Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'TMJ memang ada!'

Posted:

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan tindakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berada di bangku simpanan pada perlawanan Johor Darul Takzim (DT) menentang Terengganu Sabtu lalu adalah melanggar peraturan memandangkan beliau masih menjalani penggantungan enam bulan daripada terbabit daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Bagaimanapun Penolong Setiausaha Agung FAM yang juga bertindak sebagai Komisioner Perlawanan itu Datuk Ahmad Fuad Daud berkata, pihaknya sudah menyerahkan perkara itu kepada pegawai undang-undang bagi menyiasat status Tunku Ismail ketika berada di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin ketika perlawanan itu.


"Saya mengesahkan Tunku Ismail memang berada di bangku simpanan pada perlawanan itu," katanya.

"Berdasarkan peraturan, Tunku Ismail yang menjalani hukuman penggantungan sepatutnya tidak boleh terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak persatuan ini dan tindakan susulan akan diambil.


"Namun pihak kami perlu memastikan (status) kehadiran Tunku Ismail atas kapasiti Presiden PBNJ atau sebagai Tengku Mahkota Johor. Jika atas kapasiti sebagai Tengku Mahkota Johor, FAM akan menyerahkan perkara ini kepada pegawai undang-undang bagi menilai situasi sebenar." Dalam laporan Arena Metro semalam, Tunku Ismail yang sebelum ini dihukum Jawatankuasa Tatatertib kerana melanggar Artikel 88 Statut FAM bulan lalu atas kesalahan mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M) dilihat berada di bangku simpanan Johor DT ketika pasukan tuan rumah menewaskan Terengganu 3-2.


Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang diminta mengulas mengenai insiden itu kelmarin menyatakan perlu menunggu laporan penuh Komisioner Perlawanan sebelum membuat sebarang tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

Kebanggaan USPTNM

Posted:

Melaka: Pemanah Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Melaka (USPTNM) Noratiqah Azizi, 18, muncul juara keseluruhan kategori recurve wanita pada Kejohanan Memanah Dalam Dewan Piala Ketua Menteri Melaka di Dewan MSN/MBMB Ayer Keroh, baru-baru ini.

Kejohanan julung kali diadakan itu menyaksikan dia turut menjuarai acara recurve individu menewaskan Nurul Ain Hussin, juga dari Melaka dengan 7-1.


Dalam acara berpasukan wanita, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dibarisi Siti Fatimah Abd Karim, Julihartati Zulkipli dan Siti Sholeha Yusof muncul juara menewaskan skuad tuan rumah Nur Atiqah Azizi, Nurul Ain Husin dan Afidiansyah Saleh.

Muhd Juwaidi Abdullah (Melaka) menjuarai acara lelaki Individu apabila mengumpul 579 mata, diikuti Khairul Fadhli Abdullah dari KMSJ dan ketiga Mohd Noor Mohamad (Melaka).


Dalam acara berpasukan atlet tuan rumah dibarisi Juwaidi, Mohd Noor dan Nor Faiz hanya menduduki tempat ketiga selepas tewas kepada KMSJ (juara) dan UPM (naib juara). Seramai 181 peserta menyertai kejohanan anjuran MSN dan Persatuan Memanah Negeri Melaka (PMNM) itu termasuk dalam novis, recurve dan compound lelaki dan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

MSSD Mersing tetap puas hati

Posted:

Mersing: Pasukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Mersing tetap puas hati walaupun menduduki tempat ketiga keseluruhan Kejohanan Memanah Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Johor 2013 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Kulaijaya, Johor baru-baru ini.

Pengurus pasukan Saiful Hairin Rahmat berkata, mereka memperoleh empat emas, sembilan perak dan 11 gangsa pada kejohanan yang turut disertai 12 pasukan itu.


Empat emas itu diperoleh menerusi perseorangan B-15 Perempuan, Nurul Az-Zahrah Abd Jamal, Nur Zafirah Azmi bagi jarak 50 dan 90 meter, selain berpasukan B-15 dan B-18 Perempuan.

"Majoriti 16 pemanah mewakili MSSD ini membabitkan pelajar tingkatan satu hingga empat. Mereka berpeluang mewakili MSSD lagi tahun depan," katanya yang menaruh harapan untuk muncul juara keseluruhan pula.


Jurulatih Mohd Hapiz Raya berkata, semua pemanah di bawah kendaliannya menjalani latihan intensif sebelum menyertai kejohanan itu.


"Hanya nasib belum menyebelahi kami untuk meraih lebih banyak emas. Saya akan menggandakan latihan pada masa akan datang kerana kebanyakan pemanah ini mempunyai potensi untuk diketengahkan," katanya. Sementara itu, Nurul Az-Zahrah, 14, gembira kerana mendapat emas dan perak acara perseorangan dan berpasukan.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar itu bertekad membantu MSS Johor jika terpilih mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.


