Showing posts with label Harian-Metro-Global. Show all posts
Showing posts with label Harian-Metro-Global. Show all posts

Harian Metro: Global


Harian Metro: Global


Posted: 10 Nov 2012 01:19 PM PST
LONDON: Penyanyi sensasi Korea Selatan, PSY menerima sijil Rekod Dunia Guinness ketika ditemuramah di studio Radio 1 BBC di sini, semalam.
PSY, yang terkenal dengan lagu Gangnam Style menerima sijil berkenaan selepas mengalahkan LMFAO dan Justin Bieber untuk 'Like' paling banyak bagi video dalam YouTube. Video Gangnam Style mencatatkan 4,911,081 'Like' sejak mula dimuatnaikkan pada 15 Julai lalu.

"Saya begitu teruja," kata PSY yang nama sebenarnya Park Jae-sang selepas menerima sijil berkenaan. "Inilah sijil pertama saya. Saya tidak pernah menerima sijil di sekolah," katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:17 PM PST
RIYADH: Lebih 5,000 gadis bawah umur 14 tahun melangsungkan perkahwinan di Arab Saudi.
Media negara itu memetik aktivis sosial, Ali Abdul Rahman al-Roumi sebagai berkata,ia bagaimanapun bukan satu trend yang berlaku di negara berkenaan.
Beliau tidak menyebut tempoh masa perkahwinan itu berlangsung.
"Terdapat 5,622 perkahwinan membabitkan gadis babawah 14 tahun. Masalah ini dijangka tidak akan selesai meskipun jika kerajaan menetapkan had umur untuk mendirikan rumah tangga.

"Malah, langkah itu, jika diambil, mungkin akan mencetuskan masalah lebih besar," kata Ali, yang juga ahli akademik di Universiti Islam Imam Mohammad Bin Saud.

Pada masa sama, beliau juga tidak bersetuju dengan mereka yang menentang langkah untuk menetapkan had umur untuk berkahwin.
Katanya, tindakan yang perlu dilakukan ialah mengambil kira usia pengantin lelaki dan perempuan tidak terlalu jauh dan memastikan jumlah wang hantaran tidak terlalu mahal bagi mengelak daripada perbuatan yang disifatkan sebagai 'menjual anak kepada orang kaya.
Menurutnya, kebanyakan perkahwinan bawah umur itu berlaku di kawasan pedalaman kerana kecenderungan ibu bapa untuk mengahwinkan anak mereka dengan lelaki tua yang kaya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Syura, Abdullah Bin Saleh Al Haeithi berkata, Kementerian Kehakiman sedang mengkaji pelaksanaan had umur untuk berkahwin. - GN
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:17 PM PST
LONDON: Jaguh pecut dunia, Usian Bolt mungkin bergabung dengan chef selebriti, Gordon Ramsay untuk membuka sebuah restoran bertemakan olahraga.
Menurut Usain, dia berminat untuk membuka restoran berkenaan di London.

"Saya sukakan makanan dan saya sukakan sukan.
"Saya mempunyai impian untuk menggabungkan kedua-duanya.

"Masalah yang dihadapi oleh kebanyakan restoran bertema ialah kualiti makanan yang tidak mencapai tahap.

"Jika saya membuka restoran bertemakan olahraga, saya akan memastikan ia yang terbaik. "Kerana itu, saya bercadang bergabung dengan Gordon Ramsay. "Dia chef paling baik di dunia dan mempunyai personaliti," kata Usain.
Usain akan berada di London Januari ini dan berhasrat berbincang dengan Ramsay mengenai rancangannya itu. - TS
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:16 PM PST
ANKARA: Media Turki melaporkan 17 anggota tentera negara itu terbunuh dalam kemalangan helikopter, semalam.
Kemalangan berlaku di tenggara negara itu.

Rangkaian televisyen Channel 24 memetik Gabenor wilayah Siirt, Ahmet Aydin sebagai berkata, helikopter terbabit terhempas di daerah Pervan.
Laporan lain menyatakan, kejadian berlaku dalam kabus tebal di kawasan pergunungan di daerah terbabit.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca kemalangan. Pejuang Kurdis dikatakan aktif di kawasan berkenaan.

Tentera Turki melancarkan operasi untuk mengusir pejuang berkenaan sejak beberapa bulan lalu. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:16 PM PST
OHIO: Doktor seorang banduan yang menanti hukuman mati memberitahu mahkamah di sini semalam, pesakitnya terlalu gemuk untuk menjalani suntikan maut dan kerana itu tidak boleh menjalani hukuman berkenaan.
"Kerana tidak mempunyai vena pada lengan, tangan atau kaki untuk disuntik kerana terlalu gemuk, dia tidak boleh menjalani hukuman mati," kata Doktor Sergio Bergese. Ronald Post, 53, sepatutnya menjalani hukuman itu pada 16 Januari depan atas kesalahan membunuh seorang kerani hotel, Grance Vantz pada 1983.

