Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Cuti umum korban 53 nyawa

Posted: 07 Oct 2013 08:47 AM PDT

Kaherah: Mesir semakin bergolak selepas cuti umum sempena sambutan hari tentera bertukar ganas hingga meragut 53 nyawa di seluruh negara itu, semalam.

Pertempuran Ahad lalu antara tentera dan penyokong Presiden Mohamed Mursi yang digulingkan tentera berlaku apabila kedua-dua pihak membanjiri jalan raya dan bertempur sesama mereka.

Kawasan kediaman sekitar bandar raya Kaherah bertukar seperti zon perang selepas beberapa jam pertempuran berlaku.

Penyokong Morsi melepaskan tembakan dan melempar bom api ke arah polis yang membalas dengan tembakan senjata api dan gas pemedih mata.

Foto

SEORANG lelaki cedera dalam pertempuran antara penyokong Mursi dan tentera pada hari cuti di Dokki, Kaherah.

Foto

SEORANG lelaki yang cedera parah dibantu beberapa rakannya.


Seorang jurugambar AP melihat sembilan mayat bergelimpangan atas lantai di sebuah klinik di Kaherah di daerah Dokki, tempat berlaku pertempuran paling sengit.


Kebanyakan mayat mempunyai kesan tembakan di kepala dan dada.

Kejadian itu adalah yang paling buruk selepas peristiwa 14 Ogos lalu apabila pasukan keselamatan menyerbu dua kem penempatan di Kaherah dan membunuh ratusan penyokong Mursi.

Insiden itu bagaimapun tidak menghalang tentera mengadakan sambutan meriah meraikan ulang tahun ke-40 serangan Mesir ke atas Israel.

Sebuah konsert disiarkan secara langsung di televisyen dari Stadium Kaherah yang dikendalikan tentera, memaparkan persembahan beberapa bintang Mesir dan Lubnan.

Pertunjukan berkenaan turut dihadiri Ketua Keselamatan, yang bertanggungjawab menggulingkan Mursi, Jeneral Abdel-Faath el-Sissi dan Presiden sementara Adli Mansour. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

Keluh gaji tidak cukup

Posted: 07 Oct 2013 08:46 AM PDT

Riyadh: Kebanyakan penduduk Saudi merungut pendapatan mereka tidak mencukupi dengan meluahkan kekecewaannya di laman Twitter.

"Gaji kami tidak cukup," slogan dilancarkan awal musim panas yang menarik lebih 17.5 juta pengguna laman sembang itu untuk meluahkan perasaan kecewa mereka.

Seorang pengguna laman itu menggesa Raja Abdullah menggunakan kuasa mutlaknya untuk menaikkan gaji semua kakitangan awam di negara pengeluar minyak terbesar dunia itu.

Gaji bulanan seorang kakitangan awam Saudi ialah di antara 3,945 riyal (RM12,229) dan 24,750 riyal (RM76,725) selain elaun lain, menurut kajian disediakan sebuah syarikat insurans baru-baru ini.


Gaji kakitangan sektor swasta pula ialah antara 6,400 riyal (RM19,840) berbanding 15,299 riyal (RM47,426) di negara Arab lain, menurut laporan disediakan Bank Dunia dan Kementerian Ekonomi Saudi.


"Biar pegawai berhenti mencuri...ambil rasuah dan orang awam menjadi mangsa," tulis wartawan Fahd al-Fahid di akaun Twitter miliknya.

Pengguna lain memaparkan imej menggambarkan keperitan hidup di negara itu, termasuk seorang wanita menyelongkar sampah, keluarga tinggal di rumah usang dan pelajar bersesak dalam bas usang.

Pengguna lain menghantar gambar kartun, satu daripadanya memaparkan seorang lelaki Saudi berdiri di bawah bayang pokok sawit yang baunya boleh dihidu melangkaui sempadan negara itu.

Di bawah gambar itu ditulis: " Aset kami pergi kepada orang lain: Negara hanya terima lima peratus hasil kekayaan, 95 peratus lagi dikaut negara luar."

