Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


RM20j untuk hasil kiswah

Posted: 13 Oct 2013 09:06 AM PDT

Makkah: Lebih 200 pekerja bertungkus-lumus selama lapan bulan lalu di sebuah kilang di Arab Saudi untuk menghasilkan kiswah atau kelambu kaabah yang bersulamkan benang emas.

Kiswah itu yang dihasilkan di kilang yang terletak di pinggir Makkah, menggantikan kiswah lama pada permulaan musim haji tahun ini yang ditetapkan bermula hari ini.

Masyarakat Islam mengaitkan Kaabah dengan Nabi Ibrahim (AS) yang dianggap oleh mereka sebagai pengasas kepada penyembahan Tuhan yang Esa yang ajaran-Nya semakin pudar sehinggalah kepada kedatangan junjungan besar Nabi Muhammad (SAW) pada abad ketujuh Masihi.

Menyulam ayat suci al-Quran dengan benang emas pada kain sutera adalah kemahiran turun-temurun, dari satu generasi ke generasi berikutnya, kata ketua Jabatan Penyediaan Kiswah, Hassanian al-Sharif.

Foto

PEKERJA menyulam benang emas ke atas kain sutera yang akan dijadikan kelambu Kaabah.

Foto

AKTIVITI menyulam dilakukan dengan penuh tekun.

Foto

KISWAH Kaabah diganti pada 9 Zulhijjah setiap tahun.


Dia bekerja di kilang berkenaan sejak 37 tahun lalu.


"Tidak ada siapa di luar sana yang mengetahui untuk menyulam kiswah ini. Pekerja baru akan menjalani latihan tiga bulan, dibimbing oleh kakitangan lama, sebelum mereka dapat bekerja di sini," katanya.

Pihak berkuasa menyediakan AS$6 juta (RM20 juta) setiap tahun untuk menghasilkan kiswah baru.

Kiswah lama biasanya dipotong kepada beberapa bahagian dan diagihkan kepada orang kenamaan atau pertubuhan Islam.

Bagi yang menerimanya, mereka terasa begitu beruntung dan bernasib baik.
Hampir semua 210 pekerja di kilang itu berasal dari segala pelusuk Makkah dan kebanyakannya akan bekerja sepanjang hidup.

Sebelum kilang itu dibuka pada 1927, 47 keping kain yang dicantumkan menjadi kiswah dibuat di Mesir sementara bahannya didatangkan dari Sudan, India, Mesir dan Iraq.

Hari ini, kelambu sebesar 658 meter itu dan seberat 670 kilogram dibuat daripada kain sutera berkualiti tinggi yang diimport dari Itali dan Switzerland, kata Mohammed bin Abdullah Bajuda, pengurus kilang berkenaan.

"Sutera itu dicelup warna hitam dan diperah sendiri bagi menghasilkan bahan itu sebelum ia disulam dengan 120 kilogram benang emas dan perak asli," katanya.

Mesin untuk membantu menjadikan proses itu automatik diperkenalkan 25 tahun lalu, kata Ketua Jabatan Bahan, Salman al-Loukmani.

"Sebelum ini, kami terpaksa menggunakan lebih ramai tenaga pekerja dan proses menggunakan tangan itu memakan masa yang amat lama.

"Kini kami memiliki beberapa mesin dari Switzerland untuk membantu kerja kami," katanya.

Beberapa jemaah kadang kala mengambil kesempatan mengoyak kiswah ketika menunaikan haji, untuk dibawa pulang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

Pengantin tersilap suami

Posted: 13 Oct 2013 08:58 AM PDT

Napo: Seorang pengantin perempuan di bandar ini yang ingin menyambut perkahwinannya dengan mengadakan seks pada awal pagi selepas majlis itu berlangsung terkejut apabila menyedari lelaki di atas katil bukan suaminya, tetapi pengapit pengantin lelaki.

Bagaimanapun, tak ada gunanya dia menyesal kerana benda sudah terjadi, lapor akhbar Xinhua.

Pengantin perempuan itu yang dikenali sebagai Huang saja, dikatakan pergi ke bilik mandi pada awal pagi selepas malam majlis perkah.

