Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Trak rempuh penonton

Posted: 06 Oct 2013 09:45 AM PDT

Chihuahua: Sebuah trak raksasa hilang kawalan merempuh penonton satu pertunjukan membunuh 13 orang dan mencederakan 70 yang lain di di Mexico, semalam.

Enam mangsa terbunuh di tempat kejadian, tiga lagi mati ketika menjalani rawatan. Empat lagi mayat ditemui di bawah tayar kenderaan itu.

Datuk Bandar Chihuahua Marco Quezda berkata, pada awalnya 47 cedera tetapi bilangan itu meningkat 70 orang.

Pemandu trak terselamat tetapi ditahan selepas kejadian.

Foto

ORANG ramai melarikan diri selepas trak raksasa yang mengadakan pertunjukan merempuh penonton di Mexico, semalam.

Foto

MANGSA yang cedera diberikan rawatan kecemasan.


Kejadian berlaku ketika pertunjukan Extreme Aeroshow berlangsung tiga hari di Chihuahua dibatal sejurus selepas nahas itu pada hari kedua pertunjukan itu.


Pihak berkuasa menyiasat sama ada berlaku kerosakan mekanikal berpunca daripada brek trak itu.

Menurut saksi, kejadian itu berlaku ketika trak itu 'terbang' atas susunan beberapa kereta.

"Pemandu kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh penonton yang dilihat bertempiran menyelamatkan diri," kata saksi itu.

Menurutnya, kepala pemandu trak itu terhantuk kenderaannya menyebabkannya terbabas.

"Topi keledar pemandu itu dilihat jatuh melayang." kata seorang penonton, Daniel Dominguez, 18.

Kata Dominguez, adik perempuannya berusia 11 tahun cedera di kaki dan menjalani pembedahan Ibunya pula dirawat kerana gegaran otak.

Seorang lagi penonton, Jesus Manuel Ibarra, 41, cedera di tangan dan pinggang.

"Saya terjatuh. Bila melihat di belakang saya nampak tayar trak itu meluncur dan merempuh saya," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Beckham jual istana

Posted: 06 Oct 2013 09:34 AM PDT

London: Anak Beckham tidak berpeluang mewarisi istana Beckingham apabila pasangan David dan Victoria menjual Hertfordshire dengan harga £12 million (RM61.2 juta).

Pasangan berkenaan dilapor menjual kediaman agam mereka untuk mendapatkan tunai membeli bangunan agam berharga £45 juta (RM229 juta) di tengah kota London.


Pasangan berkenaan turut menjual beberapa kenderaan mewah.

Satu sumber memberitahu akhbar, "David terutamanya sedih dengan jualan itu kerana banyak menyimpan kenangan indah keluarga itu. "Mereka menjalani kehidupan bahagia di Hertfordshire tetapi mengambil keputusan menjualnya.


Pasangan Beckham membeli estet seluas 12 ekar itu selepas tiga tahun perkahwinan. Ketiga-tiga anak mereka, Brooklyn, 14, Romeo, 11, dan Cruz, 8, tinggal bersama mereka sebelum berpindah ke Sepanyol kemudian ke Amerika Syarikat kerana kerjaya bola sepak bapa mereka.


Pasangan itu memperoleh keuntungan AS9 juta (RM28.8 juta) hasil jualan kediaman itu yang dibeli pada 1999 dengan harga AS2.2 juta (RM7.04 juta). - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Harimau baham tangan pekerja

Posted: 06 Oct 2013 09:34 AM PDT

Oklahoma: Seekor harimau membaham tangan kiri seorang pekerja di taman haiwan Oklahoma tengah selepas mangsa memasukkan tangannya ke kandang haiwan berkenaan.

Mangsa, kini menjalani pembedahan, Sabtu lalu di Hospital Oklahoma City. Doktor berusaha menyelamatkan tangan wanita itu," kata pemilik Taman Interaktif Zoologikal di Wynnewood, Joe Shreibvogel.

Kata Shreibvogel, tangan wanita itu terkoyak teruk.

"Bagaimanapun tangan yang digigit itu masih melekat pada anggota badannya tetapi parah.


"Pekerja lain yang melihat kejadian itu berusaha menyelamatkan mangsa sebelum diterbangkan ke hospital," katanya.


