Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kanak-kanak dua tahun 'hamil'

Posted: 01 Oct 2013 11:05 AM PDT

Beijing: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun dari Huaxi, China menjalani pembedahan melahirkan anak selepas doktor mendapati dia 'hamil'.

Xiao Feng dibawa ke hospital selepas perutnya membuncit hingga dia sukar bernafas.

Sebaik dimasukkan ke hospital, doktor melakukan imbasan X serta imbasan MRI dan mendapati Xiao Feng membawa janin kembarnya sendiri di dalam perutnya. Dia kemudian segera dibawa ke bilik pembedahan.

Di samping itu, janin yang dibuang oleh kumpulan doktor berkenaan berukuran 20 sentimeter dan mempunyai tulang belakang lengkap serta tangan dan kaki termasuk jari tangan dan jari kaki.

Foto

KEADAAN perut Xiao Feng yang membuncit dengan janin kembar parasit di dalamnya.

Foto

PERUT yang kian membesar menyukarkan Xiao Feng bernafas.


Kembar parasit berkenaan mungkin menjadi bayi lelaki dan sudah memenuhi hampir dua pertiga daripada perut Xiao Feng dan jika tidak dibuang boleh menyebabkan kanak-kanak terbabit mati.


Menurut pakar, kembar biasa terbentuk apabila telur berpecah kepada dua bahagian selepas persenyawaan, manakala kembar siam pula terjadi apabila telur gagal berpecah sepenuhnya.

Sementara itu, pakar neonatologi di Hospital Kanak-Kanak Rainbow di Cleveland, Dr Jonathan Fanaroff berkata, sesetengah kembar siam boleh menjadi parasit, tetapi ia tidak berlaku apabila satu kembar menyerapi pasangannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

Cipta beg udara tepi kereta

Posted: 01 Oct 2013 10:59 AM PDT

London: Beg udara tambahan yang berfungsi dari bahagian tepi kereta ialah rekaan ciri-ciri keselamatan terbaru yang dibangun industri permotoran.

Beg udara itu akan keluar dari celah pintu kereta dalam tempoh 20-30 milisaat untuk melindungi bahagian tepi kenderaan akibat kesan rempuhan.

Pereka di TRW Automotif kini berusaha menghasilkan radar dan sistem kamera bagi mengesan detik tepat untuk beg udara itu berfungsi.

Mereka berharap dapat melengkapkan beg udara itu pada kenderaan premium buatan Jerman sebelum akhir dekad ini.


Naib Persiden TRW, Norbert Kagerer berkata, "Rempuhan di bahagian tepi adalah satu daripada kadar kemalangan tertinggi dengan perkiraan 37-40 peratus jumlah nahas.


Projek pembangunan rekaan baru berkenaan dibiayai Kesatuan Eropah dan bermula tiga tahun lalu di Sepanyol.

Beg udara yang diuji itu berukuran 200 sentimeter panjang, 70sm tinggi dan antara 15 hingga 20sm dalam dengan kapasiti 200 liter. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

3 tahun curi 900 beg

Posted: 01 Oct 2013 10:58 AM PDT

Newport: Seorang ibu kepada dua anak dihukum penjara selepas dia mencuri lebih 900 beg tangan dalam jenayah yang dilakukan sejak tiga tahun lalu.

Jayne Rand, 48, mencuri beg dan dompet berjumlah £500,000 (RM2.6 juta) dari kedai dikunjungi sebelum mencurinya selepas membuang tag keselamatan pada beg berkenaan. Mahkamah agung Newport diberitahu, Jayne mencuri 905 beg dan empat dompet jenama terkemuka seperti Prada, Gucci and Louis Vuitton.


Dia kemudian menjual beg berkenaan dan memperoleh keuntungan tambahan melebihi £1,000 (RM5,250) untuk setiap beg curi yang dijualnya.

Sepanjang kegiatan Jayne, suaminya Phillip Rand yang juga perunding percangan dan dua anak perempuan mereka yang sudah dewasa Gemma serta Amber langsung tidak tahu-menahu mengenai jenayah dilakukannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

Angelina Jolie arah filem kedua

Posted: 01 Oct 2013 10:57 AM PDT

Sydney: Aktres senarai A Hollywood Angelina Jolie akan mengarah filem terbarunya "Unbroken" di Australia dengan Sydney dan kawasan pedalaman New South Wales sebagai lokasi utama.

Filem perang dunia kedua itu ialah filem kedua arahan Angelina selepas filem "Land of Blood and Honey" pada 2011 yang menerima pelbagai kritikan.


