Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Wan Zack berduka

Posted: 01 Oct 2013 11:57 AM PDT

Kelana Jaya: Kem skuad kebangsaan menerima perkhabaran buruk apabila pemain sayap lincah Wan Zack Haikal Wan Noor dilaporkan mengalami kecederaan lutut 'anterior cruciate ligament' (ACL) serius sekali gus bakal menyebabkan pemain kelab liga divisyen tiga FC Ryukyu itu terpaksa diketepikan sekurang-kurangnya sembilan bulan.

Berita itu pasti mengejutkan pengendali skuad Harimau Malaya Datuk K Rajagobal yang memerlukan khidmat pemain berusia 22 tahun itu bagi aksi persahabatan antarabangsa dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Shenzen China pada 9 Oktober ini sebelum misi lebih penting perlawanan kelayakan Kumpulan D Piala Asia 2015 dengan Bahrain di Shah Alam pada 15 Oktober.

Wan Zack memaklumkan mengenai kecederaan itu menerusi laman sosial Twitter miliknya selepas menjalani pemeriksaan perubatan di hospital di Jepun semalam.

Menerusi Twitter itu, Wan Zack pemain kelahiran Maran, Pahang yang menjadi pemain terbaik kejohanan ketika membantu skuad bawah 23 tahun negara (B-23) menjuarai Pestabola Merdeka bulan lalu menyatakan rasa sedih apabila dimaklumkan doktor mengenai kecederaan ACL itu dan meminta semua peminat berdoa untuknya.

Foto

KECEDERAAN Wan Zack disahkan hospital di Jepun semalam.


Bagi Rajagobal ketiadaan Wan Zack pasti memberi kesan kepada perancangan pasukannya apatah lagi beliau juga terpaksa mengetepikan tonggak pertahanan utama Mohd Fadhli Shas yang juga mengalami kecederaan lutut medial collateral ligament (MCL).


Malah kedudukan seorang lagi pemain sayap Azzamuddin Mohd Akil dari Pahang juga belum pasti untuk bersama skuad kebangsaan apabila dilaporkan turut ditimpa kecederaan.

"Saya cuma dimaklumkan menerusi Twitter dan saya akan meminta Tan Cheng Hoe (penolong jurulatih) untuk mendapatkan maklumat mengenai Wan Zack. Bagi saya Wan Zack penting untuk pasukan ini dan saya harap kecederaannya tidak serius. Ketiga-tiga pemain ini penting dalam pasukan namun kini saya kena fikir yang terbaik tanpa mereka," kata Rajagobal ketika ditemui pada sesi latihan pusat skuad kebangsaan semalam.

Pada sesi latihan itu, Rajagobal hanya dapat mengumpul 11 pemain manakala baki 17 pemain lagi akan bersama hujung minggu ini selepas selesai perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia.

Turut berasa tempias ketiadaan Wan Zack pastinya pengendali skuad B-23, Ong Kim Swee yang juga memerlukan khidmat bekas pemain Harimau Muda A itu bagi misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar, Disember ini.

Kim Swee mengesahkan sudah dimaklumkan Naib Presiden Eksekutif FC Ryukyu, Sotaro Shinoda berhubung kecederaan serius yang menimpa Wan Zack itu. Bagaimanapun beliau tidak mahu terburu-buru sebaliknya mahu mendapat maklumat lebih terperinci terlebih dulu.

"Saya tidak boleh terburu-buru untuk mengatakan Wan Zack akan terkeluar dari skuad Sukan SEA Myanmar. Saya mahu menunggu laporan penuh berhubung status kecederaan Wan Zack dari pihak FC Ryukyu dan kemudian baru kita umumkan status Wan Zack untuk Sukan SEA nanti," semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

Rajagobal pening kumpul pemain

Posted: 01 Oct 2013 11:48 AM PDT

Kelana Jaya: Ketua jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal cuba bersikap tenang namun hakikatnya beliau berdepan masalah besar dalam mempersiapkan pasukannya menjelang perlawanan penting pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain di Stadium Shah Alam, 15 Oktober ini.

