Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Amukan taufan Nari

Posted: 12 Oct 2013 12:12 PM PDT

Manila: Taufan Nari membadai utara Filipina awal semalam, menerbangkan bumbung bangunan, meragut lima nyawa dan menyebabkan lebih berjuta penduduk terputus bekalan elektrik.

Nari yang melanda awal semalam turut menyebabkan banyak pokok tumbang.


"Banyak pokok yang tumbang. Pekerja penyelamat terpaksa menggunakan gergaji elektrik untuk memotong pokok berkenaan kerana ia menghalang lalu lintas," kata seorang wartawan bebas James Reynolds dari bandar Baler.

Menurutnya, angin kencang yang membadai kawasan berkenaan berlaku selama empat jam dan menyifatkan keadaan itu sebagai menyeramkan.


Ketika taufan itu bergerak ke arah pedalaman dengan membawa hujan lebat, sebuah tembok lumpur runtuh, menghempap berek polis berhampiran bandar Magalang, menyebabkan seorang anggota yang menanti untuk dikerah membantu mangsa, terbunuh.


Seorang lelaki pula terkena renjatan elektrik di bandar Candaba sementara sebatang pokok yang jatuh menghempap sebuah rumah dan sebuah kenderaan di wilayah Nueva menyebabkan tiga orang terbunuh.

Foto

KENDERAAN awam meredah banjir di San Ildefonso, wilayah Bulacan, semalam. Banjir melanda bandar itu selepas wilayah berkenaan dibadai Taufan Nari.

Sementara itu, dua kanak-kanak dan seorang lelaki tua mati lemas di Bulacan, wilayah yang mengalami banjir secara berleluasa.


Empat penduduk wilayah itu juga disenaraikan hilang, termasuk seorang nelayan yang dikatakan tidur dalam botnya ketika taufan itu melanda.

"Ombak besar menghanyutkan bot berkenaan," kata seorang anggota polis.


Tiga nelayan yang keluar ke laut sebelum taufan itu melanda, juga dilapor hilang.


Manila terselamat daripada taufan berkenaan. Pihak berkuasa sebelum ini memberi amaran, banjir besar mungkin berlaku di bandar itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

Kapak anak jadi korban

Posted: 12 Oct 2013 12:10 PM PDT

India: Seorang bapa membunuh bayi lelakinya berusia lapan bulan dengan kapak sebagai korban untuk Tuhan Kali.

Lelaki itu cuba melarikan diri selepas kejadian itu tetapi berjaya ditahan penduduk kampung dan diserahkan kepada polis.

Suspek membunuh anaknya di hadapan patung Kali di rumahnya di kampung Narain Purva di daerah Barabanki di negeri Uttar Pradesh.

Isteri suspek difahamkan menyaksikan lelaki itu memenggal leher anak mereka.


Suspek dilaporkan pernah bersama isterinya ke kuil Tuhan Kali untuk mendapatkan anak.


Seorang jurucakap polis memberitahu akhbar Deccan Herald: "Lelaki itu merancang membunuh bayinya selepas dilahirkan."

Suspek, Rajkumar Chaurasia dilapor membawanya ke kuil untuk melakukan upacara keagamaan.

Dia kemudian membawa mangsa pulang dan mengapak kanak-kanak itu di depan patung 'Tuhan Kali' yang dibina di rumahnya.

Chaurasia memberitahu polis dia membunuh anaknya kerana diarahkan berbuat demikian oleh Tuhan Kali.

"Suspek berpendapat tindakannya itu sebagai korban kepada Tuhan Kali dan dapat memberi kebahagian kepada keluarganya," katanya.

Suspek kini ditahan untuk menjalani pemeriksaan mental.

"Dia tidak menyesali dengan perbuatannya," katanya.

Walaupun jarang berlaku, korban manusia kononnya untuk menggembirakan mereka masih berlaku di kalangan sesetengah masyarakat di India.

Kali yang juga dinamakan Durga ialah 'Tuhan Perempuan' dikaitkan dengan kematian dan kemusnahan.

Ia juga dikaitkan dengan masa dan perubahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

Derita lepas disahkan 'mati'

Posted: 12 Oct 2013 12:10 PM PDT

Findlay: Seorang lelaki Ohio mendapati tiada jalan mudah untuk dia kembali hidup selepas disahkan mati.

