Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Laluan berliku Arsenal

Posted: 05 Oct 2013 11:22 AM PDT

London: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menjangkakan anak buahnya bakal mengharungi laluan penuh berliku apabila bertandang ke West Bromwich Albion, malam ini.

Gunners sedang dalam usaha untuk melakar kemenangan ke-11 berturut-turut musim ini - dalam semua pertandingan - dan mahu menjadikan kelab The Hawthorns itu mangsa seterusnya.

Tetapi, mereka memerlukan penentuan penalti sebelum muncul pemenang pada perlawanan menentang Baggies di Piala Liga baru-baru ini.

West Brom mencatat kejutan terbesar musim ini apabila mereka menang 2-1 ke atas juara bertahan, Manchester United minggu lalu.


"Mereka pasukan yang kuat dan mempunyai pemain hebat," kata Wenger.


"Saya perhatikan aksi mereka ketika bermain di Manchester United. Mereka mempunyai pemain berpengalaman dan justeru, sukar untuk kami menjangkakan sesuatu pada pertemuan malam esok (ini)."

Sementara itu, Wenger enggan mengulas mengenai Jack Wilshere selepas pemain tengah England itu dilihat memegang sebatang rokok di luar sebuah kelab malam di London - walaupun pemain itu mengatakan gambar berkenaan adalah palsu serta menegaskan dia bukan seorang perokok.

Wilshere masuk sebagai pemain gantian ketika kemenangan 2-0 Arsenal ke atas Napoli pada saingan Liga Juara-Juara dan beliau memberikan rehat sehari kepada semua pemainnya selepas itu.

Tetapi Wenger tidak terkejut dengan kelakuan Wilshere dan berkata: "Saya tidak bersetuju dengan kesilapan seperti itu. Ada dua perkara iaitu sebagai pemain bola sepak, anda adalah contoh dan satu lagi, anda pastinya tidak mahu melakukan sesuatu yang boleh merosakkan tubuh anda sendiri.

"Ada perkara yang berbeza di England," kata pengendali Perancis itu.

"Anda tidak perlu memberitahu mengenai perkara itu kepada saya kerana sepanjang berjalan ke sana dan ke sini selaku jurulatih di Perancis, saya pernah melihat pemain menghisap rokok.

"Ramai pemain berbuat demikian (merokok). Tetapi keadaan sudah berubah dan semua mereka sedar mengenai kesihatan terutamanya bagi pemain bola sepak."

Wilshere mungkin sekali lagi bakal menjadi pemain simpanan tetapi satu-satunya pemain yang tidak boleh disenaraikan ialah Bacary Sagna yang dilanda hamstring.

Pengurus West Brom Steve Clarke berkata, beliau mungkin menurunkan Saido Berahino pada pertemuan menentang Arsenal.

Pemain skuad bawah 21 tahun England itu masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol kemenangan di Old Trafford minggu lalu.

Tetapi West Brom bakal kehilangan Scott Sinclair dan Matej Vydra akibat hamstring manakala Shane Long mengalami masalah lutut selain Victor Anichebe yang cedera di pangkal paha dan bekas penyerang Arsenal, Nicolas Anelka cedera di kaki. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

Terima rumah, kereta

Posted: 05 Oct 2013 11:21 AM PDT

Yangon, Myanmar: Pingat emas bola sepak Sukan SEA ke-27 mampu menjadi batu loncatan untuk hidup yang lebih mewah buat semua pemain pasukan Bawah 23 Myanmar.

Impian itu mungkin bukan mudah untuk dilaksanakan namun persiapan yang sedang giat dilakukan menjanjikan peluang untuk mereka merealisasikan sasaran berkenaan.

Setakat ini, berdasarkan persetujuan awal, pemain mungkin bakal menerima sebuah rumah dan kereta setiap seorang andai berjaya memenangi Ibu Emas temasya edisi ke-27 itu.

