Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


TMJ tak jadi letak jawatan

Posted: 09 Apr 2013 10:50 AM PDT

Kuala Lumpur: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menarik balik keputusan meletak jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berkuat kuasa serta merta.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah mengumumkan keputusan itu pada sidang media selepas Tunku Ismail berkunjung ke Istana Pahang, semalam.


Turut hadir pada pertemuan hampir sejam itu ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Sultan Ahmad Shah berkata, keputusan itu dibuat Tunku Ismail selepas dipujuknya selain turut mendapat restu Sultan Ibrahim.


"Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana harapan saya menjadi kenyataan, Tunku Mahkota Johor akan kembali sebagai Presiden PBNJ dan saya telah menasihatkan (Tunku Ismail) supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kedudukan bola sepak di Johor," katanya.


Sultan Ahmad Shah bagaimanapun menegaskan, Tunku Ismail tetap akan menjalani hukuman penggantungan dan denda diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FAM sebelum ini.

"Sekali anda memutuskan untuk menjadi anggota persatuan, kita tertakluk kepada undang-undang yang diperuntukkan persatuan dan tiada siapa boleh melarikan diri daripada undang-undang yang telah termaktub bertahun-tahun," ujar beliau.


Sultan Ahmad Shah turut gembira dengan pencapaian diraih dua pasukan di bawah PBNJ iaitu Johor Darul Takzim (Liga Super) dan Johor FA (Liga Perdana) sejak Tunku Ismail menjadi Presiden PBNJ.

Tunku Ismail sebelum ini digantung enam bulan dan denda RM18,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana mengkritik mutu pengadilan Liga M dan hukuman itu berkuat kuasa sejak 8 Mac lalu.


Beliau turut dipalit kontroversi selepas didakwa duduk di bangku simpanan pemain sewaktu aksi Liga Super antara Johor DT menentang Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 30 Mac ketika hukuman masih berkuat kuasa.


Pada 3 April, Tunku Ismail membuat keputusan meletak jawatan selaku Presiden PBNJ.


Beliau dikatakan berbuat demikian kerana mahu menumpukan tugas selaku TMJ dan tidak mahu terikat dengan undang-undang FAM.


Tunku Ismail turut mengumumkan akan menjadi penaung PBNJ manakala jawatan Presiden PBNJ akan disandang Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Obet Tawil.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/10

Leban Chondong B menyinar

Posted: 09 Apr 2013 10:47 AM PDT

Rompin: Seperti diramal pasukan Leban Chondong B muncul juara Kejohanan Cabaran Futsal Padang Tertutup Kolej Komuniti Rompin 2013 di padang Dataran Majlis Daerah Rompin, baru-baru ini.

Pada perlawanan akhir, Leban Chondong B menewaskan Cardiff City, 2-1 menerusi sepakan penalti untuk membawa pulang hadiah RM700 dan piala kejohanan.


Naib johan meraih RM500, Jiran Muda ketiga, RM300 dan Blue Knight keempat RM150.

Kejohanan kali pertama dianjur Kolej Komuniti Rompin mendapat kerjasama Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Majlis Daerah Rompin dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Rompin disertai 32 pasukan.


Turut diadakan kejohanan bola jaring disertai tujuh pasukan yang menyaksikan skuad Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin muncul juara.


Majlis perasmian kejohanan dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman Datuk Mohd Johari Hussain. Turut hadir Pengarah Kolej Komuniti Rompin R Muraly Tharen.

Mohd Johari yang juga penasihat Kolej Komuniti Rompin berkata, kejohanan itu antara program mendekati rakyat dianjurkan Kolej Komuniti Rompin. Menurutnya, tujuan utama program adalah untuk memperkenalkan selain mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat setempat dengan Kolej Komuniti Rompin.


"Kejohanan futsal dan bola jaring turut menjadi gelanggang mencungkil bakat baru di kalangan belia daerah ini untuk membawa cabaran di peringkat negeri.

