Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Bayern ada kelas

Posted: 03 Oct 2013 11:55 AM PDT

Manchester: Juara bertahan Bayern Munich membuktikan mereka masih lagi pasukan yang perlu dikalahkan dalam kempen Liga Juara-Juara apabila menang 3-1 ke atas Manchester City di Stadium Etihad, awal pagi semalam.

Beraksi di England buat kali pertama sejak menewaskan Borussia Dortmund pada final musim lalu, skuad kendalian Pep Guardiola itu memberikan pengajaran berguna buat City dengan mempamerkan permainan menyerang menarik bagi menguasai Kumpulan D.

Kesilapan penjaga gol, Joe Hart membantu Franck Ribery menghadiahkan gol pendahuluan pasukan pelawat pada minit ketujuh dan mereka menambah lagi jaringan menerusi Thomas Mueller dan Arjen Robben pada babak kedua.

Pemain gantian Alvaro Negredo menyumbat gol pada minit ke-80 sebelum bekas pemain City, Jerome Boateng menerima kad merah kerana menjatuhkan Yaya Toure di gelanggang yang menyaksikan mereka menumpaskan musuh setempat Manchester United 10 hari lalu.

Foto

MUELLER (kanan) mudah melepasi Hart untuk jaring gol kedua Bayern.


"Saya amat gembira dengan persembahan pemain pada perlawanan ini," kata Guardiola.


"Kami sudah mengumpul enam mata dan di landasan tepat untuk layak ke pusingan seterusnya. Saya fikir kami menguasai sepenuhnya permainan."

Kemenangan itu membolehkan Bayern memiliki kelebihan tiga mata di tangga teratas kumpulan dan membuatkan City menanggung kekalahan pertama di gelanggang sendiri dalam kancah Eropah sejak 2008, empat hari selepas mereka tumpas mengejut 2-3 di Aston Villa.

Pemain pertahanan City Micah Richards berkata "mereka bagaikan mempunyai pemain tambahan" manakala pengurus Manuel Pellegrini mengaku pasukannya gagal menyaingi kehebatan lawan mereka itu.

"Kami bermain dengan teruk," katanya.

"Ia bukan pasukan yang kami lihat setiap hari Ahad dalam Liga Perdana dan kerana itu saya anggap ini permainan terburuk.

"Saya tahu Bayern akan menguasai permainan dan ia bukan hari yang baik buat kami." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/04

Pantau rawatan Wan Zack

Posted: 03 Oct 2013 11:50 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain muda negara Wan Zack Haikal Wan Noor tiba di tanah air semalam dari Jepun selepas mendapat kebenaran kelabnya FC Ryukyu untuk mendapatkan rawatan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialaminya ketika sesi latihan Selasa lalu.

Perkara itu disahkan jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee yang mahu pemain berusia 22 tahun itu menjalani rawatan rapi segera di negara ini untuk mengetahui sejauh mana tahap kecederaan itu.

"Zack (Wan Zack Haikal) sudah sampai di Kuala Lumpur tadi (semalam) dan dia akan menjalani ujian pemeriksaan dengan doktor pakar esok (hari ini) bagi mengetahui lebih lanjut tahap kecederaan dialaminya. Dia kembali ke sini atas permintaannya sendiri dan mendapat kebenaran pihak FC Ryukyu.

"Pada saya lebih baik dia menjalani rawatan di sini kerana memudahkan kami untuk memantau keadaannya dan kita juga mempunyai doktor pakar bagi rawatan pemulihan nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Foto

KIM Swee berpendapat lebih elok Wan Zack terima rawatan di Malaysia.


Kecederaan Wan Zack Haikal memberikan perkhabaran buruk buat skuad kebangsaan yang mengharapkan pemain sayap lincah itu akan dapat beraksi bersama bagi perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Shenzen, China 9 Oktober ini sebelum menentang Bahrain pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015 pada 15 Oktober di Stadium Shah Alam.


Mengikut laporan awal, kecederaan ACL itu bakal menyebabkan pemain kelahiran Maran, Pahang itu tidak dapat beraksi dalam tempoh enam hingga sembilan bulan sekali gus menyaksikan peluangnya untuk mewakili skuad bawah 23 tahun negara ke Sukan SEA Myanmar, Disember ini lebur.

