Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Bergelut cari rentak

Posted: 11 Oct 2013 08:08 PM PDT

Sepang: Prestasi sederhana dipamer pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin pada dua sesi latihan bebas semalam sebenarnya menyaksikan dia berlumba dalam kesakitan dan agak bergelut mencari rentak tunggangan terbaik kerana belum pulih sepenuhnya daripada proses pemulihan berikutan kemalangan di Grand Prix Aragon, dua minggu lalu.

Pada sesi pagi latihan bebas pertama, pelumba Red Bull KTM Ajo itu mencatat masa 2 minit 16.852 saat untuk menduduki tempat ke-20 manakala pada sesi kedua yang berlangsung selepas hujan, Zulfahmi melakar masa 2:18.610s, juga di tempat ke-20.


Pada sesi latihan kedua, pelumba kelahiran Banting, Selangor itu hanya memasuki litar kira-kira tujuh minit sebelum tamat sesi latihan 40 minit.

"Sebenarnya pada sesi latihan pertama, memang sakit akibat bengkak di bahagian bawah pinggang belakang. Ia berlaku terutama ketika saya tunduk di laluan lurus.


"Saya rasa betul-betul sakit. Sebab itu pasukan ambil keputusan untuk saya berehat lebih lama di pit dan hanya melakukan tujuh pusingan penuh.


"Kami mahu fokus kepada sesi latihan kedua, tapi ketika itu hujan dan litar pula basah. Keputusan diambil untuk saya buat dua pusingan penuh saja pada hujung sesi.

Foto

Zulfahmi Khairuddin

"Tidak banyak boleh saya katakan mengenai prestasi jentera sebab fokus utama adalah sesuaikan diri saya dengan motosikal," katanya.


Zulfahmi berkata, dia memang rasa terkejut kerana kesakitan di bahagian belakang lebih memberi masalah berbanding pembedahan di pergelangan tangan kanannya yang selama ini menjadi tumpuan utama.

"Sakit di bahagian belakang sama ketika terjatuh di Aragon. Cuma tumpuan sebelum ini lebih kepada tangan saya," katanya.


Apapun, dia sudah bersedia untuk turun berlumba walaupun terpaksa menahan kesakitan.


"Saya sudah 70 peratus sedia untuk turun berlumba dan cuba mencatat masa terbaik pada sesi kelayakan esok (hari ini)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/12

Seronok di England

Posted: 11 Oct 2013 08:04 PM PDT

London: Mesut Ozil yakin perpindahan ke England akan membantunya menjadi pemain serta individu lebih baik pada masa akan datang.

Pemain berusia 24 tahun itu menjadi tumpuan sejak berpindah ke Liga Perdana dengan yuran perpindahan £43 juta (RM218 juta) dari Real Madrid ke Arsenal dan kebolehannya membantu Gunners melakar permulaan memberangsangkan musim ini.


Peningkatan jumlah rakan sepasukan Ozil di Jerman yang bermain di luar Bundesliga turut dianggap membantu perkembangan bola sepak negaranya.

"Liga Perdana Inggeris adalah liga paling sukar di dunia kerana ia seimbang selain semua kelab bermain pada tahap yang hampir sama.


"Seronok bagi saya apabila dapat belajar budaya serta gaya hidup orang British selain belajar cara perbualan mereka. Ia membantu saya menjadi seorang yang lebih berpengalaman.


"Perkara paling penting ialah sebahagian besar daripada pemain kebangsaan Jerman mempunyai tahap permainan hampir seimbang dan masing-masing menimba pengalaman bermain di negara berlainan. Ia satu perkembangan yang sihat buat Jerman," katanya.

Foto

OZIL

Ozil menyesuaikan dirinya dengan pantas di England selain dibantu rakan senegara, Per Mertesacker yang secara kebetulan bermain bersamanya di Arsenal.


"Pada mulanya saya rasa pasti kekok apabila memandu di sebelah kiri. Namun Mertesacker mengajar saya dan akhirnya saya sudah mampu membawa kereta bersendirian di sini.

"London sebuah kota yang seronok untuk didiami. Saya sudah mula jatuh hati dengan bandar ini walaupun belum lama di utara London.


"Pemain dan kakitangan kejurulatihan Arsenal semuanya menyokong dan membantu saya. Mereka membuatkan saya rasa seperti dihargai dan itulah yang menariknya mengenai kota London ini." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/12

Amirulhadi kecewa

Posted: 11 Oct 2013 07:57 PM PDT

Kuantan: Pemain tengah Pahang, Amirulhadi Zainal hampir pasti tidak berpeluang beraksi pada Piala Malaysia musim ini selepas mengalami kecederaan buku lali kiri ketika sesi latihan di padang Taman Gelora, kelmarin.