"Saya puas hati dengan sambutan dan kejayaan menganjurkan program ini yang membuktikan Kolej Komuniti Rompin memiliki kemahiran menganjurkan acara sukan," katanya.


Beliau berkata, lebih banyak pertandingan sukan dan aktiviti riadah akan dianjurkan di daerah ini dalam usaha menarik minat golongan belia mendampingi kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/10

Pasukan Barcelona FC pamer kehebatan

Posted: 09 Apr 2013 10:45 AM PDT

Seberang Jaya: Pasukan Barcelona FC dari Jabatan Perlindungan Negeri muncul juara Pertandingan Futsal Kelab Kilat Seberang Perai (KKSP) 2013 di Safira Sport Planet Seberang Jaya, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Pasukan itu menewaskan Panathinaikos FC dari Jabatan Pengurus Kawasan Seberang Jaya, 3-1 pada perlawanan akhir untuk membawa pulang RM500, manakala Panathinaikos FC RM359.


Celtic FC dari Jabatan Perlindungan Negeri mengalahkan Anzhi Makhachkala FC melalui sepakan penalti 4-3 pada aksi penentuan tempat ketiga. Mereka meraih RM259 dan RM150.

Urusetia pertandingan Zamri Hasan berkata, seramai 220 ahli kelab mengambil bahagian dan mereka dibahagikan dalam beberapa pasukan untuk merebut piala pusingan Yang diPertua KKSP Wan Ishak Soed.


Katanya, pertandingan futsal ini bermula sejak 2009 dan kali ini setiap pasukan dimestikan menggunakan nama pasukan kelab dari Eropah.


"Sambutan cukup menggalakkan dan peserta bermain penuh semangat, termasuk pasukan dari Syarikat Rakan Niaga Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/10

Titi Serong El Nino FC tak patah semangat

Posted: 09 Apr 2013 10:45 AM PDT

Yan: Tewas tidak bermakna kalah untuk selama-lamanya. Demikian menurut pengurus dan jurulatih pasukan Titi Serong El Nino FC Mohd Hafiz Abu Hassan.

Titi Serong El Nino FC tewas mengejut pada Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah anjuran Majlis Belia Daerah Yan di padang bola sepak KEDA Sungai Udang, baru-baru ini.


"Walaupun gagal menjulang juara, kami akan berusaha lebih gigih termasuk memperbanyakkan lagi latihan dan perlawanan persahabatan bagi memperkemaskan pasukan," tegasnya.

Pada kejohanan itu, Titi Serong El Nino FC terikat 0-0 namun dinafikan kemenangan selepas tewas 5-6 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Selengkoh FC.


Sebanyak 32 pasukan mengambil bahagian pada kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/10

Ratu Pecut MSS Pahang

Posted: 09 Apr 2013 10:44 AM PDT

Kuantan: Rekod baru acara 100 meter perempuan dengan masa 12.28 saat dicatat atlet kebangsaan Mahafizatul Abdul Manaf pada hari pertama Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) di Stadium Darul Makmur, kelmarin.

Kejayaan itu memadam rekod lama kejohanan 12.50s kategori Bawah 18 Tahun miliknya yang turut bersaing dalam acara 200m dan 4x100m mewakili kontinjen Majlis Sukan Sekolah (MSS) Kuantan.


Tempat kedua milik atlet MSS Bera Nurul Asikin Zainuddin (12.94s) dan ketiga, Najiha Ibrahim (13.05s) mewakili MSS Maran.

Mahafizatul berkata, latihan secara berterusan menjadi antara faktor membantunya melakar kejayaan membanggakan pada kejohanan MSSP kali ini.


Menurutnya, selepas mencatat keputusan terbaik dalam acara 100m, kini tumpuan beralih kepada usaha menambah kilauan emas 200m dan 4x100m.


"Saya harap impian merangkul tiga pingat emas menjadi kenyataan terutama selepas lapan tahun mewakili MSS Kuantan pada kejohanan balapan dan padang MSSP.

