Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tebing 200m runtuh

Posted: 30 Sep 2013 12:20 PM PDT

Gombak: Lebih 300 penduduk Kampung Sungai Chinchin, di sini, kini dihantui tragedi tanah runtuh apabila tebing setinggi 200 meter berhampiran rumah mereka runtuh dalam satu kejadian kira-kira dua minggu lalu.

Pegawai Daerah Gombak, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, kejadian itu berpunca daripada aktiviti pembuangan sampah secara haram dilakukan di Taman Sri Gombak Town Villa yang terletak di bahagian atas, Kampung Sungai Chinchin, sejak 2011.


"Hasil pemeriksaan dengan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mendapati berlaku aktiviti pembuangan sampah secara haram.

"Malah, ada kemungkinan aktiviti itu juga bertujuan untuk menimbus kawasan tebing sebelum sebarang aktiviti pembinaan struktur termasuk perumahan dilakukan di situ seperti yang biasa berlaku di tempat lain.


"Justeru, siasatan rapi akan dilakukan Pejabat Tanah dan Daerah Gombak (PTDG) dan notis 7A diberikan kepada lima pemilik tanah seluas 1.2 hektar itu bagi mengarahkan kerja baik pulih segera dilakukan dalam tempoh tiga bulan," katanya kepada media selepas lawatan di lokasi kejadian, di sini semalam.


Difahamkan jika pemilik tanah gagal mematuhi arahan notis 7A, PTDG akan mengeluarkan notis 7B untuk pemilik tanah mengemukakan rayuan dan tunjuk sebab mengapa gagal membaikpulih kawasan terbabit seperti yang diarahkan.

Foto

TEMPAT pembuangan sampah haram berhampiran Kampung Sungai Chinchin runtuh.

"Jika masih gagal lagi, maka PTDG akan mengeluarkan notis 8A dan rampasan tanah akan dilakukan.


"Selain itu, aktiviti itu juga menyebabkan aliran Sungai Chinchin kini menjadi semakin kecil. Bagi mengatasi masalah ini secara keseluruhan, MPS akan menutup kawasan pembuangan itu, selain pengawasan rapi bagi memastikan tiada lagi pembuangan sampah dilakukan," katanya.

"Pemeriksaan cerun termasuk sebarang gerakan tanah akan dipantau oleh Jabatan Kerja Raya, serta kerja membesarkan semula aliran sungai akan dilakukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya.


Selain itu, ketika tinjauan di lokasi kejadian semalam mendapati penduduk (Taman Sri Gombak Townvilla) turut meletakkan 'geomat' atau karpet jerami padi di kawasan tebing runtuh bagi membolehkan rumput tumbuh, sekali gus mengurangkan kadar serapan air dan hakisan tanah di situ.


Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Chinchin, Khazari Mat mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak bertanggungjawab yang menyebabkan tanah runtuh berlaku di situ.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Tukang cuci ditahan

Posted: 30 Sep 2013 12:16 PM PDT

Subang Jaya: Seramai 16 pekerja warga asing ditahan dalam operasi bersepadu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bersama Jabatan Imigresen Selangor di lima pusat cucian kereta yang beroperasi secara haram di USJ 1 dan Bandar Puteri Puchong, petang semalam.

Difahamkan, tindakan diambil kerana terdapat pengusaha menjalankan perniagaan berkenaan di kaki lima premis selain menggunakan khidmat pekerja asing yang tidak memiliki dokumen sah.


Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, berdasarkan syarat menjalankan perniagaan cucian, pengusaha perlu menjalankan operasi di dalam lot kedai.

"Jika perniagaan ini dijalankan di tepi jalan, ia tidak boleh diberi lesen dan permit. Dalam operasi hari ini (semalam), semua pengusaha didapati melakukan kesalahan kerana menjalankan perniagaan di kaki lima selain terdapat juga yang beroperasi berdekatan restoran," katanya pada sidang media selepas berakhirnya operasi di sini, semalam.


"Sistem perairan juga mesti mengikut prosedur yang dikeluarkan iaitu air tidak boleh dialirkan ke jalan manakala lantai dan dinding mesti berjubin," katanya pada sidang media selepas berakhirnya operasi di sini, semalam.


Beliau berkata, pihaknya turut menyita pelbagai peralatan mencuci manakala warga asing diserahkan kepada imigresen untuk proses dokumentasi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Sambungan jajaran LRT dijangka lewat

Posted: 30 Sep 2013 12:16 PM PDT

Kuala Lumpur: Projek penyambungan jajaran transit aliran ringan (LRT) Laluan Ampang dan Kelana Jaya dijangka mengalami kelewatan berikutan masih ditahap pembinaan 41.5 peratus berbanding jadual asal yang sepatutnya mencecah 66.31 peratus, Ogos lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, status kemajuan bagi projek berkenaan lewat 19.8 peratus disebabkan beberapa masalah termasuk penemuan kabel serta paip bawah tanah yang perlu dipindahkan.


"Begitupun, projek berkenaan dijangka siap pada suku pertama 2016," katanya menerusi jawapan bertulis kepada Tony Pua Kiam Wee (DAP-Petaling Jaya Utara).

