Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Separuh kepala hilang

Posted: 06 Oct 2013 12:25 PM PDT

Parit Buntar: Seorang ibu tunggal hanya mampu menahan linangan air mata berikutan perlu menjaga anak lelakinya yang 'hilang' tempurung kepala akibat kemalangan sejak setahun lalu.

Mariam Long, 49, berkata, anaknya Abdul Hadi Abd Halim 19, hanya mampu terbaring dan perlu diberi perhatian sepanjang masa termasuk urusan makan minum di rumah mereka di Kampung Kedai 4, Sungai Kota, Tanjung Piandang, di sini.

Katanya, kemalangan berlaku pada jam 9.45 pagi 5 Disember lalu apabila anaknya yang menunggang motosikal ke Sungai Nyor, Pulau Pinang dirempuh kereta.

"Anak saya dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Besar Pulau Pinang selama dua minggu dan terpaksa dibuang tempurung kepalanya akibat kecederaan dalaman di beberapa bahagian dalam kepalanya.

Foto

ABDUL Hadi memerlukan perhatian 24 jam.

Foto

MARIAM membuang kahak anaknya.


"Saya terus terduduk menangis ketika itu kerana tidak percaya kecederaan yang dialami anak begitu parah. Saya terpaksa merelakan pembedahan membuang tempurung kepala itu bagi menyelamatkan nyawanya," katanya.


Menurutnya, dia mulanya tidak berani menatap wajah anaknya selepas pembedahan, namun naluri keibuan di dalam dirinya menyebabkannya menguatkan semangat untuk melihat dari dekat.

"Saya kini berkorban masa, tenaga dan wang untuk menguruskannya setiap hari. Sedikit pun saya tidak terasa beban dan menganggapnya ketentuan Ilahi.

"Anak saya perlu perhatian 24 jam kerana hanya terlantar dan tidak mampu melakukan sebarang pergerakan. Segala urusan harian seperti mandi, menukar lampin dan makan perlu dilakukan dengan dibantu seorang lagi anak Muhammad Faiz, 23, yang mengalami masalah kecacatan pendengaran," katanya.

Dia dan anak lain bergilir-gilir membuang kahak di dalam rongga leher Abdul Hadi yang ditebuk berikutan bimbang menyebabkan anaknya tersedak.

"Bukan itu saja, tangan dan kakinya juga perlu digerakkan supaya tidak menjadi kaku. Kos rawatan bulanan anak termasuk susu khas dianggarkan mencecah sehingga RM1,000 sebulan.

"Mujurlah saya menerima wang pencen arwah suami Abdul Halim Ismail yang pernah bertugas sebagai tentera," katanya.

Dia juga menerima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Selagi hidup saya akan terus menjaganya dan berharap dia kembali pulih sepenuhnya," katanya yang turut memelihara seorang lagi anak orang kurang upaya (OKU), Norhayati Abdul Halim, 16," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Van petrol isi diesel

Posted: 06 Oct 2013 12:24 PM PDT

Kuala Lumpur: Tempat duduk belakang diubah suai menjadi tong besar. Itu taktik dua lelaki tempatan untuk menyeleweng diesel kegunaan persendirian untuk dijual kepada pengguna industri di sekitar Lembah Kelang.

Difahamkan, lelaki berusia 29 dan 22 tahun itu menjual diesel kepada pemilik kilang dengan harga lebih murah daripada harga pasaran dan mereka bergiat aktif di hujung minggu sejak beberapa bulan lalu.


Bagaimanapun, kegiatan mereka dikesan ketika mengisi minyak diesel di sebuah stesen di Sungai Besi, di sini, oleh anggota polis trafik dari Balai Polis Trafik Kuala Lumpur yang menahan mereka untuk pemeriksaan lanjut.

Pegawai Turus Kuat Kuasa dan Operasi Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, dua lelaki itu ditahan sepasukan anggota Kuat Kuasa Trafik yang diketuai Asisten Superintendan Sahimi Husin, jam 12.30 tengah hari, semalam.


"Ketika itu, mereka nampak dua lelaki mengisi diesel untuk sebuah van Toyota Lite Ace yang menggunakan bahan api petrol.


"Sebaik nampak kehadiran kereta peronda, kedua-dua lelaki itu cuba meninggalkan lokasi berkenaan dalam keadaan tergesa-gesa sebelum anggota kami menahan mereka," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati cukai jalan kenderaan berkenaan sudah tamat tempoh, namun keadaan mereka yang ketakutan sebaik ditahan menyebabkan anggota memeriksa bahagian tempat duduk belakang van itu.


"Tempat duduk van itu ditutup dengan pengalas dan selepas alas permaidani itu diangkat, kami mendapati ia diubah suai menjadi tong besar untuk diisi diesel yang dipercayai dijual kepada kilang pada harga murah," katanya.