Dengan hanya 11 pemain melaporkan diri bagi sesi pertama latihan pusat semalam, pengendali negara itu mengakui tiada apa yang boleh dilakukannya tanpa 17 lagi pemain yang hanya akan bersama selepas selesai perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia minggu ini.

Apabila kesemua pemain berkumpul Ahad ini, mereka akan terus berlepas ke Shenzen China bagi aksi persahabatan antarabangsa dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 9 Oktober sebagai pemanas badan sebelum menentang Bahrain bagi perlawanan kelayakan Kumpulan D Piala Asia.

"Kita tak boleh buat apa-apa, saya kena buat sesuatu, orang fikir saya bagi alasan tapi latihan ini penting untuk persiapan. Kalau saya dapat memanggil semua pemain memang bagus untuk pasukan tapi perlawanan suku akhir Piala Malaysia masih berjalan jadi kita tidak boleh buat apa-apa," katanya semalam.

Foto

RAJAGOBAL baru kumpul 11 pemain.


Menurutnya, tiada latihan tertentu boleh dilakukan melainkan menekankan aspek kecergasan pemain dalam tempoh lima hari sebelum kesemua pemain berkumpul.


"Bagaimana saya nak memberi fokus kepada pemain ini, saya tidak mempunyai semua pemain pertahanan, tengah dan penyerang. Apa yang kami cuba lakukan dalam tempoh lima hari ini adalah untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain. Anda memerlukan satu unit untuk membuat latihan di bahagian pertahanan atau tengah. Saya tidak memberikan alasan tapi situasi ini semua orang perlu tahu dan faham," kata Rajagobal.

Sebelas pemain yang mula menyertai latihan semalam membabitkan mereka dari pasukan yang sudah tersingkir daripada saingan Piala Malaysia iaitu Kedah Perak, Selangor, Negeri Sembilan manakala pemain pertahanan Harimau Muda A, Mohd Fadhli Shas dan pemain sayap kelab Jepun Ryukyu FC, Wan Zack Haikal Wan Noor diketepikan akibat kecederaan.

Ketiadaan kedua-dua pemain itu menyebabkan Rajagobal memanggil dua pemain dari senarai menunggu iaitu penyerang Harimau Muda A, Syahrul Azwari Ibrahim dan penjaga gol Kedah, Abd Hadi Hamid bagi melengkapkan senarai 11 pemain itu.

Rajagobal berharap baki 17 pemain yang bakal melaporkan diri hujung minggu ini berada dalam keadaan terbaik biarpun diakui terdedah dengan faktor kepenatan dan kecederaan selepas beraksi dalam Piala Malaysia bersama pasukan masing-masing.

"Kita tak tahu keadaan pemain sebab 6 Oktober ini kita akan terus ke China. Kita perlukan semua pemain ini yang biasa dengan kita untuk perlawanan persahabatan dengan UAE di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

Stewart tak sabar nanti PKNS

Posted: 01 Oct 2013 11:46 AM PDT

Kuantan: Pemain pertahanan Pahang, Damion Delano Stewart tidak sabar untuk bertemu PKNS pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Bukan saja mahu memperkemaskan bahagian pertahanan, ia lebih kepada impian Stewart dan rakan sepasukan memastikan slot separuh akhir menjadi milik skuad Tok Gajah.

Justeru, pemain berusia 32 tahun itu akan memastikan rakan sepasukan di bahagian serangan dapat menajamkan lagi sentuhan gol sambil dia mengetui mengukuhkan benteng.

"Kami sedar Pahang hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke separuh akhir tetapi kemenangan adalah kemuncak perlawanan.


"Membenarkan lawan menjaringkan dua gol pada suku akhir pertama diharap dapat ditebus dengan aksi cemerlang bagi menafikan impian PKNS," katanya semalam.


Bekas pemain Queens Park Rangers (QPR) itu mengaku lawan adalah pasukan mantap dan pemain Pahang perlu bekerja keras mengunci pergerakabn mereka.

"Sepanjang latihan kami cuba memperbaiki segala kelemahan yang ada dan berharap impian ke separuh akhir terlaksana,"kata pemain kelahiran Jamaica itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

Jangan bikin kecoh: FAS

Posted: 01 Oct 2013 11:44 AM PDT

Kuching: Penyokong Sarawak yang pastinya membanjiri Stadium Negeri untuk menonton perlawanan kedua suku akhir Piala Malaysia pada Sabtu ini, diingatkan supaya tidak menimbulkan sebarang kekecohan.

Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Datuk Sudarsono Osman berkata, ingatan itu supaya mereka tidak mensia-siakan peluang bagi membolehkan skuad Bujang Senang layak ke separuh akhir Piala Malaysia.

Perlawanan antara Sarawak dan Sime Darby bakal menentukan siapa layak ke separuh akhir selepas kedua-dua pasukan menamatkan saingan pertama tanpa jaringan di Stadium Selayang, Sabtu lalu.

Sudarsono berkata, Ngap Sayot akan rugi besar sekiranya berlaku kekecohan yang menyebabkan FAS didenda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selain perlawanan membabitkan mereka dilangsungkan di tempat berkecuali.

Foto

PENYOKONG Sarawak perlu berkelakuan sopan pada aksi suku akhir kedua di Kuching.


Menurutnya, FAS sentiasa memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dan atas sebab itu pihaknya mengambil langkah melancarkan kempen Bola Tanpa Mercun minggu ini.


"Ia bertujuan menimbulkan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan penyokong mengenai bahaya melontar mercun ke padang ketika perlawanan berlangsung.

"Bola sepak Sarawak melalui momentum membanggakan serta mendapat maklum balas luar biasa peminat dan menyaksikan semakin ramai datang menonton perlawanan hingga sebahagian besar tidak dapat memasuki stadium.

"Soal keselamatan menjadi keutamaan kami kerana tidak mahu insiden buruk terjadi dan atas sebab itulah kempen Bola Tanpa Mercun dilancarkan," katanya.

Menurut Sudarsono, anggota keselamatan kini melakukan pemeriksaan ke atas semua penonton dengan menggunakan alat pengimbas mudah alih tapi prosedur ini mungkin menyebabkan kelewatan dan kesesakan di pintu masuk stadium.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

Penyokong Sarawak marah

Posted: 01 Oct 2013 11:42 AM PDT

Kuching: Peminat bola sepak Sarawak berang dengan kenyataan kononnya pasukan Ngap Sayot turut terbabit mengatur perlawanan Piala Malaysia ketika menang besar ke atas Perak, 21 September lalu.

Rata-rata peminat menyatakan rasa kurang senang dengan dakwaan itu yang pada tanggapan mereka memperlekehkan kemampuan pasukan.


Seorang peminat Mohd Akmal Ariff, 27, berkata Sarawak memang layak memenangi perlawanan itu dengan jaringan besar kerana semua pemain beraksi cemerlang.

Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu bagi menentukan pasukan layak ke suku akhir, Sarawak menewaskan Perak 6-1.


Sementara itu, jurulatih Robert Alberts ketika dihubungi Arena Metro berkata, sebarang kenyataan berhubung perkara itu perlu buat pengurusan pasukan.


Bagaimanapun beliau percaya pasukan tidak terbabit mengatur keputusan perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

Khairy minta usah salahkan FAM

Posted: 01 Oct 2013 11:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Jangan melenting dan salahkan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia)!

Itu permintaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar susulan siasatan rasuah yang dijalankan membabitkan badan induk bola sepak negara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


"Kita berpegang kepada prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Tapi janganlah kalau ada laporan yang syak sesebuah pasukan atau negeri yang terbabit dalam rasuah, bookie atau mengatur perlawanan, saya berharap mereka jangan melenting dan salahkan FAM. Kita kena tegas dalam menangani perkara ini, beri peluang kepada SPRM dan PDRM buat siasatan.

"Jangan salahkan proses yang dijalankan kerana kita memberikan reaksi balas terhadap kekhuatiran orang ramai yang mengatakan gejala ini sudah berleluasa. Jadi bila tindakan diambil, jangan kata ini tindakan untuk menganiayai mana-mana negeri. (Mereka) tidak bersalah sehingga terbukti sebaliknya tetapi pada masa yang sama kita perlu tegas jika mahu mengatasi gejala ini, kita perlu memberi sokongan kepada FAM dan persatuan negeri untuk serah kepada SPRM dan PDRM untuk menyiasat semua aduan dibuat," katanya.


