Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Halle Berry nanti kelahiran anak kedua

Posted:

Los Angeles: Aktres pemenang Oscar Halle Berry akan melahirkan anak kedua pada usia 46 tahun.

Laman berita selebriti TMZ memetik jurucakap aktres itu sebagai berkata, Halle kini hamil tiga bulan. Ia hasil hubungan dengan tunangnya pelakon Perancis Olivier Martinez dan dia sudah mengetahui jantina bakal anaknya itu lelaki.

"Saya boleh mengesahkan Halle dan Martinez kini menanti kelahiran anak mereka. Kami tidak akan mengulas butir lain," kata jurucakap itu.

Martinez, 47, berkata, Mac lalu, dia dan Halle merancang untuk berkahwin.

Foto

HALLE dan Martinez.


Halle pernah berkahwin dua kali dan mempunyai anak perempuan, Nahla yang kini berumur lima tahun menerusi perkahwinannya dengan model Kanada, Gabriel Aubry.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06

Zakar dibaham anjing

Posted:

London: Seorang guru muzik terpaksa menjalani pembedahan kecemasan untuk menyelamatkan satu daripada buah zakarnya selepas dibaham seekor anjing.

Joel Goodman, 28, diserang haiwan itu dipercayai baka Bull Terrier Inggeris ketika berjoging.


Ketika dia terbaring kesakitan, pemilik anjing itu enggan membantu, sebaliknya menarik anjing berkenaan sambil memberitahu Goodman: "Saya bukan berasal dari sini." Dengan berlumuran darah, Goodman berjalan perlahan-lahan ke rumah seorang rakan di Epping, Essex, yang kemudian membawanya ke sebuah hospital di Harlow. Dia menjalani pembedahan kecemasan untuk menyelamatkan buah zakarnya.

Pembedahan itu berjaya, tetapi Goodman terpaksa bertarung dengan kesan psikologi akibat daripada kejadian menimpanya bulan lalu. Dia masih belum boleh kembali mengajar menyanyi. "Anjing itu tiba-tiba muncul di satu lorong dan menerkam ke arah saya. Saya langsung tidak berpeluang bertindak balas. Dia meluru dan terus menggigit kemaluan saya.


"Kejadian berlaku begitu pantas, padahnya mungkin lama. Mujur doktor berjaya menyelamatkan buah zakar saya. Saya masih terkenang serangan itu dan sentiasa dilanda kebimbangan," kata guru itu.


Menurutnya, dia cuba kembali mengajar menyanyi, tetapi proses pemulihan mengambil masa begitu lama.

Polis sehingga ini masih belum menjejaki pemilik anjing itu yang dikatakan berusia antara 35 dan 40 tahun. Goodman berharap sangat supaya lelaki itu ditangkap. "Sesuatu perlu dilakukan. Saya mahu anjing itu dibunuh dan pemiliknya didakwa sebelum kejadian sama berlaku pada orang lain," kata guru itu. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06

WikiLeaks tanding pilihan raya Australia

Posted:

Sydney: Kumpulan pendedah maklumat, WikiLeaks semalam mengumumkan rancangan untuk bertanding di tiga negeri pada pilihan raya Australia.

Ketuanya Julian Assange berkata, dia akan meneruskan hasrat bertanding kerusi Senat meskipun masih berlindung di kedutaan Ecuador di London sejak Jun lalu.

Peguam Assange Greg Barns berkata, 500 orang menjadi ahli parti itu, syarat untuk membolehkannnya mendaftar sebagai parti politik dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Australia

Pilihan raya negara itu akan diadakan pada 14 September depan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06

Mahmoud mungkin pecat Perdana Menteri

Posted:

Ramallah: Presiden Palestin Mahmoud Abbas mungkin memecat Perdana Menteri Salam Fayad.

Seorang anggota Fatah memberitahu demikian ketika Fatah, parti yang menguasai Tebing Barat menyelar perdana menteri itu kerana 'ketinggalan dan keliru.'

"Mahmoud kini cenderung untuk memecat Salam dan melantik orang baru untuk mengetuai kerajaan," kata seorang anggota Majlis Revolusi Fatah yang enggan namanya disiarkan.

"Saya lebih marah berbanding kamu semua dalam kerajaan.Saya enggan bercakap lebih lanjut buat masa ini. Tunggu tiga hari lagi," kata jurucakap itu, memetik kata-kata Mahmoud pada mesyuarat majlis berkenaan di Ramallah, semalam.


