Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Silap sasaran

Posted: 12 Oct 2013 12:36 PM PDT

Kota Bharu: Seorang suri rumah yang ditembak lima das ketika memberhentikan kereta di persimpangan lampu isyarat bersebelahan Balai Polis Binjai, di sini, kelmarin, mungkin menjadi mangsa tersilap sasaran berikutan tidak mempunyai masalah dengan sesiapa.

Selain itu, cermin kereta Proton Persona yang dipandunya ketika kejadian agak gelap, menyebabkan penyerang tidak dapat mengagak identiti pemandu kenderaan itu. Dalam kejadian jam 6.40 petang, Nurul Atikah Sidek, 22, dari Kampung Karang Banggu, dekat sini, bernasib baik apabila cedera di pipi kanan selepas dipercayai terkena satu daripada lima das tembakan dilepaskan seorang pembonceng motosikal.


Dia turut cedera di tangan kanan dan hidung akibat terkena serpihan cermin yang pecah akibat ditembak.

Selepas ditembak, ibu kepada seorang anak itu dibawa masuk ke dalam balai polis yang terletak 20 meter dari tempat kejadian untuk mendapatkan perlindungan dengan dibantu orang ramai sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini dilaporkan stabil.


Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, ketika kejadian, mangsa memandu bersendirian dari arah Bachok ke Kubang Kerian.


"Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa memberhentikan keretanya kerana lampu isyarat merah sebelum dua motosikal jenis Honda EX-5 dan Yamaha LC dinaiki empat lelaki datang dari arah sama menghampirinya.

Foto

MANGSA yang berlumuran darah mendapatkan perlindungan di balai polis.

Foto

ANGGOTA forensik melakukan pemeriksaan kejadian.

"Pembonceng sebuah daripada motosikal itu kemudian melepaskan lima das tembakan ke arah kereta mangsa sebelum melarikan diri ke arah Bachok," katanya.


Menurut Mazlan, pemeriksaan menemui lima kesan tembakan di cermin sebelah kanan, cermin depan dan di pintu sebelah pemandu. Katanya, berdasarkan siasatan awal, mangsa memberitahu tidak mempunyai masalah dengan sesiapa. "Kemungkinan suspek tersilap sasaran berikutan cermin kereta yang agak gelap. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh," katanya.

Sementara itu, penduduk Wan Mat Zain Wan Omar, 64, berkata, dia bersama hampir 20 rakannya bermain dam aji di kedai makan berhampiran.


Katanya, mereka dikejutkan dengan beberapa bunyi letupan kira-kira 50 meter dari kedai makan.


"Pada mulanya, kami tidak mengendahkan bunyi letupan itu kerana menyangka ia bunyi mercun. Bagaimanapun, saya terkejut apabila dimaklumkan bahawa ada kejadian tembak," katanya.


Mangsa dan keluarganya enggan ditemubual atas faktor keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

Tunggang motosikal 170km tanpa lesen

Posted: 12 Oct 2013 12:27 PM PDT

Tapah: Seorang remaja berusia 19 tahun yang dalam perjalanan balik ke kampung bagi menyambut Aidiladha, ditahan sepasukan anggota polis trafik selepas didapati menunggang motosikal sejauh 170 kilometer tanpa lesen.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah malam semalam, remaja terbabit yang bekerja di Kuala Lumpur mengambil risiko menunggang motosikal tanpa lesen dan cukai jalan sah untuk pulang ke kampung di Gurun, Kedah.


Hasrat itu bagaimanapun tidak kesampaian apabila dia ditahan sepasukan 41 anggota Polis Trafik Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah yang melakukan 'Ops Cantas Trafik' di Kilometer 332, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran kawasan Rawat dan Rehat, Tapah.

Operasi bermula jam 10 malam kelmarin dan berakhir jam 4 pagi semalam itu bertujuan mengenal pasti pemandu ingkar serta menyalahi peraturan jalan raya ditetapkan.


Ketua Operasi Deputi Superintendan Dali Wahid berkata, remaja terbabit mendakwa mahu pulang ke kampung untuk berhari raya dengan menunggang motosikal lebih 400 kilometer.


Menurutnya, remaja itu antara 165 penunggang motosikal, pemandu kereta, bas dan lori yang dikenakan saman sepanjang operasi besar-besaran itu dilakukan.

"Polis turut menahan 18 pemandu bas ekspres yang mempunyai waran tangkap sebelum ini. Mereka masih membawa penumpang walaupun menyedari dikehendaki polis atas pelbagai kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

PPMM tubuh pasukan jejak Diana, Shafiz

Posted: 12 Oct 2013 12:25 PM PDT

Kuala Lumpur: Pertubuhan Penggerak Masyarakat Malaysia (PPMM) menubuhkan pasukan khas melalui Operasi (Ops) Jejak Diana dan Shafiz dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia.