Aktres itu sudah berada di Sydney bersama anak-anaknya sejak beberapa minggu lalu bagi mencari lokasi sesuai untuk penggambaran. Timbalan Perdana Menteri New South Wales, Andrew Stoner berkata, syarikat penerbitan Universal Pictures akan menyuntik jutaan dolar kepada ekonomi negeri itu dan dijangka mewujudkan 300 peluang pekerjaan untuk kru perfileman dan pelakon tambahan. "Berita baik ini mengesahkan status antarabangsa New South Wales sebagai lokasi utama di Australia untuk penerbitan filem berskala besar dan mempamerkan standard bertaraf dunia industri perfileman kita," katanya.

Unbroken berdasarkan kepada buku jualan terlaris tulisan Laura Hillenbrand yang mengisahkan kehidupan hebat wira perang Louis Zamperini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

Banjir ragut 20 nyawa

Posted: 01 Oct 2013 10:56 AM PDT

Bangkok: Pihak berkuasa semalam berkata, banjir setakat ini membunuh lebih 20 orang dan menjejaskan pelbagai kawasan di seluruh Thailand sejak dua minggu lalu walaupun sebelum ini pakar berpendapat ia tidak berisiko membawa kemusnahan seperti dua tahun lalu.

Sebanyak 32 daripada 77 wilayah Thai dinaiki air sejak pertengahan September lalu dan 23 orang terbunuh.

Laporan Jabatan Pencegahan Bencana Dan Tebatan berkata, 25 wilayah masih ditenggelami air.

"Lebih 2.8 juta orang terjejas akibat banjir dan 15,254 dipindahkan ke tempat selamat," kata agensi itu.


Timbalan Perdana Menteri, Plodprasop Suraswadi sebelum ini berkata, Thailand tidak berdepan bahaya Taufan Wutip, yang tiba di timur laut negara itu semalam.


"Tetapi kerajaan bersedia untuk menghadapi ribut lain," katanya dalam satu kenyataan.

Pada 2011, Thailand mengalami banjir terburuk dalam tempoh separuh abad.

Kira-kira 800 orang terbunuh dan enam juta hektar tanah pertanian, perindustrian dan petempatan rosak teruk.

Banyak kawasan perindutrian yang menghasilkan komponen elektrik dan automobil untuk dieksport ditenggelami air.

Sebahagian daripada bandar raya Bangkok turut mengalami banjir.

Kali ini pihak berkuasa menolak kebimbangan orang ramai bahawa bencana serupa akan berulang. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

Kakitangan awam perlu isytihar ke kasino

Posted: 01 Oct 2013 10:55 AM PDT

Singapura: Kakitangan perkhidmatan awam Singapura mesti mengisytiharkan sebarang lawatan ke kasino mulai semalam, kata pegawai.

Arahan itu dibuat beberapa bulan selepas seorang pegawai kanan antirasuah dituduh menyalahgunakan wang kerajaan untuk membiayai ketagihan judinya.

Menurut Bahagian Perkhidmatan Awam Singapura, kakitangan kerajaan diberi masa tujuh hari untuk membuat pengisytiharan jika mengunjungi dua kasino milik kerajaan lebih daripada empat kali sebulan.

Mereka diwajibkan membuat pengisytiharan jika membeli pas tahunan yang membolehkan kunjungan ke kasino dibuat tanpa had.


"Kakitangan awam yang terbabit dalam penguatkuasaan perjudian dan sesiapa yang mewakili kerajaan dalam urusan rasmi dengan dua pengendali kasino itu tetap dilarang ke premis itu kecuali atas kapasiti rasmi," kata agensi itu.


Jun lalu Penolong Pengarah Biro Siasatan Amalan Rasuah, Edwin Yeo Seow Hiang, 39, didakwa menyelewengkan wang negara SG$1.76 juta (RM4.54 juta) untuk membiayai ketagihan judinya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

Wanita tidak sedar kokain dalam coli

Posted: 01 Oct 2013 10:55 AM PDT

Dubai: Seorang penumpang kapal terbang dari Thailand semalam dihukum penjara 10 tahun kerana menyeludup 1.2 kilogram kokain yang disembunyikan dalam coli serta bungkusan diikat pada kakinya.

Hakim turut mengarahkan wanita terbabit membayar denda Dh50,000 (RM44,037) dan bakal diusir selepas menamatkan tempoh tahanan.


Dalam perbicaraan, tertuduh mendakwa tidak tahu-menahu mengenai dadah berkenaan ketika dia ditahan sejurus selepas tiba dari Brazil pada 8 April lalu. Penahanan itu dibuat selepas pegawai penguat kuasa mencurigai saiz payu dara tertuduh yang lebih besar daripada biasa.

