Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tekad bangun jentera Modenas

Posted: 30 Sep 2013 12:42 PM PDT

Kuala Lumpur: Pasukan Modenas Cilik Racing tidak menetapkan sasaran khusus buat pelumba yang beraksi dalam kategori Wira menjelang saingan pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2013 di Temerloh hujung minggu ini.

Sebaliknya, pengurus pasukan Razali Ahmad berkata, pengeluar jentera nasional, Modenas itu lebih menumpukan kepada proses membangunkan jentera agar lebih kompetitif pada musim akan datang.


"Agak sukar untuk pelumba kami menaiki podium. Tahun ini kami banyak memberi tumpuan terhadap kajian untuk membangunkan jentera secara keseluruhan. Bukan sahaja terhadap enjin ataupun kelajuan, malah faktor lain menjadi keutamaan terutama casis jentera," katanya.

"Kami dan pihak Modenas bekerjasama membina casis lebih baik kerana casis memainkan peranan penting dalam perlumbaan profesional seperti ini.


"Kebanyakan pasukan besar semuanya menggunakan casis khas untuk perlumbaan. Casis yang baik dapat membantu pelumba mengendalikan jentera dengan lebih baik, berbeza dengan casis asas yang digunakan jentera sama di atas jalan raya," katanya.


Menurutnya lagi, selain casis, pasukan sentiasa berbincang dengan pihak Modenas mengenai alat ganti yang digunakan terutama suspensi dan sistem brek.

Foto

PELUMBA Modenas Cilik Ricing bersama jurutera pasukan sedia memulakan saingan.

"Sebagai contoh, mungkin jenama sistem suspensi seperti Ohlins antara jenama antarabangsa yang banyak digunakan dalam perlumbaan termasuk di saingan Cub Prix, namun kami memilih untuk menggunakan jenama berkualiti tempatan, Racing Boy. "Sebenarnya sukar juga untuk mendapatkan hasil yang baik sekalipun menggunakan jenama terkenal jika kami tiada kepakaran mengenainya." Razali bagaimanapun menyatakan, prestasi pelumba menunjukkan peningkatan demi peningkatan, begitu juga dengan jentera.


"Kami juga tidak mahu mereka terlalu bergantung kepada jentera, sebaliknya mencuba sedaya upaya dan meningkatkan skil masing-masing untuk merebut kedudukan podium." Selepas enam pusingan, pencapaian terbaik pelumba pasukannya adalah melalui Mohd Amim Abu Osman yang menduduki tempat keenam pada pusingan keempat di Muar manakala Mohd Afiki Supaat muncul pelumba terbaik pasukan dalam senarai keseluruhan di tangga ke-12 selepas mengumpul 28 mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

'Hati-hati sengat Napoli'

Posted: 30 Sep 2013 10:29 AM PDT

London: Arsene Wenger melaungkan amaran kepada bintang Arsenal bahawa Napoli akan bersemangat untuk membuktikan kemampuan mereka dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Skuad kendalian Wenger dalam prestasi terbaik selepas berada di puncak Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan dua mata hasil kemenangan 2-1 ke atas Swansea hujung minggu lalu.


Kejayaan di selatan Wales itu adalah kemenangan kelima berturut-turut Gunners dalam saingan liga dan mengekalkan kebangkitan sejak tumpas kepada Aston Villa pada perlawanan pembukaan yang memberikan persepsi mereka bakal berdepan satu lagi musim kegagalan.

Bagaimanapun Wenger sedar Napoli yang beraksi cemerlang dalam Serie A pasti berhajat untuk mengakhiri kebangkitan Arsenal di Stadium Emirates khususnya buat pengurus Rafael Benitez dan penyerang Gonzalo Higuain yang mahu membuktikan kemampuan mereka kepada penyokong Inggeris.