Pengerusinya Mohd Nazri Sahat berkata, PPMM akan berusaha sedaya upaya membantu Muhammad Shah Abdullah, 35, mencari dua anaknya Nordiana Shafiza, 10, dan Muhammad Shafiz Denial, 8, yang hilang sejak empat bulan lalu. Katanya, pasukan itu setakat ini menjalankan tugas dengan berkesan, termasuk berjaya menjejaki isteri Muhammad Shah, Normaliza Mustafa, 34, yang menghilangkan diri akibat kemurungan selepas kehilangan dua anaknya.


"Alhamdulillah, kami berjaya menjumpai isterinya yang menghilangkan diri akibat tekanan perasaan pada 8 Oktober (Selasa) lalu. Sekurang-kurangnya, kurang sikit bebanan ditanggung Muhammad Shah.

"Kini kami meneruskan usaha mencari dua kanak-kanak itu dan bekerjasama dengan polis supaya kedua-dua pihak dapat bertukar-tukar maklumat," katanya.


Menurut Nazri, kes kehilangan kanak-kanak terbabit tidak boleh dipandang remeh memandangkan terlalu banyak kejadian seumpamanya di bandar raya.


"Kes kehilangan kanak-kanak bukan lagi perkara luar biasa. Sebelum ini kita sering dikejutkan dengan pelbagai kes kehilangan kanak-kanak. Ada antaranya dijumpai dengan selamat dan ada juga sebaliknya.

"Jadi, kami akan memikul tanggungjawab ini untuk membantu Muhammad Shah dan keluarganya dengan menubuhkan pasukan khas Ops Jejak Diana dan Shafiz.


"Dalam keadaan tertekan, pasti Muhammad Shah tidak dapat berfikir dengan waras. Yang dia mahu adalah mencari anaknya sehingga terlupa menjaga kebajikan anaknya yang lain dan isterinya yang mengandung," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini dua anak Muhammad Shah berusia dua tahun dan tujuh bulan dipantau penjaga sementara, manakala Shah bersama PPMM dalam misi mencari mencari anaknya yang hilang.


"Satu keluarga di Semenyih yang juga ahli pertubuhan kami sanggup menjaga buat sementara waktu kedua-dua anak Shah. Saya terpaksa berbuat begitu kerana keadaan kedua-dua anak kecil ini tertekan.


"Mereka masih bayi dan perkara yang terjadi di sekeliling mereka membuatkan kedua-duanya keletihan, trauma dan tidak sesuai dibawa ke hulu dan ke hilir dalam misi mencari.


"Insya-Allah bila semuanya selesai, mereka akan disatukan semula. Kita akan lakukan misi mencari ini secara besar-besaran tanpa mengira siapa Muhammad Shah. Paling penting, nasib anaknya yang hilang dan keluarganya terbela," katanya.


Menurut Nazri, PPMM merancang dan menjalankan usaha mencari, antaranya menampal poster, hebahan radio dan media.


"Begitupun, sebagai pertubuhan kebajikan, kapasiti kami terhad, lebih-lebih lagi persatuan ini baru ditubuhkan. Jadi, kami akan cuba sedaya mampu membantu Muhammad Shah dan keluarganya. Setidak-tidaknya, kami cuba memulihkan semangatnya dan keluarga.


"Jika ada maklumat mengenai kanak-kanak ini atau ingin sama menghulurkan bantuan, kami boleh dihubungi menerusi laman Facebook https://www.facebook.com/penggerak.net atau Bilik Gerakan Ops Jejak Diana dan Shafiz di No 12-2 Jalan Jernai, Medan Idaman, Gombak atau di talian 010-5172625," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

Polis tidak tutup kes

Posted: 12 Oct 2013 12:24 PM PDT

Kuala Lumpur: Polis tidak menutup kes dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak Jun lalu, sebaliknya meneruskan usaha mengumpul maklumat dan mencari mereka dari semasa ke semasa.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, berdasarkan semakan, pihaknya menerima laporan pada 13 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (KK). "Jika didapati ada individu melarikan mereka daripada penjaga yang sah dan sabit kesalahan, hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda boleh dikenakan," katanya ketika dihubungi Metro Ahad.


Menurut Zakaria, pihaknya tidak pernah menganggap kanak-kanak hilang sebagai kes terpencil dan usaha mencari dilakukan sejak Jun lalu hingga sekarang.

"Kami melakukan operasi mencari, malah turut membantu ibu bapa mangsa membuat poster dan hebahan media. Kes seperti ini bukan perkara kecil dan kami harap mereka segera ditemui," katanya.


Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kes itu. Katanya, beberapa maklumat awal diperoleh, namun kanak-kanak malang itu gagal dijumpai.


"Kami menerima laporan daripada orang awam menyatakan kanak-kanak terbabit pernah dilihat di sekitar ibu kota. Begitupun, ketika kami tiba di sana, mereka sudah tiada.

