Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Cari stadium lebih besar'

Posted: 06 Oct 2013 10:18 AM PDT

Kuala Lumpur: Pertemuan separuh akhir pertama Piala Malaysia membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menentang Kelantan pada 18 Oktober ini mungkin berlangsung di stadium yang mempunyai kapasiti lebih besar.

Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang mempunyai kapasiti 16,000 penonton sememangnya menjadi gelanggang tuan rumah buat Gladiators musim ini namun ia mungkin mengundang pelbagai masalah terutamanya membabitkan limpahan penonton dan aspek keselamatan kerana kedua-dua pasukan dilihat mempunyai jumlah penyokong ramai.

Malah Presiden Persatuan Bolasepak ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin sudah mengarahkan setiausaha persatuan berbincang dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai kemungkinan itu selepas kejayaan ATM menumbangkan juara Liga Super, LionsXII di suku akhir pada Jumaat lalu kerana melihat Kelantan atau Johor Darul Takzim (DT) turut mempunyai jumlah penyokong ramai.

"Kami tidak mempunyai masalah beraksi di stadium lain namun ia bergantung kepada kelulusan FAM," kata jurulatih B Sathianathan yang juga pengurus ATM.

Foto

STADIUM Majlis Perbandaran Selayang hanya boleh memuatkan 16,000 penyokong.


Stadium Shah Alam dilihat pilihan terbaik untuk perlawanan berkenaan kerana ia mempunyai kapasiti sehingga 80,000 penyokong selain sudah tiada pasukan lain menggunakannya selepas PKNS FC turut tersingkir pada suku akhir Piala Malaysia, Jumaat lalu.


Pertemuan kedua-dua pasukan itu ibarat ulangan final Piala Malaysia tahun lalu dengan Kelantan menewaskan ATM 3-2 namun Sathianathan tetap meramalkan perlawanan sengit bakal berlangsung bagi menentukan pasukan mana berhak melangkah ke final kali ini.

ATM melangkah ke separuh akhir selepas menyingkirkan LionsXII dengan agregat 4-2 manakala Kelantan yang juga juara bertahan bangkit selepas tewas 2-4 pada suku akhir pertama untuk membelasah Johor DT di Kota Bharu dengan keputusan 6-1 dan mara dengan agregat 8-5.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Giliran Sime Darby tempelak pengadil

Posted: 06 Oct 2013 10:15 AM PDT

Petra Jaya: Mutu pengadilan bola sepak negara sekali lagi ditegur dan kali ini giliran jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria menempelak pengadil perlawanan selepas skuad bimbingannya tewas 1-3 kepada Sarawak pada saingan suku akhir kedua Piala Malaysia, malam kelmarin.

Ismail yang hilang sabar, lantang menyuarakan rasa tidak puas hati sambil menyifatkan kekalahan anak buahnya 'dibantu' pengadil Muhammad Zamzaidi Katimin hingga menyaksikan hasrat kelab itu mara ke separuh suku akhir buat pertama kali terbantut.


Beliau mempertikai tindakan pengadil dari Melaka itu memberikan sepakan percuma yang menghasilkan gol kedua Sarawak sekali gus menyebabkan mereka ketinggalan 1-2 hingga menjejaskan tumpuan pemainnya.

"Saya nampak sendiri dan kita ada siaran langsung, semua boleh menilai dan paling mendukacitakan keputusan pengadil menyebabkan gol kedua Sarawak. Kami sebelum itu dapat menyaingi Sarawak dari semua segi tapi gol kedua itu membunuh momentum kami. Saya rasa sepakan percuma itu tidak seharusnya diberikan," katanya sambil memberitahu kejadian itu kali kedua menimpa pasukannya.


"Sebelum ini, kami juga seperti 'dipermainkan' pengadil ketika menentang Selangor di Shah Alam apabila jaringan kami yang sah, tidak dikira. Saya bukan tidak boleh menerima kekalahan, tapi biarlah adil." Ditanya sama ada akan membawa perkara itu kepada FAM, Ismail berkata, beliau tidak berminat membuat bantahan kerana sudah menjangkakan keputusan perlawanan pasti tidak boleh diubah.