Bagaimanapun, tidak mustahil hidup mereka bakal berubah dan menerima lebih daripada apa yang dipersetujui itu andai berjaya melakukannya.


Pengurus pasukan Soe Moe Kyaw berkata, hidup mereka sudah berubah kerana pemain kini menerima elaun yang jauh lebih tinggi berbanding atlet lain.


"Mereka menerima elaun harian AS$25 (RM79) sehari selain hidangan makanan sehari bernilai AS$30 (RM95).

"Satu saja yang mereka perlu lakukan, tumpukan sepenuh perhatian kepada bola sepak, meningkatkan persembahan menjelang temasya hujung tahun ini," katanya.

Negara Asia Tenggara mungkin perlu memberi perhatian terhadap projek pembangunan yang dilaksanakan Myanmar pada masa ini.

Pada 2009, Persekutuan Bola Sepak Myanmar (MFF) mula menganjurkan liga profesional dan tiga tahun kemudian mengembangkan saingan kepada dua divisyen.

Kehadiran Presiden Zaw Zaw umpama satu sinar untuk bola sepak Myanmar.

"Seperti majoriti rakyat Myanmar, presiden kami gilakan bola sepak. Ada saja rancangan yang beliau minta ahli jawatankuasa laksanakan.

"Kami tidak perlu risaukan dana kerana setiap program yang akan bermula, beliau pastikan dana disediakan secukupnya."

Contoh terbaik ialah pembinaan padang baru di Stadium Pusat Latihan Remaja, Yangon yang bakal menjadi medan saingan salah satu kumpulan Sukan SEA.

MMF membelanjakan AS$700,000 (RM2.2 juta) untuk menggantikan padang lama. Selain itu sistem lampu limpah turut ditukar dan stadium dengan kapasiti 35,000 tempat duduk itu kini memiliki pencahayaan 1,200 lux, sejajar dengan syarat ditetapkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

MMF sememangnya memerlukan jumlah dana yang besar untuk membangunkan bola sepak tempatan kerana sejak 44 tahun yang lalu, tiada perancangan terperinci yang dilaksanakan.

Kini tenaga pengurusan berusaha mencongak masa depan bola sepak negara itu untuk mencabar kuasa besar Asia Tenggara dan Asia.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) turut menghulurkan bantuan apabila menyerahkan geran kepada MMF untuk menganjurkan program membabitkan pelajar sekolah berusia kurang 12 tahun.

"Kami memilih 15 sekolah seluruh negara dan 30 hingga 45 bakat muda menyertai program ini.

"Myanmar negara tunggal seluruh Asia terpilih melaksanakan program ini dan saya yakin ia bakal membantu kami membangunkan sukan ini di peringkat akar umbi."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

Tak kisah terima RM327 sebulan

Posted: 05 Oct 2013 11:19 AM PDT

Nay Pyi Thaw, Myanmar: Meskipun hanya menerima MMK100,000 (RM327) sebulan, sukarelawan Sukan SEA, Hsu Mong A Suey tetap gembira menabur bakti untuk menjayakan temasya sukan pertama yang dianjurkan negaranya dalam tempoh 44 tahun.

Bagi Hsu Mong, bakti yang disumbang untuk menjayakan temasya dwi-tahunan itu lebih bermakna berbanding elaun yang diterimanya sejak mula berkhidmat hampir setahun lalu.


"Bukan mudah untuk tersenarai sebagai sukarelawan Sukan SEA. Kami ditemuduga dan mereka yang terpilih perlu menduduki beberapa peperiksaan.

"Hanya mereka yang lulus saja akan berada dalam senarai akhir untuk berkhidmat memastikan kelancaran temasya sukan ini," katanya.


Menurutnya, pengurusan menyediakan keperluan asas seperti makanan, pengangkutan dan tempat tinggal untuk semua sukarelawan.