Benitez gagal mendapat kontrak jangka panjang di Chelsea selepas menjadi pengurus sementara musim lalu meskipun membimbing kelab itu memenangi Liga Europa serta mengesahkan tempat dalam kelompok empat pasukan terbaik Liga Perdana.


Benitez kemudian berpindah ke Itali dan beliau berjaya membimbing Napoli memenangi lima daripada enam perlawanan pertama Serie A serta memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan mengalahkan naib juara tahun lalu Borussia Dortmund 2-1 di laman sendiri.

Wenger tidak terkejut untuk melihat musuh lamanya Benitez melakukan impak bersama Napoli.


"Rafael Benitez pengurus yang hebat dan meraih kejayaan bersama banyak kelab," kata Wenger.

"Beliau memiliki pengalaman luas, beliau pernah dua kali mengendalikan kelab di Itali, England dan Sepanyol.


"Semua itu menjadikan seseorang pengurus itu berasa yakin dan anda tidak terkejut dengan pencapaian sepanjang kariernya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Kami tak boleh kalah: Mourinho

Posted: 30 Sep 2013 10:28 AM PDT

Bucharest: Chelsea akan berusaha menghidupkan semula kempen Liga Juara-Juara mereka apabila berkunjung ke Steaua Bucharest bagi perlawanan kedua dalam Kumpulan E, awal pagi esok.

Kelab London itu dikejutkan dengan kekalahan 1-2 di tangan FC Basel pada perlawanan pertama kumpulan dan tidak boleh menerima kekalahan lagi dengan dua pertembungan menentang Schalke 04 menanti mereka.


Musim lalu Chelsea muncul pasukan juara bertahan pertama tersingkir pada peringkat kumpulan dan tidak hairan pengurus Jose Mourinho menyifatkan perlawanan awal pagi esok sebagai "perlawanan yang kami tidak boleh kalah".

"Malah keputusan seri sekalipun mungkin bukannya satu keputusan bagus buat kami, jadi kami kini perlu mempersiapkan diri," kata pengendali dari Portugal itu, yang memburu impian memenangi pertandingan itu dengan tiga kelab berbeza.


"Kami mesti meraih 12 mata jika mahu keluar daripada bahaya, jadi jika kami kalah ada empat perlawanan lagi yang perlu dilalui dan kami mesti menang semuanya. Kami tidak mahu meletakkan diri dalam tekanan." Chelsea tidak memiliki memori indah dalam kunjungan terakhirnya ke Bucharest selepas tumpas 0-1 kepada Steaua pada pusingan ketiga Liga Europa Mac lalu sebelum memenangi perlawanan timbal balik 3-1.


Juan Mata bertindak cemerlang mengubah rentak Chelsea selepas tampil selepas rehat babak pertama di White Hart Lane hujung minggu lalu dan Mourinho lantas mengesahkan dia akan memulakan perlawanan di Arena Nationale, gelanggang Steaua. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Bimbang diratah Barca

Posted: 30 Sep 2013 10:28 AM PDT

Glasgow: Pengurus Celtic Neil Lennon bimbang pasukannya akan dibelasah Barcelona yang berazam membalas dendam apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam Kumpulan H Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Juara Scotland itu melakar kejutan besar di Celtic Park, November lalu apabila gol Victor Wanyama dan penyerang remaja Tony Watt membantu mereka meraih kemenangan menakjubkan 2-1 ke atas juara Eropah empat kali itu.


Lennon sedar kelab gergasi Catalunya itu, tampil tanpa Lionel Messi yang cedera, pasti mahu membalas dendam kekalahan itu dan mengenal pasti penjaga gol. Fraser Forster yang cemerlang ketika kemenangan Celtic itu, watak penting jika mereka mahu mengelak kekalahan besar.

"Kami dibelasah teruk berlegar-legar dalam fikiran saya. Itulah sebabnya penjaga gol amat penting," kata bos Celtic itu.


"Aksinya pada pertemuan tahun lalu begitu mengagumkan, seperti satu percubaan Messi yang ditepisnya. Dia turut bertindak cemerlang di Nou Camp.