Polis juga curiga apabila kaki wanita terbabit lebih besar berbanding sepatutnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

Dipenjara 2 tahun hina monarki Thailand

Posted: 01 Oct 2013 10:54 AM PDT

Bangkok: Hakim Mahkamah Rayuan semalam mengarahkan pengasas gerakan Baju Kuning, Sondhi Limthongkul, dihukum penjara dua tahun kerana menghina monarki dengan memetik ucapan seorang seteru politiknya.

Dianggap antara tokoh politik paling kontroversi, Sondhi Limthongkul disabitkan kesalahan di bawah undang-undang kontroversi Thailand selepas pendakwa membuat rayuan atas pembebasannya sebelum ini.


Hakim menolak hujah peguam bela yang mendakwa ahli perniagaan dan pemilik empayar media itu tidak berniat menghina istana, sebaliknya menarik perhatian polis kepada ucapan asal. Sondhi - menganggap tuduhan itu bersifat politik - dibebaskan dengan jaminan THB500,000 (RM50,000) sementara menunggu rayuan di Mahkamah Agung. Protes kumpulan Baju Kuning membantu mencetuskan kudeta tentera pada 2006 yang menumbangkan kerajaan pimpinan Thaksin Shinawatra - abang kepada perdana menteri ketika ini, Yingluck Shinawatra. Pada 2010 Sondhi didapati bersalah memfitnah Thaksin dan dihukum penjara enam bulan dengan pelaksanaannya ditangguhkan. Pada Februari tahun lalu mahkamah mengarahkan Sondhi dipenjara 20 tahun atas jenayah korporat pada 1990-an. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

24 jemaah haji Indonesia meninggal dunia

Posted: 01 Oct 2013 10:54 AM PDT

Jakarta: Jumlah jemaah haji Indonesia yang meninggal dunia di Tanah Suci untuk musim ini meningkat kepada 24 orang, lapor media semalam.

Maklumat Sistem Perkhidmatan Komputer Haji Bersepadu menunjukkan kematian terbaru dicatatkan membabitkan tiga jemaah di Makkah dan seorang di Madinah. Mereka dikenali sebagai Muliana Rambe Abdul Rambe, 59, dari Medan, Rukmini Abdullah, 67, (Jakarta) dan Abdul Manan (Batam).


Butiran seorang lagi belum disahkan. Ketua Agensi Perkhidmatan Kesihatan Haji Indonesia di Madinah, Suharto berkata, jemaah haji kali ini diawasi tiga kumpulan perubatan. "Pertama memberikan perkhidmatan dalam penerbangan, kedua di asrama dan ketiga di tempat pelaksanaan ibadah," katanya dalam satu kenyataan. Data menunjukkan 1,389 pesakit mendapatkan rawatan daripada kumpulan berkenaan, membabitkan 130 di Jeddah, 415 di Madinah dan 844 di Makkah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

Operasi kerajaan AS terhenti

Posted: 01 Oct 2013 10:53 AM PDT

Washington: Untuk kali pertama dalam tempoh hampir dua dekad sebahagian jabatan kerajaan AS akan ditutup secara berperingkat selepas anggota Republikan di Kongres tetap berdegil menuntut perubahan dalam undang-undang penjagaan kesihatan ketika Presiden Barack Obama dan anggota Demokrat tegas menolaknya.

Dalam kebuntuan itu Obama berkata, penutupan berkenaan memberi kesan ekonomi sangat besar kepada orang awam secara serta-merta.


Ratusan ribu kakitangan awam pula akan diarah bercuti tanpa gaji, manakala pusat jagaan orang tua, taman awam, kebanyakan agensi angkasa lepas dan operasi kerajaan terhenti. Obama kemudian menyalahkan kumpulan Republikan kerana cuba memaksa kerajaan membiayai "tuntutan ideologi" mereka bagi menjaga air muka masing-masing selepas membuat beberapa janji yang mustahil kepada sayap kanan parti berkenaan. Bagaimanapun Speaker Kongres, John Boehner sekadar memberi reaksi ringkas.

Katanya, rakyat AS dan dia sendiri tidak mahukan penutupan operasi kerajaan itu.


"Tetapi undang-undang kesihatan baru diperkenalkan Obama memberi kesan kemusnahan dan sesuatu perlu dilakukan," katanya. Ada beberapa isu tidak dipersetujui Republikan dalam reformasi penjagaan kesihatan digelar mereka sebagai Obamacare itu.


Bagi Republikan, pelan yang mahu menyediakan penjagaan ke atas jutaan rakyat AS yang tidak dilindungi insurans dianggap membazir dan mengehadkan kebebasan kerana memerlukan penduduk negara itu memiliki insurans kesihatan. Dianggarkan 800,000 kakitangan awam berdepan penggantungan pekerjaan itu tetapi sesetengahnya petugas sektor sensitif, seperti tentera dan pengawal trafik udara tetap berfungsi seperti biasa. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02

No comments:

Post a Comment