Menurut Khairy, pihaknya sentiasa menyokong tindakan FAM membabitkan perkara ini kerana beliau sendiri meminta supaya jawatankuasa integriti terutamanya di peringkat negeri dapat memainkan peranan yang aktif.


Isu membabitkan rasuah kembali hangat diperkatakan apabila Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) baru-baru ini bertindak menggantung keseluruhan pegawai pasukan dan pemain selama dua minggu apabila mengesyaki berlakunya unsur rasuah dan sabotaj selepas tewas 1-6 kepada Sarawak pada 21 September lalu dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia dengan siasatan membabitkan SPRM.

Terbaru, Sarawak dilaporkan turut tidak akan terlepas dan disiasat jika terbabit dalam gejala mengatur perlawanan.


Perkembangan berkenaan menyebabkan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dan penyokongnya berang dan tidak berpuas hati terhadap FAM.

Isu rasuah pernah melumpuhkan bola sepak negara pada 1994 dengan lebih 100 pemain didapati terbabit dalam gejala tidak sihat itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

'Sarawak tidak akan disiasat'

Posted: 01 Oct 2013 11:39 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil menafikan laporan Sarawak akan turut disiasat atas kemungkinan wujudnya unsur rasuah ketika menewaskan Perak 6-1 dalam perlawanan Kumpulan D Piala Malaysia di Kuching pada 21 September lalu.

Badan induk itu dalam satu kenyataan semalam menegaskan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM Tan Sri Aseh Che Mat sudah disalah tafsir oleh semua akhbar.


Kenyataan itu menjelaskan isu kemungkinan wujudnya unsur rasuah dalam skuad Sarawak tidak pernah dibincangkan semasa mesyuarat Jawatankuasa Integriti ke-11 kelmarin dan ketika ditanya pihak media, Aseh sekadar berkata bahawa perkara itu tidak dibincang dan tiada ada sebarang laporan mengenainya.

Kenyataan itu berkata, Aseh menambah jika ada laporan atau desas-desus mengenai kemungkinan unsur rasuah, barulah jawatankuasa berkenaan akan menyiasat dan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.


Menurut FAM, pihaknya hanya menerima laporan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) mengenai kemungkinan wujudnya elemen rasuah dalam pasukan tersebut susulan prestasi kurang baik dalam saingan Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

Piya tak kisah, fokus Piala Malaysia

Posted: 01 Oct 2013 11:39 AM PDT

Kota Bharu: "Terpulanglah nak panggil atau tidak. Saya tidak rugi apa-apa. Saya pun senang kalau tidak dipanggil kerana boleh fokus untuk Piala Malaysia," kata kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi.

Badhri atau Piya berkata demikian selepas diminta mengulas namanya sekali lagi tidak tersenarai dalam pemain pengendali skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal bagi menyertai latihan pusat yang bermula semalam sebagai persiapan menentang Bahrain pada kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, 15 Oktober ini.

Badhri berkata, dia tidak bermaksud menghampakan peminat yang ingin melihatnya beraksi bersama skuad Harimau Malaya, namun itu adalah keputusan Rajagobal.

Katanya, jurulatih itu mungkin memilih pemain berdasarkan keperluan pasukan selain mempunyai percaturan tersendiri dengan pemain pilihannya mampu beraksi lebih baik lagi.


"Mungkin ada penyokong yang ingin melihat saya bermain bersama skuad kebangsaan. Tapi saya menerima apa juga keputusan jurulatih. Kalau (Rajagobal) panggil saya pergi, kalau tidak, tak mengapa.


"Pada waktu sama saya boleh fokus membantu Kelantan mempertahankan Piala Malaysia. Kadang-kala tidak dinafikan isu sebegini memberi tekanan kepada saya. Saya harap isu ini tidak diperbesarkan," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Kelmarin akhbar melaporkan 28 pemain dipilih untuk mengikuti latihan pusat kebangsaan namun nama Badhri tidak tersenarai, malah turut tiada dalam senarai menunggu sehingga menimbulkan persoalan adakah pemain Kelantan itu sudah digam Rajagobal.

