Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Ibu murung ditembak mati

Posted: 04 Oct 2013 10:09 AM PDT

Washington: Kemurungan dialami selepas melahirkan anak tahun lalu menyebabkan seorang wanita akhirnya mati ditembak polis, semalam.

Miriam Carey dilaporkan memandu kereta dengan membawa anak perempuannya bersama sebelum merempuh penghadang di pekarangan Rumah Putih.

Miriam memandu kereta Sedan Infiniti itu hampir 435 kilometer dari rumahnya di pinggir Stamford ke Washington dan mencetuskan kegemparan.

Dia kemudian memandu laju selepas dikejar pasukan keselamatan sebelum dikepung dan ditembak mati.

Foto

POLIS menyekat laluan Constitution Avenue ekoran kejadian di Capitol Hills, Washington, kelmarin.

Foto

POLIS Capitol dan paramedik membawa mangsa di atas pengusung selepas kejadian.

Foto

KERETA polis yang remuk di kelilingi pita kuning berhampiran Bangunan Capitol selepas insiden kejar-mengejar antara pihak berkuasa dan pemandu wanita.


Anak perempuannya, Erica yang berada di tempat duduk belakang tidak cedera walaupun ejen Khidmat Rahsia dan polis Capitol melepaskan 15 das tembakan ke arah kereta itu.


Ibu Miriam, Idella Carey berkata, anaknya mengalami kemurungan lepas bersalin setelah melahirkan Erica Ogos tahun lalu.

Beberapa bulan selepas itu, katanya, dia jatuh sakit dan mengalami kemurungan sebelum dimasukkan ke hospital.

Bekas majikan Miriam pula berkata, wanita terbabit pernah mengalami kecederaan di kepala ketika jatuh tangga tahun lalu.

Katanya, apabila Miriam kembali bekerja selepas pulih, dia didapati hamil walaupun belum berkahwin.

"Di sebalik keadaan itu, Miriam kelihatan gembira," katanya.

Pihak berkuasa berkata, ibu tunggal itu mempunyai sejarah penyakit mental tetapi tidak mengulas lebih lanjut.

Bekas ketua Miriam selama lapan tahun, Dr Steven Oken berkata, sepanjang lapan tahun dia mengenali wanita itu, Miriam sentiasa ceria.

Jiran tetangga pula menyifatkan Miriam sebagai wanita muda yang baik.

Gambaran itu berbeza dengan wanita yang menyebabkan anggota Kongres bersembunyi di bilik persalinan di Bangunan Capitol dan pelancong bertempiaran lari selepas dia memecut laju cuba memasuki pekarangan Rumah Putih kira-kira jam 2 petang kelmarin.

Walaupun lokasi kejadian amat sensitif, Ketua Polis Capitol Kim Dine menyifatkan ia insiden terpinggir dan tiada kaitan dengan keganasan.

Saksi berkata, Miriam merempuh penghadang sementara dan melanggar ejen Perkhidmatan Rahsia yang cuba menghalangnya menyebabkan lelaki itu tercampak di belakang kereta.

Ejen terbabit kemudian melepaskan tembakan ke arah keretanya ketika dia membelok dan memecut melarikan diri.

Polis mengejarnya di jalan raya dekat Capitol Hill dan Miriam dikatakan memecut pada kelajuan 130 kilometer sejam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

Kes rogol Bob Hewitt ditunda tahun depan

Posted: 04 Oct 2013 10:03 AM PDT

Boksburg (Afrika Selatan): Kes serangan seksual dan rogol bekas juara berganda Grand Slam, Bob Hewitt, semalam ditunda hingga tahun depan.

Hewitt didakwa dengan dua pertuduhan rogol dan satu tuduhan serangan seksual ke atas remaja perempuan. Dua daripada mangsa berusia bawah 16 tahun ketika kejadian dan mangsa ketiga berusia bawah 18 tahun.


Pendakwa raya berkata, serangan itu berlaku pada awal 1980-an ketika Hewitt masih menjadi nama besar dalam sukan tenis. Dua kejadian berlaku di Boksburg, bandar di timur Johannesburg dan kejadian ketiga berlaku di wilayah barat laut Afrika Selatan.

