Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Jaringan Ozil cetus inspirasi

Posted: 02 Oct 2013 11:48 AM PDT

London: Gol sulung Mesut Ozil buat Arsenal menjadi pencetus semangat kepada kelabnya untuk menewaskan Napoli 2-0 sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.

Ozil yang muncul pemain termahal kelab itu selepas berpindah dari Real Madrid pada hari terakhir pintu perpindahan pemain, berjanji untuk meledak lebih banyak gol dan pemain tengah antarabangsa Jerman itu mengotakan janjinya menerusi rembatan padu pada separuh masa pertama di Stadium Emirates.

Dia kemudian muncul watak penting bagi gol kedua Arsenal apabila melakukan hantaran cantik kepada Olivier Giroud yang meledak gol keenamnya musim ini.

Skuad bimbingan Arsene Wenger itu kini meraih enam mata daripada dua perlawanan dalam Kumpulan F selain muncul pendahulu Liga Perdana Inggeris dengan melakar lima kemenangan.

Foto

OZIL (tengah) meraikan gol bersama rakan sepasukan.


Ia perubahan yang cukup ketara dipamer kelab itu sejak tewas pada perlawanan pembukaan kepada Aston Villa sekali gus melenyapkan keraguan dalam kalangan peminat mereka.


Wenger menyaksikan anak buahnya mempamerkan aksi cukup meyakinkan, malah beliau tidak perlu menggunakan tonggak utamanya di bahagian tengah Jack Wilshere pada 60 minit pertama.

"Separuh masa pertama amat hebat. Segala-galanya nampak sempurna. Ia perlawanan yang semua orang mahu saksikan," katanya.

"Kami bermain mengikut rentak yang dimahukan, secara terbuka dan dapat melakukan penyudah dengan baik."

Pengurus Napoli Rafael Benitez berkata: "Apabila anda bertemu pasukan seperti Arsenal pada tahap ini, memang sukar untuk menewaskan mereka."

Aksi cemerlang Arsenal pada awal musim menyaksikan kelab itu disebut-sebut mampu menggenggam kejuaraan musim ini.

Namun Wenger mungkin akan mengorbankan saingan domestik jika beliau yakin anak buahnya mampu memenangi Liga Juara-Juara. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

Rezeki Wan Zack tiada di Sukan SEA

Posted: 02 Oct 2013 11:44 AM PDT

Kuala Lumpur: Hasrat pemain muda negara Wan Zack Haikal Wan Noor untuk tampil buat kali pertama di Sukan SEA Myanmar Disember ini musnah apabila terpaksa berehat panjang akibat kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL), namun dia berharap dapat bangkit semula selepas ini.

Kecederaan dialami ketika sesi latihan bersama kelab liga divisyen tiga Jepun Ryukyu FC di Okinawa kelmarin menyebabkan dia tidak boleh beraksi dalam tempoh enam hingga sembilan bulan sekali gus melenyapkan impiannya untuk beraksi di Sukan SEA selepas turut disisihkan daripada skuad juara kendalian Ong Kim Swee akibat kecederaan ketika memenangi pingat emas di Jakarta, dua tahun lalu.

Berikutan usianya kini 22 tahun, peluang untuk Wan Zack Haikal beraksi di temasya dwi tahunan itu dua tahun akan datang selepas ini tertutup rapat kerana syarat pertandingan hanya membenarkan pemain bawah 23 tahun beraksi.

"Saya amat sedih kerana ini kali kedua saya tidak dapat beraksi di Sukan SEA selepas terlepas di Indonesia. Ini kali kedua juga saya cedera ketika berlatih bersama pasukan (FC Ryukyu) dan saya sangat sedih dan kecewa," katanya ketika dihubungi di Okinawa semalam.

Foto

WAN Zack terpaksa berehat panjang.

Foto

KECEDERAAN ACL terjadi apabila tulang kaki terpusing ke arah berlainan dengan kuat secara mengejut.


Sebelum ini pemain sayap itu mengalami kecederaan teruk buku lali kanan pada April lalu yang menyebabkannya terpaksa berehat lebih dua bulan.


Insiden buruk yang menimpa Wan Zack itu bukan saja memberi tamparan hebat buat Kim Swee yang menagih khidmat bekas pemain Harimau Muda A itu bagi misi mempertahankan emas malah menjejaskan persiapan ketua jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain di Stadium Shah Alam pada 15 Oktober ini.

