Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tok Gajah 'pijak' PKNS

Posted: 04 Oct 2013 11:08 AM PDT

Shah Alam: Pahang menyingkirkan PKNS FC dari saingan Piala Malaysia apabila menewaskan pasukan berstatus kelab itu 2-1 pada aksi kedua suku akhir di Stadium Shah Alam malam tadi untuk melangkah ke kelompok empat terbaik dengan agregat 5-3.

Skuad kendalian Dollah Salleh itu bakal berdepan pemenang antara Sarawak dan Sime Darby FC yang bakal membuat perhitungan malam ini untuk menempah satu lagi slot ke peringkat seterusnya.

"Saya bersyukur dengan kejayaan pasukan mara ke separuh akhir malam ini (tadi). Walaupun kami gagal beraksi pada tahap sebenar, namun pemain mengekalkan disiplin dan tidak mensia-siakan peluang dicipta. Ini kejayaan manis buat saya dan kami tidak kisah sama ada bertemu Sarawak atau Sime Darby selepas ini kerana yang penting sudah layak ke separuh akhir dan akan mencuba sehingga ke final," kata Dollah selepas perlawanan itu.

Berbekal kelebihan satu gol hasil kemenangan 3-2 pada aksi pertama di Stadium Darul Makmur Jumaat lalu, Pahang tampak tenang menguasai permainan sebaik sepak mula.

Foto

GOL Conti pastikan Pahang layak selesa ke separuh akhir.


Bagaimanapun percubaan penyerang import pasukan tuan rumah Patrick Wleh Ronaldinho pada minit ke-18 yang berjaya diselamatkan penjaga gol Pahang, Mohd Khairul Azhan untuk membuatkan permainan kembali rancak.


Kedudukan berubah apabila pengadil Mohd Amirul Izwan menghadiahkan sepakan penalti kepada Pahang selepas Conti dijatuhkan pemain pertahanan PKNS FC.

Walaupun cuba dibantah pemain PKNS FC, Amirul tidak berganjak dengan keputusannya dan Conti yang ditugaskan mengambil sepakan itu mudah meletakkan anak buah Dollah Salleh mendahului pada minit ke-28.

Skuad Tok Gajah terus bernafsu pada babak kedua apabila terus mengancam kubu pasukan tuan rumah kali ini menerusi sepakan percuma Mohd Hafiz Kamal namun Mohd Remezey Che Ros sudah bersedia.

Bayangan separuh akhir semakin jelas buat Pahang yang meraih gol kedua pada minit ke-58 hasil tandukan pemain sayap Azammuddin Mohd Akil yang menerima hantaran jauh Mohd Khairul sebelum memperdayakan Mohd Remezey yang menerpa keluar.

Keceriaan penyokong pasukan pelawat tidak kekal lama apabila sepakan Khairu Azrin Khazali di minit ke-66 menerjah ke gawang sekali gus menghidupkan seketika peluang skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim.

Namun Pahang kekal bertahan untuk memastikan tempat ke separuh akhir yang kali terakhir dilakukan pada 2004.

Bagi Abdul Rahman, beliau berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya namun kecewa dengan keputusan pengadil.

"Bagi saya pengadil membuat keputusan silap kerana memberikan sepakan penalti kepada Pahang. Kami menguasai permainan dan pemain saya sudah berusaha dengan baik, cuma tiada rezeki. Kami juga tiada nama besar dalam pasukan ini dan jika diambil kira apa yang dipersembahkan, saya berpuas hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

Buru gol awal

Posted: 04 Oct 2013 11:02 AM PDT

Johor Bahru: Di antara Johor Darul Takzim (DT) dan Kelantan tiada permusuhan mahupun dilabel musuh ketat, sebaliknya tindakan sesetengah pihak yang masih cetek pengetahuan dalam bola sepak moden dan cuba mencetuskan provokasi boleh mengundang insiden tidak diingini apabila kedua-dua pasukan beraksi pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Insiden anggota komando memasuki stadium berkenaan ketika aksi Liga Super membabitkan skuad Harimau Selatan dan The Red Warriors, 15 Januari lalu sudah diperjelaskan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan seharusnya perkara itu tidak dibangkitkan lagi.