Post, 53, yang seberat 270 kilogram mahukan mahkamah membatalkan hukuman itu atas alasan berat badannya akan menyebabkan dia mengalami kesakitan amat sangat ketika menjalani proses berkenaan.
Menurut Bergese, Post juga mempunyai parut pada lengan kiri dan kanannya akibat cubaan membunuh diri. Parut berkenaan menyebabkan dia tidak boleh disuntik.

Sementara itu, waris mangsanya yang mendesak pihak berkuasa meneruskan hukuman itu, menyifatkan alasan Post sebagai jenaka. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:15 PM PST
YANGON: Sebuah kereta api membawa petrol tergelincir dan terbakar semalam, menyebabkan 25 orang rentung dan 62 cedera.
Kebanyakan mangsa ialah penduduk kampung yang cuba mengambil minyak yang tumpah akibat kemalangan itu.

Televisyen Myanmar melaporkan, kebakaran berlaku selepas tiga gerabak penuh dengan petrol terbalik berhampiran sebuah kampung di daerah Kanbalu, berhampiran sempadan India, kira-kira 500 kilometer ke utara Yangon.
Penduduk Kampung Chek- gyi berebut-rebut untuk mengambil minyak yang tumpah apabila mereka terperangkap dalam kebakaran itu.

Kira-kira 70 peratus daripada 60 juta penduduk Myanmar tinggal di ladang dan minyak begitu sukar diperoleh.

Seorang pegawai Jabatan Keretapi Myanmar memberitahu wartawan, angka kematian mungkin meningkat memandangkan sebahagian mangsa cedera parah. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:15 PM PST
RIYADH: Seorang angkasawan Russia semalam berkata, bandar suci Makkah dan Madinah adalah yang paling terang dan cantik apabila dilihat dari angkasa lepas.
Angkasawan berkenaan memberitahu demikian kepada pelajar Arab Saudi yang menyertai program Persatuan Kembara Angkasa Lepas semalam.

"Ketika berada di angkasa lepas, kami tidak berdepan dengan masalah untuk merakam gambar bandar raya di bumi pada siang hari.
"Tetapi, sebelah malam, ia begitu rumit dan anda perlu menggunakan teknik khas. Namun, saya berjaya merakam gambar beberapa bandar waktu itu. "Yang mengejutkan saya, ialah Makkah dan Madinah begitu terang berbanding bandar lain di seluruh dunia ketika waktu malam," kata angkasawan Anatoly Ivanishin.

Menurutnya, bandar lain tidak begitu jelas ketika itu tetapi pemandangan Makkah dan Madinah begitu menakjubkan dan tidak diduga. - AN
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:14 PM PST
WASHINGTON: Pengarah Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), David Petraues meletak jawatan semalam kerana terbabit dalam hubungan sulit.
Perletakan jawatannya mengejutkan Washington, tiga hari selepas pemilihan semula Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS).

Ia juga berlaku sejurus sebelum Petraues memberi keterangan mengenai kegagalan CIA melindungi Konsulat AS di Libya dan dua hari sebelum dia menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-60. "Selepas berkahwin selama 37 tahun, saya bertindak kurang bijak dengan menjalinkan hubungan sulit. "Perbuatan itu tidak boleh diterima, baik sebagai suami dan juga pemimpin sebuah agensi seperti CIA," kata Petraeus dalam satu kenyataan. Hubungan itu terbongkar ketika FBI melakukan pengawasan terhadap e-mel Petraeus.
Menurut sumber, bekas jeneral empat bintang itu yang pernah mengetuai tentera AS di Iraq dan Afghanistan menjalinkan hubungan sulit dengan penulis biografinya yang juga pegawai tentera simpananan, Paula Broadwell.

Obama dilapor menerima perletakan jawatan Petraues Jumaat lalu. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Posted: 10 Nov 2012 01:14 PM PST
TOKYO: Penganjur maraton Beijing tidak membenarkan pelari Jepun mengambil bahagian kerana faktor keselamatan selepas sengketa baru meletus berkait dengan perebutan wilayah antara kedua-dua negara.
Maraton berkenaan dijadual berlangsung 25 November ini dan kira-kira 26,000 orang sudah menandatangani untuk menyertainya sejak pendaftaran dibuka Khamis lalu.
Syarikat Jepun seperti Canon menaja acara tahunan itu sehingga tahun lalu tetapi tidak berbuat demikian tahun ini.
Tindakan Jepun mengisytiharkan beberapa pulau yang menjadi rebutan dengan Beijing mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di beberapa bandar raya China September lalu dengan mensasarkan rakyat, perniagaan dan misi diplomatik negara itu.

