Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


'Saya terkilan'

Posted: 05 Oct 2013 12:32 PM PDT

Johor Bahru: "Saya terkilan kerana tidak berada di sisi arwah pada saat dia menghembuskan nafas terakhirnya," kata penjaga gol utama pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) Muhammad Al Hafiz Hamzah di atas pemergian anaknya yang berusia dua tahun, Adam Farish.

Adam Farish disahkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan paru-paru di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, jam 4.16 pagi semalam selepas dilaporkan dalam keadaan kritikal sejak kelmarin.

Muhammad Al Hafiz membuat persediaan untuk perlawanan kedua menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan tiba di rumah saudaranya di Kampung Bakar Batu, jam 12.30 tengah hari semalam sebelum terus menatap wajah arwah anak lelakinya.

Walaupun sedih dengan kehilangan itu, Muhammad Al Hafiz kelihatan tenang, malah dia membantu memandi serta mengkafankan dan bersama-sama ahli keluarga lain untuk menyembahyangkan jenazah Adam Farish di Surau Al Mubarak Kampung Bakar Batu selepas solat Zuhur.

Foto

MUHAMMAD Al Hafiz mendukung jenazah Adam Farish untuk disembahyangkan di surau Al Mubarak Kampung Bakar Batu.


Isterinya, Fatihah Nur Fadzil, 24, berkata, sebelum bertolak ke Kelantan, Muhammad Al-Hafiz sempat meluangkan masa bersama anak mereka yang mendapatkan rawatan di wad HSA.


Ketika itu, arwah kelihatan ceria dan tidak menunjukkan tanda sakit.

"Seperti biasa, suami menayangkan video kegemarannya. Bagaimanapun, jam 10 pagi kelmarin, arwah tiba-tiba lemah dan badannya bertukar kebiruan, menyebabkan dia dipindahkan ke ICU.

"Arwah juga menggunakan alat bantuan pernafasan. Bagaimanapun, usaha itu tidak banyak membantu kerana Adam Farish semakin lemah sebelum doktor mengesahkan dia meninggal dunia," katanya.

Fatihah yang ditemui di HSA berkata, dia reda dengan pemergian Adam Farish berikutan sejak lahir, kanak-kanak berkenaan disahkan doktor mempunyai masalah kesihatan.

Baginya, dia tetap bersyukur kerana dapat menjaga anaknya untuk dua tahun walaupun doktor memaklumkan Adam Farish hanya mempunyai masa dua minggu untuk hidup selepas dilahirkan kerana masalah kesihatannya.

Jenazah Adam Farish dibawa pulang ke kampung Fatihah di Pantai Johor, Alor Setar, Kedah untuk dikebumikan, petang semalam.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Mohd Fahmy Yahya berkata, seluruh warga PBNJ mengucapkan takziah kepada Muhammad Al Hafiz di atas pemergian anak tersayang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

Suami disembelih isteri ditangkap

Posted: 05 Oct 2013 12:31 PM PDT

Shah Alam: Seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung kematian suaminya akibat diserang sekumpulan lelaki yang mengelar tangan, belakang badan dan ada kesan seakan-akan sembelih di leher dalam kejadian bunuh di Kampung Sungai Sedu, Banting, di sini, semalam.

Mangsa berusia 60 tahun kehilangan banyak darah sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Langat, dekat Banting, jam 7.30 pagi.


Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Nordin Manan berkata, kejadian berlaku antara jam 2 hingga 5 pagi semalam ketika mangsa berada di rumah bersama isterinya sebelum didatangi kumpulan lelaki yang terus menyerbu dan menyerang mangsa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan itu tidak mengapa-apakan wanita berkenaan yang didapati tidak cedera sebelum beberapa jiran yang menyaksikan kejadian melaporkan kepada polis.


"Berikutan maklumat diterima, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan berdasarkan siasatan di lokasi, polis percaya suspek dan mangsa saling mengenali antara satu sama lain.


"Kami tidak menemui kesan ceroboh atau cungkil di pintu atau bahagian rumah yang lain, jadi kita percaya penyerang mempunyai akses untuk masuk," katanya.

Berikutan itu, katanya, polis menahan isteri mangsa yang berusia 50-an bagi membantu siasatan dan setakat ini wanita berkenaan didapati tidak mempunyai rekod jenayah.


Selain itu, beliau berkata, polis juga tidak menemui sebarang senjata tajam yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu.

Difahamkan, kes berkenaan dipercayai berpunca daripada dendam akibat perebutan harta, namun siasatan lanjut mengenai perkara itu dijalankan.