"Mereka akan hadir dengan sasaran untuk membetulkan kesilapan tahun lalu dan saya amat memahaminya.

"Saya tidak berasa tertekan menjelang perlawanan ini, saya boleh keluar dan menikmatinya. Namun saya tidak mahu akhirnya dibelasah kerana ia bukan saja menjejaskan keyakinan pasukan tapi kelab.


"Kami perlu mencari jalan mengekang pergerakan jentera serangan mereka dan menggunakan sepenuhnya setiap peluang yang kami cipta." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Dortmund, Marseille 'dahaga' tiga mata

Posted: 30 Sep 2013 10:27 AM PDT

Dortmund, Jerman: Borussia Dortmund menanti kunjungan Marseille awal pagi esok dengan kedua-dua pasukan amat memerlukan kemenangan selepas tewas perlawanan pembukaan untuk menghidupkan peluang layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Selepas tunduk kepada pencabar Bundesliga, Bayern Munich pada final musim lalu, Dortmund bermula buruk dua minggu lalu apabila kecundang 1-2 di tangan Napoli pada perlawanan pertama Kumpulan F manakala Marseille tumpas 1-2 kepada Arsenal.


Ia malam malang di Naples buat pertahanan tengah Dortmund, Mats Hummels yang terhencut-hencut kerana kecederaan kaki, penjaga gol, Roman Weidenfeller dibuang padang dan jurulatih Juergen Klopp diarah ke bangku penonton kerana memaki pengadil.

Weidenfeller digantung bagi perlawanan awal pagi esok di gelanggang Dortmund, Signal Iduna Park, manakala Klopp berada di bangku penonton selepas digantung satu perlawanan dari bangku pemain simpanan oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).


Selepas dijinak Napoli, Klopp berkata: "Kami tidak mempamerkan persembahan terbaik tapi semuanya belum berakhir lagi." Bagaimanapun satu lagi kekalahan pasti menjejaskan impian Dortmund di Eropah.


Kelab Jerman itu cuba menebus dendam kekalahan kepada Marseille dalam Liga Juara-Juara selepas mereka bertemu di peringkat kumpulan dua tahun lalu dengan Marseille menang 3-0 di laman sendiri dan 3-2 di halaman lawan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Roma kekal teraju takhta Serie A

Posted: 30 Sep 2013 10:18 AM PDT

Florence, Itali: Permulaan hebat AS Roma pada awal musim berterusan apabila membelasah Bologna 5-0 di Stadium Olimpik awal pagi semalam sekali gus kembali merampas kedudukan pendahulu Serie A dengan kelebihan dua mata.

Roma muncul pasukan pertama sejak Juventus pada musim 2005-06 memenangi enam perlawanan pertama liga dan meraih kemenangan pertama dengan perbezaan lima gol atau lebih sejak membenam Catania 7-0 pada November 2006.


Pasukan kendalian Rudi Garcia itu kini mendahului Napoli dan Juventus dengan kelebihan dua mata manakala pasukan tangga keempat, Inter yang seri dengan Cagliari, dua mata lagi di belakang.

Garcia tetap enggan mendabik dada mengenai harapan Roma merangkul kejuaraan tapi pemain tengah, Daniele De Rossi berkata: "Kami membuktikan memiliki pasukan yang kuat dan boleh mencapai objektif kembali ke pertandingan Eropah." Seminggu selepas menjaringkan gol sulung bersama Roma, bekas penyerang Arsenal, Gervinho sekali lagi menyerlah buat tuan rumah dengan menyumbang dua gol pada setiap babak.


Terdahulu tandukan babak kedua pemain tengah Perancis, Paul Pogba membantu Juventus mengatasi Torino, 1-0 pada pertemuan jiran setempat Turin. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Gandingan terbaik!