"Saya terima kekalahan ini walaupun ia sebahagiannya disebabkan keputusan pengadil. Kami turun 100 peratus pemain tempatan kerana dua pemain import cedera. Tidak mengapalah, mungkin bukan rezeki kami tahun ini. Insya-Allah tahun depan kami akan berusaha lagi. Saya puji pemain kerana kesungguhan dan aksi terbaik yang mereka pamerkan.

"Walaupun kalah, kami bangga dengan prestasi pasukan yang kebanyakannya pemain muda. Anggaplah ia sebagai persiapan untuk tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Pahang, Sarawak buat saingan lebih menarik

Posted: 06 Oct 2013 10:14 AM PDT

Kuala Lumpur: Kejayaan dua pasukan bukan pilihan iaitu Pahang dan Sarawak mara ke separuh akhir Piala Malaysia satu perkembangan positif sekali gus membuktikan peluang sentiasa terbuka kepada mana-mana pasukan untuk menjulang piala berprestij itu.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, ia juga merubah senario dan jangkaan ramai yang sudah pastinya sentiasa meramalkan pasukan pilihan saja mampu melangkah lebih jauh.


"Saya rasa kali ini kita akan dapat saksikan saingan separuh akhir yang menarik. Dua wakil dari Pantai Timur (Pahang dan Kelantan) bersama Sarawak dan ATM (Angkatan Tentera Malaysia).

"Kita sentiasa jangka pasukan pilihan akan layak ke peringkat seterusnya tapi sekarang kita juga dapat lihat pasukan bukan pilihan juga mampu melakukannya," katanya.


Pun begitu, Tengku Abdullah berkata, kegagalan pasukan pilihan tidak bermakna mereka sudah hilang taring.


"Pasukan pilihan tetap memegang status pilihan. Tapi saya harap kerancakan saingan Piala Malaysia ini sentiasa terbuka.

"Bermakna, Piala Malaysia boleh dimenangi mana-mana pasukan. Kita tidak mahu hanya dua pasukan saja memonopoli saingan ini." Sarawak mara ke separuh akhir selepas menewaskan Sime Darby menerusi agregat 3-1 manakala Pahang menewaskan PKNS FC menerusi agregat 5-3.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Tunku Ismail sedia undur jika tiada trofi

Posted: 06 Oct 2013 10:14 AM PDT

Johor Bahru: "Sekiranya saya gagal membimbing Johor menjulang sebarang piala musim depan, saya akan meletakkan jawatan selaku Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ). Itu janji saya," kata Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) menerusi laman web rasmi Johor Fan Club, kelmarin.

Kenyataan serius itu membuktikan Tunku Ismail mengidam kejuaraan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan sama ada Piala Liga, Piala FA dan Piala Malaysia selain memburu slot ke saingan Piala AFC musim 2015.

Walaupun skuad Johor Darul Takzim (DT) kecundang 8-5 secara agregat kepada Kelantan pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin, Tunku Ismail bersikap profesional apabila menerima kekalahan itu dengan hati terbuka dan menganggap nasib tidak menyebelahi mereka.

"Kekalahan hari ini adalah kemenangan hari esok dan saya perlu menyemat cita-cita tinggi serta sanggup menempuh kegagalan. Walaupun kita kalah dalam saingan Piala Malaysia, semangat meneruskan usaha untuk membina kuasa baru bola sepak Malaysia tidak pernah luntur," katanya.


Apa yang pasti, usaha Tunku Ismail dan perancangan membentuk 'empayar' bola sepak Johor sudah bermula selepas mengikat bekas pemain antarabangsa Argentina, Pablo Aimar dan bekas pemain bawah 21 tahun Sepanyol, Braulio Rodriguez serta pemain tengah LionsXII, Hariss Harun untuk melengkapkan kuota tiga pemain import musim depan selain kelibat ketua jurulatih baru, Cesar Ferrando Giminez yang akan dibantu Azmi Mohamed.


Malah Tunku Ismail bukan sekadar menumpukan perhatian terhadap Johor DT, sebaliknya Johor yang beraksi pada saingan Liga Perdana turut mendapat suntikan pemain berkualiti selepas pertahanan LionsXII, Baihakki Khaizan akan menyarung jersi skuad itu dengan kontrak empat tahun.

Pasukan Johor bimbingan Edres Selamat bakal diperkuat kombinasi beberapa pemain berpengalaman dan muda dengan sasaran layak ke Liga Super musim depan.