Beliau berkata, wanita itu memasukkan tangannya ke dalam kandang haiwan berkenaan.

"Mangsa sempat menarik keluar tangannya. Haiwan itu tidak menerkam. Wanita itu yang menceroboh kandang haiwan itu," katanya.

Taman itu mempunyai peraturan ketat melarang pelawat memasuki kandang haiwan liar.

Schreibvogel enggan mendedahkan identiti mangsa kerana belum menghubungi keluarga wanita berkenaan.

Wanita itu berumur 20-an dan bertugas sebagai penyelia haiwan di taman itu.

"Kemungkinan mangsa lalai hingga menganggap haiwan itu jinak seperti anjing, tetapi itu bukan anjing tetapi harimau," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Aktivis Papua ceroboh pejabat konsul Australia

Posted: 06 Oct 2013 09:33 AM PDT

Bali: Tiga aktivis dari Barat Papua merempuh sekatan pemeriksaan untuk memasuki konsulat Australia di Bali awal semalam.

Mereka bertindak demikian untuk menggesa pemimpin dunia yang menghadiri forum Persidangan Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di pulau itu supaya menekan kerajaan Indonesia agar membebaskan banduan politik.

Tiga lelaki itu memasuki pekarangan pejabat konsul berkenaan dan menyerahkan surat yang meminta Perdana Menteri Australia Tony Abbot, Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan pemimpin lain mendesak Indonesia membebaskan 55 orang yang dipenjarakan semata-mata kerana 'membincangkan kepercayaan hak politik dan kemanusiaan mereka,' menurut kandungan surat bertulis tangan dikeluarkan Gabungan Pelajar Papua.

Pemimpin terbabit menghadiri forum APEC dengan kawalan amat ketat di pulau peranginan berkenaan.


"Kami dapat mengesahkan yang tiga individu dari wilayah Papua menghantar surat bantahan kepada pegawai konsulat Australia di Bali," kata jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia.


Menurutnya, ketiga-tiga aktivis itu beredar secara sukarela sebelum jam 7 pagi. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Black Pele ditembak mati

Posted: 06 Oct 2013 09:31 AM PDT

Bangkok: Pasukan keselamatan Thai kelmarin menembak mati empat anggota pemisah, termasuk Abdul Roheng Da-eso atau "Black Pele" yang dikehendaki menerusi 10 waran tangkap.

Keempat-empat mereka terbunuh dalam kejadian tembak-menembak selama 15 minit.


Dua anggota polis turut mati dalam kejadian yang menyaksikan 50 anggota polis dan tentera menyerbu sebuah kediaman di daerah Rueso, kira-kira jam 2 petang selepas pihak berkuasa diberitahu terdapat sekumpulan pemisah bersembunyi di situ. Ketika mendekati kediaman terbabit, kehadiran pasukan keselamatan itu disedari kumpulan pemisah yang kemudian melepaskan tembakan. Pihak berkuasa membalas tembakan dan kejadian itu berlarutan selama 15 minit mengakibatkan dua anggota polis maut.

Kejadian berakhir apabila tujuh anggota pemisah menyerah diri dan keluar dari kediaman itu.


Pihak berkuasa kemudian menggeledah kediaman berkenaan dan menemui empat anggota pemisah yang mati, termasuk Black Pele. Selain itu, polis turut merampas dua pistol, sepucuk raifal AK47 dan lebih 100 butir bahan letupan. Dalam operasi berasingan, tentera menahan dua lelaki disyaki terbabit dalam serangan bom yang membunuh empat tentera pada 2 Oktober lalu di Krong Pinang,Yala. Dua suspek itu, Dolo Bueraheng dan Aha Maso didakwa turut bertanggungjawab terhadap kematian lapan anggota tentera Jun lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Tuntutan pemisah boleh diterima

Posted: 06 Oct 2013 09:29 AM PDT

Bangkok: Timbalan Perdana Menteri Pracha Promnok kelmarin berkata, lima tuntutan Barisan Revolusi Nasional (BRN) untuk menamatkan keganasan di selatan Thai secara keseluruhannya boleh diterima.