Sejak itu atlet Jepun dan China menarik diri daripada beberapa acara sukan di kedua-dua negara atas alasan keselamatan. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11

Harian Metro: Global


Harian Metro: Global


Posted: 16 Nov 2012 09:39 AM PST
JOHANNESBURG: Untuk berada dekat dengan haiwan paling ditakuti menjadi tarikan utama bagi mereka yang bercuti di taman safari.
Malang bagi dua pelancong Britain, apabila impian mereka nyaris menyebabkan mereka terbunuh selepas kenderaan yang mereka naiki diserang seekor gajah.

Kereta pasangan yang baru bertunang itu dirempuh dan diterbalikkan oleh gajah jantan itu.
Haiwan itu bertindak demikian selepas turut cuba menyerang kereta di depan kenderaan pasangan berkenaan.

Pasangan itu, Cris Hare dan Helen Jenning, kedua-duanya berusia 40 tahun, bagaimanapun hanya cedera ringan dalam kejadian di Taman Negara Kruger, Afrika Selatan. "Ketika saya membelok, gajah itu berada di depan kami. Dia berjalan menuju kereta kami. Saya berhenti di tepi. "Gajah itu kelihatan berjalan melintasi kereta kami tetapi kemudian pusing, merodok gadingnya pada pintu penumpang, menyebabkan kereta kami terbalik. "Ia sungguh menakutkan. Dalam hati saya hanya berkata-kata: 'Tidak mungkin perkara ini berlaku.'" Vasti Fourie yang dalam kereta lain menyaksikan serangan berkenaan dan berkata: "Ia menyerang sebelah tepi kereta itu, mengangkat dengan gadingnya, membalikkannya sebelum ia meninggalkan tempat itu dengan tenang.

"Semuanya berlaku begitu cepat. Saya tidak pernah melihat kejadian seumpama ini sepanjang hidup. Saya percaya ia tidak pernah berlaku sebelum ini." Hare dan Helen yang berasal dari Stockton-on-Tees, menghabiskan masa tiga hari bercuti di taman negara itu sebelum berlepas ke Durban.
Petugas taman berkenaan kemudian berkata, mereka menemui darah dalam kereta pasangan itu dan berpendapat, gajah itu bertindak demikian mungkin kerana sakit gigi.

Usaha menjejak haiwan itu dilancarkan untuk memastikan sama ada ia memerlukan rawatan.
Jurucakap Taman Negara Afrika Selatan, Reynold Thakhuli memberi amaran kepada pelancong supaya lebih berwaspada ketika berada di sekeliling haiwan liar dan jangan membenarkan apa-apa terjulur dari kereta mereka.

"Apabila melihat haiwan menuju ke arah kamu, jangan cemas. Cuba menjauhkan diri anda daripadanya secepat mungkin. "Gajah amat berbahaya jika mereka rasa terancam," katanya. - DM
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/17

Posted: 16 Nov 2012 09:36 AM PST
MUMBAI: Kebaikan dan keburukan makan daging mungkin menjadi subjek perbahasan bagi pakar pemakanan.
Bagaimanapun, satu buku teks sekolah di India dengan jelas berkata: Daging akan membuat anda membohong, mencuri malah melakukan jenayah seks.

Panduan moral itu muncul dalam buku sekolah untuk murid 11 tahun.
Dalam satu laman, buku itu berkata, mereka yang memakan daging akan mudah menipu, lupa janji, tidak jujur, suka memaki, mencuri, bergaduh, ganas dan melakukan jenayah seks.

Ia juga mendakwa, najis yang menghasilkan perasa daging serta memuji rakyat Jepun kerana mengamalkan makan sayur. Ia bagaimanapun tidak pula menyebut mengenai kegemaran rakyat negara itu kepada makanan laut. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/17

Posted: 16 Nov 2012 09:35 AM PST
HONG KONG: Pegawai kastam Hong Kong melakukan rampasan kedua terbesar gading gajah dalam tempoh kurang sebulan selepas menyita lebih satu tan bahan seludup bernilai AS$1.4 juta (RM4.3 juta), semalam.
Kastam menemui 569 gading gajah seberat 1,330 kilogram dalam kontena yang dihantar ke pelabuhan Hong Kong.