Hewitt menafikan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya itu dan sebelum ini mengancam untuk meyaman pihak yang mendakwanya. Mahkamah di Boksburg semalam menangguhkan kes itu hingga 10 Januari tahun depan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

Menangis ditahan rasuah

Posted: 04 Oct 2013 10:02 AM PDT

Jakarta: Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan Indonesia, Akil Mochtar dilaporkan menangis ketika pegawai Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) menahannya bersama empat yang lain.

Sumber KPK berkata, Akil ditahan bersama empat orang kanannya di sebuah rumah di Widya Chandra, Jakarta Selatan kelmarin.

"Apabila suspek diberkas, dia menyatakan kekesalannya sambil menitiskan air mata," katanya.

Dianggap antara hakim paling kanan di Indonesia, Akil ditahan KPK kerana dipercayai mengambil rasuh dalam ke pemilihan ketua daerah Gunung Mas di Kalimantan Tengah.

Foto

PEGAWAI KPK menunjukkan wang tunai yang ditemui dalam beg di kediaman Akil ketika dia diberkas, kelmarin.


Sumber berkata, KPK memang sudah lama memerhatikan tindak-tanduk Akil tetapi hanya dapat menahannya selepas berlaku transaksi antara suspek dengan anggota Dewan perwakilan Rakyat, Chairunnisa.


Sementara itu, pesuruhjaya KPK, Bambang Widjojanto berkata, pegawainya turut menemui ganja dan pil ecstasy di pejabat Akil.

"Ya, kami menemui dadah itu ketika memeriksa pejabatnya kelmarin," katanya.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada dadah itu milik Akil atau sebaliknya.

Akil dinamakan sebagai suspek utama yang menerima suapan AS$284,050 (RM901,456) dan $22,000 (RM69,818) daripada Pegawai Daerah Gunung Mas, Hambit Bintih dan ahli perniagaan dari Palangkaraya, Cornelius Nalau agar dia mengeluarkan arahan yang memihak kepada mereka ketika kes undang-undang pilihan raya di Gunung Mas.

Dia dinamakan suspek bersama peguam Susi Tur Andayani yang menerima suapan RP1 bilion (RM280,560) daripada Tubagus Chaeri Wardana, suami kepada Datuk Bandar Tangerang Selatan Airin Rachmy Diani dan abang kepada Gabenor Banten Ratu Atut Chosiyah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

Bunuh, kerat tubuh rakan sendiri lepas bertengkar

Posted: 04 Oct 2013 09:58 AM PDT

Bangkok: Polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun kerana disyaki membunuh rakannya sebelum mengerat tubuh mangsa.

Ketua Polis Daerah Prathai Sanong Boonkerd semalam berkata, Chalermpol Masripha ditahan di kediamannya, 35 kilometer dari tempat kejadian malam kelmarin.


Hasil siasatan mendapati Chalermpol mengakui membunuh Paisal Pachuenjai, 41, selepas mereka bertengkar ketika minum arak di kediaman suspek.

Chalermpol berkata, dia hilang sabar selepas Paisal mendakwa keluarganya merampas tanah ibu mangsa.


Suspek menjelaskan kepada mangsa yang ibunya sudah menerima bayaran pembelian tanah berkenaan tetapi dinafikan mangsa. Pertengkaran tercetus antara suspek dan mangsa sebelum suspek hilang sabar lalu membunuh mangsa. Chalermpol mengakui dia mabuk dan menggunakan pisau dapur untuk menikam Paisal sebelum mengerat mayat rakannya berkenaan kepada beberapa bahagian.


Suspek juga mengakui melakukan demikian kerana dia berhalusinasi seolah-olah menjadi seorang doktor yang menjalankan bedah siasat terhadap mayat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

Barah usus ragut nyawa penyanyi wanita era 70-an

Posted: 04 Oct 2013 09:58 AM PDT

Jakarta: Penyanyi era 70-an, Diana Nasution meninggalkan dunia di Hospital Gading Pluit kira-kira jam 12.45 pagi tadi.

Diana, 69, yang juga ibu kepada penyanyi Marcello Tahitoe dikhabarkan menghidap penyakit usus. Pengurus Marcello, Petra ketika dihubungi berkata, Diana dirawat di hospital itu sejak Isnin lalu.