Bagaimanapun, dia menegaskan butir terperinci mengenainya masih diteliti. Pracha yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal keselamatan berkata, beliau berpendapat sedemikian selepas pertemuan dengan 32 penasihat di Narathiwat ketika sesi lawatannya ke wilayah itu.


Rundingan damai itu disambung semula pada 20 Oktober di Kuala Lumpur.

"Lima tuntutan BRN secara keseluruhannya boleh diterima tetapi persetujuan bukan 100 peratus," katanya.


Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan pertemuan di Universiti Puteri Naradhiwas di Muang.


Bagaimanapun, ketua tentera Prayuth Chan-och menegaskan tuntutan dibuat BRN itu tidak dapat diterima.

Tuntutan pertama BRN ialah agar pihak berkuasa mengakui mereka wakil Melayu Pattani, penduduk dari Pattani dalam rundingan itu. Tuntutan kedua ialah kerajaan perlu menerima Malaysia sebagai orang tengah dalam rundingan damai, bukan fasilitator.


BRN juga mahu anggota ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan badan bukan kerajaan dibenarkan menjadi saksi rundingan itu. Ia juga menuntut kerajaan membebaskan semua suspek pemisah yang ditahan dan membatalkan semua waran tangkap berkaitan dengan kes keselamatan kebangsaan tanpa syarat.

Tuntutan akhirnya ialah agar BRN diiktiraf sebagai pergerakan bebas dan bukan kumpulan pemisah.


Pracha berkata, tuntutan berkaitan dengan penduduk Melayu Pattani dan pembebasan suspek pemisah yang tidak mudah untuk dipersetujui.


Jika BRN 'tidak berfikiran terbuka kepada cadangan dari pihak Thai," rundingan akan menemui jalan buntu, kata Pracha. Sementara itu, pihak berkuasa keselamatan menafikan laporan yang pemimpin BRN, Hassan Taib akan digantikan pembantu rapatnya Arwae Yaba atau pemimpin utama pemisah Sapae-ing Basor. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Paderi gelap wang RM61 juta

Posted: 06 Oct 2013 09:29 AM PDT

Singapura: Skandal jutaan dolar membabitkan seorang paderi, isterinya yang juga seorang penyanyi dan eksekutif kewangan yang glamor menggemparkan republik ini.

Kong Hee, 47, paderi dan pengasas Gereja City Harvest yang mempunyai 20,000 pengikut dibicarakan bersama lima pegawai gereja lain kerana disyaki terbabit menyalurkan Sg$24 juta (RM61 juta) bagi membiayai karier nyanyian isterinya, Sun Ho. Tertuduh didakwa menyalahgunakan Sg$26 juta (RM66 juta) lagi bagi menutup penyelewengan asal.


Ho, 41, penyanyi pop berbahasa Mandarin yang mengasaskan bersama gereja terbabit dengan suaminya pada 1989, berpindah ke Los Angeles pada 2009 bagi melancarkan karier nyanyiannya dalam bahasa Inggeris sebelum skandal itu menjejaskan impiannya. Dia yang tidak berdepan sebarang tuduhan, muncul bersaja bersama suaminya di mahkamah ketika video muziknya terus hangat di laman perkongsian video YouTube.

Video lagunya "China Wine" yang menyaksikan dia menari di kelab malam bersama penyanyi rap Wyclef Jean menarik lebih sejuta penonton setakat ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Syor hakim dihukum mati

Posted: 06 Oct 2013 09:27 AM PDT

Jakarta: Penangkapan Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan, Akil Mochtar, Rabu lalu kerana rasuah membaharui gesaan untuk mengenakan hukuman mati terhadap pesalah kes rasuah berat.

Timbalan Pengerusi Dewan Perwakilan Suruhanjaya III Tjatur Sapto Edy yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal perundangan berkata, hukuman mati belum pernah dikenakan dalam kes rasuah sebelum ini.

"Benar undang-undang membolehkannya tetapi pendakwa tidak pernah melaksanakan pilihan itu," katanya dipetik Antaranews.com. di Jakarta, semalam.

Beliau berkata demikian sebagi mengulas gesaan pegawai kanan untuk mengenakan hukuman mati terhadap Akil Mochtar, yang kini digantung tugas.