Wan Zack yang menandatangani kontrak dua tahun bersama FC Ryukyu berharap dapat bangkit semula daripada kecederaan itu yang dianggap antara yang mampu menggugat karier seseorang pemain.

"Kecederaan ACL ini sememangnya ditakuti atlet sukan. Kecederaan ini mengambil masa lama untuk sembuh. Biarpun pahit saya akui kecederaan ini memberikan kesan tapi saya tetap bersyukur kerana ramai yang memberikan sokongan kepada saya.

"Insya Allah dengan semangat dan sokongan itu, saya akan lebih tabah," kata Pemain Terbaik Pestabola Merdeka itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

Tak rela putih mata

Posted: 02 Oct 2013 11:41 AM PDT

Kuching: Baki dua hari lagi menjadi detik mendebarkan buat pemain Sarawak dalam menentukan nasib mereka sama ada layak atau sebaliknya ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

Justeru, skuad Bujang Senang itu yang bakal menerima kunjungan Sime Darby FC di Stadium Negeri, Sabtu ini tidak mempunyai misi lain kecuali mencatat kemenangan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi suku akhir pertama.


"Kita akan bermain bersungguh-sungguh untuk tidak menghampakan harapan ribuan peminat yang ingin melihat Sarawak layak ke separuh akhir," kata penolong jurulatih David Usop.

Menurut David, semua pemain berada pada tahap kecergasan terbaik sambil membayangkan jurulatih Robert Alberts akan menurun kesebelasan terbaiknya.


"Sarawak mempunyai kelebihan kerana beraksi di laman sendiri. Pemain akan berjuang habis-habisan untuk mencipta kemenangan kerana tuntutan peminat.


"Kalau boleh kita mahu menang dengan jaringan besar seperti kita membenamkan Perak. Tapi fokus kami sekarang untuk mencipta kemenangan tanpa mengira jumlah gol. Yang penting kita layak ke separuh akhir," katanya.

Foto

PEMAIN Sarawak berlatih di Stadium Negeri bagi menghadapi suku akhir kedua.

David berkata, pemain menjalani latihan seperti biasa tanpa menghiraukan dakwaan dan laporan negatif mengenai pasukan mereka.


Katanya, isu rasuah yang kononnya membabitkan Sarawak langsung tidak menjejaskan semangat pemain, malah mereka menunjukkan komitmen tinggi sepanjang latihan.

"Malah saya nampak mereka serius dan fokus, mungkin mahu membuktikan kemenangan besar ke atas Perak bukan kerana nasib atau rasuah," katanya.


Mengenai Sime Darby, David berkata, pasukan berstatus kelab itu bukan calang-calang kerana mantap di setiap posisi.


"Mereka bermain sebagai satu pasukan. Sime Darby memiliki barisan penyerang berbahaya terutama Karlo Promorac yang perlu dikawal ketat.


"Kami akan merantai pemain itu kerana jika diberi ruang dia boleh memusnahkan impian kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

Bujang Senang lega kenyataan FAM

Posted: 02 Oct 2013 11:40 AM PDT

Petra Jaya: Bahang menyelubungi Sarawak kembali reda selepas pihak pengurusan berpuas hati dengan penjelasan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung tuduhan skuad juara Liga Perdana itu terbabit dengan gejala rasuah.

Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Datuk Sudarsono Osman berkata, beliau bersama pengurusan FAS lega dengan penjelasan yang diberikan badan induk bola sepak negara itu melalui perbualan telefon selain kenyataan dikeluarkan, kelmarin.


"Bukan apa...saya pun hairan kenapa isu ini dibangkitkan, sedangkan pemain kami beraksi bermati-matian untuk menang. Lagipun, saya menaruh kepercayaan penuh terhadap pemain kerana mereka mempunyai integriti.

"Jadi, tidak adil apabila kita menuduh seseorang tanpa sebarang bukti. Justeru, saya anggap isu ini sudah selesai dan kami sentiasa memberi kerjasama kepada FAM sekiranya diperlukan," katanya selepas melancarkan kempen `Katakan Tidak Pada Rasuah' di Stadium Negeri, semalam.


Hadir sama jurulatih dan pengurus Ngap Sayot, Robert Alberts serta barisan pemain Bujang Senang.


Kempen itu antara langkah drastik diambil FAS untuk menangani gejala rasuah sekiranya didapati berlaku dalam mana-mana perlawanan.

Foto

PEMAIN Sarawak menunjukkan poster kempen Bola Tanpa Rasuah di Stadium Negeri, Kuching semalam.