"Duit yang kami peroleh adalah untuk perbelanjaan peribadi. Dalam erti kata lain ia lebih daripada mencukupi untuk perbelanjaan kami setiap bulan." Bagaimanapun, jika ingin kekal berkhidmat selepas temasya berakhir, Hsu Mong perlu membuat permohonan lain.

"Ini bukan kerja tetap, hanya sukarela. Jika ingin terus berkhidmat di kawasan kompleks sukan yang dibina, kami perlu melalui satu lagi proses pengesahan jawatan," kata gadis dari Yangon itu.


Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa Majlis Olimpik Myanmar Dr Myat Thu Ya Soe berkata, hampir 3,000 sukarelawan dilantik bagi melancarkan perjalanan temasya Sukan SEA hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

Hanya 25 bulan

Posted: 05 Oct 2013 11:19 AM PDT

Nay Pyi Thaw, Myanmar: Kerajaan Myanmar mungkin mencipta rekod baru apabila membangunkan dua kompleks sukan dalam tempoh hanya 25 bulan.

Di ibu negara baru negara itu, Nay Pi Thaw, dua kompleks sukan - Wunna Theikdi dan Zeyar Thiri - kini tersergam indah bagi menanti ribuan atlet yang bakal mempersembahkan aksi masing-masing pada temasya dwitahunan, Sukan SEA ke-27 dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 22 Disember nanti.

Kedua-dua kompleks berkenaan memiliki tiga stadium utama yang menempatkan kelengkapan olahraga sekali dengan padang bola sepak, stadium akuatik yang memiliki dua kolam renang dan stadium tertutup, tiga dewan besar.

Wunna Theikdi yang dibangunkan di kawasan seluas 1,000 ekar itu turut dilengkapi Pusat Media Antarabangsa (MPC) dan Perkampungan Sukan.

Foto

REKA bentuk kompleks sukan seperti Stadium Beijing.


Kemudahan WiFi turut disediakan bagi semua wakil media yang bakal hadir membuat liputan dan ia akan dinaik taraf daripada khidmat 3G ke 4G LTE sebelum temasya berlangsung.


Timbalan Menteri Sukan Myanmar Zaw Winn (gambar) berkata, negaranya sudah menganjurkan 13 Kejohanan Pra Sukan SEA untuk menguji gelanggang pertandingan.

"Kami akan mengadakan 15 lagi pertandingan seumpama itu sepanjang bulan ini.

"Kami akan pastikan semua tetamu yang hadir pada temasya ini pulang dengan hati yang puas," katanya.

Temasya bertemakan Hijau, Bersih dan Setiakawan itu tertumpu di bandar pentadbiran baru negara berkenaan dan Myanmar memasang cita-cita besar untuk memastikan dua kompleks sukan yang dibina itu tidak menjadi projek gajah putih selepas Sukan SEA berakhir nanti.

Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa Majlis Olimpik Myanmar Dr Myat Thu Ya Soe berkata, pelbagai perancangan sudah diatur bagi memastikan kompleks sukan berkenaan digunakan pada tahap maksimum.

"Kami bercadang menawarkan diri untuk menganjurkan beberapa temasya sukan peringkat remaja dan elit. Selain itu, tidak mustahil pada satu hari nanti, kami berpeluang menganjurkan Sukan Asia atau lebih besar, Olimpik.

"Ini satu permulaan bagus untuk warga Myanmar dan masih banyak yang boleh kami lakukan untuk membangunkan sukan negara ini," katanya.

Daripada 35 sukan dianjurkan, tujuh bakal berlangsung di Yangon, bola sepak wanita di Mandalay, perahu layar di pantai Ngwe Saung manakala bakinya di sekitar Nay Pi Thaw.

Myanmar bagaimanapun tidak menetapkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan temasya kali ini.