Kastam mengesan sebuah kontena dari Tanzania dan menemui 45 beg gading gajah belum diproses disembunyikan di bawah 400 beg berisi biji bunga matahari, kata komander divisyen kastam, Vincent Wong.
Menurutnya, penyeludup menghantar gading gajah itu melalui Dubai dan memindahkannya dari satu kapal ke kapal lain.

Sementara destinasi kontena itu disenaraikan ke Hong Kong, pegawai kastam percaya penghantaran itu ditujukan ke tempat lain tetapi tidak menyatakan di mana.

Penemuan itu berlaku hanya beberapa minggu selepas kastam Hong Kong membuat rampasan terbesar mereka terhadap produk spesies terancam dengan merampas hampir empat tan gading gajah Afrika bernilai RM10.4 juta dalam dua kontena berasingan. Penyeludup menggunakan timbunan plastik dan kekacang untuk menyembunyikan gading gajah itu. Wong berkata, kedua-dua kes itu tidak mempunyai kaitan. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/17

Posted: 16 Nov 2012 09:35 AM PST
TOKYO: Lima sekeluarga, termasuk tiga kanak-kanak ditemui mati dalam sebuah van di tengah negara ini dipercayai bunuh diri, kata pihak berkuasa semalam.
Lima beranak itu, lelaki dan perempuan berusia lingkungan 30-an dan tiga kanak-kanak lelaki berusia lima, tujuh dan 10 tahun ditemui dalam sebuah kenderaan di kawasan parkir di Fujinomiya, wilayah Shizuoka, kata pegawai polis di Jabatan Polis Fujinomiya.

Lima beranak berkenaan dipercayai mati akibat gas beracun karbon monoksida selepas membakar serpihan arang dalam kenderaan itu - bukan kaedah luar biasa membunuh diri di Jepun. "Kami masih menyiasat kes itu sebagai kes bunuh diri sekeluarga kerana mereka turut meninggalkan nota bunuh diri," kata jurucakap polis.
Jepun dengan populasi kira-kira 128 juta adalah satu daripada negara yang mempunyai kadar bunuh diri tertinggi di dunia. Setiap tahun lebih 30,000 orang meragut nyawa sendiri di negara di mana bunuh diri disifatkan kurang memalukan berbanding di sesetengah negara Barat.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/17

Posted: 16 Nov 2012 09:35 AM PST
ANTIOCH (California): Seorang wanita dari utara California yang kediamannya dirompak merayu kepada perompak agar memulangkan hanya satu barangan, iaitu sebuah bekas perak mengandungi abu mayat bayinya.
The Contra Costa Times melaporkan kediaman Michiko Koyoi di sini dipecah masuk dan diselongkar semalam. Polis masih menyiasat kejadian rompakan itu.

Antara barangan yang hilang ialah pasu berbentuk hati yang mengandungi abu anak lelakinya yang mati ketika dilahirkan pada Januari lalu. Nama dan tarikh kematian bayi itu turut ditulis pada bekas itu. Michiko, 35, yang mempunyai tiga lagi anak menggesa perompak agar memulangkan bekas berkenaan, mengatakan mereka boleh menyimpan semua barangan lain. Bayi yang meninggal dunia itu didiagnos dengan sindrom down dan masalah tulang belakang ketika dalam kandungan. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/17

Posted: 16 Nov 2012 09:32 AM PST
SYDNEY: Sebuah kapal layar yang terdampar di sebuah pulau tidak berpenghuni di selatan Lautan Pasifik dengan mayat reput di atasnya turut membawa 200 kilogram kokain bernilai hingga AS$120 juta (RM368 juta), kata polis semalam.
Polis Persekutuan Australia berkata, agensi undang-undang antarabangsa telah memantau kapal layar "JeReVe" berukuran 13 meter itu sejak ia meninggalkan Amerika Selatan hingga mereka terputus hubungan dengannya bulan lalu.

Dua orang penyelam mendekati kapal itu awal bulan ini di perairan kepulauan Vavu di Tonga dan berdepan penemuan mengerikan apabila menemui mayat seorang lelaki kulit putih yang reput di atas kapal itu. Mereka kemudian melaporkan penemuan itu kepada polis. "Turut ditemui berada di atas kapal itu ialah 204 blok kokain seberat sekilogram setiap satu yang disasarkan untuk pasaran Australia," kata Pengurus Kebangsaan Untuk Jenayah Serius dan terancang, David Sharpe dalam satu sidang akhbar.
Penemuan besar dadah dengan nilai jalanan di Australia yang dianggarkan hingga Aus$116 juta (RM367 juta) itu kini menjadi sebahagian operasi yang masih berjalan membabitkan polis Tonga, Pulau Cook, Australia dan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat.