Sudarsono berkata, pemainnya berpeluh untuk mencatat kemenangan dan tidak mungkin sanggup melakukan perkara kotor itu.


Kelmarin, Timbalan Presiden FAS, Datuk Abu Bakar Marzuki terkejut dengan dakwaan FAM yang mahu menyiasat skuad itu kerana disyaki terbabit dalam mengatur keputusan perlawanan ketika menang besar 6-1 ke atas Perak pada aksi Piala Malaysia, 21 September lalu.

Reaksi itu timbul sebagai membalas kenyataan dibuat Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat yang didakwa mengeluarkan kenyataan juara Liga Perdana, Sarawak kini berada dalam radar jawatankuasa berkenaan selepas mendapat maklumat wujudnya unsur rasuah ketika membelasah Perak di Stadium Negeri, Petra Jaya.


Dalam laporan itu, Aseh Che Mat berkata pihaknya masih menunggu hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas pasukan Liga Super Perak dan menegaskan tindakan sama bakal diambil ke atas Sarawak jika mendapat bukti kukuh.


"Kita ada mendapat maklumat, sebab itu kita tunggu siasatan. Dalam hal ini tiada kompromi, kalau betul kita akan terus pergi ke Sarawak. Sebab itu siasatan yang objektif perlu dibuat. Saya menaruh keyakinan SPRM akan dapat melakukan sesuatu dan dalam masa sama Polis juga akan memantau kes ini," Aseh dilaporkan sebagai berkata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

Alex optimis Pahang ke separuh akhir

Posted: 02 Oct 2013 11:38 AM PDT

Kuantan: Penyerang Pahang Azamuddin Mohd Akil percaya prestasi cemerlang skuad itu ketika menang 3-2 ke atas PKNS FC akan berterusan apabila bertemu sekali lagi pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok.

Justeru, pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu berharap skuad Tok Gajah akan meraih kemenangan ke atas skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim bagi mengisi slot separuh akhir piala berprestij itu.


Menurutnya, kelebihan satu gol dimiliki itu diyakini dapat memberi motivasi terbaik biarpun sedar PKNS pasti mahu meraih misi kemenangan di gelanggang sendiri.

"Saya harap gandingan saya bersama Matias Conti akan membantu Pahang meraih kemenangan bermakna selepas Conti berjaya meledak hatrik pada suku akhir pertama. Oleh itu, kami mahu kemenangan 3-2 ke atas PKNS akan menyaksikan tambahan gol dapat dilakukan untuk mengesahkan kemenangan lebih bermakna," katanya. Azamuddin yang lebih mesra dengan panggilan Alex berkata, rakan sepasukan lain juga diharap memberi tumpuan 100 peratus jika mahu beraksi ke pusingan seterusnya.


Menurutnya, bahagian pertahanan juga diharap lebih kebal manakala dia yang beraksi di bahagian serangan akan berusaha menjaringkan gol.


"Fokus kami hanya satu iaitu memastikan Pahang layak ke separuh akhir dan tidak mahu mempersia-siakan kelebihan 3-2 dimiliki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

Peneraju masa depan

Posted: 02 Oct 2013 11:36 AM PDT

Kuala Lumpur: Kerjasama Malaysia-Korea diyakini mampu meletakkan dua negara ini sebagai peneraju badminton dunia pada masa depan

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam menyaksikan pemain remaja negara bakal mempunyai program pertukaran antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan Persatuan Badminton Korea (BKA).


"Saya yakin perkongsian program remaja dari peringkat sekolah hingga ke universiti akan menjadikan Malaysia dan Korea negara nombor satu dalam sukan badminton di masa akan datang," kata Pengarah Eksekutif BKA, Kim Joong Soo.

Menurut beliau, Malaysia dan Korea kini hanya ketinggalan lima hingga 10 peratus di belakang China untuk menjadi negara peneraju.


"Sejarah badminton Korea masih baru tidak setanding Malaysia, namun kami memiliki kelebihan penggunaan teknologi sains sukan yang boleh kami kongsi bersama." Sememangnya kerjasama ini dilihat mampu memacu hala tuju baru badminton Malaysia terutamanya apabila ia dimulakan dari peringkat remaja.


Kerjasama dalam program remaja ini boleh dimanfaatkan menerusi perkongsian kepakaran yang dimiliki kedua-dua negara.

Foto

TENGKU Mahaleel (kanan), bertukar MoU bersama Joong Soo di Bukit Kiara, semalam.

