Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Air tiada bisnes lingkup

Posted: 04 Oct 2013 01:15 PM PDT

Kuala Lumpur: "Sudah banyak kali aduan dibuat, namun pihak yang berkenaan buat tidak endah saja sehingga ramai peniaga di sini terpaksa tutup kedai kerana ketiadaan bekalan air," kata pemilik kedai makanan di Medan Selera Cheras di sini.

Seorang peniaga Muriadi Mohamad, 43, berkata, bekalan air di tempatnya berniaga mula terganggu sejak rabu minggu lalu, namun selepas seminggu, masih tiada sebarang tindakan diambil pihak berkenaan.

Jelasnya, dia dan peniaga lain sudah banyak kali menghubungi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), namun kecewa apabila tiada tindakan diambil.

"Apabila saya menghubungi mereka, mereka minta saya untuk menghubungi pihak lain. Setiap kali saya tanya mereka, itu saja lah jawapan yang mereka beri," katanya.

Foto

MURIADI menunjukkan bekalan air yang dipotong sejak seminggu lalu.

Foto

PENIAGA terpaksa mengangkat air dari rumah.


Berikutan masalah berkenaan, ramai peniaga yang tutup kedai sehingga menjejaskan pendapatan seharian mereka.


"Bayangkan setiap hari kami terpaksa angkat beberapa tong air dari rumah untuk memastikan kami dapat terus berniaga. Jika tidak, memang kami terpaksa tutup kedai," katanya.

Menurut Muriadi, dia pernah membuat aduan pada SYABAS, namun dia terkejut apabila dimaklumkan yang bekalan air terpaksa dipotong di kawasan berkenaan kerana DBKL tidak membayar bil air.

"Kami tidak pernah gagal membayar bil air kepada DBKL sebanyak RM20 sebulan seperti yang mereka minta," katanya.

"Saya hairan bagaimana DBKL boleh minta kami hubungi pihak lain sedangkan masalah berkenaan berpunca daripada tindakan mereka sendiri yang gagal menjelaskan bil air pada pihak SYABAS," katanya.

Jelas Muriadi, DBKL hanya datang melihat masalah mereka baru-baru ini selepas perkara berkenaan heboh diperkatakan di laman sosial Facebook (FB).

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS, Priscilla Alfred memaklumkan, tiada pemotongan bekalan air dibuat pihaknya di kawasan berkenaan seperti yang didakwa.

Beliau bagaimanapun menjelaskan gangguan bekalan air sejak dua hari lalu berikutan kerja-kerja pengalihan paip oleh IJM Corporation Berhad.

"Penutupan bekalan air terpaksa dibuat sejak dua hari lalu bagi membolehkan kerja-kerja Mass Rapid Transit (MRT) dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

Geng penyamun ajak 'main futsal'

Posted: 04 Oct 2013 01:14 PM PDT

Ampang: Umpan futsal. Itu taktik digunakan sekumpulan lelaki memperdaya dua remaja lelaki berusia 15 tahun sebelum menyamun mereka, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, dua remaja terbabit sedang bermain bola di bawah pangsapuri mereka di Jalan Pudu, Cheras, sebelum dihampiri sekumpulan lelaki yang menaiki kereta dan motosikal.


Menurut sumber, penunggang motosikal berusia 20-an itu kemudian mengajak mangsa bermain futsal. Mangsa bersetuju dengan ajakan itu dan diarah menaiki kereta rakan lelaki terbabit.

"Mangsa dibawa ke sebuah padang futsal di Pandan Perdana. Sebaik kedua-dua remaja itu keluar dari kereta, pemandu dan penunggang motosikal berkenaan terus memegang mereka," katanya.


Katanya, kedua-dua lelaki itu mengarahkan remaja itu menyerahkan barang berharga sekiranya tidak mahu dicederakan.


"Bagaimanapun seorang remaja itu enggan berbuat demikian menyebabkan dia dibelasah dan ditendang. Telefon bimbit dan wang tunai RM50 mangsa turut dirampas," katanya.

Bukan itu saja, mangsa turut dipaksa berlari mengelilingi padang sebelum lelaki itu melarikan diri.


Sumber berkata, mangsa kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

Temui ajal bertembung treler

Posted: 04 Oct 2013 01:13 PM PDT

Alor Setar: Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera parah apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Batu 5, Simpang Empat Kangkung, berhampiran sebuah stesen minyak, di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 8.15 pagi menyebabkan treler berkenaan terjunam ke dalam sungai di tepi jalan itu.


Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mohammad Izuwan Othman, 20, dari Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, manakala rakannya, Mohd Azri Ezal Firdaus Aziz, 18, berasal dari Kota Bharu, Kelantan, cedera parah di bahagian badan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Difahamkan, pemandu treler tanpa muatan itu turut cedera dan kini menerima rawatan di wad kecemasan HSB, di sini.


Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, kejadian berlaku apabila treler berkenaan bertembung dengan Proton Exora dari arah bertentangan.


Menurutnya, akibat pertembungan itu, pemandu kereta Proton Exora terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan, manakala rakannya yang cedera parah dikejarkan ke HSB bagi menerima rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

Derita sakit punggung terbongkar

Posted: 04 Oct 2013 01:12 PM PDT

Kuala Lumpur: Bagai melepaskan anjing tersepit. Itulah perumpamaan bagi menggambarkan perbuatan keji seorang lelaki apabila sanggup meliwat kanak-kanak yang juga anak kepada dua rakan baiknya yang juga sepasang suami isteri.

Lelaki berusia 25 tahun itu 'dikutip' pasangan suami isteri terbabit untuk tinggal bersama sejak sebulan lalu selepas dia dihalau dari rumah sewanya kerana gagal menjelaskan sewa bulanan.


Difahamkan, mangsa gagal menjelaskan sewa rumahnya selepas dibuang kerja kerana masalah disiplin. Namun, perbuatan keji lelaki terbabit terbongkar kira-kira jam 6.30 petang, Selasa lalu, apabila anak lelaki yang berusia lima tahun itu menceritakan kejadian menimpanya sebelum ibu bapanya yang berusia 27 tahun membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini.

Sumber berkata, mangsa pada mulanya mengadu sakit di bahagian punggung.


"Ibu mangsa membuat pemeriksaan terkejut apabila mendapati terdapat kecederaan sebelum mendesak menceritakan apa yang berlaku.


"Dalam ketakutan, mangsa memberitahu dia diliwat rakan baik ibu bapanya," katanya. Sumber itu berkata, berang dengan kejadian menimpa, pasangan suami isteri itu tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini. Sehubungan itu, pasangan suami isteri itu tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini.

Difahamkan, lelaki berkenaan masih belum ditahan, namun usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

Isteri berkemban bersama duda

Posted: 04 Oct 2013 01:11 PM PDT

Kota Kinabalu: Luluh hati seorang suami sebaik melihat isterinya hanya memakai tuala bersama lelaki lain dalam bilik hotel ketika diserbu penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), awal pagi semalam.

Wanita berusia 24 tahun itu dicekup bersama duda berusia 34 tahun di sebuah hotel di Sinsuran, di sini, kira-kira jam 1.30 pagi selepas suaminya membuat laporan mengenai salah lakunya.


Sumber berkata, ketika pintu bilik dibuka, suami wanita terbabit yang turut serta dalam serbuan itu terkedu apabila melihat isteri yang dikahwini setahun lalu hanya memakai tuala.

"Marah dan kecewa melihat perbuatan isteri, lelaki berusia 40-an itu melepaskan perasaan dengan menumbuk dinding bilik beberapa kali sebelum ditenangkan anggota polis yang turut serta dalam serbuan," katanya.


Menurutnya, kecurangan wanita terhadap suaminya bermula sejak enam bulan lalu apabila dia meninggalkan rumah dan memberi alasan mahu pulang ke kampungnya di Semporna.


"Sejak keluar rumah, dia tidak pernah menemui suami yang menetap di bandar raya ini. "Pelik dengan sikap isterinya, lelaki itu menjejaknya sebelum mendapat tahu wanita itu menjalinkan hubungan sulit dengan seorang lelaki yang juga dari Semporna.

Foto

WANITA terbabit disoal pegawai JHEAINS.

"Sebaik mengetahui isterinya kerap bersama kekasih lain di hotel murah, suami terbabit melaporkan perkara itu kepada JHEAINS," katanya.


Sementara itu, Penolong Penguat Kuasa JHEAINS Khamis Jamil berkata, berdasarkan aduan, pihaknya bersama tiga anggota polis bergegas ke lokasi dimaksudkan bagi menjalankan serbuan.

"Selepas mengetuk pintu bilik beberapa kali, seorang lelaki yang hanya memakai tuala membuka pintu itu.


"Ketika disoal, lelaki terbabit mengaku bermalam dengan wanita yang didakwa tunangnya," katanya.


Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menemui wanita terbabit di dalam tandas dengan hanya memakai tuala sebelum diarah keluar.


"Siasatan lanjut mendapati pasangan itu tidak mempunyai sebarang ikatan dan wanita itu juga masih berstatus isteri orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

No comments:

Post a Comment