"Memadailah jika kami berjaya memperbaiki pencapaian edisi ke-26 di Indonesia," kata Zaw Winn.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

Intai kegemilangan

Posted: 05 Oct 2013 11:16 AM PDT

Kuala Lumpur: Ramai golongan muda di Malaysia lebih berminat bermain bola sepak malah mereka boleh berlari apabila bermain sepanjang 90 minit tetapi tidak ramai yang mahu menceburkan diri dalam acara larian jarak jauh.

Itu rumusan yang diberikan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Aziz yang menyifatkan proses pencarian atlet berkualiti di Malaysia perlu dilihat kepada minat seseorang.


"ISN dan Majlis Sukan Negara (MSN) memberi fokus kepada pelbagai bidang sukan dilaksanakan mengikut garis panduan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Apabila persoalan sama ada kita mencari pelari maraton ia juga bermakna kita turut bercakap mengenai proses pencarian bakat sukan. Acara larian jarak jauh bukan salah satu kelebihan kerana faktor latar dan pembangunan pelari dalam jangka panjang perlu diambil kira.

"Fakta larian membuktikan pelari Kenya memiliki jenis otot, jantung lebih besar dan kapasiti berlari jarak jauh lebih baik jika dibanding pelari kita. Mereka dibesar dalam altitud lebih tinggi dan berlari ke sana dan ke sini adalah cara hidup mereka. Altitud di Malaysia tidak cukup tinggi berbanding asal-usul atlet maraton Kenya. Ramai pula antara mereka kemudian berhijrah ke luar negara, mendapat biasiswa pengajian tinggi, mendapat tajaan dan berlatih dengan jurulatih bagus.


"Kita jangan sangka mereka berlari turun bukit seperti di padang pasir kerana mereka memiliki sains sukan maraton mencakupi pelbagai aspek yang dibentuk berasaskan fizikal dan kemampuan mereka.


"Apapun kita ada cara sendiri dalam membentuk atlet berdasarkan kemampuan dan potensi atlet kita," katanya mengulas mengenai sains fisiologi dimiliki pelari jarak jauh Kenya yang menguasai larian maraton antarabangsa termasuk di Kuala Lumpur minggu lalu.

Bagi Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong, proses melahirkan pelari jarak jauh dan sederhana dilaksanakan berterusan dan tidak terhenti pada satu peringkat.


Ia bergantung kepada atlet, sama ada mereka memiliki ketahanan untuk berlari dalam tempoh panjang.

Beliau berkata, ketandusan bakat pelari jarak jauh sekarang memang dirasai sekarang berbanding zaman gemilang lebih 20 tahun lalu.


Katanya, pencarian bakat disiplin itu tetap dilaksanakan menerusi program MSN bersama Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).


"Saya sendiri berharap kita akan kembali semula ke zaman gemilang kita dalam acara jarak sederhana dan jauh seperti 800 meter (m), 1,500m, 5,000m dan 10,000m. Kita sudah lama rindukan pelari hebat seperti M Ramachandran yang juga jaguh acara 10 kilometer (km) dan 21km yang tiada tandingan dan kita masih mencari pelari berkualiti seperti itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

'Pescao' makin matang

Posted: 05 Oct 2013 11:15 AM PDT

Kuala Lumpur: Semakin matang dan petah berkomunikasi. Itulah yang dapat disimpulkan mengenai pelumba muda Hafizh Syahrin Abdullah atau popular dengan gelaran 'Pescao' hadir dengan semangat tinggi mahu memberikan hadiah terbaik buat peminat Malaysia apabila beraksi dalam kelas Moto2 pada perlumbaan MotoGP 2013 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) minggu depan.

Riak wajah dan pertuturannya membuktikan pengalaman dan pendedahan diraih di luar negara bukti dia sememangnya fokus mahu mencapai cita-cita bergelar pelumba profesional.