Ahli koroner Tonga juga sedang menjalankan bedah siasat terhadap mayat lelaki yang ditemui itu.

Polis dan kastam Australia diberitahu bahawa sebuah kapal dalam perjalanan dari Ecuador menuju ke negara itu Ogos lalu sebelum siasatan dimulakan.
Mereka membentuk kumpulan khas dengan pihak berkuasa AS bagi memeriksa laluan di selatan lautan Pasifik yang dieksploitasi oleh sindiket jenayah terancang antarabangsa. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 16 Nov 2012 09:31 AM PST
SHANGHAI: Beberapa pembekal kepada satu daripada kedai iPhone dalam talian terbesar di China diheret ke mahkamah kerana didakwa mengelak membayar cukai dengan menyeludup iPhone dan iPad syarikat Apple ke dalam negara itu, lapor media kerajaan semalam.
Sebanyak 26 pembekal daripada Lanyou Shuma.com dihadapkan ke mahkamah di Shenzhen kelmarin sebagai sebahagian daripada lima rangkaian yang menyeludup lebih 162,000 telefon mudah alih bernilai lebih 500 juta yuan (RM246 juta) dari Hong Kong sejak dua tahun lalu, lapor Beijing News. Separuh daripada suspek adalah suri rumah yang sering berkunjung ke Hong Kong, menurut sebuah akhbar lain, Southern Metropolis Daily sambil menambah mereka dibayar 20 hingga 30 yuan (RM9.80 hingga RM14.70) sebagai komisen untuk setiap telefon bimbit yang dibawa pulang ke tanah besar. Shanghai Daily pula berkata, 25 defendan dididakwa kerana menyeludup produk iPhone dan iPad.

Kedai digital Lanyou Shuma.com yang pernah menjadi satu daripada kedai terbesar dalam Taobao Marketplace di China dipaksa menutup perniagaan April lalu oleh Taobao selepas pihak berkuasa Hong Kong melancarkan siasatan ke atasnya kerana dipercayai menyeludup iPhone 4S. Taobao Marketplace, satu daripada cawangan kumpulan Alibaba adalah laman web e-dagang terbesar di China yang memfokus kepada pengguna. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 16 Nov 2012 07:56 AM PST
JAKARTA: Penyanyi Nazriel Irham atau lebih dikenali sebagai Ariel "NOAH" menjadi bahan gosip lagi.
Ariel yang kini menyanyi bersama kumpulan baru, dikatakan bercinta dengan seorang pramugari jelita, Magdelena Awuy.
Tetapi, yang membuatkan peminatnya kecoh, Magdelena adalah isteri orang.
Ariel juga tidak senang duduk dengan khabar angin itu. Pengurus penyanyi itu, Kindy, menegaskan perkara itu hanyalah gosip.

"Khabar angin itu tidak benar dan Ariel sendiri menafikannya. Malah, sumber gosip itupun tidak diketahui," katanya.

Ariel dikatakan mula rapat dengan Magdelena ketika konsert jelajah Noah "5 Negara dan 2 Benua" di mana waktu itu Magdelena bertugas sebagai pramugari untuk pesawat kumpulan Ariel Cs.
Sumber mengatakan, merka terus rapat sehingga kumpulan Noah melakukan persembahan di tempat lain.
Namun begitu, Kindy menegaskan khabar angin itu tidak benar. - Detikhot
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 16 Nov 2012 07:55 AM PST
BANGKOK: Polis Thailand semalam berkata, mereka menemui beribu-ribu pakaian dalam wanita yang dicuri di rumah suspek perompak.
Ini kali kedua suspek ditemui menyembunyikan pakaian dalam wanita di rumahnya.
Danai Raiwech, 48, ditahan di rumahnya di luar Bangkok kelmarin selepas polis menggeledah rumahnya kerana dipercayai merompak barang kemas bernilai AS$325,000 (RM998,660) dari sebuah kedai emas.
Isterinya didapati memakai barang kemas yang dicuri dan ketika menggeledah rumah pasangan itu, polis menemui beberapa beg berisi pakaian dalam wanita.

