Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


'Pemandu cuti sakit'

Posted: 08 Oct 2013 06:23 PM PDT

Cheras: "Pemandu ada tapi dia sedang bercuti sakit". Itu antara alasan diberikan seorang wanita yang juga pemilik syarikat kimpalan apabila lori kecil dipandu pekerja warga asingnya ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur dalam operasi kenderaan berat di Plaza Tol Batu 9, di sini, pagi semalam.

Operasi bermula jam 10 pagi itu turut mengeluarkan notis saman terhadap 33 kenderaan berat lain seperti lori balak dan kargo atas kesalahan membawa muatan berlebihan.


Dalam operasi itu juga, JPJ mengeluarkan 12 notis membabitkan notis arah periksa dan notis larangan kepada pemandu yang memandu tanpa Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) dan kesalahan teknikal membabitkan tayar, lampu dan brek kenderaan.

Penolong Pegawai Penguat kuasa JPJ Kuala Lumpur Zakaria Saman berkata, operasi selama lima jam itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD).


"Dalam operasi ini, kami memeriksa 157 kenderaan berat dan menyita sebuah lori kecil kerana dipandu warga asing tanpa lesen.


"Operasi berkala bersama agensi ini dilakukan sebanyak dua kali sebulan dalam usaha mengurangkan kesalahan jalan raya membabitkan kenderaan berat," katanya ketika ditemui.

Foto

ANGGOTA JPJ menimbang lori bagi memastikan tidak membawa lebih muatan.

Beliau berkata, pihaknya menyeru pemilik syarikat atau perniagaan lebih peka mengenai masalah itu kerana lori yang dipandu dengan muatan berlebihan akan mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain.


"Kalau mereka mematuhi peraturan, ia tidak akan merugikan sesiapa, malah sikap bertimbang rasa dapat menyelamatkan semua pihak terutama penunggang motosikal yang kerap menjadi mangsa kepada kemalangan maut membabitkan kenderaan berat.

"Jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata sehingga boleh membahayakan nyawa orang lain," katanya.


Menurutnya, dalam operasi itu polis turut mengeluarkan notis saman terhadap 29 motosikal dan tiga kereta kerana menyalahi Akta Pengangkutan Jalan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/09

Siti minta peminat doa dapat zuriat

Posted: 08 Oct 2013 06:22 PM PDT

Kuala Lumpur: Sekali lagi isu Datuk Siti Nurhaliza Tarudin hamil mendapat perhatian apabila diperkatakan peminat di laman sosial Facebook gara-gara sekeping gambar yang menampakkan seolah-olah penyanyi itu berbadan dua.

Bagaimanapun ketika dihubungi semalam, Siti yang terkejut dengan perkembangan itu menafikan yang dia kini hamil. Sebaliknya penyanyi Biarlah Rahsia itu meminta semua peminat mendoakan agar ia menjadi kenyataan.


"Siti pun tidak tahu dari mana mereka mendapat cerita ini, tetapi ada kemungkinan daripada 'tweet' seorang peminat menerusi Twitter yang bertanyakan soalan mengenai anak. Terus terang, Siti belum ada rezeki lagi, tetapi minta-mintalah semua doakan agar ia menjadi kenyataan.

"Mungkin juga mereka tak sabar untuk tengok 'baby' Siti, tetapi Siti sendiri lagilah tak sabar. Bagaimanapun Siti reda kerana ia ketentuan-Nya dan Siti percaya, perancangan Allah lebih baik," katanya. Sebelum ini, anak kelahiran Kuala Lipis berusaha untuk mendapatkan anak dengan pelbagai cara, baik moden mahupun tradisional, namun terpaksa akur dengan kehendak Ilahi.


"Dia lebih mengetahui yang terbaik untuk setiap makhluk ciptaan-Nya termasuk Siti. Sebagai manusia, Siti tetap berusaha yang terbaik. Bagaimanapun ada atau tidak (anak), Siti dan suami tetap bahagia seadanya bersama serta keluarga dan anak yang sedia ada," katanya.


Apabila ditunjukkan gambar yang menjadi 'perhatian' di Facebook dalam kalangan peminatnya, Siti hanya tertawa kecil.

"Itu gambar tiga empat tahun lepas, masa Siti tengah menari dan jaket (yang dipakai) tertarik ke bawah hingga menampakkan perut seperti kembung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/09

Masih berteka-teki

Posted: 08 Oct 2013 06:20 PM PDT

Kuala Lumpur: "Saya bahagia bersama Wawa (Zainal). Saya senang mendekatinya dan didekatinya," kata pelakon Aeril Zafrel menjawab kontroversi mendakwa dia sudah bernikah secara rahsia dengan aktres itu seperti didedahkan di sebuah akhbar mingguan, Ahad lalu.

Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Sunari, 25, berkata, dia bagaimanapun memilih untuk tidak bercerita lanjut berhubung dakwaan mereka bernikah pada 4 Februari lalu kerana alasan tertentu.


"Saya bukan lari atau mengelak, tapi tunggu waktu sesuai untuk memberitahu kepada semua. Biar benda (dakwaan) itu didedahkan apabila Wawa ada di sebelah saya.

"Lebih baik kami duduk bersama untuk menjawab persoalan ini agar tidak timbul lagi persoalan yang sama berulang-kali dan berterusan selepas ini," katanya.


Ditanya mengenai kesahihan dakwaan kelahiran anaknya, Ahmad Fakharuddin Attar pada 24 Ogos lalu, Aeril sebaliknya mempersoalkan niat pihak tertentu mendedahkan butiran dakwaan itu.


"Kenapa mereka beria-ia bercerita dan mendedahkan butiran itu? Apa niat mereka sebenarnya? "Bersyukurlah kepada mereka yang mempunyai anak dan bersabarlah kepada mereka yang masih menantikan cahaya mata," katanya.

Malah, Aeril menyifatkan penyiaran fakta berhubung isu nikah itu sebagai satu bentuk konspirasi pihak tertentu untuk melepaskan amarah yang lama dipendam.


"Fakta dikeluarkan tidak boleh diubah meskipun terdapat agenda tertentu di sebalik kebenaran itu.

"Sebenarnya permainan secara halus (pendedahan) berkenaan dikeluarkan di sebuah aplikasi sosial seminggu lebih awal sebelum ia dikeluarkan pula di sebuah akhbar mingguan.


"Bagaimanapun, saya akan mendedahkan cara sabotaj pihak itu pada sidang media lusa. Rindulah untuk berbuat benda halal," katanya.


Aeril dan Wawa didakwa mendaftarkan pernikahan mereka di pejabat agama Islam daerah Petaling pada 4 Februari lalu.


Dakwaan itu juga mengatakan pasangan itu menerima anak lelaki didaftarkan atas nama Ahmad Fakharuddin Attar pada 24 Ogos lalu jam 9.25 pagi di Roppi Medical Centre, Damai Complex, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/09

Harga jadi faktor

Posted: 08 Oct 2013 06:16 PM PDT

Oleh Yusri Abdul Malek, Amir Abd Hamid, Salman Hamat, Fardy Bungga, Adnan Mohamad dan Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Golongan perokok berpendapatan rendah terutama petani, nelayan dan penoreh getah menyumbang peningkatan dalam aktiviti pengedaran rokok putih di negeri ini yang disebabkan faktor harga rokok agak tinggi di pasaran.

Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah Abdul Latif Abdul Rahman berkata, kenaikan harga rokok dalam negara menyebabkan golongan terbabit lebih gemar memilih untuk membeli rokok putih atau kretek kerana harganya jauh lebih rendah.


Menurutnya, kebanyakan rokok berkenaan dipercayai diseludup dari negara luar seperti Indonesia, Vietnam dan Kemboja melalui jalan laut sebelum ia dipindahkan dengan kenderaan persendirian menggunakan jalan darat lalu dihantar ke premis kecil di negeri ini.

"Sambutan tinggi terhadap rokok berkenaan menyebabkan sindiket penyeludupan rokok mengambil kesempatan untuk membawa masuk ke negara ini tanpa kelulusan pihak berkuasa.


"Di negeri ini, kami kini memperketatkan kawalan di sekitar Kuala Kedah kerana ia berisiko tinggi untuk berlaku aktiviti penyeludupan rokok tetapi pada masa sama kita dapati tidak banyak kes menggunakan jalan laut. "Ini berikutan penyeludup bertindak licik dengan menggunakan jalan darat. Malah, ejen di negeri ini dipercayai memperoleh bekalan rokok berkenaan melalui Pelabuhan Klang di Selangor dan Pelabuhan Lumut di Perak," katanya ketika ditemui di pejabat UPP Kedah di Anak Bukit, di sini.


Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, jumlah rampasan rokok dianggap tinggi berbanding tahun lalu apabila pihak UPP Kedah berjaya merampas sebanyak 23,724 karton rokok putih bernilai RM2.4 juta termasuk cukai membabitkan 10 kes.

Foto

ABDUL Latif menunjukkan rokok tidak sah.

Berbanding sepanjang tahun lalu, Abdul Latif berkata, pihaknya hanya merampas sejumlah 6,138 karton rokok bernilai RM595,800 termasuk cukai membabitkan 38 kes. "Manakala, pada 2011 sebanyak 25 kes membabitkan nilai rampasan RM1.5 juta termasuk cukai," katanya.


Abdul Latif berkata, rokok putih mempunyai banyak perbezaan berbanding rokok dari syarikat berjenama yang dijual secara sah di negara ini kerana tiada kod bar, label atau amaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Namun, katanya, terdapat juga rokok putih tiruan mengeluarkan rokok dengan bungkusan hampir serupa rokok keluaran syarikat berdaftar.


