Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


'Lelaki hamil' gagal bercerai

Posted:

Phoenix: Seorang hakim menolak tuntutan cerai daripada lelaki yang asalnya wanita dan melahirkan tiga anak selepas berkahwin.

Hakim mahkamah keluarga daerah Maricopa, Douglas Gerlach menegaskan bahawa larangan perkahwinan sesama jantina di Arizona menyebabkan perkahwinan sembilan tahun Thomas Beatie tidak boleh disahkan.

Beatie dilahirkan perempuan tetapi menjalani pembedahan untuk menjadi lelaki. Bagaimanapun, dia masih mengekalkan organ pembiakan wanita dan melahirkan tiga anak.

Gerlach berkata, dia tiada kuasa untuk meluluskan perceraian kerana tiada bukti mencukupi menunjukkan Beatie adalah lelaki ketika dia mengahwini Nancy di Hawaii. Menurutnya, pasangan Beatie tidak pernah memberikan rekod yang dapat menjelaskan apa yang sebenarnya telah dilakukan Beatie untuk menjadi lelaki.

Foto

BEATIE ketika hamil anak pertamanya empat tahun lalu.


Jurucakap Beatie, Ryan Gordon berkata, komen hakim itu mengejutkan dan Beatie bercadang merayu keputusan itu.


Menurutnya, Beatie berkahwin sebagai lelaki secara sah dan tidak disyaratkan untuk mendedahkan bahawa dia mengekalkan organ pembaikan wanita ketika memohon dan memperoleh sijil kelahiran baru di Hawaii sebagai lelaki.

Dia berkata, Beatie menghentikan rawatan testosteron agar dia dapat melahirkan anak.

"Malang sekali kerana hakim di sini tidak mengiktiraf perkahwinan di negeri lain," katanya.

Beatie benar-benar mahu mengakhiri perkahwinannya.

Bagaimanapun, hasratnya tertangguh apabila Gerlach mengatakan dia tidak dapat menemui klausa dalam undang-undang yang mendefinisikan lelaki boleh melahirkan anak.

Thomas Beatie yang dikenali sebagai "Lelaki Hamil" dilahirkan sebagai Tracy Lehuanani Lagondino di Oahu, Hawaii.

Dia berkahwin dengan pasangannya Nancy pada awal 2003 di Honolulu dan hamil kerana Nancy tidak dapat melahirkan anak. Beatie melahirkan anak yang kini berusia empat, tiga dan dua tahun selepas hamil melalui sperma yang didermakan. Pasangan itu kemudian berpindah ke Arizona.

Beatie mendapat liputan meluas media, tampil dalam rancangan bual bicara seperti Larry King dan Oprah Winfrey serta memenangi tempat dalam senarai "10 Individu Paling Mempesonakan" Barbara Walters pada 2008. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/01

Polis gagal seludup lelaki

Posted:

Abu Dhabi: Seorang lelaki dari Asia yang pernah cuba memasuki Emiriah Arab Bersatu secara haram ditahan dalam but kereta yang dipandu seorang pegawai polis semalam.

Ini adalah percubaan kali keduanya memasuki negara itu. Pegawai polis terbabit turut ditahan bersama lelaki itu, lapor akhbar Al-Bayan. Menurut laporan pejabat pendakwa raya di Abu Dhabi, penguatkuasa imigresen menahan kedua-duanya di pusat pemeriksaan imigeresen di Al-Ain.


Lelaki Asia itu dikatakan membayar 500 dirham (RM420) kepada polis terbabit untuk membawanya memasuki negara itu. Pegawai itu memandu dari Al-Beremy sebelum keretanya diperiksa sebaik tiba di pusat pemeriksaan Al-Ain. Penguatkuasa imigresen terkejut apabila mendapati ada lelaki bersembunyi dalam but kereta dipandu pegawai itu.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/01

Belah perut anjing cari jari

Posted:

Bradenton (Florida): Kerana marah selepas anaknya kehilangan jari akibat digigit anjing peliharaan keluarga, seorang bapa menembak haiwan berkenaan berkali-kali sebelum membelah perut anjing itu untuk mengeluarkan jari anaknya.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada doktor berjaya menyambung semula jari kanak-kanak itu.


Syerif di wilayah Manatee berkata, kejadian berlaku Jumaat lalu apabila kanak-kanak berusia 11 tahun itu menghulurkan tangannya ke dalam kandang anjing berkenaan.

Anjing itu menggigit jari kelengkengnya. Kejadian itu turut menyebabkan lengan kanak-kanak itu patah. Syerif berkata, bapa kanak-kanak itu menembak anjing berkenaan dan mengeluarkan jari anaknya dari perut haiwan itu sementara menunggu ketibaan ambulans. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/01

Peminum arak diarah gali kubur sendiri

Posted:

Jeddah: Sebuah mahkamah di Arab Saudi meminta seorang lelaki yang dipenjara 15 hari kerana meminum arak menggali kuburnya sendiri bagi mengurangkan tempoh hukuman penjaranya sebanyak lima hari.