Kolonel Napanwut Liamsanguan berkata, "Suspek mengaku menggunakan pakaian dalam itu untuk melancap." - Bangkok Post
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 16 Nov 2012 07:54 AM PST
BANGKOK: Pegawai Kesihatan berkata, zakar seorang pesakit lelaki yang mengalami jangkitan terpaksa dibuang selepas dia menyuntik minyak zaiton ke organ itu untuk membesarkannya.
Cara yang membahayakan dan tidak terbukti berkesan itu sering dilakukan di Thailand di mana sekurang-kurangnya 40 pesakit dimasukkan ke hospital di Bangkok sebulan akibat kesan sampingan.
Zakar lelaki berusia 50 tahun itu terpaksa dibuang selepas dia mengalami kesan sampingan yang teruk.
Jurucakap Hospital Besar Polis Bangkok, Sirikul Jiaranaikhajorn berkata, lelaki itu menjalani suntikan minyak zaitun beberapa kali sejak beberapa tahun lalu.

Lelaki itu didiagnosis menghidap kanser dan perlu menjalani pembedahan membuang zakar.

Sirikul berkata, "Ini merupakan pembedahan (zakar) paling kritikal yang kami jalankan kerana kami menemui kanser."
Katanya, biasanya dua atau tiga pesakit yang dirawat setiap minggu adalah akibat jangkitan tetapi tiada bukti mengatakan bahawa prosedur suntikan itu menyebabkan kanser.
Lelaki itu mendapatkan suntikan di klinik dan ditemani rakannya, walaupun orang ramai telah diberi amaran bahawa membesarkan zakar dengan cara itu adalah bahaya.
Lelaki itu katanya, mencuba prosedur berkenaan selepas mendengar nasihat rakannya. - Bangkok Post
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Harian Metro: Global


Harian Metro: Global


Posted: 16 Nov 2012 09:31 AM PST
SHANGHAI: Beberapa pembekal kepada satu daripada kedai iPhone dalam talian terbesar di China diheret ke mahkamah kerana didakwa mengelak membayar cukai dengan menyeludup iPhone dan iPad syarikat Apple ke dalam negara itu, lapor media kerajaan semalam.
Sebanyak 26 pembekal daripada Lanyou Shuma.com dihadapkan ke mahkamah di Shenzhen kelmarin sebagai sebahagian daripada lima rangkaian yang menyeludup lebih 162,000 telefon mudah alih bernilai lebih 500 juta yuan (RM246 juta) dari Hong Kong sejak dua tahun lalu, lapor Beijing News. Separuh daripada suspek adalah suri rumah yang sering berkunjung ke Hong Kong, menurut sebuah akhbar lain, Southern Metropolis Daily sambil menambah mereka dibayar 20 hingga 30 yuan (RM9.80 hingga RM14.70) sebagai komisen untuk setiap telefon bimbit yang dibawa pulang ke tanah besar. Shanghai Daily pula berkata, 25 defendan dididakwa kerana menyeludup produk iPhone dan iPad.

Kedai digital Lanyou Shuma.com yang pernah menjadi satu daripada kedai terbesar dalam Taobao Marketplace di China dipaksa menutup perniagaan April lalu oleh Taobao selepas pihak berkuasa Hong Kong melancarkan siasatan ke atasnya kerana dipercayai menyeludup iPhone 4S. Taobao Marketplace, satu daripada cawangan kumpulan Alibaba adalah laman web e-dagang terbesar di China yang memfokus kepada pengguna. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16

Posted: 15 Nov 2012 08:19 AM PST
SACRAMENTO: Seorang ibu di California melahirkan tiga bayi lelaki yang mencatatkan rekod baru sebagai kembar tiga paling berat di dunia.
Jason dan Brittany Deen dari Sacramento, California, menyambut kelahiran tiga bayi lelaki mereka pada 8 November lalu.

Gabungan berat ketiga-tiga bayi itu ialah sembilan kilogram bermakna mereka mencatat rekod baru dalam Buku Rekod Dunia Guiness, menurut Sacramento Bee. Bayi sulong, Sidney adalah seberat 3.5 kilogram dan adiknya, Elliot seberat 3.3 kilogram, manakala anak bongsu Jenson mencecah 2.5 kilogram.
Pihak hospital telah merekod berat kelahiran kembar tiga itu dan kini keluarga itu telah menyerahkan dokumen berkenaan kepada Guiness untuk pengesahan.

Rekod sedia ada dipegang sepasang suami isteri dari Carolina Utara yang mempunyai kembar tiga dengan jumlah berat keseluruhan ialah 8.2 kilogram pada tahun lalu.

Brittany, 32, yang memberi makan bayi itu secara normal menghadiri kelas mingguan di Sutter Memorial's Moms untuk mempelajari bagaimana memberikan penjagaan terbaik bayi baru lahir kepada kembar tiga miliknya.
"Menjadi ibu kepada bayi kembar tiga amat menakutkan," katanya kepada Sacramento Bee.