"Kejayaan pada saingan MSSP mencerahkan peluang saya mewakili MSS Pahang pada kejohanan balapan dan padang Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Mei ini," katanya yang kini belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ). Lebih 200 atlet dari 11 daerah bersaing dalam 29 acara tiga kategori iaitu B-12, 15 dan 18 bagi merebut 264 pingat.


Selepas dua hari kejohanan berlangsung, tiga rekod baru berjaya dicatat, 100m wanita B-18, lontar peluru wanita B-18 dan 200m lari berpagar lelaki B-15.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/10

Celup Corner langkah kanan

Posted: 09 Apr 2013 10:44 AM PDT

Kuantan: Percubaan kali pertama pasukan Celup Corner menyertai Kejohanan Bolasepak 9 Sebelah 2013 anjuran Umno Bahagian Indera Mahkota membuahkan hasil apabila muncul juara edisi sulung kejohanan itu, baru-baru ini.

Kejayaan itu dikecapi selepas Celup Corner menewaskan Cenderawasih, 1-0 pada final kejohanan yang disertai 16 pasukan Parlimen Indera Mahkota di padang Indera Mahkota 1, Kuantan.


Selaku juara, Celup Corner membawa pulang RM1,000 dan piala pusingan yang disampaikan Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota Datuk Mohd Hazmi Yusof (gambar). Pengurus pasukan Mohd Haizad Mustaffah Kamal berkata, pasukan itu mengambil risiko menyertai kejohanan dengan menyenaraikan 12 pemain berusia antara 17 dan 20 tahun.

Menurutnya, pada peringkat awal, pemain sedikit gentar memandangkan keluasan padang dan kecederaan yang mungkin dialami berbanding futsal.


"Namun cubaan pasukan membuahkan hasil dan tidak sangka mara ke final dan bergelar juara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/10

Butler pamer 'belang'

Posted: 09 Apr 2013 10:43 AM PDT

Kuala Terengganu: Penyerahan surat untuk merehatkan jurulatih T-Team Peter Butler kecoh apabila jurugambar New Straits Times Press (NSTP) Tengku Syamim Tengku Ismail dicaci, ditolak dan cuba dirampas kameranya semalam.

Butler yang juga pengurus pasukan, berulang kali menghalau sambil menolak dan memaki jurugambar berusia 21 tahun itu dengan panggilan 'bodoh' hingga dia berada agak jauh dari tempat jurulatih bangsa Inggeris itu menerima surat daripada Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (PBSDKT) Ali Embong.


Pemain import George Boateng (gambar) pula campur tangan dan bertindak kasar dengan merampas kamera Tengku Syamim yang cuba mengambil gambar dari jarak jauh.

Ketua pegawai eksekutif T-Team Ab Rasid Jusoh kesal dengan kejadian itu dan berjanji melakukan siasatan terperinci dalam masa terdekat.


"Kami akan mengambil tindakan sewajarnya andai terbukti jurulatih dan pemain T-Team itu melakukan kesalahan itu.


"Kami akan mendapatkan keterangan daripada semua yang berada di tempat kejadian sebelum tindakan selanjutnya dapat diambil," katanya.

Menurutnya, surat untuk merehatkan Butler selama 30 hari, berkuat kuasa hari ini, sudah dihantar melalui pos berdaftar.


"Pegawai kami berada di padang latihan datang untuk menyerahkan salinan surat itu kepada Butler dan kami tidak menyangka ia berakhir dengan ketegangan.

"Surat itu mengandungi arahan supaya Butler berehat dan tidak mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti membabitkan pasukan." Namun, Butler tetap menerima imbuhan gaji dan elaun bulanan lain sementara dia berehat dan tugasannya akan diambil sementara oleh penolong jurulatih Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor.


"Keputusan merehatkan Butler diluluskan lembaga pengarah pasukan memandangkan T-Team berada di zon penyingkiran selepas tamatnya pusingan pertama Liga Super.


