Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kecoh tiket habis

Posted: 03 Oct 2013 02:30 PM PDT

Kuching: Kekecohan tercetus di depan sebuah kedai peralatan sukan di Wisma Hopoh, di sini, semalam apabila lebih 1,000 penyokong skuad bola sepak Sarawak gagal membeli tiket perlawanan separuh akhir kedua menentang Sime Darby di Stadium Negeri, esok.

Difahamkan, seorang wanita pitam di tengah-tengah orang ramai yang berebut-rebut untuk membeli tiket yang dijual di ruang parkir bangunan berkenaan.

Penyokong setia Ngap Sayot mula beratur di depan kedai peralatan sukan yang diberikan hak menjual tiket itu sejak jam 7 pagi lagi bagi membeli tiket yang hanya dijual pada jam 12 tengah hari.

Bagaimanapun, selepas hampir lima jam menunggu, keadaan mula kecoh apabila pengurusan kedai sukan itu memaklumkan tiket habis dijual dan peminat hanya boleh mendapatkannya di Stadium Negeri selepas solat Jumaat, hari ini.

Foto

PIHAK pengurusan syarikat peralatan sukan cuba menenangkan peminat bola sepak.

Foto

WANITA pengsan ketika bersesak cuba dapatkan tiket perlawanan.


Berikutan itu, keadaan menjadi tegang apabila penyokong tidak puas hati dan mereka menuntut tiket dijual seperti dijanjikan.


Keadaan itu menyebabkan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) terpaksa menghantar 2,000 tiket ke premis terbabit, tetapi penjualan dihadkan hanya dua tiket setiap seorang.

Seorang penyokong Ngap Sayot, Anis Abas, 68, dari Lundu berkata dia bertolak ke Kuching bersama beberapa rakan untuk membeli tiket pada jam 6 pagi.

Katanya, dia terlebih dulu pergi ke Tol Zecon di Jambatan Tun Abang Salahuddin untuk membeli tiket, tetapi dimaklumkan sudah habis dijual sebelum ke Wisma Hopoh.

"Saya ada mendengar mengenai penjualan tiket di sini menerusi radio dan datang awal bagi mendapatkannya. Sudah hampir tiga jam menunggu, mereka memaklumkan tiket sudah habis dijual dan meminta penyokong membelinya di Stadium Negeri.

"Jadi penyokong di sini tak berpuas hati. Saya datang dari jauh kerana tidak mahu terlepas menyaksikan perlawanan itu tapi mereka gagal menyediakan tiket sebagaimana dijanjikan," katanya ketika ditemui.

Bagaimanapun, Anis akhirnya lega kerana selepas hampir enam jam menunggu dan bersesak dengan penyokong lain, dia berjaya mendapatkan dua tiket.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/04

Markas seludup orang diserbu

Posted: 03 Oct 2013 02:28 PM PDT

Kuala Lumpur: Penemuan sejumlah pasport dan pelbagai mata wang asing di sebuah rumah di Bandar Botanic di Klang, dalam serbuan Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, kelmarin, membongkar kegiatan sindiket pemerdagangan manusia yang dipercayai didalangi warga asing.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (II), Mohd Alias Ismail berkata, serbuan Op Serkap terhadap rumah berkenaan dilakukan kira-kira jam 11.45 pagi hasil risikan selepas pihaknya menerima maklumat awam mengenai kegiatan sindiket terbabit yang menjadikan kediaman itu sebagai markas operasi.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan seorang wanita warga China berusia 40 tahun sebelum pemeriksaan lanjut di rumah itu menemui 21 pasport China dan 10 pasport Vietnam.

"Setiba di lokasi, seorang anggota penguat kuasa terpaksa memanjat pagar untuk memasuki kawasan rumah berkenaan dan mengetuk pintu utama beberapa kali.

Foto

PENGUAT kuasa imigresen memeriksa pasport yang dijumpai dalam serbuan.


"Pintu kemudian dibuka seorang wanita sebelum saya yang juga ketua operasi memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan imigresen dan seterusnya mengarahkan anggota membuat pemeriksaan menyeluruh di kediaman itu," katanya.