"Kita memiliki kepakaran teknikal dan taktikal permainan yang boleh dimanfaatkan Korea, manakala kita boleh menggunakan kepakaran dan kelebihan negara itu dari aspek sains sukan," kata Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.


Kerjasama kedua-dua negara ini akan bermula serta-merta, apabila seramai 14 pemain remaja Korea kini berada di Kuala Lumpur sebagai persediaan untuk mengharungi Kejohanan Asia Bawah 15 dan 17 tahun di Kudus, Indonesia. Namun malangnya Malaysia tidak menghantar penyertaan ke kejohanan itu, sekali gus menampakkan kegagalan badan induk negara itu untuk merancang program dengan baik.

Pada Januari nanti, pasukan remaja negara pula akan berlatih bersama BKA di Seoul, Korea.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

Aksi Eropah makin matangkan Ramdan

Posted: 02 Oct 2013 11:35 AM PDT

Kuala Lumpur: Tiga kejuaraan dimenangi di Eropah nyata membantu mematangkan permainan Misbun Ramdan Misbun yang kini memburu gelaran kedua tempatan selepas memenangi GP Final Kebangsaan.

"Beraksi di Eropah amat bagus buat saya kerana sekurang-kurangnya dapat mengecapi kejuaraan biarpun kejohanan kecil kerana saya berasa lebih yakin untuk beraksi di kejohanan lebih besar berstatus GP dan GP Emas sebelum ke Siri Super," kata Ramdan.


Katanya, selepas hampir 10 bulan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan menyertai 12 kejohanan di Eropah, setiap pukulannya lebih meyakinkan selain permainannya meningkat dari segi pergerakan dalam gelanggang.

"Banyak yang saya pelajari ketika beraksi di Eropah baik dari segi corak permainan, aspek cuaca dan banyak lagi tekanan.


"Begitupun sebelum ini saya tidak tahu, apakah corak permainan Eropah yang sebenar, kini tidak lagi." Ramdan mengakui, apabila berada di luar BAM dan berlatih di bawah kelab Nusa Mahsuri, banyak kelebihan tidak dapat dinikmatinya seperti rakan sepelatih dan teman berbicara.


Menang perlawanan pertama kejohanan Terbuka Kuala Lumpur ke atas Goh Giap Chin (pemain kebangsaan BAM), 21-11, 21-15, Ramdan kini lebih bersemangat untuk memenangi gelaran tempatan selepas GP Final.

"Jika menang, saya pasti ia menjadi kenangan lebih manis berbanding kejuaraan di Eropah. Tapi seperti kemenangan dua set hari ini (semalam), ia tidak semudah yang disangka.


"Saya pasti di pusingan kedua lebih sukar kerana berdepan pemain skuad kebangsaan," katanya.

Hari ini Ramdan selaku pilihan ketiga akan menentang pemain remaja negara, Soong Joo Ven dalam misi memburu tempat ke suku akhir.


Jika menang, bekas rakan sepelatih Iskandar Zulkarnain akan menjadi lawannya, esok.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

'Malaysia kuasa besar baru Sukan Islam'

Posted: 02 Oct 2013 11:34 AM PDT

Palembang: Kejayaan kontinjen negara di temasya Sukan Perpaduan Islam (ISG) 2013, dengan menduduki tempat keempat temasya anjuran Persekutuan Sukan Perpaduan Islam (ISSF), meletakkan nama Malaysia sebagai kuasa baru dalam kalangan 57 negara di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam.

Kontinjen negara bukan hanya melepasi sasaran tiga pingat emas ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN), malah meraih kejayaan besar mengumpul 26 emas, 17 perak dan 29 gangsa.


Kutipan pingat di Palembang ini jauh lebih baik daripada pencapaian edisi pertama di Arab Saudi pada 2005 apabila Malaysia hanya menduduki tempat ketujuh setelah meraih lima emas, lima perak dan enam gangsa.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia Dan Sukan Datuk Jamil Salleh berkata, rakyat Malaysia harus merasa bangga dengan kejayaan cemerlang dicapai kontinjen negara.


Beliau berkata kejayaan itu hasil usaha bersungguh-sungguh dilakukan atlet, persatuan sukan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MSN, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Institut Sukan Negara (ISN.


"Kita mendapat kejayaan cemerlang kerana sokongan kuat kerajaan Malaysia khususnya KBS menerusi persiapan rapi yang dilakukan MSN ketika bertungkus-lumus memastikan semua atlet berada dalam keadaan terbaik sebelum diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran negara di Palembang," katanya.