Dia dengan seronok kembali ke bilik yang disangka biliknya dan mula meraba lelaki berkenaan yang disangka suaminya.


Sebenarnya lelaki itu ialah pengapit suaminya ketika majlis perkahwinan mereka dan dia tidak menyedari bahawa dia sudah mengadakan seks hinggalah sejurus selepas hari mula cerah.


"Tolong! Tolong, saya dirogol," jerit wanita itu sebaik menyedari kesilapannya.
Semua penghuni rumah berkenaan mengelilinginya. Dan selepas perbahasan hangat, mereka memutuskan cadar kotor keluarga itu tidak boleh dibasuh secara terbuka dan pengapit terbabit perlu membayar pampasan kepada pengantin baru itu sebanyak 20,000 yuan.

Keputusan itu bagaimanapun dibantah pengapit terbabit yang mendakwa dia tidak melakukan sebarang kesalahan dan tidak mempunyai wang untuk diberikan kepada pasangan pengantin itu.

Pasangan berkenaan kemudian mengheretnya ke balai. Tetapi polis enggan menyiasat kes itu kerana berpendapat apa yang berlaku tidak mencapai tahap merogol.

Kerana kecewa, mereka kemudian memfailkan tuduhan rogol terhadap lelaki itu di Mahkamah Rakyat Bandar Napo. Bagaimanapun, mahkamah juga menolak kes itu dengan berkata, tidak ada keganasan atau paksaan digunakan oleh pengapit berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

Tertinggal isteri lepas pandu 200 kilometer

Posted: 13 Oct 2013 08:57 AM PDT

Berlin: Seorang lelaki Jerman memulakan kehidupan berumah tangga dengan kesilapan besar selepas memandu selama dua jam di lebih raya sebelum menyedari dia terlupa isterinya tertinggal di sebuah stesen minyak.

Si suami berhenti mengisi minyak untuk seketika tanpa menyedari isterinya turun untuk ke tandas.

Dia hanya menyedari kesilapannya selepas memandu sejauh 200 kilometer.

"Reaksi pertama saya ialah adakah suami saya bodoh?" kata pengantin perempuan berusia 33 tahun itu ketika menceritakan kisah berkenaan di sebuah stesen radio swasta.


"Saya tidak mempunyai wang dan tidak mempunyai telefon ketika itu," katanya.


Lelaki berkenaan menyangka isterinya tidur di belakang bas mini mereka dan meneruskan perjalanan selama dua jam dengan mendengar muzik.

Sebaik menyedari kesilapannya, lelaki itu berhenti di sebuah balai polis yang sebelum itu sudah pun dihubungi isterinya.

Pasangan pengantin baru itu yang berasal dari Brandenburg berhampiran Berlin disatukan semula lima jam kemudian di stesen minyak berkenaan.

Si isteri memberitahu stesen radio berkenaan bahawa dia tidak marah dengan kejadian itu.

"Saya tidak marahkannya. Bukan dia sengaja," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

Dua lelaki dipenjara 200 tahun

Posted: 13 Oct 2013 08:56 AM PDT

Guatemala: Sebuah mahkamah di Guatemala semalam menjatuhkan hukuman penjara 200 tahun setiap seorang ke atas dua lelaki berkait dengan kes pembunuhan dua gadis yang mereka hubungi menerusi Facebook.

Eduardo Chen dan Saul Garcia Arriaza didapati bersalah terhadap kematian Heydi Montufar Lorenzana, 16 dan Herser Alexandra Mercado Santos, 18.


Pejabat pendakwa raya sebelum ini memohon mereka dipenjara 308 tahun.

Menurut pendakwa raya, kedua-dua lelaki itu berhubung dengan remaja berkenaan sebelum membuat temu janji.


"Siasatan menunjukkan kedua-dua gadis berkenaan dibunuh pada 22 Ogos 2011 selepas dirogol. Mayat mereka ditemui enam hari kemudian di bandar Amatitlan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

Kumpulan khas jejak Misuari

Posted: 13 Oct 2013 08:56 AM PDT

Manila: Polis Filipina berkata, ia sudah memaklumkan pasukan pengesannya agar menjejaki pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari.