Donald Miller Jr ke mahkamah minggu lalu untuk memohon supaya hakim menarik balik keputusan mengesahkan dia mati selepas hilang dari rumahnya selama lapan tahun pada 1994.


Hakim bagaimanapun menolak permohonan itu dengan alasan melebihi tempoh tiga tahun yang dibenarkan untuk menukar sesuatu sijil kematian.

Hakim Mahkamah Probet Wilayah Hancock Allan Davis menyifatkan kes itu sebagai pelik.


"Seorang lelaki duduk di mahkamah. Dia kelihatan sihat," kata Davis yang memberitahu Miller mengenai had tiga tahun itu jelas.


"Saya tak tahu apa yang berlaku nanti, tetapi mengikut undang-undang kamu sah mati," kata hakim itu.

Miller muncul di mahkamah selepas hilang lapan tahun lalu untuk memohon lesen memandu dan mengaktifkan semula nombor Keselamatan Sosialnya.


Bekas isterinya menghalang tindakan Miller dengan berkata, dia tidak mempunyai wang membayar balik bantuan Keselamatan Sosial untuk dia dan dua anak mereka selepas Miller disahkan mati.

Robin Miller berkata, bekas suaminya menghilangkan diri kerana menanggung hutang $26,000 (RM77,000) pada 1994.


Miller yang kini tinggal di bandar Ohio di Fostoria memberitahu hakim dia hilang pada 1980-an kerana dibuang kerja dan ketagih arak. Dia tinggal di Florida dan Georgia sebelum kembali ke Ohio pada 2005.


Ibu bapa Miller memberitahu mengenai kematiannya selepas dia pulang ke Ohio. "Perkara ini berlaku di luar jangkaan saya. Saya lenyap kemudian berakhir di beberapa tempat lain," kata Miller. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

Dadah dalam pejabat Akil sudah lama

Posted: 12 Oct 2013 12:08 PM PDT

Jakarta: Badan narkotik Indonesia semalam berkata, dadah yang ditemui di pejabat Ketua Mahkamah Perlembagaan yang digantung tugasnya, Akil Mochtar mungkin sudah lama digunakan.

"Bukti yang ditemui itu ialah dadah yang sudah kering dan tidak segar lagi," kata Pengarah Perhubungan Awam badan berkenaan, BaSumirat Dwiyanto kepada akhbar semalam.

Menurutnya, kerana keadaan dadah itu sendiri, pasukan penyiasat, khususnya doktor, memerlukan masa lebih lama, mungkin dua minggu untuk mengenal pasti DNA barang yang ditemui dadah berkenaan.

"Jika dadah itu segar, ia hanya memerlukan masa tiga hari saja," katanya.

Sumirat juga berkata, antara barang bukti yang ditemui di pejabat Akil selain empat keping ganja ialah dua pil syabu.

Akil ditangkap minggu lalu oleh pegawai badan pembenterasan rasuah ketika menerima rasuah berkait dengan dua pilihan raya majlis tempatan.

Selain tuduhan rasuah, Akil juga dijangka akan berdepan dengan dakwaan dadah.

Badan berkenaan turut merampas tiga kereta mewah milik hakim itu beberapa hari lalu.

Ujian dan pemeriksaan yang dilakukan pihak berkuasa kesihatan ke atasnya mengesahkan dia tidak mempunyai kesan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

Kim ingin terus perkasa tentera laut

Posted: 12 Oct 2013 12:08 PM PDT

Seoul: Pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un memeriksa beberapa kapal tentera baru dibina dan menyuarakan hasrat untuk memperkasa tentera laut negara itu.

Kim diiringi Panglima Tentera Korea Ro Yong-Gil dan Pemerintah Tentera Laut Kim Myong Sik.


Agensi berita KCNA yang melaporkan mengenai lawatan itu bagaimanapun tidak memberi penjelasan lanjut mengenai bilangan dan jenis kapal berkenaan.

Lawatan itu diikuti dengan latihan dua hari latihan di laut Korea membabitkan kapal pengangkut pesawat bertenaga nuklear Amerika Syarikat yang mencetuskan kemarahan dan ancaman dari Pyongyang.


Kim memuji saintis, juruteknik dan petugas yang membina kapal perang berkenaan yang dianggap KCNA sebagai bijak dan dihasilkan dalam masa singkat.


"Pemimpin negara Korea Utara sangat berpuas hati dengan keupayaan tinggi kapal perang berkenaan," katanya.