Yang pasti percubaan sesetengah pihak yang mahu cetus 'malam panas' tatkala Kelantan bertembung dengan Johor DT malam ini tidak menghalang pengendali, Azmi Mohamed membuat persiapan rapi biarpun berdepan laluan berliku untuk memburu slot ke separuh akhir.

Meskipun tampak selesa dengan kelebihan dua gol selepas mencetak kemenangan 4-2 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Larkin, Sabtu lalu, Harimau Selatan akan terus memburu kemenangan dan tanpa merancang untuk menamatkan 90 minit perlawanan berkesudahan seri.


"Kami akan memperkukuhkan jentera serangan dan gandingan Safee Sali-Norshahrul Idlan Talaha akan menjadi sandaran mencari gol kerana kami tidak akan beraksi dengan corak bertahan walaupun ada bekalan dua gol, tapi akan mengasak ke kubu Kelantan.


"Gol awal menjadi buruan dan saya juga mengingatkan pemain elak daripada beraksi dalam tekanan kerana kita tahu Kelantan yang memegang status selaku juara bertahan tidak rela kecundang di depan penyokong sendiri, malah mereka akan bermain bermati-matian.

Foto

PEMAIN Johor DT gigih berlatih menjelang pertemuan dengan Kelantan.

"Saya lega selepas Ahmad Tharmimi Saiban sudah pulih daripada kecederaan namun belum pasti akan diturunkan untuk kembali bergandingan bersama Aidil Zafuan Abd Radzak selepas Mohd Nazri Ahmad mempamerkan aksi terbaik pada aksi suku akhir pertama, baru-baru ini," katanya.


Pada aksi Liga Super membabitkan skuad Harimau Selatan dan The Red Warriors, kedua-dua pasukan terikat 1-1 menerusi jaringan Norfarhan Mohamad sebelum Daniel Guiza bangkit menyamakan jaringan dan pastinya pertembungan getir tatkala memburu slot ke pentas separuh akhir bakal menjanjikan corak permainan taktikal dan percaturan ampuh antara Azmi dan Bojan Hodak.

Azmi berkata, kesebelasan utama yang akan diturunkan tampak bersemangat untuk cuba melenyapkan harapan menggunung barisan Kelantan, namun beliau juga mengingatkan pemain Johor DT supaya tidak terikut-ikut dengan corak permainan lawan.


"Kelantan akan beraksi dengan corak permainan pantas dan kita perlu mengawal tempo perlawanan tanpa menjejaskan taktikal yang dirancang dan saya optimis jika apa yang disajikan pada aksi pertama lalu berulang, kemungkinan langkah ke separuh akhir tampak cerah," kata Azmi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

Tiket cukup: KAFA

Posted: 04 Oct 2013 11:00 AM PDT

Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) memberi jaminan tidak akan berlaku kekecohan ketika penjualan tiket perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia antara Kelantan dengan Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini.

Bendahari KAFA, Nik Aminaldin Jaafar berkata, sebanyak 16,000 hingga 17,000 tiket tempat duduk terbuka akan dijual di kaunter tiket stadium bermula jam 9 pagi.


Katanya, KAFA mengeluarkan jumlah tiket seperti biasa dan sama dengan perlawanan sebelum ini dan yakin kekecohan tidak akan berlaku seperti di Sarawak.

"KAFA mengeluarkan 16,000 hingga 17,000 tiket tempat duduk terbuka kepada penyokong tuan rumah dan kira-kira 150 keping untuk penyokong pelawat. Tiket akan mula dijual di kaunter tiket stadium bermula jam 9 pagi.


