Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Sah beraksi!

Posted: 10 Oct 2013 07:21 PM PDT

Sepang: Ujian pertama sudah dilepasi Zulfahmi Khairuddin apabila doktor perubatan saingan Kejuaraan Motosikal Dunia mengesahkan dia boleh turun beraksi bermula pada sesi latihan bebas hari ini.

Selepas pelbagai persoalan timbul mengenai kemampuannya berikutan menjalani pembedahan kecil di bahagian pergelangan tangan kanannya minggu lalu, semalam Zulfahmi yang menghadiri sesi pemeriksaan kesihatan iaitu rutin normal sebelum dibenarkan berlumba, lega dengan perkembangan positif itu.


"Sudah pasti saya gembira kerana disahkan boleh berlumba. Cuma ada beberapa bahagian terutama di bahagian badan yang terasa sedikit sakit. Sebelum ini saya melalui saat yang sedikit sukar kerana perlu melakukan proses pemulihan dengan kadar segera.

"Apapun terima kasih kepada ISN (Institut Sukan Negara) yang begitu bersungguh-sungguh mahu memastikan saya pulih dengan segera," katanya pada sidang media semalam yang turut dihadiri beberapa pelumba ternama termasuk Valentino Rossi, Jorge Lorenzo, Marc Marquez serta Dani Pedrosa.


Pelumba kelahiran Banting, Selangor itu terpaksa menjalani pembedahan di Sepanyol selepas mengalami kemalangan di GP Aragon.


Mengenai saingan minggu ini, Zulfahmi nyata cukup teruja kembali semula berlumba di depan penyokong sendiri meskipun pada masa sama mengaku terpaksa berperang dengan masa untuk pulih daripada kecederaan.

Foto

Zulfahmi Khairuddin (kanan sekali)

"Sepang sentiasa istimewa untuk saya. Di sinilah saya menaiki podium pertama seperti yang anda ketahui pada musim lalu.


"Setiap rakyat Malaysia kini begitu teruja untuk menyaksikan perlumbaan MotoGP dan kali ini pastinya lebih menarik kerana selain saya, ada lagi lima pelumba tempatan yang akan beraksi dengan jaguh dunia lain," katanya yang beraksi dalam kelas Moto3.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

'Itu semua spekulasi'

Posted: 10 Oct 2013 07:21 PM PDT

Kota Bharu: Pemain pertahanan Kelantan, S Subramaniam berharap spekulasi penghijrahannya ke Johor Darul Takzim (DT) musim depan tidak mengganggu The Red Warriors (TRW) menghadapi perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 18 dan 25 Oktober ini.

Pemain berusia 28 tahun itu mengaku masih belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana pasukan musim depan dan menegaskan dia masih milik Kelantan.


Dia turut mengaku memperoleh tawaran Johor DT selain beberapa pasukan lain.

"Saya harap spekulasi ini tidak menjejaskan persediaan pasukan bagi menghadapi pusingan separuh akhir dengan ATM. Saya masih dengan Kelantan dan kontrak saya akan tamat pada 30 November ini. Berita itu (penghijrahan ke Johor DT) sebenarnya spekulasi.


"Pada masa ini, hati saya masih di Kelantan dan saya juga hairan bagaimana media boleh mengatakan saya akan menyertai Johor DT musim depan sedangkan saya masih belum membuat sebarang keputusan.


"Kelantan juga menawarkan kontrak baru dan saya juga masih belum membuat keputusan," katanya.

Foto

SUBRA (kanan) sudah 80 peratus pulih.

Selain Subramaniam, empat lagi tonggak, Mohd Norfarhan Mohamad, Azizi Mat Rose, Mohd Daudsu Jamaluddin dan Mohd Faiz Subri turut dilapor menerima tawaran daripada pasukan dari Selatan tanah air itu.


Subramaniam tidak dapat membantu pasukan Kelantan sepanjang musim ini selepas melakukan pembedahan lutut kiri berikutan kecederaan yang dialaminya pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang ATM musim lalu.