Arab Saudi baru-baru ini mengumumkan bantuan AS$5 bilion (RM14 bilion) kepada Mesir selepas tentera negara itu menggulingkan Presiden Mohamed Mursi, awal Julai lalu.

"Inflasi berterusan menaikkan harga barang sejak beberapa tahun lalu memberi kesan serius kepada kuasa membeli orang ramai di sini. Kadar pengangguran sebanyak 12.5 peratus membabitkan golongan muda, yang mewakili 20 juta penduduk," kata ahli ekonomi Abdullah al-Almi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

Aktivis sebar video wanita Saudi pandu kereta

Posted: 07 Oct 2013 08:45 AM PDT

Riyadh: Aktivis hak asasi wanita memuatnaikkan video dalam laman media sosial menunjukkan seorang wanita memandu kereta di jalan raya di Riyadh baru-baru ini.

Akhbar Al-Hayat melaporkan, video itu juga menunjukkan pemandu lelaki di jalan berkenaan seolah-olah menerima kehadiran pemandu wanita itu.

Aktivis mengemukakan gambar itu kurang tiga minggu sebelum kempen mendesak wanita dibenarkan memandu dilancarkan pada 26 Oktober ini.

Kempen berkenaan yang disebarkan menerusi Facebook menarik sokongan lebih 12,000 orang.


Seorang aktivis, Asma Al-Oboudi yang turut menyertai kempen sama pada 1990 berkata tiada satupun peraturan negara itu yang melarang wanita memandu.


Beliau berkata, video yang disiarkan itu menjadi bukti wanita juga boleh memandu tanpa memberi sebarang masalah.

"Mereka tidak perlu bimbang kerana wanita sentiasa mematuhi peraturan jalan raya," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

Wanita bersubahat bunuh suami

Posted: 07 Oct 2013 08:44 AM PDT

Alkhobar: Anggota polis di Al-Kharj menahan seorang perempuan Arab dan lelaki didakwa bersubahat membunuh suaminya di Alkhobar semalam.

Wanita bersama teman lelakinya itu ditahan di bandar Al-Afjah di wilayah Al-Kharj.


Jurucakap Polis Riyadh, Kolonel Fawaz Al-Maiman mengesahkan kejadian itu kepada akhbar tempatan.

Seorang saksi menghubungi polis Alkhobar selepas ternampak beg kulit kemungkinan berisi mayat dibuang ke dalam tong sampah.


Polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat berkenaan.


Siasatan polis mendapati mangsa berkahwin dengan wanita berusia 30 tahun itu tahun lalu. Wanita itu dipercayai membunuh suaminya dengan bantuan seorang lelaki Arab berusia 23 tahun.

Mangsa berusia 31 tahun warga Arab berkahwin tahun lalu.


Pihak berkuasa mengesahkan mangsa mati akibat cedera selepas diserang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

Jemaah asing meningkat

Posted: 07 Oct 2013 08:44 AM PDT

Jeddah: Bilangan jemaah haji asing meningkat lebih 75 kali ganda dalam tempoh 70 tahun lalu.

Ketua Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah, Abdulhamid Abal Arry berkata, bilangan jemaah meningkat dari 23,863 pada 1941 kepada 1.8 juta pada 2010.

Katanya, 1.67 juta jemaah tiba di Makkah dengan pengangkutan udara musim haji tahun ini.

"Kira-kira 8.3 juta jemaah tiba menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz untuk menunaikan umrah saja pada 2012," katanya.


Katanya, jumlah jemaah yang berhasrat menunaikan ibadah haji di seluruh dunia meningkat sejak 1927. Sejak itu, kemajuan pesat berlaku di negara itu. - SG

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

Lelaki cemburu cerai isteri cium kuda

Posted: 07 Oct 2013 08:43 AM PDT

Riyadh: Seorang lelaki Arab menceraikan isterinya kerana cemburu wanita itu mencium kuda menerusi gambar dalam laman sosial.

Lelaki itu menceraikan isterinya selepas melihat gambar wanita itu mencium haiwan itu di ladang kuda di Riyadh.

Wanita itu yang enggan dikenali memberitahu tidak menyesal dengan insiden terbabit.