Anggota Suruhanjaya Akhlak dan Kawalan Maksiat menahan lelaki terbabit kerana meminum arak sebelum dia didakwa di sebuah mahkamah di wilayah Dawadmi.


"Hakim memberitahunya agar menggali kuburnya sendiri dalam masa sebulan supaya tempoh hukuman penjaranya dikurangkan sebanyak satu pertiga," lapor akhbar harian berbahasa Arab, Sabq. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/01

Susilo usaha selamat Demokrat

Posted:

Jakarta: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam menguasai penuh Parti Demokrat dalam usaha untuk menyelamatkan popularitinya yang kian merudum menjelang pilihan raya tahun depan.

Susilo, 63, pengasas parti itu dan ketua badan eksekutif dan lembaga penasihatnya, mengukuhkan kedudukannya sebagai anggota parti paling berkuasa apabila dipilih sebagai pengerusi dalam kongres parti itu di Bali, kelmarin. Beliau menggantikan bekas pengerusi Anas Urbaningrum yang meletakkan jawatan Februari lalu selepas terlibat dalam satu kes rasuah oleh Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah. Susilo berkata, beliau mengambil alih jawatan pengerusi untuk 'menyelamat dan menyatukan' parti itu.


"Jawatan yang akan saya pegang ini adalah sementara dan hanya untuk proses menyelamat dan menyatukan parti," katanya kepada kongres selepas persetujuan untuk melantiknya.

"Jika boleh, saya mahu mengakhiri jawatan pengerusi ini sebaik saja pilihan raya tamat kira-kira setahun setengah dari sekarang," katanya.


Sokongan kepada Parti Demokratik yang menyokong Susilo dalam dua pilihan raya presiden merosot ekoran kes rasuah tetapi Susilo sendiri masih popular. Satu kaji selidik Disember lalu oleh agensi penyelidikan dan perundingan Saiful Mujani menunjukkan rakyat berpuas hati terhadap Susilo yang dipilih semula dengan kemenangan besar pada 2009 berikutan ikrarnya untuk memerangi rasuah kekal tinggi pada 51.6 peratus.


Tetapi populariti parti itu di peringkat keseluruhan jatuh hanya kepada lapan peratus daripada 21 peratus dalam pilihan raya 2009.

Susilo tidak akan bertanding pada pilihan raya presiden tahun depan kerana perlembagaan mengehadkan tempoh khidmat dua penggal saja bagi seseorang presiden. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/01

Estrada mahu bersih Manila

Posted:

Manila: Bekas Presiden Joseph Estrada semalam memulakan kempennya untuk pilihan raya Datuk bandar Manila dengan menyifatkannya sebagai usaha terakhirnya dalam politik.

Estrada yang juga bekas pelakon filem dan akan berusia 76 tahun pada 19 April ini berkata, dia mahu mengakhiri karier politiknya sebagai datuk bandar di tempat dia dilahirkan.


"Saya dilahirkan di Manila. Saya menjadi popular selaku pelakon di Manila. Kerana itu saya mahu mengakhiri karier politik di bandar raya ini," katanya kepada wartawan sebelum berucap kepada ribuan penyokong, Beliau juga berkata merancang membersihkan Manila dan menyusun semula pentadbiran bandar itu sebelum bersara dari politik. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/01

Opick ke Palestin

Posted:

Bandung: Penyanyi nasyid Opick akan berlepas ke Palestin beberapa hari lagi sebagai sukarelawan Jawatankuasa Nasional Indonesia Untuk Rakyat Palestin.

Opick atau nama penuhnya Aunur Rofiq Lil Firdaus berkata, dia akan menyertai 27 sukarelawan pertubuhan itu untuk menyerahkan bantuan masyarakat Indonesia kepada penduduk Palestin.

Mereka kemudian akan singgah di Mesir untuk mengadakan konsert di Kaherah dan Iskandariah bagi memungut derma mengisi tabung pertubuhan.

Ketika ditemui wartawan, Opick yang terkenal dengan lagu 'Tombo Ati' berkata, antara persiapan yang dilakukan untuk perjalanan itu ialah banyak istighfar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/01

Wanita Thai bawa dadah RM370,500 ditahan di Sulawesi

Posted:

Makassar: Pihak berkuasa Indonesia semalam berkata, ia menahan seorang wanita Thai bersama-sama satu kilogram syabu bernilai Rp 1.2 bilion (RM370,500) sebaik suspek tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin, kelmarin.

Runtipang Ammahia, 36, dilapor tiba di lapangan terbang itu dengan penerbangan Garuda Indonesia dari Singapura.

Ketua Polis Sulawesi Selatan, Endi Sutendi berkata, Runtipang kini menjalani beberapa siri siasatan.

Menurut Endi, dadah itu ditemui setelah pihak berkuasa Kastam memeriksa bagasi Runtipang menggunakan pengimbas sinar-X.


"Pihak berkuasa kastam tidak berpuas hati apabila melihat objek dalam beg Runtipang. Mereka menemui dua bungkusan berbalut kertas aluminium apabila membuka beg wanita itu," katanya.


Runtipang berdepan dengan hukuman minimum penjara lima tahun jika sabit kesalahan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/01

No comments:

Post a Comment