Hadir bersama pengurus berpengalaman Barry Leong yang mengesan bakat Hafizh dalam perlumbaan 'Pocket Bike' sejak berusia 9 tahun, Hafizh berkata, dia seronok menimba pengalaman berlumba pelbagai perlumbaan di luar negara. "Sudah tentu diri saya sekarang dan dua tahun atau beberapa tahun sebelum ini berbeza. Saya mahu terus ke depan dan membuktikan pelumba Malaysia setanding dengan pelumba luar," katanya.

"Dengan mentaliti ibarat 'mendapat satu peluang saja' pendedahan bertarung bersama barisan pelumba berusia belasan tahun Eropah dalam Kejuaraan CEV Moto2 Sepanyol sejak 2012. Tiga penyertaan 'wild card' di Catalunya serta Le Mans tahun ini dan Sepang tahun lalu membuat semangat semakin membara bersaing pada peringkat kejuaraan antarabangsa.


"Sasaran utama kini adalah cuba mendapatkan lebih penyertaan 'wild card' dalam MotoGP terutamanya tidak mahu berputih mata dengan slot berlumba di salah satu sirkit kegemaran saya di Valencia pada pusingan terakhir MotoGP tahun ini. "Kami masih membuat rayuan untuk membolehkan saya dan pasukan Malaysia menyertai musim penuh Moto2 kejuaraan dunia tahun depan. Impian saya adalah berada dalam MotoGP dengan Moto2 adalah kelas sesuai mendapat pendedahan terbaik," katanya.


Hafiz berkata, perlumbaan Moto2 Sepanyol dan Moto2 dalam MotoGP memberikan cabaran baru terutamanya daripada segi pelarasan, geometri dan saiz tayar digunakan.

"Jika di Sepanyol tayar Michelin yang kami gunakan lebih besar, Moto2 dalam MotoGP menggunakan jenama Dunlop yang lebih kecil. Kategori ini memang mencabar disebabkan kuasa enjin sama dan kerangka yang tidak banyak berbeza dengan pelumba lain. Yang membezakan antara pelumba depan dan belakang bergantung kepada kepantasan masuk dan keluar selekoh," katanya.


Ditanya pendedahan dalam Moto2 kejuaraan Dunia, pelumba Petronas Raceline Malaysia itu berkata: "Sudah tentu lebih baik. Dalam Kejuaraan Moto2 Sepanyol, saya berlumba tujuh pusingan pada 2012 dan 9 pusingan tahun ini sedangkan Moto2 Dunia menawarkan 18 pusingan di pelbagai sirkit serata dunia." Barry berkata Hafizh memerlukan lebih banyak pendedahan di pelbagai kejohanan antarabangsa. "Dia ibarat pelajar sekolah yang menduduki peperiksaan. Sekarang dia (Hafizh) baru membaca 50 muka surat dan masih ada 50 muka surat lagi perlu dihabiskan kerana jika tidak ilmu berlumba tidak cukup. Saya harap Hafizh menjejak podium di Sepang minggu depan sekali gus memberikan kegembiraan kepada peminat permotoran Malaysia kerana tahun lalu dia berada di tempat keempat sekalipun berlepas daripada petak ke-26," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

Zaqhwan pamer belang

Posted: 05 Oct 2013 11:14 AM PDT

Temerloh: Mohd Zaqhwan Zaidi membuktikan kemampuannya selaku pelumba yang perlu diperhatikan pada Kejuaraan Cub Prix PETRONAS AAM Malaysia apabila penunggang Givi Honda Yuzy Pachie itu mencatat masa terpantas sesi latihan kategori CP130 semalam.

Zaqhwan mencatat masa terpantas sepusingan 49.227 saat di atas litar sepanjang 0.981 meter itu - 0.310 saat di depan Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang menduduki tempat kedua dengan catatan 49.537 saat.


Sementara itu, Mohd Affendi Rosli (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) merakam masa ketiga terpantas dengan 49.587 saat.

Kebetulan, ketiga-tiga pelumba yang mencatat masa terpantas itu adalah pelumba sama yang mengungguli perlumbaan di Kluang (pusingan keenam) dua minggu lalu.