"Jenazahnya akan dikebumikan di kawasan perkuburan Gatot Subroto," katanya. Perjalanan karier Diana bermula daripada pembentukan "Nasution Sisters" bersama kakaknya, Rita Nasution. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

3 juta penduduk terjejas akibat banjir berlarutan

Posted: 04 Oct 2013 09:57 AM PDT

Bangkok: Hampir tiga juta penduduk dari 12,667 perkampungan di 250 daerah terjejas akibat banjir sejak 17 September lalu, lapor Jabatan Pencegahan Bencana semalam.

Jabatan itu mengesahkan jumlah kematian akibat bencana terbabit meningkat kepada 30 sehingga pagi semalam. Di Nakhon Ratchasima, banjir menjejaskan lebih 200 isi rumah selepas lebih lima juta meter padu air dilepaskan dari empangan Lam Chiang Klai. Di Ubon Ratchathani dan Si Sa Ket, lebih 15,000 orang dipindahkan ke kawasan lebih tinggi. Sementara itu, pusat pencegahan banjir dewan bandar raya melaporkan kira-kira 80 peratus daripada Bangkok dan daerah berhampiran akan menerima hujan lebat hari ini.


Gabenor Bangkok Sukhumbhand Paribatra berkata, lebih 850 isi rumah di 25 penempatan bakal menghadapi bencana berkenaan apabila paras air di Sungai Chao Phraya dijangka meningkat pada pertengahan bulan ini.

Menurutnya, paras air akan naik sebanyak dua meter dari paras laut pada 15 dan 16 Oktober ekoran pengaliran dari wilayah utara.


Sukhumbhand berkata, tembok banjir sepanjang 86 kilometer di tebing sungai akan siap dibina tahun depan.


Kaji selidik dijalankan Bangkok Poll menunjukkan 54 peratus responden bimbang jika banjir melanda ibu negara, Bangkok sekali lagi tahun ini walaupun keadaan dijangkakan tidak seburuk seperti pada 2011. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

2 dijel langgan pelacur remaja dari China

Posted: 04 Oct 2013 09:57 AM PDT

Singapura: Dua lagi lelaki semalam masing-masing dipenjarakan 10 minggu kerana melanggan pelacur remaja dari China.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang dijatuhkan hukuman akibat jenayah itu kepada 15 orang. Pengurus projek, Ng Keng Siong, 56, mengaku membayar S$80 (RM204) untuk khidmat seks di Hotel BudgetOne di Geylang pada 20 Mei lalu. Dia juga berdepan dengan satu lagi pertuduhan yang dilakukan keesokan harinya yang masih dipertimbangkan mahkamah. Di mahkamah sama, penolong pengurus, Ong Boon Hock, 61, mengakui membayar $60 (RM153) kepada remaja terbabit di rumah tumpangan di Lorong 21 Geylang antara 19 hingga 23 Mei. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

300 pencari suaka lemas

Posted: 04 Oct 2013 09:56 AM PDT

Itali: Itali berkabung atas kehilangan 300 pencari suaka Afrika yang dikhuatiri lemas dalam tragedi paling buruk di Mediterranean ketika kerajaan merayu Eropah menyekat kemasukan pendatang tanpa izin.

Ketika usaha dilancarkan mencari mangsa lemas di Pulau Lampedusa diteruskan, Pope Francis penuh emosi berkata, semalam adalah hari air mata untuk negara yang tidak menghiraukan keperitan pendatang.


Perkhidmatan kecemasan di pulau terpencil bahagian paling selatan Itali menemui 111 mayat setakat malam tadi dan menyelamatkan 155 orang dari sebuah bot dianggarkan membawa antara 450 dan 500 pendatang.

Kapal berukuran 20 meter dan sarat dengan penumpang itu karam selepas terbakar Khamis lalu.


Kebanyakan mangsa pendatang dari Eritrea dan Somalia dan mereka menaiki bot berkenaan dari Misrata di Libya.


Seorang lelaki Tunisia ditahan kerana disyaki terbabit dalam tragedi itu.