Subramaniam berkata, kecederaannya kini sudah pulih 80 peratus dan memerlukan masa sekurang-kurangnya satu atau dua bulan lagi untuk sembuh sepenuhnya.


"Saya kini masih dalam proses pemulihan. Memang tidak dinafikan saya rindu untuk turun beraksi dan membantu Kelantan, namun apa boleh buat saya hanya mampu memberi sokongan dari luar padang kepada rakan sepasukan.


"Walaupun ATM dianggap sebagai pasukan kuat, saya yakin Kelantan mampu melangkah ke akhir."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

Rooney kini lebih selesa

Posted: 10 Oct 2013 07:20 PM PDT

Manchester: Kekecewaan Wayne Rooney di Manchester United musim lalu kerana dipaksa bermain di bahagian tengah namun dia kini sudah berasa selesa di kelab itu di bawah kendalian pengurus baru, David Moyes.

Media kerap melaporkan pemain berusia 27 tahun itu kecewa dengan kehidupan di bawah bekas pengurus Alex Ferguson dan mahu meninggalkan kelab disertainya pada 2004, dengan pencabar Liga Perdana Chelsea melakukan tiga bidaan terhadap penyerang itu.


United enggan menjualnya dan sejak itu Rooney memulakan musim dengan mantap, menjaringkan tiga gol dalam enam perlawanan liga dan menjaringkan dua gol pada penampilan Liga Juara-Juara menentang Bayer Leverkusen.

"Saya tidak memperoleh banyak peluang beraksi di bahagian depan," kata Rooney menjelang perlawanan genting kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Montenegro di Stadium Wembley, awal pagi esok.


"Saya rasa boleh bermain di bahagian tengah, tapi tidak mahu bermain di posisi itu.


"Saya tidak pernah mempunyai masalah bermain di luar posisi tapi berasa berhak diberi peluang beraksi di posisi sebenar dan ia tidak berlaku. Saya kecewa dan ia menjejaskan beberapa perlawanan saya. Mungkin apabila sudah tua, saya boleh kembali beraksi di tengah." Rooney menjaringkan 12 gol liga dalam kempen kejuaraan United, namun dia diatasi Robin van Persie yang hadir dari Arsenal dan pemain Belanda itu muncul penjaring terbanyak liga dengan 26 gol.

Foto

ROONEY (kiri) dicabar pertahanan Sunderland, Lee Cattermole ketika pertemuan kedua-dua pasukan baru-baru ini.

"Setiap orang di kelab tahu saya mahu bermain dan itulah sebabnya saya kecewa kerana diminta bermain di tengah. Saya tidak mahu tapi tetap masuk untuk cuba membantu pasukan." Rooney yang mencuri tumpuan ketika beraksi sebagai pemain berusia 16 tahun di bawah kendalian Moyes di Everton, turut dipercayai kecewa dengan Ferguson yang menyatakan dia menghantar surat meminta berpindah.


Kini Rooney gembira di kelab itu dan puas hati dengan kehidupan di bawah Moyes, di sebalik permulaan goyah awal musim ini yang menyaksikan United menghuni tangga kesembilan selepas tujuh perlawanan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

Nasib Mackay kini tidak menentu

Posted: 10 Oct 2013 01:37 PM PDT

Cardiff, Wales: Masa depan Malky Mackay sebagai pengurus Cardiff City diragui berikutan berita penasihatnya digantikan oleh individu berusia 23 tahun rakan kepada keluarga pemilik kelab dari Malaysia.

Ketua pengambilan pemain Iain Moody, yang bekerja dengan Mackay di kelab terdahulu Watford, digantung manakala warga Kazakhstan, Alisher Apsalyamov tampil mengisi kekosongan itu secara sementara, menurut laporan kelmarin.


Moody sudah bekerja dengan Mackay, yang menyertai Cardiff pada 2011, membawa masuk beberapa pemain berprofil tinggi pada rehat musim ketika kelab Wales itu memecahkan rekod perpindahan mereka tiga kali sebelum kembali ke liga utama buat kali pertama dalam tempoh 51 tahun.