Menurutnya, lelaki itu terus menceraikannya selepas melihat gambar yang dihantarnya ke laman sosial.


"Saya tidak sedih dengan perceraian ini kerana lelaki itu tidak dapat membezakan antara haiwan dan manusia," katanya kepada akhbar Sada.


Wanita terbabit bangga berkongsi gambar itu menerusi laman sosial kerana menyayangi haiwan negara itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

Diana masih bersama saya: Hasnat

Posted: 07 Oct 2013 08:40 AM PDT

London: Bekas kekasih Puteri Diana, Hasnat Khan semalam mendedahkan bagaimana dia percaya puteri itu masih bersamanya.

Menurut Hasnat, kenangan bersama puteri berkenaan membolehkan dia mengatasi kesedihan yang dialaminya berikutan penerbitan sebuah filem mengenai hubungan mereka.

Pakar bedah jantung itu yang digelar Diana 'Mr Wonderful' berkata, mereka tidak boleh dipisahkan sepanjang bercinta selama dua tahun.

Hasnat juga mengaku dia masih berusaha untuk menerima hakikat bahawa Diana sudah mati, 16 tahun lalu.


"Sukar bagi saya menerima hakikat bawa Diana sudah mati atau bercakap mengenainya. Selepas kematiannya, seluruh hidup saya berdepan dengan kesukaran," kata pakar bedah jantung itu.


Beliau yang bertugas di Hospital Universiti Basildon akan berlepas ke Habsyah untuk mendirikan pusat pembedahan bagi membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah jantung di seluruh negara dunia ketiga minggu ini.

"Kadangkala apabila melakukan tugas kebajikan seperti ini, saya dapat merasakan bahawa Diana masih bersama saya.

"Itu perasaan saya saja, tidak ada kaitan dengan agama," katanya.

Menurut Hasnat, kehidupannya bertambah rumit sejak beberapa minggu lalu.

"Saya dapat merasakan Diana berkata kepada saya: "Kekalkan tumpuan dan teruskan hidup anda. Bantu kanak-kanak itu dan bergembira sentiasa."

Hasnat menyelar filem mengenai percintaannya dengan Diana yang dilakonkan oleh Naomi Watts dengan menyifatkannya sebagai ' satu penipuan' berkait dengan hubungan mereka.

"Saya tidak menonton filem itu dan saya tidak pernah menemui mereka yang menontonnya. Tetapi yang pasti, ia berdasarkan khayalan. Segala-galanya tidak benar dalam filem itu," kata Hasnat.

Menurut Hasnat, bertentangan dengan dakwaan dalam filem berkenaan, keluarganya tidak pernah membantah hubungannya dengan Diana.

"Baik ibu bapa saya, nenek saya dan seluruh anggota keluarga rapat yang pernah menemui Diana sukakannya. Ibu bapa dan nenek saya tidak pernah membantah hubungan kami," katanya.

Hasnat kini membujang selepas perkahwinannya yang diatur keluarga berakhir dengan perceraian pada tahun 2006.

Rakan mereka berkata, Diana mahu berkahwin dengan Hasnat tetapi hubungan mereka terputus beberapa minggu sebelum dia mati dalam kemalangan di Paris pada 31 Ogos 1997. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

Berlusconi akan potong rumput bersama banduan

Posted: 07 Oct 2013 08:39 AM PDT

Rome: Bekas Perdana Menteri Itali Silvio Berlusconi memilih untuk menjalankan khidmat komuniti selama 12 bulan sebagai hukuman berbanding sebagai tahanan rumah, kata peguamnya yang mengesahkan perkara berkenaan.

Ini bermakna perkara paling memalukan bagi bilionair taikun media berusia 77 tahun itu ialah dia perlu menyertai banduan lain melakukan kerja kasar seperti memotong rumput di taman awam, mengecat penginapan pusat perlindungan atau mengutip sampah.

Faktor usia menyebabkan Berlusconi tidak mampu menjalani hukuman penjara empat tahun yang dijatuhkan ke atasnya kerana kesalahan penipuan cukai.

Hukuman kemudian dikurangkan kepada setahun dan dia diberi pilihan untuk menjalani hukuman sebagai tahanan rumah atau melakukan kerja komuniti.