Selain itu, beliau tidak menolak kemungkinan ada kilang kecil menghasilkan rokok putih di negara ini tanpa izin menyebabkan rokok murah senang didapati walaupun harga tembakau agak tinggi.


"Biasanya taktik sindiket pengedaran dan penyeludupan rokok ialah dengan menyimpan bekalan rokok berkenaan di stor yang diubahsuai dalam premis atau ruang tertutup untuk mengelak dikesan.


"Selain itu, senario kes di Kedah, kami mendapati sindiket menggunakan van atau kenderaan buruk untuk menyimpan rokok ini kerana menyangka taktik yang digunakan selamat. Tetapi mereka silap apabila pasukan kami mampu mengesan helah itu dan terbukti kejayaan rampasan rokok putih di kawasan Kuala Kedah, bulan lalu.


"Sindiket biasanya meletakkan jumlah karton rokok yang sedikit dalam stor atau kenderaan buruk untuk mengelakkan mereka menanggung kerugian besar sekiranya dirampas pihak berkuasa," katanya.


Abdul Latif berkata, penjualan rokok putih tidak sah kebiasaannya dilakukan di pasaran gelap menerusi ejen perseorangan dan kedai runcit di sekitar kawasan kampung berikutan harganya yang murah, mampu dibeli golongan berpendapatan rendah disebabkan harga rokok sah berjenama terkenal lebih mahal.


Katanya, pihak UPP Kedah sentiasa menjalankan risikan berdasarkan maklumat yang diperoleh dan pasti bertindak mematahkan cubaan menyeludup rokok putih berkenaan.


"Hasil operasi berterusan menerusi maklumat tepat, kami dapati penyeludupan rokok putih sudah berkurangan di kawasan Bukit Kayu Hitam. Sindiket terbabit dikesan beralih ke Kuala Kedah kerana dipercayai kawasan berkenaan mempunyai pantai dan rokok seludup lebih senang dibawa melalui akses lebuh raya dari arah selatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/09

'Lipas pun saya takut'

Posted: 08 Oct 2013 06:11 PM PDT

Johor Bahru: "Saya memohon maaf kepada pengadil dan Indra Putra (Mahayuddin, penyerang pasukan bola sepak Kelantan), memang saya silap, saya mengaku dan ia pengajaran buat saya.

"Sedangkan lipas pun saya tak berani bunuh, inikan pula bagi mendapatkan khidmat pembunuh upahan, status yang dihantar dalam laman sosial Facebook (FB) itu hanya gurauan tanpa sebarang niat," kata pengguna FB yang menggunakan pengenalan diri sebagai Boy Nazrie di sini, semalam.


Boy Nazrie dipercayai individu yang bertanggungjawab menulis kata-kata berbaur ugutan terhadap Indra Putra selepas perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV Kelantan, Sabtu lalu yang berakhir dengan The Red Warriors (TRW) menewaskan JDT 6-1.

Boy Nazrie, 31, seorang peniaga berkata, dia tidak menyangka status dikongsi dalam FB itu mengundang masalah kepadanya kerana ia hanya dikongsi bersama rakan dikenali dalam laman sosial berkenaan.


Menurutnya, malah status berkenaan yang dikongsi pada malam Sabtu lalu selepas perlawanan kedua-dua pasukan turut diulas enam individu lain.


"Saya mempunyai 200 rakan FB dan sebelum ini tidak pernah menghadapi sebarang masalah.

Foto

BOY Nazrie menunjukkan laporan polis dibuatnya.

"Bagaimanapun, saya keliru dengan perbuatan individu tertentu yang menyalin status saya dan meletakkannya di beberapa saluran laman FB menyebabkan ia mendapat perhatian ramai," katanya.


Katanya, memburukkan keadaan, status berkenaan juga mendapat teguran dalam kalangan penyokong TRW.

"Saya dan isteri yang kini hamil tujuh bulan bimbang isu ini diperbesarkan. Sejak kejadian, saya masih belum menatap FB saya untuk mengetahui perkembangan terkini pelbagai perkara.


"Saya berharap penyokong TRW, Indra Putra selain pengadil perlawanan berkenaan tidak mengambil serius berkaitan status FB saya," katanya.


Menurutnya, pada Ahad lalu, dia menerima mesej peribadi dalam FB daripada seorang kenalan yang memaklumkan perkara berkenaan.


"Selepas itu, saya sentiasa dalam keadaan tidak tenang hingga tidak mampu bekerja dengan selesa dan bimbang dengan keselamatan diri serta keluarga," katanya.


Boy Nazrie berkata, dia juga bimbang ada pihak yang tidak memahami keadaan yang dilaluinya ketika ini.


Menurutnya, bagi keselamatan diri, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Bandar Putra, Segamat, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/09

No comments:

Post a Comment