"Jumlah tiket perlawanan malam esok (malam ini) sama dengan perlawanan sebelum ini dan kita lihat stadium sentiasa penuh, namun tidak berlaku kekecohan. Bagaimanapun, kita sudah bekerjasama dengan dengan polis untuk mengawal sesi jualan tiket esok (hari ini)," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Menurut Nik Aminaldin, KAFA mengambil inisiatif memasang skrin besar di luar stadium supaya penyokong yang tidak berjaya mendapatkan tiket berpeluang menonton perlawanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

Ganjaran nanti pemain Kelantan

Posted: 04 Oct 2013 11:00 AM PDT

Kota Bharu: The Red Warriors (TRW) mendapat suntikan semangat untuk berdepan Johor Darul Takzim (DT) dalam perlawanan timbal balik suku akhir Piala Malaysia malam ini apabila Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menawarkan ganjaran istimewa jika gergasi Pantai Timur itu berjaya melayakkan diri ke separuh akhir.

Menerusi satu kenyataan di laman Facebook miliknya, Annuar berkata, beliau mengharapkan pemain TRW yang beraksi malam ini memberikan lebih daripada 100 peratus tumpuan dan menyerapkan semangat Kelantan dalam jiwa mereka.


Katanya, beliau tidak dapat bersama ketika saat getir TRW menentang Johor DT di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini kerana faktor kesihatan berikutan baru pulih daripada demam denggi.

"Saya mohon maaf kepada Piya (Mohd Badhri Radzi) dan pemain lain kerana sekali lagi tidak dapat bersama pemain di saat genting ini yang lazimnya saya tidak akan biarkan mereka tanpa saya.


"Saya akan berikan hadiah dan bonus khas atas kemaraan ke separuh akhir malam esok, Insya-Allah. Berikan 101 peratus dengan jiwa raga pasukan Kelantan kita. Saya akan jumpa setiap pemain sebaik saja saya sihat," katanya.


Kelantan tewas 2-4 dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin 28 September lalu bagi memberi kelebihan kepada JDT.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

Nwakaeme tekad jaring gol buat Annuar

Posted: 04 Oct 2013 10:59 AM PDT

Kota Bharu: Penyerang berbisa Kelantan, Dickson Nwakaeme mahu meledak gol sebagai hadiah untuk memberi semangat kepada Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa yang masih belum sihat sepenuhnya selepas sakit akibat demam denggi sejak lebih seminggu lalu.

Nwakaeme berkata, meskipun tewas dalam perlawanan pertama, tiada istilah putus asa buat dirinya malah berjanji akan mengulangi prestasi cemerlangnya ketika mencipta hatrik menewaskan Pahang 4-0 pada peringkat kumpulan 21 September lalu di gelanggang keramat Stadium Sultan Muhammad IV.


Katanya, jika The Red Warriors (TRW) layak ke separuh akhir, pastinya kejayaan itu menjadi hadiah paling bermakna kepada Annuar yang masih belum sihat sepenuhnya daripada demam denggi.

"Perlawanan malam esok (malam ini) memang sukar namun tiada yang mustahil. Kekalahan dalam perlawanan pertama tidak memberi tekanan kepada saya untuk bangkit dan beraksi cemerlang.


"Yang penting, semua pemain TRW perlu mengeluarkan semua tenaga dan pengalaman untuk menewaskan JDT dan jika kita berjaya ia satu hadiah bermakna kepada Tan Sri (Annuar Musa) dan peminat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

Peluang bintang baru menyinar ganti Wan Zack

Posted: 04 Oct 2013 10:57 AM PDT

Petaling Jaya: "Ketiadaan Wan Zack Haikal (Wan Noor) dalam pasukan akan memberi peluang kepada pemain lain untuk menyinar," kata jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Ong Kim Swee yang kekal positif dengan kemampuan pasukannya mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar, Disember ini.

Pengendali skuad Harimau Muda itu mengesahkan Wan Zack Haikal sekali lagi tidak dapat bersama pasukan ke Sukan SEA apabila pemeriksaan di Hospital Pakar Damansara semalam mengesahkan pemain kelab Jepun FC Ryukyu itu mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).

Kim Swee mengakui ketiadaan pemain berusia 22 tahun itu yang terpaksa berehat sembilan bulan pasti disambut gembira pencabar mereka.

