endurance di Litar Elite minggu lalu, apabila kesemua pasukan menaiki podium kelas masing-masing.

Pasukan FRMC 2 secara keseluruhan mengungguli Perlumbaan 2 yang menggabungkan Kelas 3 dan Kelas Terbuka. Pasukan ini yang bertanding dalam Kelas 3 diwakili Muhammad Syafit Nash dan Mohamad Azhar melakukan 123 pusingan dalam masa 2 jam yang diperuntukkan di litar sepanjang 990 meter ini. Mereka diikuti rapat pasukan Shaklee Racing diwakili pelumba veteran Kanafi Kamaruddin dan Shamsul Fariz Yunus yang juga melakukan 123 pusingan. Bagaimanapun, pasukan Shaklee Racing ini bertanding dalam Kelas Terbuka.


Bagi Muhammad Syafit, 17, kejayaan ini amat menggembirakan kerana memang cita-citanya untuk menjadi pelumba motosikal berjaya. Kejayaan ini membawanya semakin hampir dengan impiannya selain melebarkan harapannya untuk berjaya di Sepang. "Saya bertekad untuk menaiki podium di Sepang. Saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mencapai kejayaan diidamkan. "Tiada strategi tertentu dilakukan pasukan kami pada pusingan ini. Berbekal keazaman tinggi, kami berjaya melakukannya," katanya.

Bagi Kelas Terbuka, tempat kedua dimenangi pasukan FRMC 1 (118) dan tempat ketiga milik pasukan Dukun Racing (116). KKMR RZ Tuning yang melakukan 122 pusingan dan Siong Motor (121) masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga Kelas 3. Pada Perlumbaan 1 bagi Kelas 1 dan 2, pasukan FRMC 4 muncul juara keseluruhan selepas melakukan 116 pusingan, diikuti MK Possum 2 (115) dan pasukan G-Wa Motor ketiga (115).


Pasukan Scud Motorsports yang melakukan 111 pusingan menjuarai Kelas 1 diikuti Pasukan FRMC 3 dan BMC Motorsport Bangi, masing-masing 106 pusingan. Seramai 147 pelumba yang mewakili 49 pasukan bersaing bagi merebut tempat ke Sepang dalam Pusingan 5 Kejohanan anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan juga Motorsports Association of Malaysia (MAM) ini. Bagaimanapun impian pasukan paling cilik, Kelab Rekreasi Permotoran Kedah yang diwakili Luth Harith Erwan dan Muhammad Haikal Syafik, masing-masing berusia 13 tahun, untuk menjejaki podium tidak kesampaian apabila terjatuh ketika perlumbaan berbaki 30 minit untuk tamat. Namun pasukan ini sudah layak ke pusingan akhir di Sepang selepas menduduki tempat kedua kejohanan sebelum ini.


Kejohanan ini salah satu projek Kementerian Belia dan Sukan untuk menangani gejala rempit dalam kalangan remaja dan secara tidak langsung menggalakkan belia berpotensi mencuba nasib dengan berlumba secara sihat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/10

ESRC sumbang tenaga

Posted: 09 Oct 2013 10:15 AM PDT

Marang: Di sebalik kejayaan penganjuran Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia yang berlangsung di Bukit Mawi, di sini, Sabtu lalu, kerjasama yang dihulurkan marshal bermotosikal tidak dilupakan bagi melicinkan kejohanan yang julung kali diadakan di Terengganu itu.

Seramai 15 ahli ahli kelab East Scramrider Club (ESRC) yang ditubuhkan pada Disember 2011 teruja kerana dapat menjalin kerjasama dan membantu pihak penganjur dalam MTB ini.


Timbalan pengerusi Muhamad Saiful Nizan Deraman berkata, tujuan penubuhan kelab untuk menyatukan peminat motor scrambler di Pantai Timur dan merapatkan silaturahim antara peminat serta memeriahkan lagi aktiviti permotoran.

"Dengan adanya program seperti MTB ini, kelab kami tidak akan lepaskan peluang untuk menjalin kerjasama apatah lagi pertandingan ini dianjur akhbar nombor satu negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/10

Rafiq, Hafizah atlet terbaik

Posted: 09 Oct 2013 10:14 AM PDT

Sungai Petani: Rafiq Izzul Roslan dan Noor Hafizah Rusli dipilih Olahragawan dan Olahragawati Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Layar, baru-baru ini.