"Saya terpijak kaki rakan ketika mendarat selepas melompat untuk mencabarnya dan dalam keadaan badan tidak seimbang itu saya terjatuh hingga menyebabkan kecederaan serius.


"Ini kecederaan buku lali kiri ketiga namun kali ini ia bengkak dan ada darah beku seterusnya memerlukan rehat yang panjang," katanya.

Amirulhadi yang baru musim pertama beraksi bersama Tok Gajah berkata, dia tidak pasti kecederaan itu membabitkan bahagian tisu atau tulang hingga menyebabkan dia tidak boleh menggerakkan kakinya.


Menurutnya, hanya selepas membuat imbasan di klinik petang ini (semalam) bahagian cedera dapat diketahui seterusnya jenis rawatan dilakukan serta jangka masa pulih.


Katanya, kecederaan itu menutup terus peluang untuk membantu Pahang pada separuh akhir seterusnya perlawanan akhir Piala Malaysia sekiranya layak.

Foto

AMIRULHADI (kanan) kecewa tidak dapat bantu Pahang.

"Saya reda dengan apa yang berlaku tapi agak terkilan apabila tidak dapat bersama skuad Tok Gajah terutama pada saat genting memburu tempat di perlawanan akhir.


"Walaupun peluang beraksi tipis namun saya tetap menaruh harapan kecederaan ini cepat sembuh." Amirulhadi yang membayangkan akan meninggalkan Pahang berkata, rakan sepasukan diharap dapat memberi sepenuh tumpuan mencatat kejayaan pada saingan separuh akhir bertemu Sarawak pada 19 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/12

Hodgson sokong pandangan Wilshere

Posted: 11 Oct 2013 01:15 PM PDT

Watford: Pemain yang berani meluahkan isi hatinya demi kebaikan tidak harus dikecam, kata pengurus England Roy Hodgson yang dilihat memberi sokongan moral kepada pemain tengah yang tidak disenangi banyak pihak, Jack Wilshere.

Bintang Arsenal dan England itu mencetuskan kekecohan apabila mempersoal masa depan serta peluang pemain remaja Manchester United, Adnan Januzaj untuk mewakili Three Lions dengan mengatakan skuad berkenaan hanya layak disertai orang Inggeris saja.


Januzaj dilahirkan di Belgium manakala ibu bapanya berdarah Kosovo-Albania manakala turut mempunyai darah Turki menerusi datuk dan neneknya tetapi berdasarkan syarat FIFA, pemain berkenaan berpeluang mewakili England jika tinggal di negara itu lebih lima tahun.

Kenyataan Wilshere itu mencetuskan rasa kurang senang atlet England yang dilahirkan di negara luar seperti pemain kriket, Kevin Pietersen yang dilahirkan di Afrika Selatan. Pietersen membidas Wilshere menerusi laman sosial Twitter dengan berkata: "Bagaimana anda menilai dan mengklasifikasikan warga asing? Adakah itu termasuk saya, Strauss, Trott, Prior, Justin Rose, Froome, Mo Farah?" Hodgson berkata, perkara itu sememangnya layak untuk didebatkan.


"Kita sering mempersoal mengapa pemain kita tidak meluahkan pandangan tetapi setiap kali mereka melakukannya, tidak ramai yang bersetuju atau lebih teruk lagi, menghentam mereka begitu saja," kata Hodgson.


"Memang salah apabila kita menghentam seseorang hanya kerana dia meluahkan pendapat sedangkan perkara itu memang elok untuk didebatkan.

"Kelayakan Januzaj bakal menjadi cermin kepada polisi yang akan digunakan Persatuan Bola Sepak Inggeris." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/12

Saingan sengit!

Posted: 11 Oct 2013 01:14 PM PDT

Kota Kinabalu: Saingan sulung Karnival Futsal Harian Metro 2013 di Sabah menjanjikan saingan sengit 102 pasukan yang tampil menyahut cabaran.

Karnival yang kali pertama diadakan di Negeri Di Bawah Bayu selama dua hari bermula hari ini di Suria Indoor Soccer Centre di Jesselton Point akan mempertandingkan tiga kategori iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita dan Lelaki Bawah 17 Tahun.


Namun tumpuan pastinya terarah kepada kategori Terbuka Lelaki yang menyaksikan saingan 54 pasukan.

