Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tembok flat polis runtuh

Posted: 11 Oct 2013 07:04 PM PDT

Kuala Lumpur: "Kami seperti dipukul ombak selepas tembok di tingkat rumah kami pecah," kata Noridah Abdullah, 54, yang cedera di kakinya selepas tembok kaki lima yang ditakungi air di Tingkat 4, Perumahan Pegawai Kanan Polis Desa Aman 2, di sini, runtuh, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, mangsa bersama suaminya, Saparulah Othman, 59, sedang memungut sampah yang terapung di petak takungan air di sebalik tembok kaki lima sepanjang hampir 10 meter dan setinggi satu meter setengah itu tiba-tiba runtuh menyebabkan airnya melimpah.


Noridah berkata, selepas air melimpah dengan deras dan banyak, suaminya dihanyutkan hampir 20 meter ke arah tangga apartmen setinggi 24 tingkat itu, manakala dia terhimpit separas pinggang antara tembok yang pecah dengan tembok hadapannya sebelum tembok yang pecah itu runtuh menghempap kaki kanannya.

"Walaupun cedera, tetapi saya bersyukur kerana hanya cedera di kaki manakala suami pula tidak terjatuh ke tingkat bawah kerana sempat berpaut pada besi tangga.


"Pada petang kejadian, hujan lebat sebelum petak takungan di luar bahagian dapur rumah dipenuhi air sehingga melimpah keluar," katanya.


Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Pegawai Kanan Polis Desa Aman 2, Asisten Superintendan Mohd Fauzi Mohd Sharif berkata, pihaknya sudah beberapa kali membuat aduan kepada Bahagian Logistik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) berhubung masalah itu.

Foto

MOHD Fauzi menunjukkan kawasan yang dinaiki air hingga menyebabkan tembok runtuh.

Foto

KANAK-kanak mengambil gambar di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya mengesyaki tembok berkenaan dibina tidak mengikuti spesifikasi sepatutnya kerana binaan itu tidak diperkuatkan dengan batang besi sebaliknya hanya dibina dengan batu bata, simen dan pasir.


"Petak takungan air itu hanya di tingkat empat saja dan ia berfungsi untuk menakung air hujan yang melimpah dari tingkat-tingkat di atas sebelum disalurkan semula ke longkang di bawah bangunan.

"Bagaimanapun, saluran itu sering tersumbat menyebabkan air takungan itu naik melebihi paras biasa sehingga melimpah melepasi tembok kaki lima berkenaan dan mungkin sudah terlalu kerap dibasahi air yang bertakung, menjadikan struktur tembok itu lemah," katanya.


Menurutnya, masalah itu turut menyebabkan sebuah unit kediaman di situ sering dibanjiri air takungan yang tiris masuk ke dalam menyebabkan banyak barangan dan peralatan rosak.


Mohd Fauzi berkata, akibat kejadian itu juga menyebabkan tiga lif di blok terbabit gagal berfungsi akibat dilimpahi air hingga menyulitkan semua penghuninya.


Difahamkan, pegawai dari Bahagian Logistik IPKKL sudah melawat lokasi kejadian dan kontraktor yang dilantik dijangka melakukan kerja pembaikan secepat mungkin termasuk membaik pulih lif yang rosak.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/12

Dua beranak amuk rumah dibersihkan

Posted: 11 Oct 2013 07:01 PM PDT

Selayang: Seorang warga emas dan anaknya yang menjadikan rumah sewa mereka di Kepong sebagai stor barang lusuh mengamuk selepas Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membuat operasi membersihkan rumah kotor di kawasan berkenaan, semalam.

Operasi berkenaan dijalankan selepas penduduk di kawasan perumahan itu membuat aduan mengenai rumah anak-beranak itu yang kotor, malah menjadi tempat pembiakan nyamuk, lipas dan tikus.


Ketika pekerja MPS cuba membersihkan halaman rumah mereka yang penuh dengan sampah yang didakwa menjadi punca pendapatan kedua-dua wanita itu, mereka mengamuk, malah tidur di atas jalan raya bagi menghalang tindakan MPS.

Kedua-dua wanita itu yang bekerja sebagai pengumpul dan penjual barang lusuh dan barang kitar semula itu bagi membayar hutang mereka.

Foto

WARGA emas (tengah) mengutip barangan ketika penguat kuasa membersihkan kawasan rumah yang dijadikan stor barangan lusuh.

Foto

IBU dan anak halang penguat kuasa MPS bersihkan kawasan rumah sewa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/12

'Kami dah kahwin...'

Posted: 11 Oct 2013 06:59 PM PDT

Petaling Jaya: Selepas berteka-teki sebelum ini, akhirnya pelakon meningkat naik, Aeril Zafrel, 26 dan Nurhawa Zainal Abidin (Wawa), 21, membuat pengakuan mereka sebenarnya sudah berkahwin kira-kira dua tahun lalu dan kini mempunyai seorang cahaya mata lelaki.

Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Suhari pada sidang medianya semalam bersama Wawa dan bapa mentuanya, Zainal Abidin Sulung yang didatangkan khas dari Lahad Datu, Sabah, memaklumkan dia dan Wawa sah bergelar suami isteri pada 25 Februari 2012.


Katanya, dia dan Wawa terpaksa menyembunyikan perkahwinan itu disebabkan menghormati kontrak isterinya bersama pihak pengurusan MIG yang akan tamat pada 2015.

"Demi Allah, saya dan Wawa sudah berkahwin secara sah dengan diwalikan bapanya sendiri pada 25 Februari 2012 di rumah pengurus saya, Shahriman Wahab di Petaling Jaya.


"Jadi, pernikahan kami sah dan hasil perkongsian hidup ini, kami memang sudah dikurniakan seorang anak, Ahmad Fakharuddin Attar yang dilahirkan pada 24 Ogos lalu," katanya.


Bagaimanapun, Aeril turut memaklumkan dia bernikah dengan Wawa buat kali kedua pada 4 Februari 2013 selepas mengetahui Wawa sudah mengandung.

Foto

AERIL dan Wawa semasa majlis sidang media pengakuan perkahwinan mereka di Damansara, semalam. Turut hadir, Zainal (kanan).

Menurut Aeril, perkahwinan kali kedua yang berlangsung di Masjid Jumuriah Taman Dato Harun, Petaling Jaya dibuat kerana mahu mengikut undang-undang keluarga Negeri Selangor dan supaya anak yang akan dilahirkan Wawa itu boleh dibinkan atas namanya.


Menjawab pertanyaan media, kenapa mereka perlu bernikah sampai dua kali, Aeril menjelaskan pernikahan pertama itu dilakukan demi untuk menghalalkan perhubungan dia dan Wawa.

"Menerusi perkahwinan pertama itu, kami tiada surat nikah kerana saya dan Wawa tidak mengikuti kursus nikah. Jadi, selepas mengetahui Wawa mengandung dan saya berasakan kami perlu ada dokumen perkahwinan bagi memudahkan proses pendaftaran anak nanti membuatkan perkahwinan kedua itu dilakukan.


"Apapun, status anak saya sah di sisi agama dan segala perkara buruk yang dilemparkan masyarakat sebelum ini kepada kami tidak benar kerana saya dan Wawa sudah bernikah lebih awal.


"Justeru, apa yang membuatkan saya terpaksa berdiam diri dan menyembunyikan perkahwinan kami ini kerana menghormati kehendak isteri serta keluarganya yang meminta pernikahan pertama itu dirahsiakan," katanya.


Aeril berkata, dia bagaimanapun kesal apabila perkara membabitkan perkahwinan rahsianya bersama Wawa itu akhirnya dibongkar lebih dulu oleh media sebelum perancangannya untuk memaklumkan kepada umum dibuat kira-kira dua tahun lagi, iaitu selepas kontrak Wawa bersama pihak pengurusannya tamat.


Turut ditemani oleh peguamnya, Zulhasmi Zakaria dari Termizi & Co, Aeril akhirnya meminta maaf kepada media dan juga kepada semua peminatnya kerana merahsiakan perkahwinan itu.


Menurut Aeril lagi, dia dan Wawa mula berkenalan dan bercinta pada 2010 sewaktu sama-sama berlakon dalam drama Klik. Namun, apabila perkara itu dimaklumkan Wawa kepada pihak pengurusannya, kami tidak dibenarkan berkawan apatah lagi menjalin cinta dan berkahwin.


Justeru, disebabkan perkara itu, maka Aeril yang sudah bertemu dengan bapa Wawa membuat keputusan meneruskan perkahwinan mereka secara tertutup dan rahsia daripada pengetahuan semua pihak kecuali pihak pengurusannya dan keluarga.


Sementara itu, Wawa yang tenang di sebelah bapanya, membuat pengesahan bahawa laporan media pada Ahad lalu itu adalah benar mengenai kewujudan anak mereka.


"Memang betul anak saya lahir pada 24 Ogos lalu dan semua yang dilaporkan oleh akhbar itu betul. Apapun, saya meminta maaf kepada pihak media dan semua peminat kerana terpaksa merahsiakan perkara ini.


"Apapun, mengenai penyakit misteri yang pernah saya beritahu kepada media dulu adalah benar dan saya tidak menipu. Saya memang pulang ke Lahad Datu untuk berubat dan pada masa sama saya juga mengandung ketika itu.


"Jadi, mungkin ada hikmah juga di sebalik penyakit misteri yang saya alami itu hingga memerlukan saya pulang ke rumah keluarga untuk berubat," katanya memaklumkan gembira bergelar isteri dan ibu pada usia muda.