"Ini adalah kali kelima saya mencatat masa terpantas tahun ini dan seronok apabila mengetahui kita masih mendapat rentak," kata Zaqhwan, 18.


"Kami berdepan sedikit masalah dengan suspensi dan cengkaman tayar kerana permukaan litar sedikit licin kerana sudah agak lama tidak digunakan. Tidak terkecuali cuaca panas yang menambah rencah perlumbaan di sini. Begitupun, pasukan berjaya menyediakan jentera yang sesuai untuk digunakan kali ini.

"Saya harap kami dapat mengekalkan momentum sama untuk pusingan kelayakan dan perlumbaan sebenar nanti. Kedudukan baik sebelum perlumbaan sebenar adalah penting kerana laluan di sini menyukarkan pelumba untuk memintas pelumba di depan," kata Zaqhwan yang sedang menduduki tangga keempat keseluruhan selepas mengumpul 73 mata.


Selain Zaqhwan, Affendi dan Ramdan, pelumba kategori CP130 lain yang turut menyerlah ialah Norizman Ismail, Elly Idzlianizar Ilias, Ahmad Fuad Baharudin, Ahmad Fazli Sham, Mohd Adib Rosley, Abdul Muhaimin Roslan dan Mohd Zamri Baba.

Sementara itu, Mohd Izzat Zaidi Salehan mencatat masa terpantas kategori CP115 pada sesi latihan semalam.


Pelumba Motul Yamaha YY Pang itu muncul pelumba tunggal yang mencatat masa di bawah 49 saat kategori berkenaan dengan catatan 49.894 saat manakala rakan sepasukannya dari Sarawak, Ahmad Abdul Kadir mencatat masa kedua terpantas 50.314 saat.


Pelumba yang berada di tempat ketiga ialah wakil PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM, Mohd Hafiz Nor Azman. Juara WIRA 2012 itu merakam 50.331 saat.


Khairul Idham Pawi dari Hyperspeed YAM Honda Racing mendominasi sesi latihan kategori WIRA dengan catatan 50.843 saat diikuti pelumba Warner Pumps-YSP, Mohd Shafiq Rasol dan Mohd Hafiza Rofa yang mencatat 51.033 saat serta 51.527 saat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

Kemarau pelari tahan lasak

Posted: 05 Oct 2013 11:13 AM PDT

Kuala Lumpur: Malaysia kekurangan pelari maraton dan jika adapun, mereka kurang ketahanan berlari jarak jauh.

Persoalan itu tidak mengejutkan tetapi perlu dijawab secara jujur dan terbuka kerana acara jarak jauh bukanlah boleh disertai semua orang.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, penguasaan atlet luar terutamanya dari Kenya dalam acara maraton dan separa maraton tidak harus dijadikan isu untuk mengkritik atlet negara.

Zainal berkata, penguasaan pelari dari benua Afrika seperti Kenya dan Habsyah berlaku di mana-mana saja maraton yang mereka sertai di serata dunia.


"Saya rasa tidak adil membandingkan pelari maraton Malaysia dengan mereka. Jika dilihat statistik dan penyertaan pelari dari benua Afrika setiap tahun, pelari mereka sentiasa dalam kedudukan pemenang," katanya.


"Cuba anda lihat maraton Boston, maraton London, maraton Berlin dan pelbagai maraton berprestij lain di dunia, kita akan lihat pelari Kenya atau negara Afrika lain pasti jauh meninggalkan pencabar.

"Pelari terbabit memang dianugerahkan bakat semula jadi dan unggul menguasai acara jarak jauh tanpa tandingan."

Menurut Zainal, Malaysia turut mempunyai pelari maraton yang menyertai pertandingan antarabangsa.

"Sudah tentu ada tetapi pelari kita berada dalam kedudukan puluhan atau ratusan selepas satu-satu maraton berakhir.

