Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Ralph jadi arnab paling berat di dunia

Posted:

London: Seekor arnab bernama Ralph mencipta kemasyhuran apabila menjadi arnab paling berat di dunia dengan 25.5 kilogram.

Kini berusia empat tahun, Ralph mendapat pengiktirafan itu pada 2010 sebelum tempatnya diambil alih arnab lain, Darius, yang mempunyai berat 22.2 kilogram. Pemilik haiwan itu, Pauline Grant berkata, Ralph kini lebih berat berbanding kanak-kanak normal berusia tiga tahun. "Ralph kini semakin matang dan beratnya tidak pernah dicapai sebelum ini.


"Walaupun begitu, Ralph sihat," katanya.

Satu-satunya masalah dihadapi Pauline ialah bulunya yang sering mengganggu orang lain. Kata Pauline, pemakanan Ralph sejak sekian lama tetap sama walaupun doktor haiwan pernah menasihati supaya ia dikawal.


"Saya dapati pemakanan biasa Ralph tidak memudaratkannya," katanya. Sebelum ini, ibu Ralph, Amy, diiktiraf Buku Rekod Guinness sebagai arnab terbesar di dunia sebelum haiwan itu mati empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

Dallas Wiens temu jodoh

Posted:

Austin (Texas): Lelaki yang menjalani pembedahan pemindahan wajah penuh melangsungkan perkahwinan dengan seorang mangsa kebakaran semalam di gereja yang menjadi lokasi dia mengalami kecederaan ngeri lima tahun lalu.

Wajah Dallas Wiens cacat sehingga tidak boleh dikenali langsung apabila dia tersentuh kabel bervoltan tinggi ketika dia bekerja di gereja berkenaan pada 2008.


Wiens, 27, menjalani puluhan pembedahan bagi membentuk semula wajahnya.

Isterinya, Jamie Nash, 29, nyaris terbunuh dalam kemalangan kereta pada 2010 apabila kenderaan berkenaan terbakar ketika dia terperangkap di dalamnya.


Kemalangan itu menyebabkan Jamie mengalami kesan lecur teruk pada tangan, belakang dan kaki. Mereka bertemu ketika menghadiri sesi kaunseling bersama kumpulan sokongan di sebuah hospital di Dallas sebelum akhirnya berkahwin semalam. Kata Wiens, dia berasa sangat bertuah kerana dipilih Jamie sebagai suami dan berjanji menyayangi wanita terbabit sepenuh hati. Beratus-ratus orang bersesak-sesak dalam Gereja Ridglea untuk menyaksikan Wiens dan Jamie disahkan sebagai pasangan suami isteri.


Antara mereka ialah doktor dan jururawat yang pernah merawat pasangan berkenaan. Dallas - dari Fort Worth di Texas - sedang mengecat gereja itu sambil berdiri pada tempat tinggi apabila kepalanya tersentuh kabel.

Renjatan elektrik menyebabkan dia cedera parah dan mukanya seolah-olah cair. Tiga tahun kemudian, bapa kepada seorang anak itu menjadi individu pertama di Amerika Syarikat menjalani pemindahan muka penuh. Wiens menerima hidung, bibir, kulit, otot dan saraf baru daripada penderma tidak dikenali dan menjalani hampir 40 pembedahan. Jamie pula - berasal dari Garland, Texas - mengalami lecur 70 peratus daripada badannya.


Ibu kepada seorang anak itu kini aktif memberi syarahan mengenai bahaya menggunakan mesej pesanan ringkas telefon bimbit ketika memandu. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

Nombor plat PM jadi rebutan

Posted:

Bangkok: Nombor plat kereta Perdana Menteri Yingluck Shinawatra sekali lagi menarik perhatian kaki judi apabila orang ramai berkumpul untuk melihat nombor pendaftaran tiga kereta baru miliknya dengan harapan dapat memenangi loteri.

Mesyuarat bergerak Kabinet yang diadakan kelmarin di tiga wilayah Chachoengsao, Prachin Buri dan Sa Kaeo tiba-tiba menjadi perbualan hangat selepas media melaporkan Yingluck menggunakan tiga kenderaan baru.


Ramai penduduk di tiga wilayah berkenaan berkumpul di tepi jalan dan menunggu selama berjam-jam untuk menyaksikan kelibat kereta Yingluck melalui kawasan itu.

Semua kereta itu digunakan untuk bermesyuarat. Menurut laporan, Yingluck menaiki kereta dengan nombor pendaftaran 6594 di Chachoengsao, 4934 di Prachin Buri dan 555 di Sa Kaeo.


Bookie haram dilaporkan enggan mengambil pertaruhan loteri ke atas nombor pendaftaran kenderaan yang mempunyai kaitan dengan perdana menteri.


Sumber perjudian haram berkata, nombor itu adalah 4234 yang berpadanan dengan plat nombor van rasminya dan 2904, nombor badan helikopter yang menerbangkan Yingluck ketika lawatan mesyuarat bergerak Kabinet.

Bookie bimbang untuk menerima taruhan membabitkan nombor pendaftaran kenderaan perdana menteri kerana beberapa nombor pendaftaran kenderaannya pada masa lalu dalam loteri kebangsaan menyebabkan jumlah besar pembayaran terpaksa dibuat. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

Menantu, besan ditembak depan balai polis

Posted:

Bangkok: Seorang lelaki menembak mati menantu dan besannya di depan balai polis di Songkhla ekoran pertengkaran antara mereka malam semalam.

Polis daerah Rattaphum berkata, Charoen Thammarat, 60, berjalan memasuki balai polis berkenaan sebelum menyerah diri bersama senjata api digunakan selepas serangan itu.


Pis Thongruchi, 50, dan anak lelakinya, Phassakorn Thongruchi, 21, ditembak beberapa kali dan meninggal dunia akibat kecederaan dialami mereka ketika dirawat di hospital. Polis berkata, Charoen dan anak lelakinya sebelum itu datang ke balai polis untuk membuat laporan terhadap Pis dan Phassakorn yang didakwa menyerangnya.

Charoen memberitahu polis bahawa dia diserang oleh menantu dan besannya. Mereka memukul kepalanya dengan penukul apabila dia enggan meminjamkan mereka motosikalnya.


Ketika Charoen ingin beredar dari balai polis dia terserempak dengan menantu dan besannya itu yang turut mahu membuat laporan kerana kemusnahan hartanah mereka. Mereka bertengkar sebelum Phassakorn kemudian menumbuk muka bapa mentuanya.


Charoen lalu mengeluarkan pistolnya dan menembak kedua-dua lelaki itu beberapa kali. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

No comments:

Post a Comment