Malah Tunku Ismai yang memiliki visi membentuk barisan mantap Johor DT dan Johor akan membuat pengumuman rasmi tidak lama lagi mengenai barisan pemain kedua-dua pasukan dan yakin saingan Liga M musim depan lebih rancak dan mampu menjanjikan corak permainan menghiburkan.

"Kejayaan tidak datang sekelip mata, ia perlukan masa namun kekalahan umpama cuaca buruk, ia tidak kekal berpanjangan dan pasti akan berubah. Saya impikan masa depan lebih baik dan melupakan sejarah lalu demi kemajuan bola sepak Johor," kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Bangkit jumpa Bahrain: Tengku Abdullah

Posted: 06 Oct 2013 10:12 AM PDT

Kuala Lumpur: Bangkitlah! Demikian nada tegas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kepada barisan pemain Harimau Malaya yang bakal beraksi pada kempen kelayakan Piala Asia bertemu Bahrain, 15 Oktober ini.

Bagi beliau, perlawanan ketiga bertemu Bahrain di Stadium Shah Alam begitu penting selepas skuad negara sekadar meraih tiga mata daripada dua perlawanan hasil kemenangan 2-1 ke atas Yaman dan tewas aksi terakhir bertemu Qatar 0-2.

"Saya harap jurulatih dapat melakukan persiapan rapi dan sudah tentu juga jangkaan peminat begitu besar. Kalau berjaya sudah tentu ia satu perkembangan yang bagus.

"Saya mahu semua pengurusan pasukan dan pemain bangkit ketika menentang Bahrain," katanya ketika ditemui pada Kejohanan Hoki 5 Sebelah semalam.


Mengulas mengenai persiapan anak buah Datuk K Rajagobal yang dilihat terjejas berikutan gangguan saingan Piala Malaysia, Tengku Abdullah berkata, perkara itu sesuatu yang normal.


"Ia dilalui semua pasukan di dunia. Apapun saya harap Rajagobal tahu apa yang dilakukannya," katanya.

Tengku Abdullah juga enggan mengulas mengenai masa depan Rajagobal sekiranya skuad negara tewas kepada Bahrain.

"Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi atau bercakap mengenai masa depan Rajagobal ketika ini. Biarlah beliau menjalankan tugasnya terlebih dulu," katanya.

Skuad negara berlepas ke Shenzen, China pagi semalam bagi aksi persahabatan antarabangsa menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Rabu ini sebelum turun berdepan Bahrain.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Peminat nak lagi...

Posted: 06 Oct 2013 10:08 AM PDT

Marang: Kejohanan berbasikal Harian Metro Mountain Bike Grand Prix akan dijadikan acara tahunan berdasarkan permintaan ramai pihak.

Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar berkata, program anjuran akhbar nombor satu negara bersama Tourism Malaysia itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat sukan lumba basikal dari dalam dan luar negara dengan ramai yang meminta supaya acara itu diadakan pada masa depan.


"Kita mengharapkan sokongan semua pihak dan bercadang mengadakan acara ini dengan lebih besar dan lebih tersusun pada masa akan datang. Sebelum ini, Harian Metro terkenal dengan penganjuran kejohanan futsal dan kini, kita beralih arah menganjurkan kejohanan berbasikal yang semakin popular," katanya pada sidang media Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013 Sirkit 3 di dewan Majlis Daerah Marang, di sini, kelmarin.

Penganjuran Sirkit 3 di Bukit Mawi itu susulan daripada Sirkit 1 di Putrajaya, Sirkit 2 di Kellie's Castle, Perak dan akan diteruskan ke Kedah dan Johor selepas ini.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Mohd Jidin Shafee menyambut baik saranan supaya penganjuran kejohanan sukan berbasikal itu diadakan setiap tahun di negeri ini dan meminta cadangan berkenaan dibuat lebih awal untuk dimasukkan dalam kalendar pelancongan Terengganu.


Sambil memuji kejohanan berkenaan kerana mempopularkan Bukit Mawi sebagai lokasi pelancongan sukan baru, beliau berharap acara sebegitu dapat diperluaskan ke daerah lain dan secara tidak langsung memperkenalkan destinasi pelancongan baru lebih menarik.

"Sukan berbasikal dapat menarik minat remaja memenuhi masa lapang dengan program lasak dan menarik, malah Terengganu sendiri terkenal sebagai negeri yang ramai melahirkan atlet berbasikal," katanya.