"Anda dengar mengenai kesukaran dan cabarannya.
"Saya harap dengan menyaksikan saya dan mendengar pengalaman positif yang saya lalui akan memberi inspirasi kepada ibu lain agar tidak berasa takut dan membantu mereka menyedari bahawa mereka tidak sendirian," katanya. Brittany, seorang jururawat onkologi di Pusat perubatan Universiti California Davis berazam melanjutkan tempoh kehamilan kembar tiga itu dengan sempurna.

Dia memberi perhatian khas mempelajari cara pemakanan untuk empat orang yang bermakna mengambil makanan hingga 6,000 kalori dalam sehari. - DM
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 15 Nov 2012 08:14 AM PST
DEVON: Seorang pengail, Andy Parker berjaya menangkap seekor belut seberat 43 kilogram di perairan Britain semalam.
Dia berjuang selama 40 minit untuk menarik naik haiwan itu ketika memancing kiar-kira 35 batu di perairan Torquay, di Devon.

Batang kailnya melendut sebaik belut berkenaan memakan umpan dan cuba untuk melarikan dirinya ke dasar laut. Parker, 42 dari Huddersfield, barat Yorks, berkata: "Ia bagaikan perlawanan tinju. Ia adalah belut terbesar yang saya pernah lihat apalagi menangkapnya.
"Kami seolah-olah tidak percaya dengan saiznya. Ia kelihatan seperti makhluk dasar laut dalam filem seram," katanya. Parker dan rakannya menaikkan haiwan berukuran 17 kaki itu dan merakam hasil tangkapannya itu sebelum melepaskan ia semula ke laut.

"Memang sangat sukar untuk menangkapnya tetapi berbaloi akhirnya," katanya. Rekod belut terbesar pernah ditangkap di perairan Britain adalah 60 kilogram dan ditangkap oleh Vic Evans pada 1996 di Brixham, Devon. - TS
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 15 Nov 2012 08:14 AM PST
WASHINGTON: Hampir 50 orang kadet wanita menjadi mangsa jurulatih yang melatih mereka di pangkalan tentera udara Texas, termasuk 13 wanita yang mengalami serangan seksual, menurut laporan ketenteraan Amerika Syarikat dikeluarkan semalam.
Sekurang-kurangnya 23 jurulatih tentera terbabit dalam kes salah laku seksual itu, yang terbongkar pada Jun tahun lalu di pangkalan tentera udara Lackland dekat San Antonio.

Antara 48 mangsa dikenal pasti, 35 mempunyai "hubungan tidak profesional" dengan jurulatih mereka, manakala yang lain menjadi bahan serangan seksual, termasuk enam orang yang diserang oleh seorang jurulatih yang telah disabitkan dengan kesalahan berkenaan.
"Jenis salah laku ini tidak dapat diterima di mana-mana pasukan tentera udara AS, tetapi ia betul-betul kesalahan besar dalam suasana latihan asas, di mana kami mempunyai populasi kakitangan wanita sebagai anggota udara terbaru," kata Ketua Am Kerahan Pendidikan dan Latihan, Edward Rice yang mengetuai siasatan itu.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 15 Nov 2012 08:08 AM PST
MANILA: Pakar bom dari Switzerland akan mula membersihkan bom yang ditanam di selatan Filipina selepas pemberontak Islam dan kerajaan menandatangani perjanjian damai, kata Kesatuan Eropah (EU), semalam.
Duta EU ke Filipina, Guy Ledoux berkata, berpuluh-puluh orang terbunuh atau putus anggota badan disebabkan bom di Pulau Mindanao, manakala 8,000 petani tidak dapat mengerjakan tanah mereka kerana bom dan roket yang tidak meletup.
Katanya, langkah untuk membersihkan bom di Mindanao, pulau kedua terbesar di Filipina, akan membenarkan penduduk kembali mengerjakan tanah mereka.
Ledoux berkata, Yayasan Tindakan Periuk Api Switzerland telah menandatangani kontrak bulan lalu untuk projek bernilai AS$700,000 (RM2.14 juta) yang dibiayai oleh EU, pada masa yang sama Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan.

