Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


'Nama saya Bintang Tiga'

Posted: 19 Apr 2013 12:08 PM PDT

"Nama saya memang Bintang Tiga hingga menjadi bahan sindiran segelintir rakan ketika di bangku sekolah, malah pernah terfikir mengubah nama beberapa kali tanpa pengetahuan keluarga kerana kecewa dengan nama ini.

"Ini kerana nama Bintang Tiga sinonim dengan pengganas komunis menyebabkan saya sering digelar anak komunis oleh rakan sekolah," kata duda anak satu yang memiliki nama unik, Bintang Tiga Ab Sukor, 26, ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bendahara di sini, semalam.


Dia yang berasal dari FELDA Simpang Waha, Kota Tinggi berkata, ketika di sekolah menengah, ramai rakan memintanya bersabar dengan ejekan dan sindiran diterima.

Bagaimanapun, menurutnya, selepas tamat sekolah, dia sering menjadi perhatian setiap kali menghadiri temu duga mencari kerja.


"Malah, saya pernah menyalahkan bapa kerana memberi nama Bintang Tiga, namun selepas meningkat dewasa, sudah lali dengan pandangan itu.


"Tambahan pula bapa saya Ab Sukor Abdullah adalah pencinta sejarah tanah air menyebabkannya menamakan saya sempena syiling lama berusia 800 tahun yang dipercayai wujud pada zaman kesultanan Melaka Sultan Alauddin Riayat Shah," katanya.

Menurut Bintang Tiga, dia juga dikenali di tempat kerja kerana memiliki nama unik.


Katanya, dia tidak pernah beranggapan nama berkenaan membawa masalah.

"Saya menempuh pelbagai dugaan sama seperti manusia lain dan ia bukan berpunca daripada nama ini. Buat masa ini, saya tidak berhasrat menukar nama," katanya.


Kakitangan jabatan kerajaan itu baru berpisah dengan isteri beberapa bulan lalu dan kini memikul tanggungjawab menjaga anak tunggal mereka, Muazzam Amsyar yang baru berusia 16 bulan.


Menurutnya, yang penting dia mahu memberi yang terbaik dan membesarkan anaknya itu menjadi insan yang berguna pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Polis panggil 20 pelajar

Posted: 19 Apr 2013 11:04 AM PDT

Polis sudah memanggil 20 pelajar yang dipercayai terbabit dalam kejadian pukul seorang pelajar lelaki tingkatan satu sebuah sekolah sukan di Seksyen 11, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, semua pelajar terbabit dipanggil untuk diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, semalam.


Katanya, pihaknya melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian dan meminta pihak sekolah serta ibu bapa mangsa termasuk pelajar terbabit memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis.

"Polis juga dimaklumkan pihak sekolah sudah mengambil tindakan drastik dengan menggantung persekolahan semua pelajar tingkatan lima itu.


"Saya minta ibu bapa mangsa dan pelajar yang terbabit dalam kejadian memberi kerjasama dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat punca kejadian," katanya.


Zahedi berkata, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat undang-undang sendiri sekiranya berlaku sebarang jenayah sebaliknya menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan.

Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rusuhan dengan senjata dan sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.


"Kepada pihak sekolah, saya minta mereka pantau setiap aktiviti dan pelakuan pelajar ketika dalam kawasan sekolah bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang.

"Sekiranya sekolah menghadapi masalah disiplin pelajar yang teruk dan tidak dapat mengawalnya, mereka boleh merujuk Pegawai Hal Ehwal Awam Polis di mana-mana IPD untuk tindakan lanjut," katanya.


Harian Metro semalam melaporkan mangsa Kamarul Aiman Kamarul Hadi, 13, cedera pada rusuk kanan, tulang belakang dan kaki akibat dibelasah menggunakan batang penyapu selain dipijak menggunakan kasut bola hanya kerana dituduh mencuri kasut bola milik seniornya.


Kejadian kali ketiga itu menyebabkan mangsa tidak boleh bergerak dan terlantar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang semalam.