Foto

PENYELAMAT bersedia menarik naik dua pendatang tanpa izin yang berenang menghampiri bot pasukan keselamatan berhampiran Pulau Lampedusa semalam.

Penyelam yang menyertai operasi mencari dilaporkan melihat berpuluh-puluh mayat dalam dan sekitar kapal dan percaya lebih banyak mayat mungkin terdampar jauh dibawa arus.


Penyelamat gagal mengesan bot berkenaan kelmarin kerana kaeadaan bergelora, namun kapal penyelamat pantai melancarkan operasi mencari mayat.

Datuk Bandar Lampedusa, Giusi Nicolini berkata, dia menjangkakan perubahan dilakukan selepas kemalangan berkenaan.


"Masa depan Lampedusa terikat dengan dasar berkaitan pendatang dan pencari suaka," katanya.


Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Angelino Alfano merayu bantuan Eropah mengawal sempadan perairan selatan Itali dan bertindak menyekat kemasukan pendatang asing.


"Perairan ini adalah sempadan antara Afrika dan Eropah, bukan antara Afrika dan Sicily.


"Ini bukan masalah Itali saja," katanya dalam satu kenyataan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

Pendakwah terkenal ditembak pengganas Kenya

Posted: 04 Oct 2013 09:55 AM PDT

Kenya: Pengganas Kenya menembak mati seorang pendakwah Islam tersohor di sebuah masjid di Mobasa, kata pihak berkuasa semalam.

Menurut polis, Sheikh Ibrahim Omar ditemui dibunuh bersama tiga lelaki lain dalam sebuah kereta dan percaya ia ada kaitan dengan serangan pengganas ke atas pusat beli-belah di Nairobi baru-baru ini. Jurucakap polis berkata, Sheikh Ibrahim dikaitkan dengan militan Islam Somalia, Sementara itu sumber yang dekat dengan mangsa berkata, ulama terbabit menjadi mangsa terbaru pembunuhan berpilih pasukan keselamatan Kenya terhadap penganut Islam.


Bagaimanapun polis menafikan dakwaan itu dan berkata pihak keselamatan tidak ada kaitan langsung dengan kejadian itu.

Pegawai polis Mombasa, Robert Kitur berkata, polis tidak bertugas untuk membunuh begitu. Kata Kitur, seorang daripada lima lelaki dalam kereta itu terselamat dalam kejadian tembakan itu.


Katanya, kejadian berlaku lewat malam kelmarin dan hanya beberapa ratus meter dari tempat paderi, Abound Rogo, ditembak mati pada Ogos 2012. Pembunuhan Rogo turut dikaitkan dengan kumpulan al-Shabab oleh kerajaan Kenya dan Amerika Syarikat Kitur juga memberi amaran supaya umat Islam tidak bangkit menggerakkan rusuhan ekoran kejadian berkenaan.


"Kami tahu ramai yang mahu mengambil peluang dengan keadaan ini tetapi kami memberi amaran jangan menyertai sebarang rusuhan," katanya.

Polis anti rusuhan melancarkan rondaan di kawasan perumahan Majengo yang mana Sheikh Ibrahim kerap memberi ceramah. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

Anggota keselamatan dalang kemusnahan

Posted: 04 Oct 2013 09:54 AM PDT

Nairobi: Satu laporan menyatakan, sebahagian daripada kemusnahan di pusat beli-belah Westgate di Nairobi baru-baru ini bukan angkara pengganas, sebaliknya anggota keselamatan Kenya sendiri.

Menurut seorang aktivis hak asasi manusia, Maina Kiai, kerosakan maksimum dilakukan militan al-Shabab hanyalah mengambil minuman bersoda atau makanan dari kedai dalam kompleks berkenaan. Sebaliknya, Maina, tentera yang mengepung Westgate lebih bebas melakukan apa saja dan ia sangat memalukan.


"Dakwaan ini dikuatkan lagi dengan larangan pihak berkuasa kepada hampir semua orang supaya tidak memasuki bangunan itu," katanya. Dalam kejadian 21 September lalu, sekumpulan militan al-Shabab dari Somalia menyerbu Westgate dan menahan tebusan selama beberapa hari. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

No comments:

Post a Comment