Wakil tunggal dari Semenanjung, Bertam Ulu FC tampil mempamerkan kekuatan bersaing dengan pasukan Wakil tunggal dari Semenanjung, Bertam Ulu FC tampil mempamerkan kekuatan dengan reputasi hebat selaku juara Grand Final dan kemenangan dalam sejumlah saingan peringkat zon, Bertam Ulu FC sememangnya sudah sinonim dengan Karnival Futsal Harian Metro yang sudah beberapa tahun dijalankan di Semenanjung.


Kehadiran mereka ke Sabah pastinya menampilkan cabaran berbeza buat pasukan tempatan terutamanya cabaran yang diberikan pemain berpengalaman Bertam Ulu FC bagi memastikan gelaran juara tidak terlepas kepada pasukan luar.


Bertam Ulu FC diundi dalam Kumpulan 15 pada saingan peringkat awal bersama Welcome FC, Hail Boy dan Mix Blood dengan dua pasukan teratas mara ke pusingan seterusnya.

Cabaran wakil tempatan turut tidak boleh dipandang remeh kerana mereka pastinya melakukan persiapan rapi dengan MNA 39, Sport De'Ny JR dan Kukuak Mix antara yang bakal memberikan saingan sengit.


Turut menjanjikan saingan berkualiti Terbuka Wanita yang membabitkan saingan 19 pasukan tempatan.

Harian Metro turut tidak ketinggalan membantu usaha mencungkil lebih ramai bakat muda untuk diketengahkan menerusi kategori B-17 Lelaki. Ia jelas mendapat sambutan hangat apabila 29 pasukan mengesahkan penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/12

AmBank warnai cabaran

Posted: 11 Oct 2013 01:14 PM PDT

Kota Kinabalu: Bagi memeriahkan Karnival Futsal Harian Metro di Sabah, penaja bersama, Kumpulan AmBank turut menghantar sebuah pasukan sebagai tanda sokongan kepada penganjuran di negeri itu.

Pengurus Jualan Kad dan Pinjaman Perbankan Runcit AmBank Kota Kinabalu Ng Kim Kim berkata, pasukan mewakili bank itu terdiri daripada kakitangan AmBank cawangan Kota Kinabalu.


"Penganjuran ini ditaja ibu pejabat Kumpulan AmBank dan kami di Sabah adalah sebagai kakitangan sokongan kepada penganjuran.

"Kami turut menghantar satu pasukan sebagai tanda sokongan kepada karnival ini yang julung kali diadakan di Sabah," katanya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/12

TH Hotel tawar hadiah penginapan

Posted: 11 Oct 2013 01:14 PM PDT

Kota Kinabalu: Hadiah penginapan di TH Hotel Kota Kinabalu selama dua hari satu malam bakal menanti juara Karnival Futsal Harian Metro bagi kategori Terbuka Lelaki dan Wanita.

Pengurus Komunikasi Korporat TH Hotel dan Residence Sdn Bhd Mazlin Abdul Malik berkata, juara bagi kedua-dua kategori itu akan turut menerima baucer makanan dan minuman.


"Bagi pihak TH Hotel, kami bangga kerana dapat bekerjasama menaja penginapan kepada pemenang Karnival Futsal Harian Metro kali ini yang berlangsung di Sabah.

"Selain itu, kami juga berharap akan terus bekerjasama dengan Harian Metro dalam aktiviti yang membabitkan masyarakat setempat," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan baucer penginapan kepada Pengurus Projek Harian Metro Abdul Kadir Hamza di gelanggang futsal Suria Indoor Soccer Centre, semalam.


Karnival Futsal Harian Metro berlangsung hari ini dan esok.


Mazlin berkata, melalui penganjuran karnival ini, pihaknya berharap Sabah dapat melahirkan lebih ramai pemain futsal berkaliber.

Sementara itu, Mazlin berkata, TH Hotel kini berwajah baru dengan tidak menggunakan lagi nama Taha D'Bayu yang lebih mesra dengan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/12

Karnival bermula

Posted: 11 Oct 2013 01:13 PM PDT

Kota Kinabalu: Segala persiapan untuk menjayakan Karnival Futsal Harian Metro di Sabah berjalan lancar seperti dirancang.

Suria Indoor Soccer Centre kini hanya menunggu detik untuk menerima kehadiran peserta dan penonton yang dialu-alukan hadir memberikan sokongan dan memeriahkan karnival.