Dalam kejadian pada jam 11.30 malam hingga 1 pagi itu, mangsa melarikan diri mendapatkan bantuan di rumah rakannya yang terletak berhampiran sekolah sebelum kejadian itu dimaklumkan pula kepada ibu bapa mangsa.


Sementara itu, bapa mangsa, Kamarul Hadi Che Harun, 37, berkata, anaknya sudah dibenarkan pulang pada jam 1.30 tengah hari semalam dan berehat di rumah mereka di Kuarters Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya.


Katanya, keadaan anaknya kini dilaporkan stabil dan berharap pihak sekolah serta polis mengambil tindakan sewajarnya kepada pelajar yang memukul anaknya itu.


"Ketika ini saya tidak tahu siapa yang salah dan betul dalam hal ini, tapi saya minta mereka menyelesaikan masalah ini dengan adil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

'Tak nak jumpa korang'

Posted: 19 Apr 2013 11:02 AM PDT

"Tak nak jumpa korang (kamu) lagi dah," itu gurauan terakhir seorang lelaki yang maut bersama rakannya dalam kemalangan menyayat hati apabila digilis beberapa kenderaan di Kilometer 245.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.50 pagi itu, mangsa, Leftenan Kolonel (B) Datuk Che Yang Samsudin, 54, dan rakannya, Ahmad Zamakhsyari Sapawi, 39, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tercampak keluar dari kereta dinaiki selepas dirempuh sebuah kenderaan yang masih dikesan sehingga kini.


Rakan mangsa, Rohaya Mohd Aziz, 36, tidak menyangka gurauan ketuanya yang memiliki syarikat perniagaan dalam talian dikenali sebagai Double Maths menjadi petanda akan meninggalkan mereka selamanya. "Sebelum kejadian saya bersama kedua-dua mangsa dan beberapa rakan lagi berada di Parit Jawa, Muar untuk bertemu pelanggan bagi memperkenalkan perniagaan ini kepada orang ramai dan merekrut perwakilan.

"Kemudian, kami ke sebuah restoran untuk makan sebelum beberapa perwakilan bergurau dengan arwah Che Yang. "Tiba-tiba arwah mengeluarkan kenyataan tidak mahu jumpa kami lagi, bagaimanapun kami tidak perasan sehinggalah kejadian ini berlaku," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, semalam. Katanya, dia dan suami yang menaiki kereta sama untuk pulang ke Melaka berpisah dengan kedua-dua mangsa di Lebuhraya AMJ berikutan arwah pulang ke rumah di Ampang, Selangor. "Saya mengetahui kejadian ini kira-kira jam 6 pagi sebaik isteri Che Yang menghubungi saya memberitahu suaminya meninggal dunia dalam kemalangan sebelum ke tempat kejadian," katanya. "Kemudian saya bergegas ke Seremban sebelum terserempak lori penunda yang membawa kereta Perodua Viva milik arwah," katanya.


Rohaya berkata, hancur luluh hatinya sebaik melihat kereta mangsa rentung terbakar. "Mereka adalah pengasas syarikat itu yang baru beroperasi lebih enam bulan dan kini sedang sibuk untuk mencari perwakilan setiap negeri," katanya.


"Malah, arwah Che Yang sempat meninggalkan pesanan supaya menjaga syarikat itu berikutan saya adalah orang harapannya," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, Che Yang dan rakannya, Ahmad Zamakhsyari meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian akibat tercampak keluar dari kenderaan sebelum digilis beberapa kenderaan sehingga pecah kepala.

"Siasatan awal polis mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Muar, Johor dipercayai menuju ke rumah di Ampang, Selangor selepas berjumpa pelanggan kira-kira jam 3.30 pagi.


"Kemalangan berlaku apabila Perodua Viva dipandu Ahmad Zamakhsyari dipercayai hilang kawalan sebelum melintang ke tengah lebuh raya. Bagaimanapun, datang sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti melanggar kereta mangsa menyebabkan masing-masing tercampak keluar ke laluan kanan lebuh raya," katanya. Menurutnya, rempuhan kuat itu menyebabkan kereta berkenaan terbakar manakala kenderaan yang merempuh dan menggilis mangsa melarikan diri.

siasatan awal mendapati berikutan keadaan lebuh raya yang gelap, beberapa kenderaan dipercayai tidak perasan kedua-dua mangsa hingga menggilis mereka.