Pelajar Maktab Rendah Sains Mara Mersing Nur Zafirah berkata, dia tidak sangka dapat mengungguli acara 90 meter kerana turut disertai ramai pemanah hebat daerah lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

'Belum ada rezeki'

Posted:

Baling: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai menduduki tempat ketiga keseluruhan Kejohanan Padang & Balapan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Baling Sik, baru-baru ini.

SMK Siong diibaratkan cencaru makan petang apabila merampas kedudukan naib juara milik SMK Jerai dengan memungut tujuh emas pada hari terakhir. Namun kekecewaan SMK Jerai terubat apabila mengekalkan anugerah Olahragawati Kejohanan kali kedua berturut-turut dan ketiga sejak 2010. Kali ini anugerah itu milik Siti Jamilah Mohamad Sopian yang bukan saja memenangi dua emas acara 100m dan 200m berpagar, malah memecahkan rekod kedua-dua acara dengan catatan 18.75 dan 36.66 saat. Pengurus pasukan Mohd Hazam Md Hashim berkata, atlet berusaha menjuarai kejohanan ini sebagai hadiah persaraan pengetua. "Mungkin tiada rezeki," katanya merujuk kepada rekod SMK Jerai yang pernah menjadi naib juara kejohanan ini pada 2010 dan 2011.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

Buru gelaran Expert

Posted:

Kuala Lumpur: Apa rasanya menduduki tempat kedua dua kali berturut-turut selepas melalui musim perlumbaan sengit dan sukar Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas?

Bagi pelumba Harian Met ro Y-Teq SCK Honda Racing, Md Affendi Rosli perasaan itu memang pahit ditelan tetapi membuatnya lebih bersemangat menghadapi 10 pusingan perlumbaan musim ini. Affendi kecewa selepas tunduk kepada rakan sepasukan, Norizman Ismail dan Azlan Shah Kamaruzaman dalam kategori CP130 pada saingan 2011 dan 2012.


Menjelang perlumbaan pembuka tirai di sirkit Batu Kawan, Pulau Pinang, hujung minggu ini, Affendi sudah bersedia memburu gelaran juara Expert.

"Bukan Azlan dan Norizman saja perlu ditewaskan tapi seorang lagi pelumba pasukan, Mohd Fithri Ashraf Razali juga diberi perhatian. Saya tidak mahu tewas kali ketiga kepada seorang lagi rakan sepasukan. Potensi pencabar pasukan lain juga tidak boleh diketepikan kerana dalam perlumbaan, semua mahu menang dan mengutip mata tertinggi setiap pusingan," katanya.


Affendi, bekas juara Novis dan juara Underbone 115cc Kejuaraan Motosikal Asia berkata, dia sudah membuat persiapan terbaik musim ini.


"Jika dilihat musim ini, bukan sekadar jentera perlu tahan lasak malah pelumba perlu cergas dan ketahanan fizikal yang bagus kerana 15 pusingan ditambah menjadi 18 pusingan pada perlumbaan final.

"Jika hendak luah rasa kecewa, memang masih terasa tetapi perjuangan mesti diteruskan dan saya yakin ketua pasukan, Soong Chee Kieong akan menyediakan jentera seimbang dan sama rata untuk empat pelumba bersaing," katanya. Rakan sepasukannya, Norizman pula menganggap aspek fizikal dan kecergasan paling penting menghadapi perlumbaan lebih panjang.


"Bagi menghadapi musim ini, saya berlatih di bawah jurulatih kecergasan berpengalaman, Raduan Ahmad di Seremban. Beliau sebelum ini bertanggungjawab melatih Hafizh Syahrin, juara CP130 2010 dan menduduki tempat keempat pada GP Malaysia tahun lalu. Sekalipun berulang alik tiga kali seminggu, perubahan dapat dirasai serta tahap keyakinan juga meningkat," katanya.

Kata Norizman, dia mengharapkan tuah angka memburu gelaran ketiga Expert dengan angka 4.


"Tahun lalu, nasib jarang menyebelahi, prestasi tidak konsisten, banyak terjatuh dan hanya meraih satu kemenangan di Teluk Intan. Harap tahun ini peluang bergelar juara lebih baik dan yakin pasukan Yamaha dan Suzuki perlu bekerja keras menewaskan enjin Honda kami gunakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

Terpaksa campur tangan

Posted:

Kuala Terengganu: Pengurusan T-Team menerima tamparan apabila kerajaan negeri semalam memberi amaran untuk campur tangan sekiranya pasukan itu gagal memastikan kemenangan pada perlawanan akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Rozi Mamat berkata, kekalahan 1-3 kepada Pahang pada saingan Liga Super, Sabtu lalu masih boleh diperbaiki sekiranya pengurusan segera mengambil tindakan drastik.