Menurut Kim Swee, Wan Zack Haikal akan menjalani rawatan di Malaysia hingga pulih sepenuhnya dan pengendali itu masih mengharapkan keajaiban agar pemain terbaik kejohanan Pestabola Merdeka itu dapat bersama skuad negara ke Myanmar bagi misi mempertahankan pingat emas.

"Dia akan berada di sini hingga betul-betul sembuh. Walaupun dia dibenarkan pulang, gaji dan segala perbelanjaan rawatan ditanggung kelabnya. Kita tunggu dulu laporan doktor dan selepas itu baru kita boleh tahu sama ada dia boleh bermain (Sukan SEA) atau tidak," katanya.

Wan Zack Haikal menandatangani kontrak dua tahun dengan FC Ryukyu yang juga kelab bahagian tiga Jepun, Mac lalu bersama dengan seorang lagi pemain pertahanan Nazirul Naim Che Hashim yang kini masih kekal bersama kelab itu hingga kontraknya tamat hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/04

Kapten Perak pilih FELDA?

Posted: 03 Oct 2013 11:47 AM PDT

Ipoh: Kapten Perak, Shahrulnizam Mustapha antara pemain yang mahu memilih haluan berbeza bagi menghadapi musim depan.

Sumber memberitahu pemain tengah berpengaruh itu dikaitkan dengan pemergian ke FELDA United, salah sebuah pasukan yang berbelanja besar membentuk pasukan untuk musim baru.


"Setahu saya, Shahrulnizam sudah bersetuju secara lisan untuk menyertai skuad itu yang akan turut disertai beberapa nama besar lain.

"Begitupun saya tidak tahu sama ada perpindahan itu akan menjadi kenyataan atau sebaliknya. Kena tunggu dan lihat perkembangannya," katanya.


Beliau juga berkata beberapa pemain yang akan tamat kontrak tahun ini juga mungkin tidak menyambung kontrak kerana turut menerima tawaran lain tetapi enggan mendedahkan identiti mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/04

Gandingan baru masih dalam perancangan

Posted: 03 Oct 2013 11:46 AM PDT

Kuala Lumpur: Barisan jurulatih kebangsaan mula membuat percaturan gandingan baru beregu lelaki bagi mempersiapkan pasukan terbaik ke Piala Thomas, namun mereka sendiri tidak tahu bilakah gandingan sebenar dapat dibentuk.

Jurulatih beregu lelaki, Pang Cheh Chang berkata, hanya Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta Hoon Thien How-Tan Wee Kiong akan dikekalkan sehingga Piala Thomas tahun depan.


"Sekarang kami masih memantau untuk mewujudkan gandingan baru. Kita mesti memiliki gandingan baru yang lebih mantap kerana kita tidak boleh kehilangan pengganti kepada Kien Keat-Boon Heong," kata Cheh Chang.

"Selepas Terbuka Kuala Lumpur, saya dan Paulus Firman akan melakukan percubaan terhadap gandingan baru untuk sekurang-kurangnya mendapatkan satu lagi gandingan mantap. Sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga minggu lagi kami akan mengadakan perlawanan ujian." Cheh Chang berasakan tempoh tujuh bulan menjelang Piala Thomas memadai untuk barisan jurulatih membentuk gandingan ketiga yang mantap.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/04

Wajib menang!

Posted: 03 Oct 2013 11:44 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mesti muncul juara Terbuka Kuala Lumpur, menurut pemain perseorangan kedua kebangsaan, Liew Daren (gambar).

"Untuk kejohanan ini, saya rasa malu jika bukan salah seorang daripada pemain kebangsaan muncul juara kerana kami mendapat kemudahan dan menjalani latihan sempurna," kata Daren, pilihan utama kejohanan yang mengatasi pemain Kuala Lumpur, Oh Soon Keon 21-14, 21-13 untuk melangkah ke suku akhir hari ini.


"Salah seorang mesti menang kerana kami juga pemain pilihan biarpun ada tekanan." Dalam pada itu, Misbun Ramdan Misbun menganggap sirkit kebangsaan sekarang menunjukkan peningkatan kualiti pemain.