Raziq Izzul yang mewakili rumah Nilam dan Noor Hafizah (Zamrud), kedua-duanya berusia 15 tahun, begitu menyerlah apabila masing-masing meraih lima pingat emas. Raziq Izzul cemerlang dalam acara 100m, 200m, 4x100m, 4x400m dan lompat jauh. Noor Hafizah yang mengungguli 100m, 200m, 4x100m, 400m dan 4x400m turut diumum peserta terbaik Kelas 2.


Menurut Rafiq Izzul, selain inisiatif sendiri meningkatkan pencapaian, kecemerlangannya juga banyak dibantu semua guru rumah Nilam dan sokongan serta perangsang rakan lain.

"Selepas mewakili daerah Kuala Muda/Yan (KMY) sejak berusia 12 tahun, anugerah ini menaikkan semangat saya untuk lebih gigih bagi dipilih mewakili Kedah pula. Saya ingin menjadi produk pelapis atlet negara apabila tiba waktunya nanti," katanya.


Sementara itu, Noor Hafizah gembira apabila dianugerahkan gelaran berkenaan selepas mengetahui atlet lain juga memberi saingan hebat.


"Setiap tahun, ramai atlet membuat penampilan hebat. Mereka sentiasa meningkatkan keupayaan. "Situasi itu menjadikan saya lebih berusaha dan syukur, akhirnya saya dipilih," katanya yang mula mewakili KMY pada tahun lalu dan Kedah tahun ini.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Pegawai Pelajaran KMY, Abdul Razak Mat, diiringi Pengetua SMKSL, Ismail Othman, dan Penolong Kanan Kokurikulum, Hassim Ali.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/10

'Saya mohon maaf'

Posted: 09 Oct 2013 10:14 AM PDT

Kuching: Ketua pasukan Sarawak, Joseph Kalang Tie terkilan tidak dapat membantu rakan sepasukan berjuang pada aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia di Kuantan, Pahang, 19 Oktober ini.

Sehubungan itu, beliau berharap penyokong tidak memarahinya kerana dilayangkan kad kuning yang diterimanya ketika aksi kedua suku akhir menentang Sime Darby baru-baru ini sehingga menyebabkan dia digantung satu perlawanan.


Kalang menjelaskan dia tidak menyangka sama sekali tindakannya itu akan menyebabkannya diberi amaran bertulis oleh pengadil perlawanan.

"Ia bukan perbuatan yang disengajakan kerana niat saya ketika itu meninjau ruang sasaran yang sesuai untuk menghantar bola daripada sepakan percuma yang akan saya lakukan.


"Saya juga tidak menyangka pengadil perlawanan mengambil tindakan drastik dengan melayangkan kad kuning.


"Saya mohon maaf kepada seluruh penyokong kerana akibat kad itu menyebabkan saya tidak dapat beraksi pada saingan separuh akhir pertama nanti.

"Saya berjanji akan kembali bersama pasukan pada separuh akhir kedua di Stadium Negeri dengan aksi terbaik," katanya.


Kalang yakin tanpa kelibatnya, Ngap Sayot masih mampu memperoleh kemenangan di Stadium Darul Makmur.

Bagi jurulatih Robert Alberts, khidmat Kalang amat diperlukan kerana pemain itu antara yang mempunyai pengalaman beraksi di peringkat separuh akhir.


"Peluang di Stadium Darul Makmur agak terbuka, malah bagi saya kita mampu menyingkirkan Pahang untuk melangkah ke perlawanan akhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/10

Misi tebus maruah Piala Presiden Perak

Posted: 09 Oct 2013 10:13 AM PDT

Ipoh: Perak berharap mampu mengekalkan Piala Presiden bagi menebus maruah tercalar berikutan kegagalan pasukan utama negeri itu dalam saingan Liga M, musim ini termasuk berdepan kemelut disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Harapan itu diluahkan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang menggesa skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim mengusahakan yang terbaik ketika bertemu Kelantan di final di Stadium Sultan Mohammed IV, Kota Bharu, Sabtu ini.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri memuji kejayaan pasukan itu kerana membuktikan kemampuan mereka menghadapi pertandingan yang mencabar itu.

"Saya harap mereka mampu mempertahankan kejuaraan sekali lagi. Jika ia berjaya dilakukan setidak-tidaknya akan menebus kembali imej bola sepak negeri ini berikutan kemelut yang melanda skuad negeri.


"Justeru saya mahu pemain menumpukan sepenuh perhatian terhadap perlawanan akhir ini kerana ini satu-satunya piala yang boleh dirangkul Perak," katanya.


Sehubungan itu Zainol akan mengadakan pertemuan dengan pasukan itu hari ini dalam usaha meniup semangat pemain sebelum mereka berlepas ke Kota Bharu, esok.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/10

No comments:

Post a Comment