Kim berikrar untuk terus memperkuatkan lagi tentera laut Korea Utara dan meningkatkan keupayaannya untuk bertempur," kata laporan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

Lagi tragedi kapal karam

Posted: 12 Oct 2013 12:08 PM PDT

Palermo: Untuk kali kedua dalam seminggu, bot penyeludup sarat dengan pendatang karam di Terusan Sicily semalam ketika membuat pelayaran berbahaya dari Afrika ke Eropah.

Sekurang-kurangnya 27 orang mati lemas dan 221 berjaya diselamatkan dalam operasi bersama pihak berkuasa Itali dan Malta.


Helikopter digunakan untuk mengangkut mereka yang cedera ke Lampedusa, pulau Itali yang hampir dengan Afrika daripada tanah besar Itali.

Ia menjadi pilihan bagi bot penyeludup berlepas dari Tunisia atau Libya.


Di luar pantai pulau itu juga sebuah kapal membawa pendatang dari Libya karam pada 3 Oktober lalu ketika membawa bersama-samanya 500 penumpang.


Hanya 155 terselamat.

Kejadian karam kelmarin berlaku 105 kilometer ke tenggara Lampedusa. Bagaimanapun pihak berkuasa Malta bertanggungjawab dalam gerakan mencari dan menyelamat di kawasan perairan itu.


Kedua-dua kejadian itu adalah gambaran terbaru mengenai kesanggupan pendatang dan pencari suaka merentasi bahaya dan ancaman untuk memasuki Eropah.

"Mereka tahu bahaya yang menanti mereka tetapi tidak menghiraukannya. Pada fikiran mereka, keadaan mereka mungkin lebih teruk jika terus menetap di negara asal mereka, kata profesor antropologi Unversiti Notre Dame. "Menurutnya, apa yang mendorong mereka ialah harapan untuk memperoleh kehidupan lebih baik di Eropah untuk keluarga masing-masing.


Dalam kejadian terbaru semalam, Perdana Menteri Malta berkata, pasukan menyelamat menemui 27 mayat, tiga daripadanya kanak-kanak.


Selain itu, katanya, 150 mangsa berjaya diselamatkan oleh anggota penyalamat negara itu sementara 56 lagi diselamatkan kapal peronda Itali dan 15 oleh bot nelayan.


Kemalangan berlaku ketika operasi mencari mangsa dalam kejadian kapal karam 3 Oktober lalu masih diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

AS tahan komander kanan Taliban

Posted: 12 Oct 2013 12:07 PM PDT

Washington: Tentera Amerika Syarikat, semalam mengesahkan menahan komander kanan Taliban Latif Mehsud dalam satu operasi ketenteraan.

Latif kini ditahan di bawah undang-undang yang membolehkan penggunaan kekerasan terhadap al-Qaeda berikutan serangan ke atas Amerika pada 11 September 2001.


Penangkapan Latif, penolong kepada pemimpin kumpulan Tehreke-e-Taliban (TTP) Hakimullah Mehsud memberi tamparan kepada kumpulan itu yang berusaha menggulingkan kerajaan Pakistan yang disokong Amerika Syarikat.

Kumpulan berkenaan juga menyasarkan tentera Amerika di Afghanistan di samping bercita-cita untuk melancarkan serangan ke atas Amerika Syarikat.


Seorang jurucakap Pentagon berkata, Mehsud ditangkap dalam operasi tentera Amerika di Afghanistan.


Bagaimanapun, Washington Post melaporkan, dia ditawan dari konvoi kerajaan Afghanistan di wilayah Logar beberapa minggu lalu ketika pegawai Afghansitan cuba berbaik-baik dengannya untuk memulakan rundingan damai.

Menurut akhbar itu, kejadian berkenaan disifatkan mencabuli kedaulatan Afghanistan serta mencetuskan kemarahan Presiden Hamid Karzai dan menjejaskan hubungan Washington-Kabul.


Pegawai Pentagon enggan mengulas laporan itu.

TTP atau juga dikenali Taliban Pakistan dipercayai melatih rakyat Amerika keturunan Pakistan Faisal Shahzad mengenai teknik membuat bom serta membiayai rancangannya untuk meletupkan sebuah bom kereta di Dataran New York Times pada 2010.


Bom kereta itu bagaimanapun gagal meletup.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/13

No comments:

Post a Comment