Malah ada sesetengah pasukan dilihat sudah hadir menjalani latihan di gelanggang Suria Indoor Soccer Centre untuk membiasakan diri dengan padang dan persekitaran.

Karnival yang kali pertama dibawa ke Sabah mempertandingkan tiga kategori dengan hadiah wang tunai berjumlah RM15,200, barangan Figos dan pingat.


Juara Terbuka Lelaki akan membawa pulang RM3,000, RM2,000 (naib juara), RM1,000 (ketiga) dan RM500 (keempat).


Terbuka Wanita membawa pulang RM2,000 sebagai juara, RM1,500 (naib juara), RM1,000 (ketiga) dan RM500 (keempat) manakala saingan Lelaki Bawah 17 Tahun mempertaruhkan RM3,700 untuk pasukan terbaik.

Namun hanya saingan Terbuka Lelaki akan berlangsung hari ini hingga ke peringkat suku akhir dengan Terbuka Wanita dan B-17 Lelaki hanya akan memulakan saingan esok disusuli aksi empat pasukan terbaik Terbuka Lelaki.


Kumpulan AmBank tampil selaku penaja bersama di Sabah dengan Figos sebagai rakan penaja dan TH Hotel Kota Kinabalu bertindak sebagai hotel rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/12

Rashid timang permata baru

Posted: 11 Oct 2013 01:12 PM PDT

Kuala Lumpur: Rashid Sidek menimang cahaya mata keempat semalam, anak lelaki yang dianggapnya sebagai rezeki yang tidak dijangka dari Allah.

Jurulatih badminton negara itu menerima kehadiran anak lelaki ketiga selepas isterinya, Noorazihan Abdul Halim bersalin di Hospital Ampang Puteri jam 9.49 pagi semalam.


Rashid berkata, kehadiran ahli keluarga terbaru itu diharap terus menghadirkan sinar dalam rumah tangga mereka.

"Saya dan isteri sebenarnya tidak menjangka akan menimang bayi keempat kerana isteri saya bersalin menerusi pembedahan ketika melahirkan tiga sebelum ini," kata Rashid.


Begitupun bayi yang dilahirkan seberat 3.23kg itu belum diberi nama. Anak sulung Rashid, lelaki berusia 9 tahun, kedua perempuan, 8, dan ketiga lelaki, 4.


"Saya harap rezeki kami bertambah dengan kehadiran cahaya mata baru ini, selain menghadirkan tuah untuk saya membantu membangunkan mutu badminton negara."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/12

Adiq yakini gandingan pelumba

Posted: 11 Oct 2013 01:12 PM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba kebangsaan Adiq Husainie Othman yakin dengan gabungan pelumba yang akan mengibarkan cabaran pada temasya Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini dan menyifatkannya sebagai barisan paling sempurna.

Dia akan bergandingan dengan Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, Muhamad Rauf Nur Misbah dan Amir Mustafa Rusli dalam acara ujian masa berpasukan selain dijadualkan bergandingan bersama Loh Sea Keong, Mohd Shahrul Mat Amin, Saufi Mat Senan, Zamri Salleh dan Nik Mohd Azuan Zulkifli dalam acara lepas beramai-ramai.


Barisan itu juga disandarkan untuk membawa pulang dua pingat emas dalam acara lepas beramai-ramai yang kali terakhir diraih oleh skuad negara pada 2005 menerusi Suhardi Hassan dan Nor Azian Alias.

Menegaskan akan melakukan yang terbaik demi Malaysia selepas nasib tidak menyebelahinya dua tahun lalu kerana terbabit dengan keracunan makanan, Adiq kini bertekad menebus kehampaan itu di Myanmar.


"Untuk menghadapi Sukan SEA ini saya akan berada di Malaysia menjalani latihan selama dua bulan berikutan musim perlumbaan di Eropah dan Amerika sudah tamat. Saya harap saya dapat buat yang terbaik untuk Malaysia dan untuk semua.


"Pasukan yang dipilih ini mempunyai kekuatan kerana masing-masing tahu kemampuan satu sama lain. Ia satu pasukan yang lengkap jadi saya amat berharap dapat membuat persediaan terbaik sebelum ke Myanmar," katanya.

Sementara itu, tindakan dan persetujuan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Myanmar (MYASOC) mengubah secara rasmi laluan sedia ada iaitu pendakian 40km pada awal perlumbaan dan baki 122km pada laluan landai sebelum menuju ke garisan penamat seperti dicadangkan Jawatankuasa Teknikal Sukan SEA 2013, jelas berpihak kepada pelumba bukit negara.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/12

No comments:

Post a Comment