Katanya, anggota yang melakukan penggeledahan turut menemui mata wang asing dari Amerika Syarikat, Hong Kong, Eropah, China dan Taiwan serta wang tempatan dengan jumlah dianggarkan lebih RM15,000.

"Wanita berkenaan kemudian ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dan turut disiasat mengikut Akta Anti Permerdagangan Orang dan Akta Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010).

"Siasatan akan dijalankan untuk mengetahui bagaimana sejumlah pasport dan mata wang asing berkenaan berada bersama wanita itu dan untuk tujuan apa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/04

Penyamun pecah masuk siang hari

Posted: 03 Oct 2013 02:27 PM PDT

Rawang: Sekumpulan lelaki sanggup membuka satu persatu skru pintu jeriji sebelum memasuki sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Green Park di sini, dan melarikan barangan berharga termasuk sebuah kereta mewah jenis BMW, kelmarin.

Difahamkan, kejadian itu berlaku antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang. Kumpulan lelaki terbabit tidak menjalankan kegiatan, samun seperti mana biasa seperti memotong mangga atau memecahkan tingkap tetapi dalam kejadian itu, skru pintu jeriji dibuka dengan sempurna.


Mangsa, Terry Yan, 37, berkata, dia kerugian lebih RM180,000 selepas kereta mewah yang baru dibeli sebulan lalu turut hilang.

"Pada hari kejadian, saya ke tempat kerja dengan menggunakan sebuah lagi kereta dan meninggalkan kunci kereta BMW itu di ruang tamu. "Saya percaya lelaki terbabit memasuki rumah ini melalui pagar hadapan, namun ia tidak disedari jiran. Sebaik tiba di rumah, saya mendapati pintu pagar terbuka, kereta tiada di anjung, malah pintu jeriji pula ditanggalkan dan diletakkan di atas sofa," katanya.


Berikutan kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Rawang.


Menurutnya, selepas memasuki rumah, dia mendapati ruang tamu dan bilik berselerak sementara pakaian disimpan di dalam almari turut dikeluarkan.

"Pemeriksaan mendapati beberapa barangan termasuk barang kemas, iPad dan pasport turut dilarikan dan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM4,000.


"Diharap sesiapa yang melihat kereta bernombor pendaftaran WPN 1919 dapat menghubungi balai polis berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/04

Besraya tutup laluan

Posted: 03 Oct 2013 02:27 PM PDT

Kuala Lumpur: Besraya (M) Sdn Bhd menutup lorong laju di kedua-dua arah jalan Istana menghala ke pusat bandar dan Seremban pada hari ini bagi memberi laluan kepada kerja mengemudi di Jalan Istana.

Syarikat itu dalam kenyataan akhbar semalam, memaklumkan waktu penutupan itu dijangka bermula dari jam 11 malam hingga 5 pagi dan penutupan sementara ini dikenakan ke atas semua jenis kenderaan.


Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda keselamatan dan had laju yang ditetapkan ketika melalui kawasan berkenaan.

Sementara itu, dalam kenyataan akhbar berasingan, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memaklumkan penutupan jalan di Lebuhraya Cheras-Kajang pada 6 Oktober ini bermula jam 11.30 malam hingga jam 5 pagi, keesokannya.


Laluan terbabit adalah persimpangan Saujana Impian, Jalan Cheras dan Kajang By Pass yang membabitkan persimpangan Jenaris/Sungai Kantan.


Orang ramai diminta merancang perjalanan lebih awal dan memberi kerjasama dengan mematuhi arahan lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/04

Suspek cuba lari

Posted: 03 Oct 2013 02:26 PM PDT

Kuala Lumpur: Polis berjaya mengesan suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian bunuh seorang wanita warga Indonesia di Kampung Changkat, Gombak kelmarin, dan kini berada di Johor.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, suspek berada di negeri itu dipercayai dalam percubaannya untuk melarikan diri ke Batam, Indonesia. "Bagaimanapun, motif pembunuhan masih dalam siasatan," katanya.


Dalam kejadian kelmarin, seorang wanita warga Indonesia yang dikenali sebagai Kasmawati, 48, ditemui terbaring dengan kesan jerut pada leher di dalam bilik tidur rumah sewa di Lorong Changkat Damai, Kampung Changkat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/04

No comments:

Post a Comment