Pembelian mereka, termasuk pertahanan England, Steven Caulker dan pemain tengah Chile, Gary Medel, membantu Cardiff menghuni tangga ke-14 selepas tujuh perlawanan berikutan kemenangan ke atas Fulham dan pasukan berbelanja besar Manchester City.


Cardiff masih belum memberikan reaksi mengenai laporan itu dan Moody masih disenaraikan memegang jawatan itu dalam laman web kelab. Pasaran perpindahan dibuka semula 1 Januari ini.


WalesOnline melaporkan ketua eksekutif Cardiff, Simon Lim enggan menjawab apabila ditanya jika pengurus itu diminta meletakkan jawatan berikutan spekulasi mengenai masa depannya berikutan ketiadaan Moody.

"Ia mengejutkan kepada semua penyokong City bahawa Iain Moody digantung dan menyedihkan kerana beliau sudah membawa masuk pemain ternama," kata pengerusi kelab penyokong Tim Hartley.


"Kami tidak mahukan perubahan yang menjejas kestabilan kelab," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

Jentera Red Bull no 1

Posted: 10 Oct 2013 01:37 PM PDT

Suzuka, Jepun: Fernando Alonso menegaskan kehebatan jentera Red Bull dipandu Sebastian Vettel menjadi faktor utama dominasinya dalam Formula Satu namun menegaskan masih awal untuk menilai pemandu Jerman itu yang menghampiri kejuaraan dunia keempat berturut-turut.

Sekiranya Vettel menang di Suzuka Ahad ini dan Alonso gagal mengemudi jentera Ferrari dalam kelompok lapan teratas, dia akan menyertai Juan Manuel Fangio dan Michael Schumacher sebagai pemandu ketiga menang empat kali berturut-turut.


"Sebastian mendominasi sejak beberapa tahun lalu," kata juara dunia dua kali Alonso. "Dia seorang pemandu yang menakjubkan dan memiliki sebuah kereta yang fantastik.

"Dia melakukannya hampir sempurna selama ini, memenangi tiga kejuaraan. Memang jelas dia mempunyai kelebihan dari segi persembahan jentera tahun ini, kita akan tunggu dan lihat bagaimana tahapnya selepas ini.


"Kita juga melihat (Lewis) Hamilton hampir memenangi kejuaraan pada musim sulungnya sebelum memenanginya pada tahun kedua dan kemudian dia tidak menang lagi kerana kadang kala anda mempunyai kereta untuk menang, kadang kala tidak," ujar Alonso.


"Ketika ini, Sebastian lebih bagus berbanding mana-mana pemandu dan dia memenangi semua kejuaraan. Ketika ini, gandingan Red Bull-Vettel amat bagus dan terlalu hebat buat kami." Alonso mengaku tidak mampu lagi mengejar Vettel musim ini selepas Red Bull merakam kemenangan keempat berturut-turut di Korea Selatan hujung minggu lalu, mencetus jurang 77 mata di depan dengan hanya 125 menjadi pertaruhan pada lima perlumbaan terakhir.

"Jika saya mempunyai lima perlumbaan untuk memenangi kejuaraan dan memenangi empat perlumbaan terakhir dengan jurang besar, saya pasti tidak bimbang," kata pemandu Sepanyol itu yang muncul juara bersama Renault pada 2005 dan 2006.


"Kejuaraan pemandu sudah mustahil untuk dimenangi." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

TH Hotel jalin kerjasama

Posted: 10 Oct 2013 01:36 PM PDT

Kota Kinabalu: Sebagai menyokong Karnival Futsal Harian Metro Sabah 2013 yang julung kali diadakan di negeri itu, TH Hotel bangga menaja penginapan krew dan petugas karnival berkenaan yang bermula esok dan Ahad ini.

Pengurus Komunikasi Korporat TH Hotel dan Residen Sdn Bhd Mazlin Abdul Malik berkata, pihaknya berbesar hati menjalin kerjasama dengan aktiviti akhbar harian bahasa Melayu nombor satu negara, Harian Metro.


"Ini langkah permulaan dan diharap kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Replika Tajaan TH Hotel di TaHa D' Bayu, di sini semalam.