"Kami harap, tindakan merehatkan Butler dan pengambilan pemain import baru dalam masa terdekat dapat membantu pasukan mencari kemenangan apabila bertandang ke Kuantan untuk bertemu Pahang, Sabtu ini." Sementara itu, Tengku Syamim berkata, dia cuma menjalankan tugas dan tidak menyangka Butler dan Boateng yang dianggapnya berhemah sebelum ini, sanggup bertindak liar terhadapnya yang sering membuat liputan di padang latihan dan stadium.


"Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kerana tidak mahu perkara seperti itu berulang kepada wartawan atau jurugambar lain di masa depan.


"Saya juga harap pengurusan pasukan T-Team mengambil tindakan sewajarnya ke atas jurulatih dan pemain itu kerana perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kepada pihak media yang cuma melakukan kerja mereka sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/10

Perlis ketandusan calon pemain import

Posted: 09 Apr 2013 10:43 AM PDT

Kangar: Bekas juara dua kali Piala Malaysia Perlis kini berdepan dilema untuk mendapatkan khidmat awang import berwibawa kerana ketandusan calon bagi memantapkan cabaran pada pusingan kedua Liga Perdana bermula Jumaat ini.

Justeru, skuad Singa Utara itu berkemungkinan besar tidak berpeluang mendaftarkan pemain import baru ketika pintu pendaftaran kali kedua dibuka Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mulai kelmarin.


Keadaan itu secara tidak langsung membuatkan Perlis terpaksa menggunakan dua awang import dari Ghana Antwi Dennis dan Okinne Emmanuel yang dipinjam Kelantan sejak bermula kempen Liga M, Januari lalu.

Jurulatih Yunus Alif berkata, beliau menghadapi kesulitan dalam usaha membentuk pasukan lebih berdaya saing pada baki cabaran kempen Liga M kerana belum ada pemain asing memenuhi kriteria ditetapkan.


"Andai usaha mencari tenaga import berwibawa tidak berhasil, kita tiada pilihan melainkan terpaksa menerima hakikat mengekalkan pemain import sedia ada biarpun menyedari prestasi mereka kurang memberangsangkan, setakat ini," katanya.


Katanya, sejak dua minggu lalu, beberapa pemain asing tiba di Kangar untuk memikat pengurusan pasukan namun semuanya tidak memenuhi kriteria ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/10

Selangor bernafas semula

Posted: 09 Apr 2013 10:43 AM PDT

Shah Alam: Selangor kembali menghidupkan saingan merebut tiket ke suku akhir Piala AFC apabila mencatatkan kemenangan pertama selepas mengharungi empat perlawanan untuk menewaskan kelab Vietnam Sai Gon Xuan Thanh, 3-1 dalam saingan Kumpulan H di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Jaringan Michal Kubala, Francis Forkey Doe dan Mohd Amri Yahyah memastikan Merah Kuning tidak tersingkir awal sekali gus menyaksikan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu kini bersaing untuk sekurang-kurangnya meraih kedudukan naib juara Kumpulan H.


Tewas pada kelab sama 1-2 pada minggu lalu nyata membakar semangat Merah Kuning apabila membuka jaringan seawal minit kesembilan menerusi sepakan percuma Kubala yang menewaskan Buitan Truong dan mencetuskan keyakinan tinggi buat tuan rumah meraih tiga mata pertama.

Kedudukan terbabit menyebabkan pelawat menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan dengan penjaga gol Selangor Mohd Sharbinee Allawee Ramli yang tampil menggantikan Norazlan Razali sebagai benteng terakhir mempamerkan aksi cemerlang menyelamatkan beberapa cubaan lawan.


Kelebihan jaringan Kubala digunakan Selangor yang tenang mengawal perlawanan dengan penyerang import dari Liberia Doe menghadiahkan jaringan kedua tuan rumah pada minit ke-64 sebelum pemain veteran Mohd Amri turut mencatatkan namanya dalam senarai penjaring menerusi sepakan lambung pada minit ke-73.