"Wan Zack sudah sah terkeluar dari Sukan SEA kerana terpaksa berehat dalam tempoh enam sehingga sembilan bulan akibat kecederaan ACL.

Foto

PERUNDING Ortopedik Dr Gan Eng Cheng (kiri) memeriksa lutut Wan Zack.


"Cuma, kami masih memerlukan kepastian untuk menentukan status MCL (Medial Collateral Ligament) Wan Zack Haikal kerana kami tidak tahu sama ada urut lututnya putus atau tidak dan ia memerlukan pemeriksaan lanjut selepas ini.


"Indonesia dan Myanmar pasti tersenyum lebar mendengar berita kehilangan penyerang terbaik kita," kata Kim Swee.

Namun Kim Swee kekal positif dengan pemain lain kerana ia pernah berlaku sebelum ini apabila pemain muda yang tidak dikenali sebelum ini, Muhammad Nazmi Faiz Mansor tiba-tiba menyinar apabila dipanggil pada saat akhir bagi menggantikan Gary Steven Robbart ketika menjuarai Sukan SEA Indonesia 2011.

Sementara itu Wan Zack Haikal yang ditemui selepas menjalani pemeriksaan semalam mengakui amat kecewa dengan keputusan perubatan itu.

"Memang kecewa, apatah lagi kecederaan ini hanya berlaku dalam latihan dan bukan dalam kejohanan. Saya perlu fokus menjalani ujian pemulihan selepas ini dan berharap akan segera pulih," katanya yang mendapat kebenaran FC Ryukyu untuk menjalani rawatan di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

Aminuddin harap keajaiban

Posted: 04 Oct 2013 10:55 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengendali bawah 19 tahun negara Aminuddin Hussin percaya keajaiban boleh berlaku dalam bola sepak apabila anak buahnya turut bersaing dalam aksi kelayakan Piala AFC yang dijadualkan berlangsung minggu depan.

Laluan sukar menanti pemain muda negara apabila diundi bersama Jepun, China dan Macau dalam Kumpulan I dengan hanya juara kumpulan dan enam pasukan kedua terbaik membabitkan sembilan kumpulan layak ke peringkat akhir saingan yang dijadualkan di Myanmar pada tahun depan.


"Kami terpaksa menentang Jepun dan China, sesuatu yang jelas sukar untuk muncul juara kumpulan. Malah peluang untuk muncul enam pasukan kedua terbaik juga agak kabur kerana terdapat dua kumpulan yang mempunyai lima pasukan, sesuatu yang memberi kelebihan kepada mereka untuk meraih mata yang lebih banyak.

"Kami perlu mengukur baju di badan sendiri. Namun saya percaya semua boleh berlaku dalam permainan ini, mungkin keputusan luar jangkaan boleh dicatatkan," katanya yang dijadualkan berlepas ke Zhejiang, China hari ini bagi mengharungi saingan kelayakan itu.


Aminuddin membawa 23 pemain termasuk dua pemain Harimau Muda A iaitu Muhammad Ariff Farhan Mohd Isa dan Adam Nor Azlin dengan harapan pengalaman luas dua pemain berkenaan mampu membantu menguatkan cabaran pasukan.


Skuad bawah 19 tahun negara menjalani persiapan yang rapi apabila turut mendapat pendedahan lebih sebulan di Slovakia dengan muncul juara Kejohanan Jemputan Piala Mintal selain mencatatkan keputusan memberangsangkan apabila mengadakan aksi persahabatan dengan beberapa kelab di sana.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

Masa Rajagobal selepas suku akhir

Posted: 04 Oct 2013 10:53 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menganggap masa yang diberikan kepada Datuk K Rajagobal untuk mempersiapkan pasukan kebangsaan bagi aksi kelayakan Piala Asia 2015 dengan Bahrain pada 15 Oktober ini mencukupi biarpun tempoh latihan pusat bertembung dengan aksi suku akhir Piala Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM Datuk Afandi Hamzah berkata, perancangan jadual Piala Malaysia dibuat dengan memberi keutamaan kepada skuad kebangsaan yang memulakan latihan Selasa lalu.


