Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kepala abang dalam peti beku

Posted: 02 Oct 2013 08:48 AM PDT

Mallorca: Seorang pemotong daging Sepanyol memotong tubuh abangnya dan menyimpan cebisan daging mangsa dalam peti pembeku selama setahun sebelum menyerah diri kepada polis, semalam.

Aurele Al-manza, 48, mendakwa membunuh abangnya, Olmas kerana mempertahankan diri.

Lelaki itu membungkus anggota badan yang dipotong termasuk kepala abangnya sebelum disimpan dalam peti pembeku.

Almanza menyerah diri dan mengaku membunuh abangnya kepada polis tempatan di Pulau Mallorca, semalam setahun selepas kejadian itu.

Foto

POLIS menunjukkan gergaji yang digunakan suspek untuk memotong abangnya.


Polis yang melancarkan pemeriksaan di rumah lelaki itu menemui cebisan anggota mangsa dalam peti pembeku. Kepala dan beberapa anggota lain dibungkus rapi dan diletakkan bersama makanan segar.


Almanza mendakwa abangnya, Osmas cuba menyerangnya dengan penukul ketika mereka bergaduh.

Lelaki itu mengajak abangnya tinggal bersamanya ketika susah, tetapi mereka kerap bertelingkah.

Dia mendakwa dihantui kejadian itu dan menyerah diri setahun selepas kejadian. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

Makan tikus gergasi

Posted: 02 Oct 2013 08:44 AM PDT

Hunan: Petani di sini menangkap dan membunuh seekor tikus raksasa yang mengganas di pedalaman Shaoyang dan memakan ikan, menurut akhbar Sanxiang Metropolis Daily.

Mereka mendakwa melihat tikus besar itu menerkam seekor ikan seberat 3 kilogram dari kolam sebelum mengepung dan membunuh haiwan seberat 5 kilogram dan satu meter panjang.

"Dua pisau patah ketika memotong daging tikus itu sebelum dimasak", kata petani.
Tikus menjadi makanan ruji di Guangdong, dihidangkan secara panggang, kukus dan sup.

Foto

SEORANG petani menunjukkan seekor tikus gergasi ditangkap sebelum dimasak untuk dimakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

Janet minat ambil anak angkat Jordan, Syria

Posted: 02 Oct 2013 08:42 AM PDT

Amman: Penyanyi Janet Jackson dilapor berusaha untuk mengambil anak angkat, sama ada dari Syria atau Jordan.

Penyanyi berusia 47 tahun itu yang Februari lalu mengumumkan dia berkahwin secara rahsia dengan ahli perniagaan Wissam Al-Mana, 37, dalam majlis tertutup tahun lalu, bersungguh-sungguh mahu menjadi ibu dan sudah mula mengkaji proses untuk mendapatkan anak angkat itu.


Satu sumber memberitahu UsMagazine.com: "Dia sedar dia tidak akan mengandung. Kerana itu dia berusaha untuk mendapatkan anak angkat. "Dia begitu sedih dengan kejadian di Jordan dan Syria. Tidak pasti bila dia boleh menerima anak angkat itu, tetapi dia sudahpun memulakan proses berkenaan," Satu sumber lain memberitahu akhbar New York Post, Janet menyuarakan hasratnya kepada Ratu Rania.

"Janet sentiasa memandang berat mengenai kebajikan kanak-kanak di seluruh dunia, dan terpanggil untuk memberi segala yang diperoleh kepada kanak-kanak itu," kata sumber.


Janet, bekas isteri James DeBarge dan Rene Elizondo mula menjalin hubungan dengan Wissam pada 2010. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

Sorok syabu dalam periuk

Posted: 02 Oct 2013 08:40 AM PDT

Jakarta: Seorang rakyat tempatan yang bekerja di luar negara ditahan selepas dadah jenis syabu di temui bersama-samanya di Lapangan Terbang Soekarno Hatta di Tangerang baru-baru ini.

Suspek yang hanya dikenali sebagai SU ditahan penguatkuasa kastam lapangan terbang itu dan pegawai Agensi Dadah Nasional (BNN).

Ketua Unit Siasatan BNN, Sumirat Dwiyanto berkata, SU ditahan ketika menunggu penerbangan seterusnya ke Madura.

Menurutnya, SU mungkin menjadi mangsa sindiket dadah antarabangsa.


"Kastam yang bertugas curiga dengan barang yang dibawanya.