Bagaimanapun kealpaan benteng pertahanan Selangor yang diketuai Peter Chrappan dan Mohd Bunyamin Omar membawa padah apabila pelawat mendapat satu gol menerusi jaringan Moses Oloya ketika perlawanan berbaki 10 minit namun sudah terlalu lewat buat pelawat menyelamatkan rekod tiga perlawanan tanpa tewas.

Berbaki dua perlawanan menentang East Bengal dan Tampines Rovers, Selangor kini mengumpul empat mata dengan Sai Gon Xuan Thanh kekal menghuni tangga kedua kumpulan meraih tujuh mata dalam empat perlawanan.


Kedudukan teratas kekal milik East Bengal dari India yang sudah mengumpul 10 mata selepas menewaskan wakil Singapura Tampines Rovers 2-1 malam tadi yang hingga kini sekadar meraih satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/10

Butler berang, serang jurugambar

Posted: 09 Apr 2013 10:42 AM PDT

Kuala Terengganu: Penyerahan surat untuk merehatkan jurulatih T-Team Peter Butler kecoh apabila jurugambar New Straits Times Press (NSTP) Tengku Syamim Tengku Ismail dicaci, ditolak dan cuba dirampas kameranya semalam.

Butler yang juga pengurus pasukan, berulang kali menghalau sambil menolak dan memaki jurugambar berusia 21 tahun itu dengan panggilan 'bodoh' hingga dia berada agak jauh dari tempat jurulatih bangsa Inggeris itu menerima surat daripada Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (PBSDKT) Ali Embong.


Pemain import George Boateng pula campur tangan dan bertindak kasar dengan merampas kamera Tengku Syamim yang cuba mengambil gambar dari jarak jauh.

Ketua pegawai eksekutif T-Team Ab Rasid Jusoh kesal dengan kejadian itu dan berjanji melakukan siasatan terperinci dalam masa terdekat.


"Kami akan mengambil tindakan sewajarnya andai terbukti jurulatih dan pemain T-Team itu melakukan kesalahan itu.


"Kami akan mendapatkan keterangan daripada semua yang berada di tempat kejadian sebelum tindakan selanjutnya dapat diambil," katanya.

Menurutnya, surat untuk merehatkan Butler selama 30 hari, berkuat kuasa hari ini, sudah dihantar melalui pos berdaftar.


"Pegawai kami berada di padang latihan datang untuk menyerahkan salinan surat itu kepada Butler dan kami tidak menyangka ia berakhir dengan ketegangan.

"Surat itu mengandungi arahan supaya Butler berehat dan tidak mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti membabitkan pasukan." Namun, Butler tetap menerima imbuhan gaji dan elaun bulanan lain sementara dia berehat dan tugasannya akan diambil sementara oleh penolong jurulatih Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor.


"Keputusan merehatkan Butler diluluskan lembaga pengarah pasukan memandangkan T-Team berada di zon penyingkiran selepas tamatnya pusingan pertama Liga Super.


"Kami harap, tindakan merehatkan Butler dan pengambilan pemain import baru dalam masa terdekat dapat membantu pasukan mencari kemenangan apabila bertandang ke Kuantan untuk bertemu Pahang, Sabtu ini." Sementara itu, Tengku Syamim berkata, dia cuma menjalankan tugas dan tidak menyangka Butler dan Boateng yang dianggapnya berhemah sebelum ini, sanggup bertindak liar terhadapnya yang sering membuat liputan di padang latihan dan stadium.


"Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kerana tidak mahu perkara seperti itu berulang kepada wartawan atau jurugambar lain di masa depan.


"Saya juga harap pengurusan pasukan T-Team mengambil tindakan sewajarnya ke atas jurulatih dan pemain itu kerana perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kepada pihak media yang cuma melakukan kerja mereka sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/10

No comments:

Post a Comment