Hadir sama Pengurus Projek Harian Metro Abdul Kadir Hamza dan Pengurus TaHa D'Bayu cawangan Sabah Mohamed Jahabardeen.


Mazlin berkata, kerjasama bersifat 'menang-menang' itu dilihat mampu membantu pihaknya memperkenalkan wajah baru TH Hotel selepas melalui proses penjenamaan semula termasuk di Selangor, Pulau Pinang, Terengganu dan Kedah.


"Dengan jalinan kerjasama ini, pihak kami selesai melakukan penjenamaan semula di lima hotel di bawah TH Hotel dan Residen Sdn Bhd.

"Kerjasama yang dijalin ini kami yakin mampu meningkatkan bilangan tetamu yang menginap di mana-mana cawangan Ta'Ha D'Bayu di seluruh negara," katanya.


Menurutnya, pengurusan kini dalam perancangan untuk mewujudkan satu lagi cawangan baru di Sepang, Selangor pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

'Tak kisah paling lambat'

Posted: 10 Oct 2013 01:35 PM PDT

Marang: Tiga pelumba Kategori Metro Open (Jamboree) di trek Bukit Mawi, layak dilabel peserta paling lambat apabila tiba di garisan penamat lebih lima jam berbanding peserta lain yang hanya memerlukan antara dua hingga empat jam untuk menamatkan kayuhan.

Ketiga-tiga peserta itu adalah Ramli Salleh, 52, Zamri Muhamad, 43, dan Kamarul Zaman Rafli, 34.


Menurut Ramli, dia tidak kisah dilabel peserta paling lambat kerana baginya yang penting mampu tiba di garisan penamat tanpa sebarang kecederaan.

"Saya sertai MTB ini bukan untuk menaiki podium sebaliknya lebih kepada kayuhan santai untuk menyihatkan badan," kata pelumba berasal dari Kuantan itu.


Zamri yang datang dari Besut pula berkata, penyertaannya hanya untuk memeriahkan kejohanan kerana pasukannya MTB Besut turut menghantar peserta terbaik.


"Biarpun dilabel peserta paling lambat tiba, saya bangga kerana berjaya menamatkan saingan hingga menerima kalungan medal daripada urusetia. Jika kejohanan ini diadakan tahun depan, saya mahu menyertainya lagi," katanya ketika ditemui di trek Bukit Mawi Sabtu lalu.

Rakannya yang juga dari pasukan sama, Kamarul Zaman berkata, dia menyertai perlumbaan sekadar mengisi masa terluang selain untuk menyihatkan badan.


"Saya seronok dan teruja menyertai MTB ini apatah lagi pemandangan yang menarik sekitar trek menambahkan lagi semangat untuk berkayuh biarpun menjadi peserta tercorot tiba di garisan penamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

NSEC M-150 tepati ramalan

Posted: 10 Oct 2013 01:35 PM PDT

Kuala Lumpur: Pasukan NSEC M-150 yang membariskan pelajar institusi pengajian tinggi di bawah program Pusat Kecemerlangan Sukan bola jaring IPT Malaysia menepati ramalan apabila melakar kemenangan menewaskan pasukan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) di Kejohanan Liga Bola Jaring 2013 anjuran Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) Universiti Malaysia Sabtu lalu.

Kejohanan pertama dianjurkan dengan menggunakan format liga itu membabitkan penyertaan pasukan Institut Pengajian Tinggi di Malaysia yang berlangsung setiap Sabtu di pusat sukan UM.


Pada perlawanan yang berlangsung Sabtu lalu, NSEC M -150 tidak menghadapi masalah apabila mudah mengutip tiga mata selepas menang 50-42.

Keupayaan NSEC M-150 turut membantu mereka terus mengekalkan rentak kemenangan. Sementara itu, penonton disajikan perlawanan penuh mendebarkan membabitkan KLIA2 Fighters dan Bukit Mahkota yang berkesudahan 49-49.