Akhbar Ahad lalu melaporkan Aeril dan Wawa sudah bernikah pada 4 Februari lalu dan Wawa juga selamat melahirkan seorang bayi pada 24 Ogos lalu. Bahkan, bayi seberat 3.12 kilogram itu dilahirkan pada jam 9.25 pagi, di Roopi Medical Centre, Jalan Dato Haji Eusoff, Damai Complex, Kuala Lumpur dan diberikan nama Ahmad Fakharuddin Attar.


Wawa berkata mereka terpaksa merahsiakan perkahwinan itu dan menipu atas dasar darurat. Darurat dalam erti kata lain, Wawa takut dengan majikannya, David Teo.


Apapun, katanya mereka minta maaf kepada semua kerana merahsiakan perkahwinan itu walau pun sudah dua tahun mendirikan rumah tangga dan kini mempunyai seorang anak. Katanya, mereka terpaksa menipu kerana ada sebab.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/12

Kasut jadi petunjuk

Posted: 11 Oct 2013 01:49 PM PDT

Kuala Lumpur: Seorang ibu sanggup bersembunyi di sebalik sebatang pokok kira-kira 50 meter dari rumah rakan anak perempuannya di Kajang, di sini, selama sejam sebelum 'menangkap' anaknya yang baru selesai 'berpesta' seks di premis berkenaan.

Dalam kejadian bermula kira-kira jam 5.45 petang itu, wanita terbabit dilaporkan terpaksa berbuat demikian selepas rakan perempuan anaknya itu mendakwa remaja berkenaan tiada di rumah terbabit, ketika dia mencarinya.


Menurut sumber, wanita berusia 35 tahun itu mengambil keputusan bersembunyi di kawasan berhampiran kerana yakin anaknya berada di dalam rumah berkenaan selepas menemui kasut remaja terbabit ditinggalkan di pintu masuk.

Menceritakan semula kejadian, sumber itu berkata, wanita terbabit curiga dengan tingkah laku anaknya mengambil keputusan pergi ke rumah rakan remaja berkenaan kira-kira jam 5.45 petang untuk menyiasat.


"Ketika berada di hadapan rumah itu, wanita berkenaan berulang kali memanggil nama anaknya, namun tiada jawapan biarpun melihat kasut digunakan remaja itu berada di hadapan pintu.


"Tidak lama kemudian, rakan perempuan anak mangsa keluar sebelum memberitahu remaja berkenaan tiada di situ," katanya.

Sumber itu berkata, meragui kenyataan rakan anaknya itu, wanita terbabit berpura-pura beredar sebelum bersembunyi di sebalik sebatang pokok kira-kira 50 meter dari rumah berkenaan.


"Sejam kemudian, anak mangsa keluar daripada rumah itu bersama tiga remaja lelaki dan seorang perempuan," katanya.

Menurutnya, wanita terbabit segera bergegas mendapatkan anaknya menyebabkan kumpulan remaja itu mula panik.


"Selepas didesak, anak wanita terbabit mengaku melakukan hubungan seks dengan seorang daripada tiga remaja lelaki itu," katanya sambil memberitahu, rakan anaknya yang lain turut melakukan hubungan seks.


Berikutan itu, wanita terbabit membawa anaknya ke Balai Polis Kajang, di sini, untuk membuat laporan polis.


Remaja terbabit juga dirujukkan ke hospital berhampiran sebelum disahkan ada melakukan hubungan seks. Disebabkan remaja perempuan terbabit masih di bawah umur, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai rogol dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK).


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/12

'Lihat manusia tercampak'

Posted: 11 Oct 2013 01:47 PM PDT

Sarikei: "Saya sedang rancak berbual dengan rakan sebelum secara tiba-tiba melihat tubuh manusia tercampak dan jatuh di atas tanah," kata Victor Lim, 40, yang menyaksikan seorang lelaki parah selepas terjatuh daripada gondola roda Ferris pada ketinggian kira-kira 10 meter di tapak pesta ria, di sini, kelmarin.

Menurut Victor, kejadian kira -kira jam 9 malam itu berlaku pantas sehingga menggemparkan ratusan pengunjung di tapak pesta berkenaan.


Katanya, dia melihat dengan jelas seorang penumpang roda Ferris berkenaan yang berbadan agak gempal jatuh daripada salah satu kapsul roda yang sedang berpusing itu.

"Kami kemudiannya bergegas memberikan bantuan kepada mangsa yang berlumuran darah. "Mangsa yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya, di sini, semalam.


Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Wong Kiing Long, 19, dari Sibu mengalami kecederaan parah di kepala dan ditemui terbaring di atas tanah dalam keadaan tidak sedarkan diri.


Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Sarikei Unjah Janggau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.41 malam.

Katanya, sebaik tiba enam minit kemudian, pihaknya bertindak pantas memantau keadaan mangsa yang parah sebelum dikejarkan ke hospital oleh pemilik tapak pesta berkenaan. Difahamkan, penganjur tapak pesta sudah tampil membuat laporan di Balai Polis Sarikei tidak lama selepas kejadian.


Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata, siasatan masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/12

No comments:

Post a Comment