"Selepas diperiksa, mereka menemui 2.588 gram serbuk putih yang disembunyikan dalam bungkusan yang dimuatkan dalam beg berisi barangan bayi dan periuk nasi elektrik," katanya pada sidang akhbar semalam.

Menurutnya, SU, ketika disoalsiasat berkata, barangan itu milik lelaki bernama MF yang meminta dia membawanya dari Malaysia ke Sampang, Madura.

"Berdasarkan siasatan, SU sudah tahu yang barang dibawanya itu dadah. Sebelum pulang, dia diberikan tiket pesawat percuma dan wang tunai Rp1 juta (RM284) oleh MF," katanya.

Sumirat berkata, MF berjanji memberikan SU Rp30 juta (RM8,547) lagi jika dia berjaya membawa barang larangan itu ke Madura. - Tribunenews.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

Dua tentera maut dalam serangan bom

Posted: 02 Oct 2013 08:39 AM PDT

Bangkok: Dua tentera terbunuh dalam serangan bom di daerah Krong Penang, Yala semalam.

Kumpulan pemisah dipercayai meletupkan bom di tepi jalan kira-kira 200 meter dari sekolah Ban Sa-ai di daerah itu.


Jurucakap tentera, Kolonel Pramote Phom-in berkata, letupan itu mensasarkan enam anggota tentera yang meronda untuk mengawal keselamatan guru dan pelajar sekolah berkenaan.

Tiga orang awam dan dua tentera juga cedera. Pramote berkata, anggota pemisah mensasarkan golongan yang bekerja di sektor kerajaan terutama guru dan anggota keselamatan.


"Tahap keganasan masih tetap sama. Bilangan serangan sudah berkurang tetapi kini mereka menggunakan bahan letupan lebih kuat," katanya.


Sementara itu dalam satu lagi kejadian, seorang lelaki ditembak mati di jalan raya dekat daerah Saiburi di Pattani semalam, kata ketua polis Saiburi, Kolonel Jirasate Dao-ngerntrakul.

Dia dikenali sebagai Mawee Masae, 29, dari Manang Dalum di Saiburi. Mawee pernah ditahan atas tuduhan melanggar undang-undang keselamatan pada 2003 tetapi kemudian dibebaskan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

Dua lagi kumpulan sertai rundingan damai

Posted: 02 Oct 2013 08:38 AM PDT

Bangkok: Dua lagi kumpulan akan menyertai rundingan damai dengan pihak berkuasa Thai dalam usaha mengakhiri konflik di selatan negara itu.

Barisan Revolusi Nasional (BRN) memulakan rundingan damai dengan delegasi kerajaan sejak beberapa bulan lalu di Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan, Paradorn Pattanatabutr semalam berkata, dua kumpulan berkenaan akan menyertai perwakilan BRN dalam rundingan seterusnya.

"Kumpulan itu pernah terbabit dalam keganasan dan serangan terhadap pasukan keselamatan," katanya.


Malaysia yang bertindak sebagai fasilitator dalam rundingan itu memaklumkan kepada Thailand bahawa rundingan seterusnya akan berlangsung pada minggu ketiga bulan ini.


Beliau juga berkata, pihaknya masih menimbang tuntutan BRN mengenai syarat menandatangani perjanjian damai - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

Ancaman Taufan Wutip berakhir

Posted: 02 Oct 2013 08:38 AM PDT

Bangkok: Dengan tiupan Taufan Wutip yang semakin lemah semalam, kebanyakan penduduk Thai berasa lega, tetapi ramai masih berjaga-jaga dengan kemungkinan kejadian ribut yang bakal berulang.

Timbalan Perdana Menteri Plodprasop Suraswadi yang mempengerusikan Suruhanjaya Pengurusan Banjir dan Air (WFMC) mengesahkan ancaman Wutip sudah berakhir.


"Serangan Taufan Wutip lebih kecil berbanding yang dijangka," katanya.

Bagaimanapun, dia berkata, Wutip masih membawa hujan lebat ke beberapa wilayah di negara itu.


Sementara itu, banjir di Chaiyaphum mencecah antara 50 hingga 70 sentimeter sejak Wutip melanda.


"Kami kini berdepan insiden banjir terburuk," kata wakil penduduk Poj Piromkij yang mewakili lebih 200 keluarga di Tambon Talad Laeng, Chaiyaphum.