"Rempuhan kuat itu menyebabkan kereta Perodua Viva berkenaan terbakar manakala kenderaan yang merempuh dan menggilis mangsa melarikan diri. "Pada masa sama, sebuah lori yang terkejut melihat kemalangan itu menekan brek secara mengejut mengakibatkan sebuah kereta Proton Waja di belakang merempuh kenderaan itu manakala sebuah lagi kereta Honda Civic turut terbabit kemalangan dipercayai hilang kawalan selepas melanggar serpihan komponen kereta Perodua Viva.


Saiful Azly berkata, pihaknya kini sedang mengesan kenderaan yang melanggar kedua-dua mangsa.


"Saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Inspektor Mohd Hafidzal Zainal Abidin di talian 06-6033222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

'Detik paling cemas'

Posted: 19 Apr 2013 11:01 AM PDT

Senai: "Detik paling mencemaskan ketika saya memimpin pasukan dalam pertempuran menentang pengganas di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, Sabah, kerana kami diingatkan mereka terkenal dengan ilmu kebal.

"Alhamdulillah semuanya selamat dan selepas dua bulan terpisah kami lega akhirnya dapat berjumpa keluarga," kata Leftenan Badrul Hafiz Asmadi, 22, sebaik tiba di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini, kelmarin.


Badrul antara empat pegawai dan 115 anggota Markas Gerup 21 Gerak Khas disambut pulang dari Op Daulat di Sabah oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dan Pengarah Gerup Gerak Khas Kem Iskandar Mersing Brigadier Jeneral Effendi Ab Karim.

Sementara itu, Ketua Markas itu Mejar Faris Wajudi Ismail, 31, berkata, operasi itu pengalaman paling mencabar pernah ditempuhinya sejak berkhidmat dalam pasukan keselamatan, 11 tahun lalu.


"Ia mencabar dari segi mental dan fizikal kerana perlu berjaga-jaga setiap masa bagi menghadapi serangan musuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Adik Jamalul Kiram didakwa

Posted: 19 Apr 2013 11:01 AM PDT

Adik kepada Jamalul Kiram yang mendakwa dirinya Sultan Sulu, Datu Amirbahar Hushin Kiram semalam didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah, atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas.

Datu Amirbahar bakal berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan iaitu melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.


Dia yang dianggap Menteri Pertahanan Kerajaan Kesultanan Sulu juga didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas mengikut Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Datu Amirbahar, 49, dari Jolo, Selatan Filipina didakwa melakukan dua kesalahan itu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, antara 9 Mac dan 23 Mac lalu.


Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang ditangkap pada 23 Mac lalu ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Suluk di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Lahad Datu, Rajalingam S S Maniam yang bersidang sebagai Majistret.


Pendakwaan diketuai Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Datuk Nordin Hassan dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar dari Pejabat Peguam Negara, Putrajaya serta Timbalan Pendakwa Raya Lahad Datu Shukor Abu Bakar.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 177A (2) Kanun Prosedur Jenayah bagi memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Tawau manakala 14 Mei ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Tinggi.


Mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, semua kesalahan keselamatan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Berikutan dakwaan terhadap Datu Amirbahar, 20 warga Filipina didakwa setakat ini, manakala seorang koperal polis warga tempatan juga didakwa di Mahkamah Majistret berhubung insiden pencerobohan di Lahad Datu, baru-baru ini.


Semua warga Filipina itu didakwa bagi pelbagai kesalahan antaranya melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, menjadi anggota kumpulan pengganas, melindungi pengganas serta merekrut orang sebagai anggota kumpulan pengganas.


Seorang anggota polis pula didakwa tidak memberi maklumat mengenai tindakan pengganas. Semua kes itu juga dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

No comments:

Post a Comment