Timbalan Ketua Pengarah Felipe Rojas Jr yang juga timbalan ketua operasi berkata, lima pasukannya dengan masing-masing terdiri daripada tujuh anggota dibentuk untuk menjejaki Misuari yang dituduh mendalangi pemberontakan Zamboanga bulan lalu.

Pasukan itu dibentuk selepas hakim Eric Elumba di mahkamah Zamboanga City mengeluarkan waran tangkap terhadap Misuari dan komander MNLF iaitu Habier Malik, Assamin Hussin, Bas Akri dan beberapa yang lain.

Menurutnya, Misuari kali terakhir dilihat di Talipao, Sulu, tetapi sering berpindah dari satu tempat ke tempat lain.


Polis berkata, saudara-mara mangsa yang dibunuh anggota MNLF yang tidak berpuas hati turut memburu Misuari.


Beberapa anggota MNLF yang ditahan sebelum ini mendakwa mereka dijanjikan bayaran 10,000 peso (RM738) sebagai upah menyertai "perhimpunan aman". Mereka tidak tahu-menahu yang mereka akan diberikan senjata api bagi menentang tentera kerajaan.

Rojas berkata, wang ganjaran pasti akan diberikan terhadap maklumat yang membawa kepada penangkapan Misuari, tetapi pihak berkuasa masih belum menentukan jumlah yang akan diberikan.

Dalam kes Habier, Rojas berkata, mereka perlu mengesahkan statusnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

Taufan Nari ragut 13 nyawa

Posted: 13 Oct 2013 08:55 AM PDT

Manila: Satu operasi besar-besaran dijalankan di Filipina semalam selepas Taufan Nari membadai utara negara itu, mengakibatkan 13 maut, ketika pihak berkuasa memberi amaran mengenai ribut baru yang bakal melanda di timur negara berkenaan.

Tentera bersama petugas kecemasan bertungkus-lumus membersihkan jalan raya yang dipenuhi dahan pokok, ranting kayu dan wayar elektrik ketika mengejar waktu bagi mengembalikan kehidupan seperti sediakala selepas dilanda taufan kelmarin. "Keadaan pada umumnya semakin baik, tetapi memerlukan masa untuk membersihkan laluan yang dihalangi batang pokok dan tiang elektrik yang tumbang," kata jurucakap pejabat pertahanan awam Reynaldo Balido. Balido berkata, kemudahan komunikasi dan bekalan elektrik sudah dipulihkan di kawasan terjejas walaupun sesetengah bandar dan pekan di lima daerah dekat Luzon, pulau yang paling ramai penduduk masih tiada bekalan elektrik. Taufan Nari, ribut ke-19 yang melanda negara itu membadai pantai timur laut Filipina awal kelmarin dan memintas ke barat melalui daerah perladangan di Luzon.


Tiga belas orang terbunuh apabila ribut menerbangkan bumbung kediaman dan bangunan, menumbangkan pokok dan menyebabkan banjir kilat serta tanah runtuh sebelum bertiup ke arah Laut China Selatan.

Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan semalam berkata, sesetengah kawasan pertanian masih ditenggelami air walaupun banjir semakin reda.


"Matahari sudah memancar dan keadaan akan kembali seperti sediakala dalam tempoh beberapa hari lagi," kata Balido. Sebahagian besar daripada lebih 43,000 penduduk yang dipindahkan akibat taufan berkenaan sudah pulang ke rumah masing-masing. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

Lelaki mati ditembak

Posted: 13 Oct 2013 08:54 AM PDT

Pattani: Seorang lelaki terbunuh selepas ditembak di daerah Yaring di Pattani awal semalam.

Ketua polis Yaring, Kolonel Mana Nakthang berkata, insiden itu berlaku kira-kira jam 2 pagi di khemah perlindungan tepi jalan di depan masjid tambon Takae.


Mangsa kejadian tembak yang dikenali sebagai Pitaya Chesamhe, 25, sedang berbual dengan seorang rakannya di bawah khemah itu apabila seorang lelaki yang menaiki kereta menurunkan tingkap kenderaan berkenaan sebelum melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa.