Nordin berkata, pihaknya berusaha mengesan kumpulan lelaki disyaki dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

Mayat dua lelaki terikat dalam but

Posted: 05 Oct 2013 12:31 PM PDT

Ipoh: Mayat dua lelaki yang ditemui mati dalam keadaan kedua-dua tangan dan kaki diikat dalam but sebuah kereta di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Alor Pongsu, arah selatan, petang kelmarin, disyaki menjadi mangsa diculik sebelum dibunuh kejam

Dalam kejadian jam 4 petang kelmarin, kedua-dua mayat dijumpai di dalam kereta diletakkan di depan tandas wanita kawasan R&R itu, selepas polis mendapat laporan orang awam yang curiga mengenai bau busuk serta keadaan lalat menghurungi but kereta.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, kedua-dua mayat mangsa terbabit dikenali sebagai Ting Liong Chin, 28, dari Sabah dan Seu Hong Chee, 19, dari Tangkak, Johor.

Menurutnya, mangsa disahkan maut akibat sesak nafas kerana ditekup dengan beg plastik dan leher dijerut sebelum mayat mereka disumbat ke dalam but kereta Proton Waja yang diletakkan di tempat letak kereta hentian itu.


"Polis masih menjalankan siasatan berhubung penemuan dua mayat itu, tetapi tidak menolak kemungkinan ia berkaitan laporan penculikan dua lelaki yang dilaporkan hilang di Nibong Tebal, Pulau Pinang, Rabu lalu.


"Polis masih menyiasat dan setakat ini saya difahamkan, tiga lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan hari ini (semalam) dan semalam (kelmarin) di Pulau Pinang kerana disyaki terbabit dalam kes penculikan itu.

"Justeru, kita mengumpul maklumat sama ada dua mangsa yang ditemui dalam but kereta itu adalah mangsa sama yang terbabit dalam penculikan di Pulau Pinang," katanya pada sidang media, di sini, semalam.


Kedua-dua mayat itu ditemui jam 3.30 petang kelmarin dalam keadaan berlumuran darah dan dihurungi lalat oleh seorang pekerja penyelenggaraan di hentian itu yang kemudian menghubungi polis.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

'ASP Izani' ditahan

Posted: 05 Oct 2013 12:30 PM PDT

Dengkil: Seorang lelaki berusia 36 tahun dipercayai menyamar sebagai pegawai polis berpangkat inspektor ditahan di sebuah hotel bajet, di sini, jam 10.30 malam kelmarin dalam Ops Cantas dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sekitar daerah Sepang.

Sumber berkata, lelaki itu diperiksa polis kerana kelihatan mencurigakan dan sebaik pemeriksaan dilakukan, polis menemui kad kuasa polis palsu padanya. Menurutnya, selain kad kuasa berkenaan, polis menemui seutas rantai berwarna perak bertulis 'ASP Izani' pada bahagian loket rantai. "Berikutan itu, polis melakukan pemeriksaan ke atas kereta Proton Waja suspek, sekali gus menemui pelbagai barangan lain dalam kenderaan itu. "Polis menemui senjata pistol mainan berserta sarung serta dua unit 'walkie talkie' dan sebilah parang," katanya kepada Metro Ahad. Sumber berkata, suspek dibawa ke Balai Polis Dengkil untuk disoal siasat sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang untuk tindakan seterusnya. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek. Menurutnya, polis masih menyiasat kes itu sebelum tindakan selanjutnya dikenakan ke atas suspek terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

Makmal proses dadah diserbu

Posted: 05 Oct 2013 12:29 PM PDT

Georgetown: Rahsia sebuah pangsapuri yang dijadikan makmal memproses dadah jenis heroin oleh sindiket pengedaran dadah sejak lebih lima bulan lalu terbongkar selepas diserbu polis di Lebuh Kechil, Bayan Baru, di sini, malam kelmarin.

Serbuan jam 11 malam itu membabitkan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri hasil maklumat awam yang diterima berhubung kegiatan sindiket berkenaan.


Sumber berkata, dalam pemeriksaan itu, pangsapuri di tingkat tujuh itu dikatakan disewa sindiket berkenaan dan mereka dipercayai menjadikan premis itu sebagai tempat memproses dadah sebelum dipasarkan ke tempat lain.

Menurutnya, pemeriksaan polis menemui heroin seberat lima kilogram (kg), kafien seberat 50kg, bahan kimia dan pelbagai barangan serta peralatan memproses dadah di dalam rumah berkenaan.


Katanya, polis turut menemui sepucuk pistol tanpa jenama dan semua barangan itu kemudian dirampas untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/06

No comments:

Post a Comment