Katanya, projek itu akan meliputi kawasan pertanian seluas 450,000 hektar, kira-kira empat kali saiz Hong Kong yang tidak digunakan kerana bahaya bom. - MT
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 15 Nov 2012 08:07 AM PST
MANILA: Polis Daerah Quezon City memantau kemungkinan beberapa tempat persembunyian dua suspek lagi dalam kes pembunuhan seorang model, Julie Ann Rodelas.
Pengarah Operasi itu, Superintendan Kanan, Neri Illagan berkata, suspek, Efren Talib dan seorang lagi yang dikenali sebagai Aldos, melarikan diri dari tempat persembunyian mereka di Salaam Compound di Kampung Barangay Culiat, Quezon City dan mungkin bersembunyi di tempat lain.
"Kami memantau tempat persembunyian mereka yang lain," kata Illagan, semalam. Beliau enggan memberi butiran lanjut.
Suspek lain, Jaymar Waradji mendedahkan Efren dan Aldos sebagai rakan subahat dalam kes menembak mati Julie Ann, seorang pelajar kolej dan model sambilan. - MT
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 15 Nov 2012 08:07 AM PST
BANDAR SERI BEGAWAN: Kapten Sharifah Czarena Suriany Syed Hj Hashim menjadi wanita pertama dilantik sebagai kapten untuk Syarikat Penerbangan diraja Brunei (RB), memecahkan tradisi lapangan yang biasanya didominasi oleh lelaki.
Awal bulan ini, Sharifah menamatkan penerbangan 5,000 jam di bawah bimbingan dan pengawasan Timbalan Ketua Pegawai Operasi, Kapten Khalidkhan Hj Asmakhan.
Dengan penilaian tinggi konsisten yang diterima ketika menjawat jawatan Pegawai Kanan Pertama, juga program latihan pemerintahan selama tiga bulan sebelum penerbangan pemeriksaan terakhir, wanita berusia 31 tahun ini kini dikenali sebagai pelopor dalam penerbangan komersial domestik, bukan saja di Brunei tetapi juga di Asia Tenggara. - Brunei Times
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 15 Nov 2012 08:07 AM PST
PEKANBARU: Fakhri Rubiyanto, seorang daripada beberapa wartawan yang diserang oleh pegawai Tentera Udara ketika membuat liputan jet terhempas di Riau bulan lalu, diserang sekali lagi oleh empat orang tidak dikenali di sini, kelmarin.
Penyerang memakai topi keledar untuk melindungi wajah mereka, menunggang dua motosikal lalu menghalang motosikal yang ditunggang Fakhri di Jalan Ariffin Rachmad.
Ketika memukul Fakhri, mereka berkata, mereka benci Fakhri dan enam lagi wartawan menerima anugerah untuk liputan jet terhempas itu. - Jakarta Post
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 15 Nov 2012 07:55 AM PST
MANILA: Sepasang suami isteri dan dua anak lelaki mereka berusia enam dan lapan tahun yang dibunuh dan mayat mereka dikerat ditemui dibuang dalam tangki najis di belakang kediaman mereka di bandar Cagayan de Oro semalam.
Ketua balai polis Cagayan de Oro, Inspektor Kanan Rechie Yandog mengenal pasti mangsa sebagai Christopher Lastimosa, 34; isterinya, Sumagang, 34; dan anak lelaki mereka, Christian, 8, serta Chamlie, 6.

Yandog berkata, mayat mangsa yang kembung ditemui dalam tangki najis di belakang kediaman mereka di Barangay Canitoan, Cagayon de Oro. Polis turut menemui sebilah parang dan dua pisau dapur yang berlumuran darah di tempat kejadian.
Pembantu keluarga itu, Arman Aboyin, 18, yang disyaki terbabit dengan pembunuhan empat beranak berkenaan juga ditahan untuk siasatan.

Sebungkus serbuk putih dipercayai shabu yang dibungkus dalam kertas aluminium milik suspek turut ditemui.

Menurut polis, pembunuhan empat beranak itu terbongkar selepas saudara mangsa pergi ke kediaman mereka apabila panggilannya dan mesej pesanan ringkas yang dihantar tidak berjawab.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15

Posted: 15 Nov 2012 07:55 AM PST
PHNOM PENH: Polis Kemboja semalam menahan lapan orang kerana mempamer potret Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama bersebelahan perkataan "SOS" di bumbung kediaman mereka menjelang kunjungan pemimpin terbabit ke negara itu.
Aksi itu dilakukan penduduk yang tinggal dekat Lapangan Terbang Phnom Penh sebagai bantahan ekoran ancaman pengusiran, kata kumpulan kemanusiaan tempatan dalam kejadian terbaru isu pertikaian tanah di negara itu.

"Mereka meletakkan gambar Obama di bumbung dan mengecat perkataan "SOS" di sebelahnya," kata jurucakap polis nasional, Kirt Chantharith sambil menambah polis sedang menyoal siasat tujuan mereka berbuat demikian.
Obama akan menjadi presiden AS pertama yang bakal mengunjungi Kemboja apabila dia terbang ke Phnom Penh minggu depan untuk menghadiri persidangan tahunan Asia Timur bersama pemimpin negara rantau berkenaan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15