"Dalam kes ini, saya tidak boleh mengatakan maklumat terbabit palsu, malah kami tetap menghargai laporan itu dan berterima kasih kepada mereka yang menyalurkan maklumat terbabit.


"Sehingga kini, poster kanak-kanak berkenaan ditampal di seluruh balai polis di sekitar bandar raya dan anggota turut dimaklumkan mengenai perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

Mas dah selesa

Posted: 12 Oct 2013 12:23 PM PDT

Oleh NASHARUDDIN MUHAMMAD, HAIRULAZIM MAHMUD, MAIAMALINA MOHAMED AMIN dan YUSMAWATI MHD YUSOF

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Masjid Tanah, Melaka, Mas Ermieyati Samsudin, 37, dijangka dipilih Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang baru pada pemilihan yang berlangsung serentak membabitkan 191 bahagian di seluruh negara, semalam.

Beliau menggantikan Timbalan Menteri Kerjaya Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang melepaskan jawatan selepas melebihi had usia.


Setakat jam 7 malam tadi, Mas Ermieyati yang juga Ketua Puteri UMNO Melaka sejak 2002 mengatasi pencabarnya, Ketua Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Selangor, Jamilah Hanim Othman, 38, dengan kedudukan agak selesa iaitu 48 undi berbanding 15 undi.

Kedua-dua mereka adalah EXCO pergerakan itu.


Untuk rekod, ini kali pertama UMNO mengadakan pemilihan serentak barisan kepimpinan tertinggi parti termasuk Naib Presiden, Majlis Tertinggi (MT) dan ketiga-tiga sayap - Wanita, Pemuda dan Puteri menggunakan sistem elektoral membabitkan perwakilan dari seluruh negara.


Semalam, lebih 200,000 perwakilan tiga sayap parti - Wanita, Pemuda dan Puteri mengadakan pemilihan bagi memilih barisan kepemimpinannya untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Pada 19 Oktober ini pula, seramai 146,500 perwakilan akan memilih barisan tiga Naib Presiden dan 25 Ahli Majlis Tertinggi (MT) serta barisan kepemimpinan di peringkat bahagian.


Bagi jawatan Naib Ketua Puteri UMNO yang dikosongkan Shahanim Mohd Yusof, setakat jam 7 malam, Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Selangor, Zahida Zarik Khan mendahului dua calon lain apabila memperoleh 28 undi mengatasi Ketua Puteri UMNO Bahagian Kulim-Bandar Baharu, Kedah, Datin Norsabrina Mohd Noor (21 undi) dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Tawau, Sabah, Nazliah Ali (sembilan undi).

Bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO pula, penyandang yang juga Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar selesa mendahului empat lagi pencabar apabila mendapat 22 undi.


Setakat jam 7 petang semalam, pencabarnya, Akhramsyah Muamar Ubaidah Sanusi, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail, Abd Karim Ali dan Irwan Ambak Khalid Izhar masing-masing belum mendapat sebarang undi. Bagaimanapun, bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO, setakat waktu sama, Ketua Pemuda UMNO Perak, Khairul Azwan Harun mendahului tiga lagi calon apabila mendapat 12 undi mengatasi Jamawi Jaafar (empat undi), Mohd Iruan Zulkefli (dua undi) dan Lokman Noor Adam (satu undi).


Untuk rekod, berdasarkan sistem elektoral berkenaan, undi maksimum yang akan diperoleh setiap calon ialah 191 berdasarkan satu undi bagi setiap bahagian.


Bagi jawatan Ketua Wanita UMNO, setakat tempoh sama, penyandangnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil masih mendahului jauh dua lagi calon apabila mendapat 16 undi manakala Raihan Suleiman Palestine dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Pahang, Datuk Maznah Mazlan belum mendapat sebarang undi.


Bagi jawatan Naib Ketua Wanita UMNO, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun juga masih mendahului pencabarnya, ADUN Sungai Tiang, Kedah serta EXCO kerajaan negeri Kedah, Datuk Suraya Yaakob apabila memperoleh 12 undi berbanding Suraya yang baru mendapat satu undi.


Sementara itu, Mas Ermieyati, graduan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika dihubungi Harian Metro berkata, walaupun masih terlalu awal untuk memutuskan beliau akan memenangi jawatan berkenaan, namun bersyukur dengan perkembangan keputusan semasa yang memihak kepadanya.


Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, sekiranya diberikan peluang untuk memenangi jawatan nombor satu sayap bongsu UMNO itu, beliau berjanji akan menunaikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan perwakilan dari seluruh negara bagi membawa Puteri UMNO ke tahap lebih cemerlang terutama dalam memperkasakan golongan wanita muda Melayu dan Bumiputera dalam pelbagai bidang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

No comments:

Post a Comment