Menurutnya, dengan adanya lokasi baru untuk sukan berbasikal lasak ini, ia bukan saja menjadikan Marang sebagai destinasi pelancongan berasaskan laut seperti aktiviti mencandat sotong dan percutian di Pulau Kapas, malah turut memperkenalkan destinasi pelancongan baru di darat yang tidak kurang hebatnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Strategi tepat ubah nasib Jannah

Posted: 06 Oct 2013 10:07 AM PDT

Marang: Pengalaman dua tahun berkayuh sudah memadai buat Siti Aminatul Jannah Abdul Rahman, 17, untuk membuktikan dia mampu mengatasi pelumba berpengalaman apabila meraih tempat pertama kategori Terbuka Wanita Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix 2013 Sirkit 3 di Bukit Mawi, di sini, kelmarin.

Pelumba dari Kelab Geng Gerek-Gerek Kedah itu berkata, dia mampu mengatasi saingan dilemparkan pelumba lain selepas merancang strategi untuk memecut laju sejak dari garisan permulaan.


Menurutnya, selepas meninggalkan jauh pelumba lain, dia menggunakan kelebihan itu dan mengekalkan momentum hingga ke garisan penamat.

"Di belakang saya ada Nurul Ahmar (Badauzeman) dan Nur Deena (Safiya) yang berusaha untuk merapati, tapi jarak selamat antara saya dan mereka, memberikan kelebihan. Walaupun mula berasa penat selepas mengayuh sejauh 25 kilometer, saya lega kerana kedua-dua pelumba itu juga kepenatan dan berada agak jauh di belakang," katanya yang menamatkan saingan dengan catatan 1 jam 58 minit.


Katanya, selepas berasa peluangnya untuk berada di depan cerah, dia sekadar membuat kayuhan secara konsisten bagi memastikan jurang perbezaan antara dirinya dan kedua-dua pencabar itu kekal.


"Jarak antara saya dan pelumba di belakang hampir dua kilometer dan kedudukan itu terus kekal hingga ke garisan penamat," katanya.

Pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Alur Janggus, Alor Setar, Kedah itu berkata, kejayaannya itu hasil tunjuk ajar jurulatih serta sokongan padu ahli keluarganya.


Siti Aminatul Jannah berkata, wang tunai RM700 dimenanginya itu akan dibelanjakan untuk ahli keluarganya sebagai membalas sokongan diberikan kepadanya dalam sukan berbasikal.

Bagaimanapun katanya, dia akan memberhentikan dulu aktiviti berbasikal buat sementara waktu bagi memberi tumpuan terhadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula awal bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

'Saya teringat kegigihan arwah Asmu'i'

Posted: 06 Oct 2013 10:06 AM PDT

Marang: "Melihatkan semangat pelumba bertanding, saya tersenyum sendiri sambil mengingatkan kegigihan arwah dulu," kata Ali @ Awang Sulong, 68, bapa kepada atlet berbasikal Terengganu, Muhamad Asmu'i, 20, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 71, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Pulau Serai, Dungun, Rabu lalu.

Menurutnya, dia tidak dapat melupakan kegigihan arwah anaknya mengejar cita-cita menjadi pelumba berbakat selepas melihat aksi mereka yang menyertai kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix 2013 Sirkit 3 di Bukit Mawi, di sini, kelmarin.


Beliau berterima kasih dan bersyukur kepada semua pihak terbabit dalam menganjurkan kejohanan berkenaan kerana sanggup bersusah payah mengumpulkan derma demi memperingati arwah anaknya itu.

"Saya terharu kerana penganjur memberikan layanan istimewa kepada saya dan isteri (Kuntom Jusoh, 63) serta anak-anak yang hadir sama untuk menyaksikan kemeriahan kejohanan ini," katanya ketika ditemui di, sini, kelmarin.


Ali berkata, kesedihannya dan isteri terubat selepas diberikan kata-kata semangat oleh Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Maznah Mazlan, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Mohd Jidin Shafie serta Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar yang bersimpati dengan kejadian menimpa anak bongsunya itu.


Menurutnya, sekiranya arwah masih hidup, Asmu'i pasti akan turut serta memeriahkan lagi kejohanan Harian Metro MTB itu.

"Arwah seorang pelumba berbakat dan saya yakin dia pasti tidak akan ketinggalan jika ada penganjuran sukan berbasikal di negeri ini.