"Ada pelari Malaysia menyertai maraton antarabangsa tetapi tidak berada dalam kedudukan 10 teratas.

"Bahkan ada juga pelari handalan Eropah atau Amerika Selatan juga bergelut menyaingi pelari benua Afrika yang bukan senang ditewaskan setiap kali mereka hadir dalam maraton besar," katanya.

Mengenai persoalan sama ada KOM mempunyai program melahirkan pelari maraton berkualiti, Zainal berkata, program sedia ada tidak cukup membentuk pelari kompetitif bertaraf dunia.

"Proses membentuk pelari maraton bukan ibarat petik jari semua jadi. Kita ada pelbagai program pembangunan atlet, persoalan sekarang adalah apakah corak latihan, pendedahan, infrastruktur, sokongan moral, kemahuan dan kesanggupan serta pelbagai aspek lain cukup kerana banyak lagi perlu ditingkatkan dan perlu konsisten. Isu ganjaran bukan masalah kerana hadiah Maraton KL disertai 4,000 pelari terbuka untuk dimenangi sesiapa saja dan pelari terbukti lebih bagus akan membawa pulang hadiah kemenangan terbabit.

"Melahirkan pelari maraton ibarat melahirkan sebuah kereta tahan lasak. Fokus kita lebih banyak tertumpu kepada acara lain dan terbukti kita pernah melahirkan pelari 400 meter (m), 800m dan 1,500m yang hebat.

"Kita masih ada aura itu tapi tidak tahu bila kita akan kembali ke tahap kecemerlangan sebelum ini. Bukan saya kata kita tidak bagus tetapi mungkin masanya sudah tiba kita meningkatkan prestasi sukan kita semula."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

Perlu menang di tempat lawan

Posted: 05 Oct 2013 11:08 AM PDT

London: Juan Mata percaya Chelsea perlu mula mencatat kemenangan di tempat lawan andai mahu mengejar kedudukan selaku pencabar utama Liga Perdana Inggeris musim ini.

Kunjungan ke Carrow Road untuk berdepan Norwich City malam ini memberikan peluang terbaik buat anak buah Jose Mourinho mengumpul tiga mata yang dicari.


Dan Mata - yang kembali disenaraikan selepas diketepikan sebelum ini - yakin kelab Stamford Bridge itu akan mengetepikan cabaran anak buah Chris Hughton.

Kekalahan di tangan Bayern Munich pada Piala Super Eropah, tewas di tangan Everton pada saingan Liga Perdana dan Basel pada saingan Liga Juara-Juara cukup mengejutkan skuad bimbingan Jose Mourinho itu.


Tetapi selepas kembali mencatat kemenangan ke atas Fulham dan keputusan seri di Tottenham Hotspur, Chelsea mula mempamer aksi membanggakan di Steaua Bucharest sekali gus menghidupkan peluang mereka pada saingan Eropah.


"Saya rasa mood kami sudah bertambah baik selepas tiga perlawanan terakhir yang kami lalui ini," kata Matta.

"Kami menang dua daripadanya dan seri ketika menentang Tottenham selepas bermain baik di babak kedua. Justeru, kami perlu meneruskan persembahan seperti ini sebelum musim ini berhenti rehat untuk kelayakan Piala Dunia.


"Kami perlu memenangi perlawanan di tempat lawan secepat mungkin. Jika kami mahu mencabar liga musim ini, kami perlu menang perlawanan di tempat sendiri dan tidak boleh tercicir mata di tempat lawan.

"Memang sukar setiap kali aksi di tempat lawan terutamanya menentang pasukan seperti Norwich yang terkenal dengan aksi cemerlang di tempat sendiri tetapi kami cukup bagus untuk menanganinya." Keputusan Mourinho untuk mengetepikan Mata mengejutkan pemain perancang Sepanyol itu yang bimbangkan kedudukannya di dalam skuad kebangsaan.


