Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bapa, bayi maut dalam sungai

Posted: 08 Apr 2013 01:54 PM PDT

Hangzhou: Seorang bapa melihat sendiri detik-detik akhir anak lelakinya tenggelam bersama kereta sorong dalam sebuah sungai sejurus selepas dia mengambil gambar.

Lebih tragik, tindakan lelaki terbabit terjun ke sungai untuk menyelamatkan anaknya berakhir dengan dia sendiri mati lemas. Media semalam melaporkan, sebelum kejadian, lelaki terbabit, Sun Wen, meletakkan bayinya, Lin Sun, di tebing sungai di Hangzhou di wilayah Zhejiang untuk merakamkan gambar.


Sun mengunjungi kawasan berkenaan bersama anaknya bagi melawat kubur keluarga mereka sempena perayaan tradisional masyarakat Cina.

Bagaimanapun, tiba-tiba kereta sorong dinaiki Lin bergerak dan menggelongsor ke dalam sungai.


Sun bergegas terjun untuk menyelamatkan anaknya yang baru berusia 18 bulan itu tetapi gagal.


Jurucakap penyelamat berkata, walaupun Sun tidak pandai berenang, dia nekad terjun ke sungai demi menyelamatkan anaknya.

Foto

ANGGOTA penyelamat membawa keluar kereta sorong dari sungai, semalam.

Foto

KERETA sorong dan kamera milik Sun.

"Sun dan anaknya hanya dapat ditarik keluar selepas 20 minit di dalam air," katanya. Sementara itu, pegawai penyiasat polis berkata, ada kemungkinan Sun terlupa memasang brek pada kerusi tolak dinaiki Lin. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/09

Pertunjukan udara bertukar jadi tragedi

Posted: 08 Apr 2013 01:45 PM PDT

Santo Domingo: Pertunjukan udara di Republik Dominica bertukar menjadi tragedi apabila sebuah pesawat ringan terhempas ke laut dan membunuh dua juruterbang yang ada di dalamnya.

Insiden itu turut disaksikan ribuan pengunjung yang memenuhi pameran berkenaan.


Jurucakap polis berkata, pesawat udara itu terhempas hanya kira-kira 500 meter dari orang ramai. "Dalam tempoh kurang dari 60 saat, seluruh pesawat itu tenggelam ke laut," katanya. Dipercayai juruterbang terbabit gagal mengawal pesawat berkenaan ketika cuba melakukan aksi yang sukar di udara. Laporan awal mendakwa, enjin pesawat berkenaan terhenti seketika sejurus sebelum kemalangan berlaku. Dua mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Rafael Sanchez, 25, dan pembantunya, Carlos Manuel Guerrero, 27.

Penganjur kemudian menamatkan serta-merta pertunjukan yang sepatutnya berlangsung selama dua hari itu. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/09

Pemilik chalet mati ditembak

Posted: 08 Apr 2013 01:45 PM PDT

Manila: Seorang lelaki Australia maut ditembak di kepalanya dari jarak dekat di sebuah pusat percutian miliknya di Filipina, kata polis semalam.

Paul Dean Davy, 52, yang juga Pengurus Besar Blue Rock Beach Resort di Olongapo City mati di tempat kejadian selepas ditembak pagi Jumaat lalu.


Pegawai penyiasat, Tyrone Tecson berkata, Davy sedang bercakap dengan pekerja pusat peranginan itu apabila seorang lelaki menghampirinya dari belakang sebelum melepaskan tembakan.

"Penyerang hanya melepaskan satu das tembakan," katanya.


Menurut Tecson, pembunuhan itu mungkin ada kaitan dengan pertikaian masalah pekerjaan kerana ada beberapa orang dipaksa berhenti atau dibuang kerja baru-baru ini. Katanya, polis melihat kemungkinan pembunuhan itu bermotifkan dendam.


"Ramai pekerja yang diberhentikan marah atas tindakan yang dikenakan ke atas mereka," katanya. Kejadian itu, kata Tecson, disaksikan ramai orang, termasuk pekerja pusat peranginan berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/09

Nenek seludup kokain tetap dihukum mati

Posted: 08 Apr 2013 01:44 PM PDT

Denpasar: Sebuah mahkamah menolak rayuan seorang nenek warga Britain yang dihukum mati kerana menyeludup kokain ke Bali.

Jurucakap Mahkamah Tinggi Bali berkata, hakim mengekalkan hukuman mati ke atas Lindsay Sandiford , 56, yang diputuskan Januari lalu.


"Hakim mendapati keputusan asal Mahkamah Daerah Denpasar tepat dan benar.

"Lindsay akan dimaklumkan mengenai keputusan itu secepat mungkin," katanya. Siasatan polis mendapati, Lindsay menjadi ketua rangkaian penyeludupan dadah yang turut membabitkan tiga lagi warga Britain.


Lindsay diberkas selepas polis menemui dadah bernilai RM7.35 juta dalam beg pakaiannya selepas tiba di lapangan terbang dari Bangkok pada Mei tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/09

Bas pelancong jatuh gaung

Posted: 08 Apr 2013 01:44 PM PDT

Bangkok: Lima orang maut, termasuk seorang bayi berusia tujuh bulan dan seorang wanita Belgium apabila sebuah bas pelancong terhumban ke lereng bukit di utara Thailand, kata polis semalam.

Seramai 53 orang lagi cedera dalam kemalangan didakwa berpunca daripada kerosakan brek kenderaan berkenaan. Ketua Polis Wilayah Phitsanulok, Sane Promrut berkata, bas berkenaan terhuyung-hayang beberapa kali di laluan lereng gunung itu sebelum merempuh penghadang di bahagian tepi jalan dan terhumban ke jurang curam..


"Daripada lima yang terbunuh, seorang daripadanya bayi lelaki dan tiga wanita, termasuk seorang warga Belgium berusia lewat 20-an," katanya. Menurut Sane, bas itu dalam perjalanan dari wilayah Udonthani di timur laut Thailand ke Chiang Mai.

Katanya, bas itu terhumban ke gaung sedalam kira-kira 20 meter pada awal pagi. Sementara itu, sumber hospital berkata, ibu kepada bayi yang maut itu kini dalam keadaan kritikal kerana mengalami pendarahan dalaman.


Bapa bayi itu pula patah kedua-dua kakinya.


Mangsa yang cedera termasuk seorang lelaki Belgium dan seorang lelaki Jepun. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/09

Rumah penasihat TPM Thai dibaling bom

Posted: 08 Apr 2013 01:40 PM PDT

Narathiwat: Rumah seorang daripada penasihat Timbalan Perdana Menteri (TPM) Thailand diserang dengan dua butir grenad awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Rangae, Somboon Sakhon berkata, pemilik rumah itu ialah Najmuddin Uma yang menjadi penasihat kepada Chalerm Yubamrung bagi menangani kekacauan di selatan Thailand.


Kata Somboon, letupan grenad M-79 itu menyebabkan rumah Najmuddin berlubang besar di bumbung dan siling rumahnya. "Tingkap depan sebuah kereta yang diletakkan berhampiran rumah itu turut musnah," katanya. Najmuddin adalah seorang daripada sembilan anggota kumpulan Wadah yang menjalin hubungan baik dengan kerajaan bagi menamatkan konflik berpanjangan di selatan Thailand.

Penyiasat berkata, dua lelaki bermotosikal dipercayai melepaskan grenad ke arah rumah Najmuddin sebelum melarikan diri. Ia adalah serangan kedua disasarkan ke rumah Najmuddin dalam tempoh setahun. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/09

No comments:

Post a Comment