"Ini amaran kerajaan negeri kepada pihak bertanggungjawab terutamanya pengurusan, jurulatih dan juga pemain supaya tingkatkan mutu permainan dan harus menang dalam permainan akan datang.

"Kalau tidak, kita akan ambil tindakan, sama ada ambil pemain baru atau merehatkan mereka sementara," katanya pada sidang media Akademi Bola Sepak Young Titans-Benfica di Wisma Darul Iman, semalam.


Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif T-Team Ab Rasid Jusoh dan bekas jurulatih Atletico Sport Clube Reguengos kelab divisyen tiga siri F Portugal Eduardo Almeida.


Mengulas lanjut Rozi berkata, pengurusan The Titans yang berada di tempat kedua tercorot liga perlu bertanggungjawab atas kelemahan serta kekalahan pasukan dan kerajaan negeri tidak akan melindungi mana-mana pihak yang gagal melaksanakan amanah dengan baik.

"Kita nak lihat keputusan bagus, penyokong pun nak tahu menang saja dan bagi saya beliau (Peter Butler) memang seorang jurulatih yang profesional tapi dari segi keputusan, tak bagus.


"Kalau datang dari langit pun tak boleh menang nak buat apa, sebab itu jurulatih atau siapa pun kena ubah sikap. Saya tidak mahu salahkan mana-mana pihak tapi pengurusan kena buat satu perubahan drastik untuk T-Team," katanya.

Sementara itu, Ab Rasid berkata, beliau sudah meminta laporan prestasi pasukan daripada pengurus, penolong pengurus, ketua jurulatih dan jurulatih lain untuk dikemukakan kepada ahli lembaga pengarah T-Team yang akan membuat keputusan dalam tempoh terdekat. Menurutnya, semua laporan itu yang menjelaskan mengapa kelab itu sukar menjaringkan gol sudah diterima petang kelmarin sebelum dibawa ke dalam mesyuarat lembaga pengarah T-Team.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

Almeida janji latihan terbaik buat Young Titans

Posted:

Kuala Terengganu: Bekas jurulatih Atletico Sport Clube Reguengos, kelab divisyen tiga siri F Portugal Eduardo Almeida semalam menandatangani perjanjian dengan T-Team untuk membimbing Akademi Young Titans.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Rozi Mamat berkata, penubuhan akademi bola sepak remaja itu antara lain dilihat dapat membantu memperbaiki kedudukan The Titans dalam saingan Liga Super pada tahap yang lebih selesa.


Menurutnya, akademi terbabit akan berpusat di Gong Badak yang mempunyai beberapa padang bersesuaian untuk latihan saringan sebelum mereka yang benar-benar berbakat dipilih menyertainya.

"Seterusnya, kita akan hantar pemain akademi ini ke Portugal untuk buat latihan pendedahan selama tiga bulan dalam setahun dan ini sudah dipersetujui melalui perjanjian yang dibuat dengan kelab Benfica.


"September ini, kita akan hantar dan selepas pemilihan pertama ini, Benfica akan datang untuk melihat pemain yang bagus dan kita pilih tiga orang untuk di hantar ke Portugal.


"Salah satu tujuannya ialah kita mahu pemain bagus dilahirkan daripada akademi ini," katanya kepada pemberita pada sidang media Akademi Bola Sepak Young Titans-Benfica di Wisma Darul Iman, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif T-Team Ab Rasid Jusoh.


Sementara itu, Almeida, 35, yang sebelum ini pernah melatih skuad bawah 17 tahun Benfica berkata, beliau akan berbincang dengan jurulatih tempatan mengenai pendekatan yang harus mereka ambil di akademi itu.

"Kami di sini untuk lakukan program terbaik dan langkah pertama ialah berbincang dengan jurulatih tempatan untuk memahami jenis latihan dan cara terbaik mencari pemain muda," katanya yang pernah melatih Ahmad Fakri Saarani ketika pemain itu beraksi di Portugal awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

Kecederaan paksa Azraai lupakan Thiru

Posted:

Ipoh: Perak tidak dapat menggunakan khidmat tonggak benteng V Thirumurugan lebih lama daripada yang dijangkakan kerana kecederaan dialami agak teruk.

Jurulatih Azraai Khor Abdullah berkata, kecederaan hamstring Thirumurugan ketika bertemu Kedah pada perlawanan persahabatan baru-baru ini memerlukan masa panjang untuk sembuh.


"Thiru terpaksa berehat lama dan saya tidak jangka dia boleh beraksi dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Ini kali kedua pemain berasal dari Kedah itu terpaksa berehat panjang.


Begitupun Azraai sedikit lega kerana kecederaan penyerang lincah S Chanturu semakin pulih dan boleh diturunkan tidak lama lagi.