"Saya gembira dengan corak permainan kami sepanjang tiga perlawanan lalu," kata Mata.


"Saya gembira dapat kembali ke skuad kebangsaan Sepanyol kerana impian saya ialah untuk beraksi di Piala Dunia." Samuel Eto'o akan memimpin barisan depan Chelsea di Norwich bagi menggantikan Fernando Torres yang digantung kerana dilayangkan kad merah minggu lalu dan Mourinho sedar pasukannya perlu menang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

Vettel di petak utama

Posted: 05 Oct 2013 11:07 AM PDT

Yeongam, Korea Selatan: Pendahulu kategori pelumba, Sebastian Vettel dari Red Bull bakal memulakan Grand Prix Korea daripada petak utama selepas mencatat masa 1 minit 37.202 saat pada sesi kelayakan semalam diikuti Lewis Hamilton dari Mercedes yang merakam 1 minit 37.420 saat.

Rakan sepasukan Vettel, Mark Webber mencatat masa ketiga terpantas ketika sesi kelayakan tetapi dikenakan penalti 10 petak sekali gus menyaksikan dia bakal memulakan perlumbaan daripada petak ke-13.


Romain Grosjean dari Lotus mencatat masa keempat terpantas di Litar Yeongam, mengatasi rakan sepasukan Hamilton, Nico Rosberg.

Kedua-dua mereka akan berlumba bermula daripada barisan kedua selepas Webber dikenakan penalti apabila melakukan kesalahan ke atas pelumba Ferrari, Fernando Alonso ketika Grand Prix Singapura dua minggu lalu.


Alonso yang menjadi pencabar utama Vettel untuk kategori pelumba tetapi masih ketinggalan 60 mata di belakang dengan baki enam perlumbaan, mencatat masa keenam terpantas.


Rakan sepasukannya, Felipe Massa, Nico Hulkenberg dan Esteban Gutierrez - kedua-duanya dari Sauber - serta pelumba Lotus, Kimi Raikkonen masing-masing melengkapkan kedudukan di 10 petak di Grand Prix Korea hari ini.

Andai menang, Vettel, 26, mencerahkan harapannya untuk muncul juara musim ini - gelaran juara dunia yang keempat baginya sepanjang terbabit dengan Formula Satu.


Pemandu Jerman itu dilihat menggenggam tangannya serta menunjukkan isyarat nombor satu sejurus melepasi garisan penamat pada sesi kelayakan semalam.

Dia juga dilihat bergurau dengan rakan sepasukannya dari Australia, Webber - senario yang jarang disaksikan terutama selepas kedua-duanya sering bertelagah sejak awal musim apabila Vettel tidak mempedulikan arahan pasukan dengan memintas Webber ketika Grand Prix Malaysia.


"Seperti yang dijangka, Mercedes memang pasukan kuat. Saya rasa mereka selesa berada di tengah kerana ia akan menjadikan perlumbaan lebih sengit," kata Vettel yang menjadi pelumba pilihan untuk menang terutama selepas muncul juara pada tiga perlumbaan sebelum ini.


"Jentera kami berada dalam keadaan baik minggu ini. Semalam jentera kami berdepan sedikit masalah iaitu ketika sesi latihan. Tetapi hari ini kami gembira dengan apa yang kami capai." Vettel juga tidak bimbang dengan ramalan cuaca yang mengatakan hujan mungkin melanda litar pada perlumbaan sebenar hari ini.


"Ia tidak akan memberi masalah buat saya," katanya selepas mendapat tahu penganjur menjangkakan 40 peratus ramalan mengatakan perlumbaan itu bakal dicemari hujan.


Begitupun, bekas juara dunia, Jenson Button dan Sergio Perez dari McLaren masih belum dapat mengatasi masalah masing-masing apabila gagal menempatkan diri di kalangan 10 pelumba terbaik di sesi kelayakan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

No comments:

Post a Comment