"Dari segi kualiti, memang kejohanan ini meningkat tapi mungkin disebabkan kami saling memahami corak permainan masing-masing," kata Ramdan yang mengatasi pemain remaja negara, Soong Joo Ven 21-17, 21-13 di pusingan kedua semalam.


Biarpun menang, dia diberi tentangan sengit oleh Joo Ven dan Ramdan mengakui belum mempamerkan tahap permainan terbaik.


"Hari ini bukan permainan terbaik saya kerana banyak melakukan kesilapan. Berdepan pemain remaja seperti Joo Ven memang sukar kerana dia tidak takut melakukan kesilapan berbanding saya, pemain lebih senior." Sementara itu, hujan lebat di Cheras mengganggu kerancakan perlawanan.

Daripada enam gelanggang, hanya dua boleh digunakan untuk pertandingan sekitar jam 2.10 petang sehingga 3.30 petang kerana bumbung Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras ini dilaporkan bocor.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/04

Zulfahmi 'selamat'

Posted: 03 Oct 2013 11:40 AM PDT

Sepang: Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali mengesahkan pelumba Moto3 negara Zulfahmi Khairuddin akan kekal bersaing pada musim penuh di Kejuaraan Motosikal Dunia musim depan.

Razlan yang ditemui selepas menyambut kepulangan Zulfahmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam berkata, pelumba berusia 22 tahun itu tetap berlumba dengan seliaan pengurusnya ketika ini, Aki Ajo yang berada di bawah naungan Ajo Motorsport.


"Cuma yang tidak pasti sekarang struktur pasukannya. Yang saya maksudkan ialah sama ada dia kekal di Red Bull atau seperti pasukan yang kita nampak pada tahun sebelum ini.

"Namun yang pasti dia masih berada di bawah Ajo Motorsport," katanya yang sebelum ini mengaku bimbang mengenai masa depan pelumba itu selepas dilihat bergelut dengan prestasi sepanjang musim ini.


Menurut Razlan, Red Bull selaku penaja utama Zulfahmi musim ini masih berbelah bagi sama ada mahu menajanya lagi pada musim depan atau sebaliknya.


"Red Bull ini ada panas sejuk. Apabila nampak Zulfahmi beraksi cemerlang, mereka menyatakan mahu mendapatkan kembali khidmatnya tapi ketika tengok dia catat keputusan hambar, mereka ambil keputusan tunggu dan lihat dulu," katanya.

Meskipun tidak lagi menaja Zulfahmi sepenuhnya, Razlan berkata, SIC bertanggungjawab mencongak masa depan pelumba negara itu.


Sementara itu, janji Zulfahmi untuk menaiki podium pada saingan Grand Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) 13 Oktober ini dianggap sukar selepas terpaksa menjalani pembedahan kecil pergelangan tangan kanan di Barcelona, Selasa lalu.

Bukan mengaku kalah lebih awal, namun pelumba kelahiran Banting, Selangor itu tidak mahu meletakkan sasaran tinggi ketika dia bergelut dengan masa untuk kembali sembuh sepenuhnya.


Justeru itu, sekiranya berada dalam kelompok lima terbaik di Sepang, ia sudah memuaskan hatinya dan berharap ia juga dapat memuaskan hati peminatnya.


"Kini paling penting saya rehat dengan cukup serta menjalani rawatan susulan yang baik di ISN (Institut Sukan Negara).


"Kalau saya boleh tamatkan perlumbaan di kedudukan lima terbaik sudah cukup baik untuk saya. Jika dapat naik podium ia satu bonus," katanya ketika ditemui semalam sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/04

Saingan Fakhrusy, Hafiz kian memuncak

Posted: 03 Oct 2013 11:38 AM PDT

Kuala Lumpur: Pertembungan antara dua pelumba rookie CP115, Mohd Hafiz Nor Azman dan Fakhrusy Syakirin Rostam semakin memuncak menjelang saingan Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2013 di Temerloh, Pahang, hujung minggu ini.

Pada musim lalu, kedua-duanya bersaing sengit dalam kategori Wira yang menyaksikan Fakhrusy membuktikan kemampuan dengan memenangi enam perlumbaan berbanding hanya dua buat Hafiz, namun Fakhrusy berputih mata dan terpaksa melepaskan gelaran juara keseluruhan Wira 2012 kepada Hafiz berikutan kemalangan yang menimpanya pada dua perlumbaan terakhir.