"Kita berada dalam dua situasi. Pertama, mahu menamatkan Liga Malaysia mengikut jadual dan dalam masa yang sama mengambil kira pembabitan skuad kebangsaan dalam kelayakan Piala Asia.

"Apabila perlawanan suku akhir Piala Malaysia berakhir esok (hari ini), semua pemain yang berada dalam senarai skuad kebangsaan akan mula menjalani latihan.


"Jadual Piala Malaysia ini diatur dengan memberi keutamaan kepada pasukan kebangsaan membuat persiapan kerana sebab itu kita menangguhkan saingan Piala Malaysia apabila tamat perlawanan suku akhir," katanya semalam.


Dalam laporan akhbar semalam, bekas pemain kebangsaan Reduan Abdullah mempersoalkan tindakan FAM yang meneruskan aksi pusingan kedua Piala Malaysia yang berlangsung semalam dan hari ini sedangkan skuad kebangsaan sudah memulakan latihan pusat Selasa lalu.

Pengkritik bola sepak itu berpendapat adalah wajar JKPT menangguhkan perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia bagi membolehkan semua 28 pemain yang dipanggil Rajagobal menjalani latihan.


Disebabkan perlawanan Piala Malaysia itu, Rajagobal hanya boleh memulakan latihan dengan 11 pemain yang tidak terbabit dengan kempen kejohanan itu manakala selebihnya akan hadir esok.

"Kita mengambil kira semua aspek dan keutamaan sentiasa diberikan kepada pasukan kebangsaan dan saya fikir masa yang diberikan bersesuaian," kata Afandi yang juga Naib Presiden FAM.


Rajagobal akan mengumpul semua 28 pemain esok dan akan terus berlepas ke Shenzen, China bagi aksi persahabatan antarabangsa dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum misi sebenar menentang Bahrain.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

Patuhi peratuan ketika 'memancing'

Posted: 04 Oct 2013 10:52 AM PDT

Salam sejahtera. Kita sudah hampir ke penghujung musim 2013 dengan jadual suku akhir kedua Piala Malaysia dilengkapkan malam ini. Sebagaimana lazim, kita tidak dapat lari daripada pelbagai spekulasi perpindahan pemain.

Pancing-memancing pemain dari pasukan lain sama ada yang masih mengikat kontrak atau ejen bebas rancak berjalan dan ada pihak yang merungut, sepatutnya pemain beraksi dalam Piala Malaysia tidak patut diheret ke dalam isu perpindahan di saat tumpuan serta tenaga mereka ditagih namun sebagai pemain profesional, rundingan di luar padang sebahagian daripada lumrah bola sepak moden.


Persatuan negeri atau kelab memang dibenarkan untuk berunding dengan pemain dari pasukan lain, tetapi tertakluk kepada beberapa syarat seperti termaktub dalam Artikel 18 Peraturan Status dan Pemindahan Pemain dalam Buku 2 Panduan Liga Malaysia 2013-2016.

Artikel 18 menyentuh peruntukan khas berkaitan kontrak di antara pemain profesional dan pasukan manakala Artikel 18.3 menyatakan pasukan baru yang berhasrat untuk memasuki kontrak dengan seorang pemain dari pasukan asal hendaklah memaklumkan kepada pasukan asal terlebih dulu secara bertulis sebelum membuat sebarang rundingan atau perjanjian dengan pemain berkenaan, iaitu dalam masa enam bulan sebelum tamat kontrak. Seterusnya pasukan asal dikehendaki memaklumkan pasukan baru dalam tempoh 14 hari. Jika berlaku pelanggaran terhadap syarat itu, pegawai pasukan dan pemain boleh dikenakan tindakan.


Artikel 18.6 pula menyebut pasukan asal hendaklah mengeluarkan notis dan diterima pemain tiga bulan sebelum tamat kontrak untuk melanjutkan kontrak. Notis itu hendaklah menyatakan terma yang pasukan asal bersedia tawarkan bagi melanjutkan kontrak.