Tony Pua meminta penjelasan mengenai kedudukan terkini projek penyelenggaraan LRT Ampang dan Kelana Jaya, tarikh siap serta kelewatan dialami.


Selain masalah teknikal, Najib berkata, kelewatan juga disebabkan kesukaran mendapatkan maklumat tepat berhubung kedudukan kabel dan paip bawah tanah, pertukaran reka bentuk struktur sokongan mengikut kesesuaian dan keadaan sebenar tanah serta faktor geologi di kawasan pembinaan.


"Sehubungan itu, kelewatan tarikh siap membolehkan masalah teknikal dikenal pasti dan diatasi untuk keselamatan pengguna nanti," katanya.

Pada masa ini katanya, kerja pembinaan giat dilaksanakan termasuk kerja sivil seperti penanaman cerucuk, pembinaan stesen dan pembinaan landasan jajaran.


"Kos asal pembinaan projek penyambungan jajaran LRT bagi kedua-dua laluan berkenaan masih lagi kekal sebanyak RM8 bilion," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

66 masih dirawat, 2 kritikal

Posted: 30 Sep 2013 12:14 PM PDT

Alor Setar: Hidangan ayam masak merah dipercayai menjadi punca tiga tetamu termasuk seorang budak lelaki meninggal dunia apabila mengalami keracunan makanan selepas menghadiri majlis kenduri kahwin di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sungai Petani, Sabtu lalu.

Mangsa dikenali Mohd Nor Rahmat Yusuf, 11, dari Kampung Singkir Laut, Sungai Petani, Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) Gombak Nurshazana Mohd Rashid, 24 dan seorang warga emas dari Kampung Huma, tanjung Dawai, Sungai dikenali sebagai Ibrahim Mohamad, 62.


Setakat ini, dua lagi lelaki termasuk seorang kanak-kanak dipercayai turut mengalami keracunan makanan dan dilaporkan berada dalam kritikal di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Sehingga jam 8 malam tadi, 35 orang masih menerima rawatan di HSAH; 30 orang lagi dirawat di Hospital Yan; seorang lelaki berusia 21 tahun dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, manakala empat orang dilaporkan menerima rawatan sebagai pesakit luar di HSB.


Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah Dr Ismail Abu Taat berkata, tiga mangsa berkenaan meninggal dunia apabila dipercayai mengalami keracunan makanan selepas menikmati makanan di majlis kenduri kahwin yang dilakukan secara bergotong-royong itu.


Menurutnya, semua mangsa yang meninggal dunia dikesan mengalami simptom muntah dan cirit birit hingga menyebabkan berlaku dehidrasi serius, bagaimanapun pihaknya sedang mengenal pasti punca sebenar yang berlaku untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

'Anak berselera makan ayam masak merah'

Posted: 30 Sep 2013 12:13 PM PDT

Yan: "Saya melihat anak (Mohd Nor) begitu berselera menikmati ayam masak merah di rumah kenduri itu sebelum dia mula mengadu sakit perut, pening kepala dan muntah sejurus pulang ke rumah."

Itu kata-kata yang diluahkan Yusuf Arifin, 50, bapa kepada Mohd Nor Rahmat, 11, yang meninggal dunia dipercayai keracunan makanan, kira-kira jam 1 tengah hari semalam, selepas menghadiri majlis kenduri kahwin kenalannya di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sungai Petani, di sini, pada Sabtu lalu.


Yusuf berkata, dia juga menikmati hidangan ayam masak merah bersama gulai ikan talang di rumah kenduri itu, namun tidak mengalami masalah cirit-birit seperti anaknya.

Menurutnya, anaknya mengadu sakit perut dan pening selepas pulang dari majlis berkenaan dan berikutan itu, dia meminta anaknya supaya berehat dan tidak membenarkannya ke sekolah sejak kelmarin kerana menyangka ia hanya sakit biasa.


"Dia (Mohd Nor) mengalami cirit birit tidak henti-henti dan dalam pada masa sama, saya juga ada mengalami cirit-birit, tetapi tidak seteruknya.


"Apabila melihat keadaannya semakin teruk kerana begitu lemah, pagi tadi (semalam), saya bersama isteri (Norma Khalid, 45) terus membawanya ke Hospital Yan untuk rawatan.

"Dia memang sudah tidak sedarkan diri sewaktu berada dalam kereta sepanjang perjalanan dan doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital," katanya.


Sementara itu, Norma berkata, keadaan anaknya semakin lemah apabila tidak berhenti keluar masuk tandas pada malam Sabtu lalu selain turut mengadu pening kepala.

"Saya memang bercadang membawanya ke hospital hari ini (semalam) kerana keadaannya semakin lemah, tetapi tidak sangka pula keadaannya bertambah kritikal sewaktu dalam perjalanan ke hospital. Dia kemudian tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.


"Arwah memang suka makan kerana berbadan besar. Dia menunjukkan perubahan apabila tiba-tiba bertukar menjadi pendiam sejak tiga hari lalu.


"Saya memang tidak menyangka arwah akan pergi buat selama-lamanya kerana dia adalah seorang yang ceria, dan tidak menduga keracunan makanan yang dihadapinya membawa maut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

No comments:

Post a Comment