Posted: 30 Sep 2013 10:18 AM PDT

Sunderland, England: Brendan Rodgers menegaskan Liverpool memiliki gandingan penyerang paling digeruni dalam Liga Perdana Inggeris selepas menyaksikan Luis Suarez dan Daniel Sturridge membentuk kombinasi terbaik.

Suarez yang kembali beraksi selepas digantung 10 perlawanan meledak dua gol dengan kedua-dua gol itu hasil umpanan Sturridge yang membuka tirai jaringan ketika menang 3-1 di Sunderland sekali gus melonjakkan kembali pasukan Rodgers ke tangga kedua.


Pengurus Liverpool itu menjangkakan gandingan dua pemain itu akan terus mantap dan memberi amaran kepada pencabar Liga Perdana: "Saya tidak pasti jika ada gandingan penyerang yang lebih baik dalam liga.

"Memang anda mempunyai (Robin) van Persie dan (Wayne) Rooney di Manchester United tapi dua penyerang kami antara yang terbaik di negara ini.


"Kedua-dua pemain ini akan terus meningkat jika mereka lebih kerap bermain bersama. Mereka berlatih bersungguh-sungguh dan ia membantu kerana mereka dua pemain yang berbeza. Seorang mempunyai kepantasan, bertenaga dan boleh menggunakan kedua-dua kaki dan seorang lagi sukar dikawal dalam kotak penalti.


"Tumpuan Luis tidak banyak terganggu. Dia memiliki mental yang hebat, dia memberikan fokus dan kami seperti mendapat pemain baru apabila dia kembali beraksi. Ia bagus untuk pasukan dan penyokong yang berhak untuk melihat seseorang yang berkualiti," ujar Rodgers.

Ketika Sturridge mengumpul 11 gol dalam 11 perlawanan terakhir liga, Suarez pula tampil hebat dalam penampilan pertama Liga Perdana selepas 161 hari digantung kerana menggigit lengan pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic April lalu.


Bintang Uruguay itu yang kini menghasilkan tujuh gol dalam enam perlawanan menentang Sunderland ternyata masih mempunyai sentuhan berbisa hasil latihan keras ketika digantung perlawanan.

"Daniel menjaringkan satu gol dan mencipta dua gerakan gol dan mereka cukup bersemangat untuk memburu gol," kata Rodgers. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Townsend akui rebah badan

Posted: 30 Sep 2013 10:17 AM PDT

London: Andros Townsend berazam untuk tidak sengaja merebahkan badan ketika perlawanan selepas mendedahkan dia memohon maaf kepada pengadil Mike Dean kerana melakukan perkara itu ketika pertembungan jiran setempat Tottenham dengan Chelsea.

Aksi hebat Gareth Bale musim lalu dicemari dengan dakwaan cubaan menjatuhkan badan dan Townsend, seorang daripada pemain yang diberi tugas mengisi kekosongan ditinggalkan bintang Wales itu, turut mencuri tumpuan kerana lakonannya hujung minggu lalu.


Bos Blues, Jose Mourinho turut mengkritik rakan sepasukan Townsend, Jan Vertonghen dalam apa yang didakwanya lakonan berlebihan berikutan perebutan bola tinggi dengan Fernando Torres yang menyebabkan bintang Chelsea itu dibuang padang.

Townsend bermain cemerlang ketika Spurs seri 1-1 dengan Chelsea, namun dia menjejaskan reputasinya pada babak pertama apabila merebahkan badan ketika diasak Frank Lampard.


Dean melakukan tindakan tepat melayangkan kad kuning kepada Townsend dan pemain berusia 22 tahun itu mengaku selepas perlawanan dia melakukan kesilapan kerana sengaja merebahkan badan.


"Ia memang patut kad kuning. Saya berhak menerimanya," kata pemain sayap Tottenham itu.

"Saya melakukan kesilapan dan memohon maaf kepada pengadil. Saya memaklumkan kepadanya ketika rehat babak pertama saya memang layak menerimanya dan harapnya tidak mengulangi sekali lagi." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Aksi lebih mencabar!