Tembakan itu mengenai kepala dan tubuh Pitaya menyebabkan dia mati di tempat kejadian. Rakannya berjaya melompat dari khemah itu untuk menyelamatkan diri. Polis masih menyiasat motif kejadian berkenaan, sama ada ia berkait dengan masalah peribadi atau gerakan pemisah Thai. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

Anak lapor keganasan bapa kepada polis

Posted: 13 Oct 2013 08:54 AM PDT

Bengkulu: Angkara mencuri wang tabung milik adiknya, seorang pelajar berusia 13 tahun dicekik bapanya hingga hampir pengsan.

Kejadian berlaku ketika Aditya Graha Fadilah disoal oleh ibunya, Denty Mardenta mengenai wang tabung adiknya yang hilang.


Aditya yang teragak-agak kemudian mengakui dia yang mencuri wang terbabit untuk membeli buku ulang kaji di sekolah.

Apabila mendengar pengakuan anak remajanya itu, bapa mangsa yang hanya dikenali sebagai FA dan berada dalam bilik segera meluru keluar sebelum mencekik leher pelajar terbabit.


Dia juga memukul paha, betis dan kaki mangsa menggunakan tali pinggang hingga remaja terbabit menangis, menjerit kesakitan. Ekoran tidak puas hati dengan perbuatan bapa yang memperlakukannya sedemikian, Aditya kemudian membuat laporan polis mengenai tindakan kekerasan bapanya itu di balai polis Kota Bengkulu. Ketua balai polis Kota Bengkulu, Herry Wiyanto mengesahkan ada menerima laporan yang dibuat remaja itu.


"Kami sudah menerima laporan daripada pelajar terbabit dan akan segera menyiasat mengenai kejadian yang berlaku," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

Pengikut Naqsyabandi sambut Aidiladha semalam

Posted: 13 Oct 2013 08:53 AM PDT

Padang: Beribu-ribu pengikut tarekat Naqsyabandi di Sumatera Barat meraikan hari raya Aidiladha semalam.

Mereka turut menunaikan solat hari raya di beberapa masjid secara serentak.


Satu daripada masjid tarekat itu di Pauh, Kota Padang sesak dengan pengikutnya menunaikan solat hari raya sebelum dilanjutkan dengan kegiatan korban. Setiausaha Jemaah Naqsyabandi Kota Padang, Edizon berkata, penetapan tarikh hari raya Aidiladha berdasarkan kepada kaedah hisab munjid iaitu kiraan 100 hari dari awal Ramadan.

"Penetapan tarikh hari raya Aidiladha ini berpandukan al-Quran dan sudah dibuat secara turun-temurun," katanya dalam satu kenyataan. Menurutnya, terdapat lima ribu jemaah Naqsyabandi di Padang dan mereka menetap di Kota Padang, Pesisir Selatan, Solok, dan Solok Selatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

Tempat ibadat empat agama dibuka di Kelab Sari

Posted: 13 Oct 2013 08:52 AM PDT

Kuta (Bali): Lokasi kafe kelab Sari yang menjadi sasaran insiden pengeboman Bali diiktiraf sebagai taman perdamaian bagi mengenang tragedi pada 12 Oktober 2002 itu yang meragut nyawa 202 orang.

"Taman ini diharap dapat menjadi kenangan kejadian itu. Bagi pelancong asing, pengiktirafan ini mungkin sangat penting kerana ada saudara-mara mereka yang terkorban dalam tragedi itu," kata ketua masyarakat Taman Perdamaian Bali di Kuta, Djinaldi Gosana kelmarin.


Menurutnya, pusat ibadat untuk umat Islam, Kristian, Hindu dan Buddha akan dibina di situ.

"Melalui konsep ini, kami ingin menunjukkan perubahan kerana pada awalnya malapetaka itu bertujuan untuk memecah-belahkan masyarakat. Namun, kami mewujudkan sesuatu di sini agar semua rakyat berbeza agama di Indonesia bersatu," katanya dalam satu kenyataan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/14

No comments:

Post a Comment