Beliau berkata, tong itu mampu mengisi diesel berharga kira-kira RM300 dan ketika ditahan mereka hanya sempat mengisi diesel berharga RM200 iaitu kira-kira 119 liter diesel.


"Mereka juga dikesan mengubah suai saluran petrol untuk tujuan berkenaan selain menyediakan paip saluran keluar untuk memudahkan mereka menjual kepada pekilang.


"Kedua-dua lelaki itu ditahan untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Peniaga rugi RM100,000 kediaman disamun

Posted: 06 Oct 2013 12:23 PM PDT

Gombak: Seorang peniaga kerugian dianggarkan kira-kira RM100,000 selepas barangan berharga dan kereta miliknya disamun sekumpulan lelaki yang bertindak menceroboh kediamannya di Taman Sri Gombak, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, wanita berusia 33 tahun itu yang sedang tidur nyenyak terkejut apabila tiba-tiba pintu bilik tidurnya dibuka sebelum empat lelaki masuk dan terus mengacukan parang.


Menurut sumber, kejadian itu berlaku terlalu pantas dan mangsa tidak sempat berbuat apa-apa apabila suspek mengugut akan mencederakannya jika melawan dan meminta mangsa memberitahu tempat simpanan barangan kemas dan wang tunainya.

"Mangsa yang ketakutan akur dan menyerahkan barangan kemas dan wang tunai kepada suspek. Malah mereka turut menggeledah kediaman itu selama beberapa minit sebelum melarikan diri bersama kereta milik mangsa.


"Mujur mangsa tidak diapa-apakan dan dia yang trauma dengan kejadian itu kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Gombak untuk tindakan selanjutnya," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Remaja minta RM800 lebam satu badan

Posted: 06 Oct 2013 12:17 PM PDT

Gombak: Tindakan seorang remaja lelaki ingin menuntut hutang daripada rakannya mengundang padah apabila dia dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah restoran di Batu Caves, di sini, menyebabkan dia cedera di kepala dan lebam seluruh badan.

Dalam kejadian jam 2 pagi kelmarin, remaja berusia 18 tahun itu pada mulanya ke restoran terbabit untuk makan sebelum terserempak dengan rakannya itu.


Menurut sumber, mangsa kemudian bersemuka dengan rakannya itu dan bertanya berkaitan wang dipinjam suspek berjumlah RM800 yang masih belum dijelaskan.

"Bagaimanapun rakannya itu memberitahu tidak mempunyai wang buat masa ini dan akan membayarnya semula nanti namun mangsa tidak berpuas hati dan memberi alasan sudah lama memberi tempoh kepada suspek untuk menjelaskan hutang itu.


"Berang dengan tindakan mangsa yang mendesaknya, suspek naik angin dan terus menolaknya menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka," katanya.


Sumber berkata, tidak cukup dengan itu, rakan suspek turut membelasah mangsa selama beberapa minit menyebabkan dia menjerit kesakitan.

"Tidak tahan diperlakukan sedemikian rupa, mangsa bertindak melarikan diri sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Selayang untuk tindakan selanjutnya.


"Akibat kejadian itu dia cedera di kepala dan lebam seluruh badan mendapatkan rawatan di klinik berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

Tiada kes dua budak ditelan ular

Posted: 06 Oct 2013 12:16 PM PDT

Pasir Gudang: Polis menafikan hebahan berita disebarkan dalam laman sosial Facebook (FB) berkaitan kejadian dua kanak-kanak berusia empat tahun yang kononnya dibaham ular sawa di Masai di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Roslan Zainuddin berkata, berita disebarkan itu didapati palsu.


Menurutnya, siasatan mendapati pihaknya tidak menerima sebarang laporan kejadian berkenaan.

"Tiada kejadian seumpama itu berlaku di kawasan berkenaan dan kami juga tidak menerima laporan mengenainya," katanya.


Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang berkata, pihaknya menyedari perbuatan pihak tertentu yang menyebarkan berita berkenaan dalam FB.


"Kami tidak menerima sebarang laporan berkaitan kejadian berkenaan," katanya.

Foto

GAMBAR yang tersebar di FB adalah palsu.

Dalam hebahan di FB, kelmarin, dua kanak-kanak berusia empat tahun dikatakan dibaham ular sawa di Kampung Sentosa, Masai, di sini.


Kejadian berkenaan didakwa berlaku pagi kelmarin.

Berita berkenaan menarik perhatian ramai pengguna FB dan ia dikongsi kira-kira 200 penduduk sekitar Masai selain seluruh negara.


Malah, terdapat gambar menunjukkan ular sawa berkenaan diletakkan dalam sebuah kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/07

No comments:

Post a Comment