Jamil berkata beliau mewakili kerajaan Malaysia mengucapkan tahniah kepada kontinjen negara kerana mengharumkan nama Malaysia di pentas sukan dunia.


Beliau berkata post mortem akan dilakukan selepas ini bagi mengkaji kejayaan dan kelemahan yang perlu diperbaiki untuk memastikan atlet berada dalam keadaan terbaik sebelum di temasya Sukan SEA pada Disember. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

Misi raih mata!

Posted: 02 Oct 2013 11:32 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas lima bulan tidak beraksi dalam pertandingan kompetitif, skuad berbasikal kebangsaan akan menghantar barisan terkuat untuk mengibarkan cabaran negara pada Piala Asia di Bangkok.

Dibarisi pelumba elit yang diketuai Azizulhasni Awang, Josiah Ng, Muhammad Edrus Md Yunos dan Fatehah Mustapa, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menaruh keyakinan tinggi untuk mereka menyumbang pingat kepada negara.

Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad berkata, penyertaan pada Piala Asia itu membuka peluang buat pelumba mengumpul mata bagi beraksi di Kejohanan Dunia selepas pertandingan itu didaftarkan sebagai kejohanan dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Bagaimanapun, Naim menegaskan setakat ini belum ada sebarang maklumat berhubung pasukan bakal beraksi di kejohanan itu yang akan bermula secara rasminya esok hingga Ahad ini.

Foto

AZIZUL (kiri) dan Josiah ketuai cabaran negara di Bangkok.


"Jika lebih lima negara mendaftarkan diri, pelumba mungkin boleh memungut mata yang lebih baik. Namun hingga setakat ini belum ada sebarang maklumat berhubung dengan jumlah penyertaan.


"Tapi saya yakin, semua pelumba kita terutama yang elit berada dalam keadaan bersedia untuk beraksi.

"Apapun bagi pelumba remaja, penyertaan pada Piala Asia ini boleh dijadikan pendedahan terbaik dan untuk senior, kejohanan ini penting sebagai pemanas badan sebelum ke Manchester bagi menghadapi Siri Piala Dunia Klasik pertama," katanya.

Seramai 20 pelumba akan beraksi di Bangkok yang turut menyaksikan kelibat Rizal Tisin buat pertama kali beraksi dalam pertandingan kompetitif selepas sekian lama berehat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

Pelumba Sukan SEA hampir diketahui

Posted: 02 Oct 2013 11:30 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih lebuh raya negara, Aminuddin Sulaiman melahirkan rasa puas hatinya terhadap komitmen ditunjukkan pelumba negara ketika beraksi di Tour de China (TdC) dan kini sudah mendapat bayangan pelumba yang bakal membawa cabaran negara ke Sukan SEA Myanmar, Disember ini.

Katanya, sepanjang dua siri TdC, barisan pelumba negara yang membabitkan Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, Suhardi Hassan, Amir Mustafa Rusli, Mohd Rauf Nor Misbah, Mohd Harrif Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin menampakkan kemajuan dan prestasi mereka turut dikagumi pasukan lain terutama setiap kali mereka bergabung untuk mengejar dan membawa pelumba ke barisan depan menuju ke garisan penamat.

"Saya sangat berpuas hati dengan apa yang dipamerkan terutama dalam menjalinkan kerjasama pasukan. Tapi ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki. Nasib menyebelahi kita kerana tiada pasukan Asia Tenggara yang menyertai jelajah ini dan kita masih mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan dikenal pasti sepanjang berlangsungnya dua siri jelajah TdC," katanya.

Sepanjang 12 hari perlumbaan yang dibahagikan kepada dua siri dengan setiap satu membabitkan enam peringkat, pelumba negara Har rif menduduki tempat ketiga peringkat kelima TdC berstatus 2.1 itu dengan barisan pelumba menamatkan siri kedua TdC di kedudukan ke-12 keseluruhan daripada 20 pasukan.


Mengulas mengenai prestasi fizikal dalam kalangan pelumba, Aminuddin berkata kayuhan Rauf semakin mantap begitu juga dengan Fauzan. Beliau turut berpuas hati dengan aksi Suhardi yang semakin mendapat rentak tetapi memerlukan lebih banyak latihan.


Justeru beberapa nama akan diusulkan untuk mengibarkan cabaran di Sukan SEA sebelum diputuskan dalam mesyuarat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 8 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/03

No comments:

Post a Comment