Posted: 30 Sep 2013 10:16 AM PDT

Marang: Trek kategori XCO Race Sirkit 3 Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di Bukit Mawi, Sabtu ini mempunyai 'kelas' tersendiri berbanding trek lain.

Pengarah Teknikal Mohd Sanusi Kamarul Azaha menyifatkan trek itu cukup unik selain mampu mencabar kewibawaan pelumba.


Katanya walaupun trek di Bukit Mawi itu baru, ia tetap menjanjikan saingan sengit dan menyeronokkan kepada pelumba.

"Trek XCO Race bakal menguji kemampuan sebenar pelumba yang mahukan cabaran kerana ia cukup sifat termasuk mempunyai laluan mendaki dan menuruni bukit, laluan selorong, bukit beralun, kawasan becak, landai dan tidak ketinggalan pemandangan yang indah.


"Semua laluan ini perlu bagi trek XCO Race yang sudah pasti mencabar ketangkasan setiap pelumba untuk menamatkan kayuhan yang menawarkan hadiah lumayan kepada pemenang," katanya.


Mohd Sanusi dari D Wish Management berkata, pelumba yang menyertai kategori XCO perlu menamatkan perlumbaan lapan pusingan sejauh 4 kilometer bagi setiap pusingan dalam kategori elit.

"Manakala bagi kategori wanita dan veteran pula, pelumba perlu menamatkan enam pusingan juga sejauh 4 km bagi setiap pusingan, bagaimanapun ia turut bergantung kepada masa." Sementara itu, pelumba yang bakal menyertai saingan XCO Race, Azizul Azli Saari, 35, turut mengaku trek di Bukit Mawi mencabar serta perlu ketahanan mental dan fizikal yang tinggi.


"Hasil latihan beberapa kali, dapat saya simpulkan trek ini lebih mencabar berbanding sirkit pertama di Putrajaya dan kedua di Kellie's Castle kerana banyak laluan selorong yang memerlukan ketahanan serta kekuatan kaki dan tangan.

"Selain itu, pelumba juga perlu kemahiran imbangan badan ketika mendaki dan menuruni bukit selain bijak menggunakan gear, namun ia tetap menarik buat pelumba untuk bersaing."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Tesco taja makanan, minuman

Posted: 30 Sep 2013 10:16 AM PDT

Kuala Lumpur: Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd terus memberi sokongan terhadap program berbasikal Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 menerusi penajaan bagi Sirkit 3 di Marang, Terengganu, Sabtu ini.

Sumbangan berbentuk barangan makanan dan minuman Tesco itu untuk keperluan pertandingan.


Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Kerajaannya, Azlam Shah Alias berkata, kerjasama itu sebahagian daripada program asas Menggalakkan Gaya Hidup Sihat di bawah program induk Menggunakan Skala Kami Untuk Manfaat Semua Tesco yang bakal dilancarkan tahun depan.

Katanya, Tesco sebelum ini sudah menyumbangkan makanan dan minuman untuk keperluan peserta program sama di Putrajaya dan Perak.


"Kami juga akan meneruskannya untuk dua sirkit lagi dengan nilai tajaan melebihi RM20,000.


"Program ini sejajar dengan program Menggalakkan Gaya Hidup Sihat Tesco ke arah mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan pengguna. Kerjasama ini menjadi projek awal bagi menjayakannya sekali gus membantu peserta sentiasa bertenaga sepanjang pertandingan," katanya pada majlis bersama Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar di Ibu Pejabat Tesco, semalam.

Sementara itu, Mustapa berharap kerjasama itu akan diteruskan pada masa akan datang dalam usaha menggalakkan lebih ramai peminat basikal lasak tidak kira umur dan jantina menyertainya yang sememangnya bermanfaat untuk semua.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

No comments:

Post a Comment