Khamis lalu, Ketua Suruhanhaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Abraham Samad dan bekas Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan Jimly Asshiddiqie berkata, pendakwa perlu mengenakan hukuman mati terhadap Akil, selepas ditahan KPK disyaki menerima rasuah sekurang-kurangnya dalam dua kes pertikaian keputusan pilihan raya yang sedang dibicarakan di mahkamahnya.


Tjatur berkata, Undang-Undang Anti Rasuah 1999 memberi kuasa pendakwa mencadangkan hukum mati terhadap perasuah.

"Namun, saya tidak tahu mengapa tidak dilaksanakan. Mungkin pendakwa tidak yakin untuk mencadagkan hukuman berkenaan," kata ahli politik PAN.

Abraham dan Jimly berkata, mengenakan hukuman mati menunjukkan kerajaan bertindak tegas terhadap perasuah.

"Apa yang Akil (dakwaan rasuah) buat sangat memalukan.

"Dakwaan terhadapnya mencemar kewibawaan mahkamah sebagai satu daripada institusi paling bersih," kata Jimly.

Mantan Akil, Mahfud MD, turut menggesa mengenakan hukuman mati jika Ketua Hakim berkenaan didapati bersalah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

44 suspek keganasan ditahan

Posted: 06 Oct 2013 09:26 AM PDT

Yangon: Pihak berkuasa di Myanmar menahan 44 suspek disyaki melakukan keganasan etnik di Thandwe minggu lalu, lapor media kerajaan.

Lima penduduk Islam terbunuh dan ratusan rumah dibakar dalam serangan penganut Buddha di Thandwe.


Keganasan itu berlaku ketika Presiden Thein Sein mengadakan lawatan pertama kali ke rantau itu minggu lalu sejak 2012, menyaksikan ratusan penduduk terbunuh dan memaksa 140,000 orang, majoritinya Islam melarikan diri.

Bagaimapaun, tiada kenyataan lanjut mengenai tangkapan terbaru itu tetapi mengikut laporan televisyen anggota kumpulan kedua-dua komuniti ditahan.


Pegawai di Rakhine berkata, minggu lalu pengerusi parti politik Rakhine dan beberapa anggotanya antara mereka yang ditahan.


Akhbar Myanmar Ahli melaporkan 114 rumah dibakar di Thandwe.

Turut musnah ialah tiga bangunan kemungkinan masjid dan 482 orang kehilangan tempat tinggal.


Thein Sein dipuji kerana melakukan perubahan politik sejak tentera menyerahkan kuasa dua tahun lalu kepada pemerintahan awam diketuai pegawai tentera bersara.

Kumpulan kanan bagaimapun mendakwa kerajaan Thein Sein seolah-olah menggalakan pembersihan etnik terhadap penganut Islam di Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Filipina kepung Misuari

Posted: 06 Oct 2013 09:25 AM PDT

Manila: Tentera Laut Filipina bertindak mengepung semua laluan keluar yang mungkin digunakan pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari untuk melarikan diri ke Malaysia.

Pemerintah Briged Marin dan Pasukan Bertindak Bersama wilayah Sulu Jose Johrief Cenabre berkata, maklumat terbaru yang diterima ialah Misuari masih bersembunyi di Sulu.


Tindakan menutup laluan itu dibuat selepas waran tangkap dikeluarkan terhadap Misuari selepas dia dituduh memberontak dan mencabuli Akta Republik 9851 atau Jenayah Terhadap Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa, pembunuhan beramai-ramai dan beberapa tuduhan lain.

Misuari didakwa menjadi perancang serangan yang diketuai oleh panglima MNLF Habier Malik terhadap Zamboanga pada 9 September lalu.


Krisis berdarah itu berakhir 20 September selepas ia meragut 216 nyawa, termasuk 24 anggota tentera.


Seramai 254 anggota kumpulan berkenaan yang terbabit dalam serangan itu ditangkap atau menyerah diri.

Pada November 2001, pengasas MNLF itu terbabit dalam penahanan lebih 50 orang tebusan selama sehari, juga di Zamboanga. Misuari kemudian melarikan diri ke Malaysia selepas waran tangkap dikeluarkan terhadapnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

No comments:

Post a Comment