Menurutnya, kesemua tiga jalan masuk utama ke kawasan perkampungan dinaiki air sejak dua minggu lalu.


"Dan Wutip memburukkan lagi keadaan," katanya.

Poj berkata, arus banjir amat kuat hingga bot tanpa enjin sukar untuk bergerak.


Berdasarkan Jabatan Perlindungan Bencana, banjir kini melanda 25 daerah di Thailand. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

Tuduhan terhadap Thaksin digugur

Posted: 02 Oct 2013 08:37 AM PDT

Bangkok: Pendakwa raya kerajaan memutuskan untuk tidak memfailkan tuduhan keganasan terhadap bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra berhubung rusuhan dan pemberontakan pada 2010.

Timbalan pemimpin Parti Demokrat Thaworn Senneam semalam berkata, dia dimaklumkan mengenai keputusan itu oleh sumber di pejabat peguam negara.


Parti Demokrat memohon pada 2011 supaya pejabat pendakwa raya mengkaji kes Thaksin itu supaya bekas perdana menteri disiasat atas tuduhan keganasan selepas dia didakwa menjadi dalang pemberontakan Baju Merah yang menyebabkan hampir 100 orang terbunuh.

"Saya berpendapat, keluarga mangsa yang terbunuh dan mereka yang mengalami kerugian dalam kejadian pada 2010 itu boleh memfailkan kes ke mahkamah sendiri tanpa perlu bergantung kepada pendakwa raya awam," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

Belum ada penyelesaian

Posted: 02 Oct 2013 08:36 AM PDT

Washington: Kebuntuan politik di Kongres tidak menunjukkan sebarang tanda kemelut itu akan reda, menyebabkan operasi kerajaan dari pengendalian laman web hingga pengendalian taman awam dan menyelesaikan tuntutan veteran bercelaru.

Anggota Kongres kedua-dua parti menjangka operasi kerajaan mungkin terus tertutup selama beberapa minggu lagi.

Pemotongan belanjawan kebanyakan pejabat kerajaan bermula kelmarin berikutan tindakan Republikan memlewatkan atau menangguhkan undang-undang kesihatan negara yang mereka gelar Obamacare.

"Taman awam seperti Yellowstone dan Pulau Alcatraz ditutup, laman web tidak berfungsi dan ratusan ribu pekerja awam hanya bekerja separuh hari mengisi kad kedatangan, menyerahkan telefon dan komputer riba milik kerajaan," menurut sumber.

Foto

PAPAN tanda menunjukkan Muzium Peringatan Perang Dunia Kedua di Washington ditutup kerana penggantungan operasi kerajaan AS, semalam.


Kira-kira 800,000 pekerja atau hampir sepertiga daripada kakitangan kerajaan terpaksa bercuti tanpa gaji selepas operasi kerajaan ditutup kali pertama dalam masa 17 tahun, menggantung perkhidmatan kebanyakan program dan perkhidmatan tidak penting.


Mereka yang dikategorikan sebagai kakitangan penting seperti pengawal trafik udara, anggota peronda sempadan dan kebanyakan inspektor makanan, akan terus bekerja.

Perkhidmatan memproses pasport dan visa diteruskan jabatan kerajaan AS kerana dikenakan yuran. Kedutaan dan pejabat konsul juga dibuka. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

Obama batal lawat KL, Manila

Posted: 02 Oct 2013 08:34 AM PDT

Washington: Presiden Barack Obama membatalkan lawatan ke dua negara Asia berikutan penggantungan sebahagian operasi kerajaan AS, semalam.

Bagaimanapun, Obama akan meneruskan lawatan ke Indonesia dan Brunei, tetapi membatalkan lawatan ke Malaysia dan Filipina, lapor Rumah Putih.

Operasi kerajaan itu ditutup berkuatkuasa kelmarin selepas Kongres terlepas tarikh tamat tempoh untuk meluluskan perbelanjaan kerajaan.

Kunjungan Obama yang di rancang sebelum ini bertujuan untuk meningkatkan hubungan ekonomi Amerika Syarikat dengan Asia.


Ini kali ketiga pemimpin Amerika itu membatalkan lawatan ke Asia.


Beliau pernah bertindak demikian dua kali pada 2010 kerana mahu berada di Washington untuk turut mengundi usul undang-undang penjagaan kesihatannya dan satu lagi kerana kejadian tumpahan minyak Teluk Mexico.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

No comments:

Post a Comment