"Namun apakan daya, Allah lebih menyayanginya dan biarlah sejarah kegemilangan dia dalam sukan berbasikal ini bersemadi dalam keluarga kami." Bapa kepada 10 anak itu berharap semua peserta yang terbabit dalam sukan berbasikal di Terengganu akan terus berusaha gigih supaya sukan itu menjadi tonggak kejayaan negeri melahirkan atlet berbakat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Barca makin gah

Posted: 06 Oct 2013 10:04 AM PDT

Madrid: Barcelona meneruskan rentak cemerlang pada permulaan musim La Liga apabila mereka bangkit daripada ketinggalan untuk membenam Valladolid 4-1 dan merakam kemenangan kelapan dalam lapan perlawanan.

Sementara itu Real Madrid kekal lima mata di belakang namun memerlukan dua gol masa kecederaan sumbangan Alvaro Morata dan Cristiano Ronaldo untuk menang 3-2 ke atas Levante di laman lawan.


Barca tampil tanpa Pemain Terbaik Dunia, Lionel Messi kerana kecederaan paha, namun ketiadaannya tidak dirasai kerana satu lagi persembahan mengagumkan daripada Neymar.

Javi Guerra menanduk masuk gol buat Valladolid mengejutkan lawan pada minit ke-10, namun Alexis Sanchez menyamakan kedudukan empat minit kemudian.


Giliran Neymar mencuri tumpuan apabila dia mengumpan kepada Cristian Tello, yang kemudian menolak ke belakang kepada Xavi Hernandez yang menjadikan kedudukan 2-1 tidak lama selepas rehat.


Bintang Brazil itu sekali lagi terbabit menghasilkan gol ketiga apabila dia melorongkan kepada Sanchez yang menyumbat masuk gol keduanya pada minit ke-65.

Enam minit kemudian, umpanan Sanchez membolehkan Neymar mencatat gol ketiganya bersama Barcelona.


Namun penyerang Chile itu menafikan lebih mudah buatnya dan Neymar beraksi tanpa Messi.

"Neymar bermain seperti Neymar, setiap orang memiliki gaya permainan tersendiri," kata Sanchez.


"Messi berlainan. Mereka dua pemain berbeza. Saya tidak fikir kami lebih bebas apabila Messi tidak beraksi. Apabila dia tiada, kami perlu lebih bekerja keras kerana bermain dengan Messi lebih mudah." Real turut terpaksa bangkit namun lebih sukar dengan dua gol lewat di Ciutat de Valencia.


Ketika anak buah Carlo Ancelotti ketinggalan 1-2 menuju masa kecederaan, Morata menolak masuk dari jarak dekat sebelum percubaan Ronaldo terkena tiang dan menerjah masuk bagi menghadiahkan kemenangan buat Real. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Totti bantu Roma benam Inter

Posted: 06 Oct 2013 10:04 AM PDT

Milan: Francesco Totti meledak dua gol manakala Alessandro Florenzi menambah satu gol lagi sebelum rehat babak pertama ketika AS Roma membenam Inter Milan 3-0 di San Siro untuk mencerahkan impian memburu kejuaraan.

Roma menamatkan perlawanan itu dengan 10 pemain apabila pertahanan Federico Balzaretti dilayangkan kad merah selepas terjahan keras pada 10 minit terakhir.


Totti membuka tirai jaringan pada minit ke-18 apabila dia merembat kencang hantaran Gervinho melepasi pertahanan Inter dan penjaga gol Samir Handanovic.

Roma menerima sepakan penalti kontroversi lima minit sebelum rehat dan Totti tampil untuk menggandakan pendahuluan pasukan pelawat.


Florenzi, seorang daripada empat penjaring Roma ketika membelasah Bologna 5-0 minggu lalu, menjadikan kedudukan 3-0 seminit sebelum rehat untuk memastikan tiga mata.


Sekalipun Roma kekal sebagai pendahulu, kapten Totti tidak mengendahkan mengenai Scudetto apabila berkata: "Ia permulaan menakjubkan awal musim ini.

"Skuad ini boleh pergi lebih jauh dan sekalipun musim masih panjang dan kami berdepan pasukan yang lebih kuat, kami akan berjuang merebut tempat ke Liga Juara-Juara. Itulah objektif kami." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

No comments:

Post a Comment