Ini bermakna peraturan jelas termaktub dan bukanlah peraturan ciptaan FAM sebaliknya ia sejajar dengan peraturan FIFA yang dipatuhi di peringkat global.

Buku 6 panduan Liga Malaysia 2013-2016 juga memaparkan kontrak pemain tempatan yang standard dengan 16 perkara menyentuh semua aspek perjanjian dan prosedur untuk dipatuhi semua pihak.


Begitupun, soal bajet pasukan memainkan peranan penting dalam urusan pembelian pemain.

Berbelanja besar bukanlah jaminan kejayaan. Dalam mencipta kemenangan, sesebuah pasukan bergantung kepada kombinasi pelbagai faktor jurulatih yang sesuai, pemain yang serasi dan perancangan mantap.


Selaku Setiausaha Agung FAM, saya sangat mengharapkan supaya semua FA negeri bertindak bijak sebelum membabitkan diri dalam urusan jual beli pemain kerana sebarang kesilapan akan membawa padah buat pasukan.


Sehingga berjumpa lagi, ingat... makan dan tidur bola tapi jangan lupa tunai kewajipan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

Kian Meng aib Darren

Posted: 04 Oct 2013 10:43 AM PDT

Kuala Lumpur: Tan Kian Meng (gambar) membuktikan status senior bukan lagi faktor kemenangan di peringkat kebangsaan apabila mengejutkan pilihan kedua kejohanan badminton Terbuka Kuala Lumpur, Liew Daren dalam pertarungan tiga set untuk menempah tempat ke separuh akhir hari ini.

Memenangi GP Final Kebangsaan 2011 dalam kategori divisyen dua dengan mengalahkan Soo Teck Zhi dua tahun lalu, Kian Meng, 19, kini berpeluang memburu kejuaraan senior pertama, namun perlu mengatasi rakan sebaya, Chong Yee Han di separuh akhir hari ini.


"Memang semua permainan saya keluar hari ini tapi saya rasa kemenangan ini dibantu faktor emosi Daren yang terganggu dengan keputusan pengadil servis dan garisan," kata Kian Meng yang mengatasi Daren 21-19, 13-21, 22-20.

"Saya belum pernah menang ke atas Daren pada dua pertemuan lalu, jadi sasaran saya hanyalah untuk mengajaknya bermain tiga set, tapi tidak sangka menang pula.


"Bagi saya, kemajuan permainan saya dipengaruhi latihan bersama pemain senior seperti Datuk Lee Chong Wei, Daren dan Chong Wei Feng selama sembilan bulan selepas berlatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).


"Saya fikir saya belum mencapai tahap Daren lagi kerana apa yang berlaku hari ini (semalam) ternyata dia terganggu," kata Kian Meng.

Dalam pada itu, Daren menegaskan mutu pengadilan dalam kejohanan tempatan amat rendah kualitinya.


Daren, 26, dikesan melakukan kesalahan servis lima kali dan dua kali mendakwa pengadil garisan belakang membuat keputusan silap.

Dalam pada itu, satu lagi pertemuan separuh akhir hari ini akan menemukan pilihan utama Chong Wei Feng dengan pilihan ketiga yang juga juara GP Final Kebangsaan tahun lalu, Misbun Ramdan Misbun.


Wei Feng hampir menerima nasib sama dengan Daren semalam selepas dipaksa bekerja keras sebelum menang ke atas pemain pelapis, Loh Wei Sheng 19-21, 21-12, 21-11.


Lawannya hari ini, Ramdan pula ternyata gembira selepas menewaskan bekas rakan sepelatih Iskandar Zulkarnain buat kali pertama dalam tujuh pertemuan.


"Memang saya jangkakan perlawanan sengit dengan Iskandar kerana kami saling mengetahui corak permainan satu sama lain. Tapi hari ini (semalam) saya rasa dia berasa tertekan kerana berada dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM)," kata Ramdan yang menang ke atas Iskandar 21-14, 22-20.


Melihatkan kemajuan pemain pelapis, Ramdan mengakui Malaysia bakal memiliki barisan pemain perseorangan yang berkaliber di pentas antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/05

No comments:

Post a Comment