Tahun ini saingan kedua-dua pelumba berusia 16 tahun itu berterusan dalam kelas CP115. Kedua-duanya berada dalam kelompok tiga pelumba teratas dan Hafiz kini berada di tangga kedua keseluruhan dengan 86 mata manakala Fakhrusy di tangga ketiga, 75.

Di sebalik mahu membuktikan siapakah pelumba baru terbaik musim ini, kedua-duanya juga mempunyai misi merapatkan jurang dengan pendahulu keseluruhan, Ahmad Afif Amran yang kini mengumpul 111 mata selain berusaha menjarakkan diri dengan juara bertahan, Mohd Amirul Arif Musa yang berada di tangga keempat dengan 74 mata.


"Persaingan antara kami bagaikan tiada penghujung. Di luar litar, kami berkawan baik namun apabila di litar, kami seakan-akan 'musuh ketat'. Situasinya mudah saja, dia mahu menewaskan saya dan begitu juga sebaliknya," kata Hafiz yang membawa cabaran pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM.


Sementara itu, Fakhrusy berharap dapat meraih kemenangan berganda selepas muncul juara di Kluang dua minggu lalu bagi menebus kehilangan mata kerana tidak beraksi dua perlumbaan terakhir sebelum itu.

"Kaki saya retak sewaktu beraksi di Muar (Pusingan 4) dan berterusan ke pusingan berikutnya di Teluk Intan. Saya kehilangan banyak mata berharga namun mujurlah menebus dengan kemenangan di Kluang. Saya harap dapat sekali lagi melakukannya di Temerloh.

"Litar ini baru dalam kalendar Cub Prix dan saya harap pasukan dapat menemui pelarasan terbaik dengan segera supaya dapat memberi sepenuh tumpuan untuk mencatat masa yang pantas. Jentera pantas dan baik dapat meningkatkan keyakinan saya untuk beraksi pada perlumbaan minggu ini," katanya.

Maklumat lanjut, hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di www.malaysiancubprix.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/04

Tugas getir Farizal

Posted: 03 Oct 2013 11:37 AM PDT

Kuala Lumpur: Selain tekanan terarah kepada jentera serangan untuk meledak jaringan penyamaan, Mohd Farizal Harun turut berdepan tugas getir bagi memastikan gawang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak dibolosi LionsXII dalam aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia malam ini.

Ketangkasan penjaga gol berusia 27 tahun itu ditagih Gladiators selepas skuad kendalian B Sathianathan itu tewas 0-1 pada perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar Sabtu lalu sekali gus memerlukan sekurang-kurangnya kemenangan dua gol tanpa bolos di Stadium Majlis Perbandaran Selayang untuk mara sebagai empat pasukan terakhir.


"Persediaan berjalan seperti biasa namun kami bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk menjalani latihan melakukan sepakan penalti. Paling penting tempoh awal perlawanan kerana kami tidak boleh bolos dan perlu untuk sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan bagi membakar semangat pasukan.

"Saya menaruh kepercayaan penuh kepada rakan sepasukan untuk merealisasikan misi ini. Walaupun gawang saya dibolosi setiap perlawanan (Piala Malaysia), saya tetap yakin dengan kemampuan benteng pertahanan kami yang sememangnya dibarisi pemain berpengalaman dan berkaliber," katanya.


Penjaga gol berkenaan mempunyai kenangan manis menyingkirkan LionsXII pada separuh akhir Piala Malaysia musim lalu ketika penentuan penalti apabila menyelamatkan sepakan Saiful Esah dan Baihakki Khaizan sebelum sepakan Yasir Hanapi sekadar singgah di tiang.


Kekalahan di Stadium Jalan Besar pada Sabtu lalu perlawanan pertama yang menyaksikan ATM gagal meledak jaringan dalam kempen Piala Malaysia musim ini selepas menjaringkan 15 gol dalam enam perlawanan peringkat kumpulan.

Tugas berat pastinya dipikul penyerang import Marlon Alex James yang bakal dibantu kapten pasukan Hairuddin Omar ketika LionsXII dilihat mahu meraih kejuaraan kedua dalam kancah Liga Malaysia selepas menjulang Liga Super.