Justeru jurulatih itu akan memantau keadaan pemain itu sama ada dapat diturunkan menentang pendahulu liga LionsXII di Stadium Jalan Besar, Sabtu ini.

"Jika tidak diturunkan, saya yakin Chanturu akan dapat beraksi pada pusingan kedua nanti," katanya.


Azraai yang gembira anak buahnya berjaya mengutip mata penuh ketika bertemu PKNS FC perlu mencongak strategi ampuh untuk pertemuan dengan LionsXII yang belum pernah tewas di kandang sendiri. "Saya berharap kami mampu melakukan sesuatu di stadium itu. Pasukan LionsXII setakat ini ternyata kebal di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

TRW tekad kekal rekod

Posted:

Kota Bharu: Kelantan berharap untuk mempertahankan rekod tanpa kalah apabila bertemu pasukan Vietnam, SHB Da Nang FC dalam perlawanan Kumpulan G Piala Konfederasi Bolasepak Asia (Piala AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini.

Ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak berkata pasukan bimbingannya berazam meraih tiga mata daripada perlawanan itu walaupun ia mungkin tugas sukar kerana pelawat adalah pasukan terbaik dalam liga di negara mereka.


"Saya percaya perlawanan pasti sengit kerana mereka pasukan terbaik di Vietnam. Penyerang utama mereka penjaring terbanyak dalam Liga Vietnam. Mereka juga dibarisi pemain handalan yang bermain dalam pasukan kebangsaan mereka.

"Mereka pasukan amat berpengalaman dan pemain bermain bersama-sama sejak beberapa tahun lamanya. Mereka tidak banyak berubah dalam beberapa tahun lalu," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.


Kelantan, juara tiga piala Liga-M lalu, beraksi dalam dua perlawanan Piala AFC, menang satu dan seri dalam satu lagi perlawanan manakala SHB Da Nang menang dalam dua perlawanan.


Hodak berkata, beliau akan menurunkan kedua-dua pemain import, Dimitrios Pertratos dan Dickson Nwakaemi bagi perlawanan itu kerana prestasi kedua-dua pemain bertambah baik selepas bermain bersama-sama dalam beberapa perlawanan.

"Dickson membantu, Dimitrios melakukan jaringan, jadi saya harap mereka akan bermain seperti sebelum ini (dalam perlawanan ini)," katanya.


Ketua jurulatih SHB Da Nang, Le Huynh Duc pula berkata beliau akan menurunkan barisan terbaik untuk mengalahkan Kelantan di laman mereka sendiri untuk pulang dengan tiga mata dalam perlawanan pusingan kedua mereka.

"Tiga hari lalu, kami beraksi dalam Liga Vietnam dan kini datang ke Malaysia. Semua orang letih tapi kami akan cuba melakukan terbaik untuk mengutip mata penuh daripada perlawanan.


"Kami membawa pasukan terbaik kami yang menang enam perlawanan dan satu seri dalam Liga Vietnam. Saya fikir prestasi pemain berada pada tahap terbaik dan saya akan cuba menurunkan semua pemain terbaik dalam perlawanan itu nanti," katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

Keputusan Dollah tepat

Posted:

Kuantan: Keputusan jurulatih Pahang Dollah Salleh mengambil bekas pemain Liga Divisyen Satu Inggeris, Notts Country dalam mengukuhkan benteng pertahanan mendapat reaksi positif skuad berkenaan.

Kapten Jalaluddin Jaafar berkata, kehadiran pemain berpengalaman itu diharap membantu mengukuhkan pertahanan Tok Gajah, biarpun ada pemain tempatan terpaksa digugurkan dalam kesebelasan utama.


Menurutnya, keputusan muktamad mengenai pemain pertahanan diserahkan kepada jurulatih demi kebaikan pasukan.

"Sebagai pemain, saya menerima keputusan yang dibuat jurulatih kerana kepentingan pasukan adalah segala-galanya dalam usaha memastikan kejayaan," katanya semalam Selain Jalaluddin, benteng pasukan ketika ini dikawal Mohd Saiful Nizam Miswan, Mohd Shahrizan Salleh dan Mohd Razman Roslan.


Mengulas kehadiran pemain import baru itu Jalaluddin berpendapat keputusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dapat menutup beberapa kelemahan sebelum ini.


"Saya memuji pengurusan kerana mengambil keputusan menggantikan pemain import sedia ada dan berharap pengganti yang dipilih akan membawa pencapaian lebih baik buat kami menduduki kelompok lima pasukan terbaik," katanya.

Pahang terpaksa menamatkan kontrak pemain Maghribi, Mohamed Borji dan Nikolche Klechkaroski dari Macedonia lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

No comments:

Post a Comment