Bagaimanapun, empat pemain Kelantan iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd Shahrul Azim Abd Halim, Mohd Shakir Shaari dan Ahmad Fakri Saarani terpilih untuk latihan pusat itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

Ridzuan puji Siva rajin, berbakat besar

Posted: 01 Oct 2013 11:37 AM PDT

Seremban: Biarpun gagal membantu Negeri Sembilan mencapai kejayaan dalam kempen Liga M musim ini, pemilihan penyerang muda S Sivanesan dalam skuad kebangsaan bimbingan Datuk K Rajagopal tetap menghadirkan rasa bangga buat jurulatih Ridzuan Abu Shah.

Ini kerana beliau antara jurulatih yang memberi peluang kepada pemain berusia 23 tahun itu untuk menonjolkan bakat dan kebolehan sendiri dengan meletakkannya di barisan depan ketika menghadapi sebahagian saingan Liga Super dan Piala Malaysia.


Ketika Negeri Sembilan dibimbing Divaldo Alves, Sivanesan diletakkan di bahagian tengah dan kadangkala kerap berada di bangku simpanan tetapi sebaik Ridzuan mengambil alih bermula Jun lalu, beliau melakukan rombakan dengan meletakkan pemain itu di posisi utama.

"Saya bangga kerana Sivanesan mendapat perhatian Rajagobal untuk mengikuti latihan pusat skuad kebangsaan dalam persiapan menentang Bahrain pada pusingan kelayakan Piala Asia.


"Saya tidak sangka Sivanesan terpilih tapi sememangnya dia pemain yang rajin dan berbakat besar serta wajar diberikan peluang, malah dia juga sudah membuktikan keupayaannya ketika Pestabola Merdeka baru-baru ini," katanya semalam.


Selain Sivanesan, seorang lagi pemain Negeri Sembilan yang dipilih menyertai latihan pusat itu ialah Mohd Nazrin Mohd Nawi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

Chong Wei rehat sebulan

Posted: 01 Oct 2013 11:36 AM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei akan bercuti dari sebarang kejohanan sepanjang Disember, sekali gus tidak mengambil bahagian dalam Siri Super Final dan Sukan SEA.

Pemain nombor satu dunia itu berkata, rehat sebulan itu amat penting untuk menghadapi tahun paling sibuk 2014.

"Selain tidak menyertai Siri Super Final, saya juga tidak akan menyertai Sukan SEA kerana bukan lagi muda 23 atau 24 tahun, saya mahu berehat sebulan daripada kejohanan untuk melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi saingan tahun depan. Januari nanti ada Seri Super Premier Terbuka Malaysia, Korea dan diikuti Seluruh England," kata Chong Wei selepas latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Mengakui jadual ketat dengan banyak kejohanan besar sepanjang 2014, Chong Wei berkata: "Jun paling sibuk dengan Terbuka Jepun, Indonesia dan Australia, semuanya bertaraf Siri Super.

Foto

CHONG WEI gembira Rashid kembali latih skuad negara.


"Tambahan pula ada tiga kejohanan utama, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Piala Thomas."


Sementara itu, semalam juga menyaksikan hari pertama Rashid Sidek kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bukan sekadar menamatkan kemelut dan menghentikan kontroversi, sebaliknya menghadirkan keceriaan dan semangat pemain pemain perseorangan negara, Chong Wei, Liew Daren dan Chong Wei Feng.

"Beliau kembali melatih kami semula, sesuatu yang amat bagus, bukan kepada saya saja tapi semua pemain perseorangan kerana kami lebih bersemangat hari ini," kata Chong Wei.

"Tahun depan banyak kejohanan besar, saya harap kerjasama antara Rashid, Tey Seu Bock dan Hendrawan mampu memperkuatkan lagi pasukan kita di Piala Thomas, Sukan Asia dan Komanwel."

Rashid pula menafikan berasa janggal apabila kembali bersama skuad negara.

"Saya melatih pemain seperti biasa, fokus terhadap persiapan kejohanan. Apa yang saya lakukan hari ini hanyalah latihan biasa kerana esok (hari ini) pemain mengikuti pertandingan di Terbuka Kuala Lumpur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

No comments:

Post a Comment