Barisan kendalian V Sundramoorthy mempamerkan peningkatan mengagumkan dalam baki tiga perlawanan peringkat Kumpulan D untuk muncul naib juara walaupun hampir tersingkir pada awalnya.

"Kami perlu berwaspada bagi memastikan mereka tidak terus melangkah," tambah Farizal.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/04

Tagih bisa Ronaldinho

Posted: 03 Oct 2013 11:35 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketajaman Patrick Ronaldinho yang kini muncul penjaring terbanyak kempen Piala Malaysia dengan tujuh gol sekali lagi ditagih PKNS FC apabila menanti kunjungan Pahang di Stadium Shah Alam malam ini.

Penyerang import dari Liberia itu antara watak penting skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim untuk mencipta kejutan muncul juara Kumpulan B ketika menyingkirkan pasukan Harimau Selatan, Johor Darul Takzim (DT) yang bergelar naib juara.


Namun PKNS FC tidak dapat menurunkan skuad terkuat apabila pemain tengahnya dari Slovakia, Roman Chmelo masih mengalami kecederaan ketika berlangsungnya aksi suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Jumaat lalu.

"Kami tewas (2-3) di Pahang, jadi kami tidak mempunyai pilihan lain kecuali menang. Hanya itu matlamat kami apabila turun malam esok (malam ini) kerana ini pertandingan kalah mati, tiada peluang kedua selepas ini," kata Abdul Rahman yang mula mengendalikan kelab itu pada 2009.


Bekas jurulatih kebangsaan itu yang dikaitkan untuk kembali membimbing Terengganu berkata, moral pemainnya tidak terjejas dengan kekalahan tipis di Kuantan tempoh hari dan akan memberikan tumpuan penuh terhadap perlawanan malam ini, berdepan anak buah Dollah Salleh, jurulatih yang turut dikaitkan untuk mengendalikan kelab berkenaan pada musim depan.


Seandainya ingin melangkah sebagai empat pasukan terakhir kempen Piala Malaysia musim ini, anak buah Abdul Rahman perlu berwaspada dengan semangat melawan dipamerkan skuad Tok Gajah seperti suku akhir pertama apabila mereka bangkit daripada ketinggalan walaupun PKNS FC nendahului menerusi jaringan Ronaldinho dan Mohd Lot Abu Hassan.

Dua pertemuan Liga Super menentang Pahang musim ini tidak memihak kepada PKNS FC apabila tewas 4-5 di laman sendiri disusuli tewas di gelanggang lawan 2-3.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/04

'Kecederaan Alex tak serius'

Posted: 03 Oct 2013 11:34 AM PDT

Kuantan: Pengendali Pahang Dollah Salleh percaya penyerangnya Azamuddin Mohd Akil sempat pulih daripada kecederaan apabila bertemu PKNS FC di Stadium Shah Alam, malam ini.

Menurut bekas pemain kebangsaan itu, kecederaan pemain kebangsaan itu tidak serius dan khidmatnya amat ditagih dalam usaha memastikan impian ke separuh akhir Piala Malaysia menjadi milik Tok Gajah.


Bagaimanapun, beliau berkata, jika Azamuddin atau dikenali sebagai Alex tidak dapat beraksi, pemain lain mampu memikul tugas di bahagian serangan dengan bergandingan bersama penyerang import, Matias Conti.

"Saya harap Azamuddin pulih dan boleh beraksi kerana dia sudah menjalani latihan bersama pasukan sejak kelmarin," katanya semalam.


Difahamkan, jika Azamuddin tidak dapat diturunkan malam ini, Dollah menyenaraikan Mohd Fauzi Rozlan bergandingan dengan Conti di bahagian serangan.


Dalam pada itu, Dollah berkata, skuadnya sudah bersedia mengharungi suku akhir kedua untuk memastikan kemenangan berpihak kepada skuad itu.

Menurutnya, kelebihan dimiliki harus dikekalkan dan bersedia untuk meraih kemenangan bermakna.


"Biarpun PKNS akan berusaha untuk menang, semua pemain perlu berwaspada bagi mengelak mereka daripada mengambil kesempatan.

"Kelebihan yang dimiliki belum lagi menjamin tempat ke separuh akhir dan saya mengharapkan pemain fokus sepanjang 90 minit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/04

No comments:

Post a Comment