Dilabel sebagai pasukan pilihan, KLIA2 Fighters langsung tidak menduga bakal ditentang sengit Bukit Mahkota yang dibarisi pemain Sekolah Sukan Bukit Jalil apabila sering kali mendahului lawan.


Bagaimanapun KLIA2 FIGHTERS yang dibarisi beberapa pemain berpengalaman negara seperti S Aruna, Puah Pei San dan Nurul Ezzaini Mohd Nor berjaya mengekang rentak permainan lawan sebelum terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri untuk membawa pulang satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

Hafiz yakin Pahang bawa bekalan selesa

Posted: 10 Oct 2013 01:25 PM PDT

Kuantan: Pemain tengah Pahang, Mohd Hafiz Kamal percaya skuad itu akan mendapat bekalan selesa pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia apabila melayan Sarawak di Stadium Darulmakmur, 19 Oktober ini.

Pada masa sama, pemain kelahiran Manjung, Perak itu mahu rakan di bahagian pertahanan mengekang asakan lawan bagi memastikan gawang tidak dibolosi juara Liga Perdana itu.


Mohd Hafiz berkata, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya jika mahu layak ke final.

"Dari segi persediaan, kami sudah bersedia sepenuhnya untuk memastikan kemenangan selesa. Kami harap dapat beraksi cemerlang.


"Berkat sokongan padu penyokong yang dijangka memenuhi Stadium Darulmakmur, semangat juang tinggi mampu dipersembahkan dengan lebih baik dan berkesan," katanya.


Namun, pemain berusia 26 tahun itu mengaku perasaan gementar tetap ada apabila mengetahui bakal berdepan Sarawak kerana menyedari kemampuan lawan.

"Seperti yang kita tahu, Sarawak pada musim ini menyerlah dengan kejayaan muncul juara Liga Perdana dan sudah pasti mereka mahu melangkah lebih jauh.


"Tetapi saya percaya perasaan gementar itu akan hilang kerana masing-masing mahu membuktikan pencapaian terbaik setakat ini bakal diteruskan ke perlawanan akhir."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

Yan tekad pamer prestasi terbaik

Posted: 10 Oct 2013 01:25 PM PDT

Kuantan: Penjaga gol Pahang, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid yang membantu Tok Gajah layak ke separuh akhir Piala Malaysia bertekad meningkatkan prestasi apabila berdepan Sarawak pada 19 Oktober ini.

Pemain berusia 24 tahun itu berkata, kepercayaan jurulatih Dollah Salleh yang terus memberi peluang menjaga gawang meningkatkan semangat dan keyakinannya untuk beraksi lebih cemerlang pada saingan berprestij itu.


Justeru, sepanjang sesi latihan itu, dia akan berusaha lebih keras terutama mendapatkan nasihat dan bimbingan terbaik daripada Mudzar Mohamad yang juga bekas penjaga gol kebangsaan.

"Saya sedar layak ke separuh akhir memerlukan komitmen tinggi dan bimbingan Mudzar amat diperlukan untuk meningkatkan lagi prestasi dan teknik terbaik mengawal gawang.


"Saya akan praktikkan semula apa yang diajar ketika sesi latihan itu kerana percaya bimbingannya mampu meningkatkan prestasi jika mahu mencipta kejayaan pada masa depan," katanya.


Mohd Khairul Azhan yang lebih mesra dengan panggilan Yan turut percaya skuadnya mampu meneruskan rentak cemerlang seperti dipersembahkan pada peringkat kumpulan dan suku akhir untuk merealisasikan impian mara ke perlawanan akhir.

Menurutnya, kejayaan layak ke tahap itu membuktikan dia bersama rakan lain mampu melakukan yang lebih baik selepas kali terakhir Pahang ke final pada 1997.


"Saya harap impian kami layak ke perlawanan akhir menjadi kenyataan biarpun Sarawak tidak harus dipandang mudah kerana mereka juga berada pada prestasi terbaik.

"Kejayaan mereka menjulang Piala Liga Perdana pastinya mahu diteruskan dengan kejayaan lebih tinggi, tapi kami juga tidak mahu kecewa."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/11

No comments:

Post a Comment