Peguam Berlusconi, Francesco Coppi berkata: "Kami akan kemukakan permintaan rasmi hujung minggu ini walaupun keputusan hukuman tidak adil.


"Kami masih mengumpul bahan diperlukan bagi mengemukakan permintaan untuk khidmat komuniti kepada pihak berkuasa kehakiman.

"Kami juga akan menyatakan jenis dan peringkat kerja yang boleh dilakukan sesuai dengan kemampuan usianya."

Peguam bela Berlusconi juga akan meminta khidmat komuniti dijalankan di Rome dan bukan di bandar kelahirannya di Milan.

Tribunal di Milan sepatutnya membuat keputusan mengenai hukuman dihadapinya, tetapi atas sebab teknikal, keputusan tidak dapat diumumkan hingga Krismas.

Ini bermakna dia akan mempunyai beberapa minggu lagi sebagai "individu bebas".

Berlusconi didapati bersalah tahun lalu dan keputusan hukuman disahkan oleh mahkamah agung Itali.

Ia diumumkan selepas beberapa bulan tempoh sukar dihadapi bekas ahli politik berkenaan yang juga didapati bersalah melakukan hubungan seks dengan pelacur bawah umur di parti bunga-bunganya.

Berlusconi dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara atas kesalahan itu dan kerana menyalah gunakan kuasa ketika cuba menutup jenayah berkenaan, tetapi dia masih mempunyai dua peringkat rayuan sebelum disabitkan sepenuhnya dan hukuman akhir disahkan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

Maut ditanduk lembu

Posted: 07 Oct 2013 08:38 AM PDT

Madrid: Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri berkata, seorang wanita terbunuh selepas ditanduk seekor lembu jantan di satu festival di sebuah bandar kecil di tengah Sepanyol.

Pegawai itu berkata semalam, mangsa berusia 58 tahun mati di hospital di ibu negeri wilayah Albacete selepas dia ditanduk di perut ketika festival larian lembu kelmarin di bandar Ferez. Menurut pegawai berkenaan, tiga orang turut cedera, termasuk anak perempuan mangsa.


Pegawai berkenaan yang enggan namanya disiarkan kerana peraturan kementerian menghalang nama mangsa didedahkan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

16 maut trak langgar pokok

Posted: 07 Oct 2013 08:37 AM PDT

Bangkok: Seorang wanita hamil antara 16 orang yang terbunuh apabila sebuah trak merempuh pokok dalam satu kemalangan terburuk di timur laut Thailand semalam.

Komander balai polis Buriram, Kolonel Suthee Seatthawong berkata, 15 penumpang yang menaiki trak itu mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi maut di hospital.

Lapan lagi penumpang dipercayai pekerja buruh yang pulang ke kampung mereka dari tempat kerja di Bangkok cedera parah.

Suthee berkata, pemandu trak yang berusia 24 tahun yang turut terbunuh itu dipercayai terlelap ketika memandu.


"Kami menemui sebiji pil amphetamine dan sebotol arak yang tinggal separuh dalam beg pemandu," katanya.


Suthee juga berkata, keadaan trafik di jalan raya ketika kejadian tidak sesak.
Semua mangsa yang maut termasuk wanita hamil itu berusia dalam lingkungan 20-an.

Nahas jalan raya adalah perkara biasa yang berlaku di Thailand.

Laporan terbaru daripada Organisasi Kesihatan Sedunia mengatakan negara itu menyaksikan kira-kira 38.1 kematian di jalan raya bagi setiap 100,000 penduduk, berbanding purata 18.5 kematian di Asia Tenggara.

Pada Julai lalu, sekurang-kurangnya 19 terbunuh apabila bas dua tingkat berlanggar dengan sebuah trak di tengah negara itu sebelum ia terbakar.

Pada April pula, sekurang-kurangnya lima orang maut, termasuk bayi berusia tujuh bulan dan 53 lagi cedera apabila sebuah bas pelancong terhumban dari cerun bukit di Phitsanulok, di utara negara itu selepas brek kenderaan berkenaan tidak berfungsi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08

No comments:

Post a Comment