Menurutnya, punca kemarahan pemimpin Palestin itu berkait dengan Menteri Kewangan Nabil Qassis meletak jawatan. Mahmoud enggan menerima peletakan jawatan itu, tetapi Salam pakar ekonomi yang mendapat pendidikan di Amerika Syarikat, bertindak sebaliknya.


Nabil, bekas presiden Universiti Bir Zeit yang menyertai kerajaan pada Mei 2012 mengumumkan peletakan jawatan pada 2 Mac lalu tanpa memberi sebarang sebab. Mahmoud berada di luar negara ketika itu.

"Presiden itu memberitahu Salam jika Nabil meletak jawatan, beliau akan memecat kerajaannya dan membentuk yang baru," kata jurucakap itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06

Wanita cemburu bakar kekasih suami

Posted:

Beijing: Gara-gara cemburu, seorang isteri membakar hidup-hidup kekasih suaminya sejurus selepas mereka keluar dari sebuah hotel, semalam.

Sumber polis berkata, si isteri mula mengesyaki suaminya menjalin hubungan sulit dengan orang ketiga apabila dia mengesan lelaki terbabit menggunakan perkhidmatan sistem pengesanan global (GPS).


Usaha itu membawa si isteri ke sebuah hotel di wilayah Taizhou.

Sumber berkata, si isteri kemudian membuka kereta suaminya yang diletakkan di luar hotel dan menunggu dalam kenderaan itu bersama tong berisi minyak petrol.


Katanya, si isteri menggunakan kunci pendua untuk membuka kenderaan itu.


"Akhirnya ketika suami wanita terbabit mendaftar keluar di kaunter hotel, kekasihnya terus menuju ke kereta dan masuk ke kenderaan itu tanpa mengesyaki apa-apa," katanya.

Sumber berkata, si isteri terus mencurahkan minyak petrol itu ke badan kekasih suaminya dan menyalakan api sebelum melarikan diri. "Bomba berjaya memadamkan api beberapa minit kemudian, tetapi wanita terbabit gagal diselamatkan," katanya. Suspek kemudian menyerah diri kepada polis. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06

Ancaman hanya propaganda

Posted:

Seoul: Diplomat asing di Pyongyang mempertimbangkan nasihat Korea Utara supaya memindahkan rakyat masing-masing semalam ketika kebimbangan terhadap kemungkinan kerajaan melancarkan peluru berpandu kian meningkat.

Bulgaria berkata, ketua misi Kesatuan Eropah akan bertemu bagi mencari persetujuan bersama terhadap amaran Pyongyang.


Jurucakap Pejabat Luar Britain pula berkata, negara itu percaya amaran Pyongyang sebahagian daripada retorik Korea Utara yang menganggap Amerika Syarikat sebagai ancaman.

Pegawai Korea Selatan turut bersetuju dengan pandangan itu.


Katanya, amaran Pyongyang bahawa mereka tidak dapat menjamin keselamatan kedutaan asing di Korea Utara jika tercetus konflik sebagai 'propaganda meletakkan tanggungjawab di Semenanjung Korea kepada AS.' Pelancong Barat yang kembali dari Pyongyang juga berkata, situasi di situ tenang dan kehidupan berjalan seperti biasa. Warga Denmark Tina Krabbe berkata, mereka gembira tiba di Beijing selepas melawat Korea Utara selama lima hari, tetapi keadaan di Pyongyang tidak menyebabkan mereka bimbang. Amaran Pyongyang dikeluarkan kelmarin ketika Korea Utara didakwa memuatkan dua misil jarak sederhana ke atas pelancar sebelum menyembunyikannya di kemudahan bawah tanah di pantai timur. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06

Korban bangunan runtuh meningkat

Posted:

Mumbai: Jumlah kematian akibat keruntuhan bangunan dibina secara haram di bandar raya ini meningkat kepada 72 orang semalam.

Ia sekali gus memusnahkan harapan untuk mencari mangsa tertimbus yang mungkin terselamat.


Lebih 70 orang cedera apabila bangunan lapan tingkat dibina di Thane, pinggir Mumbai runtuh.

Jurucakap pihak berkuasa tempatan Sandeep Malvi berkata, kebanyakan mangsa terbunuh ditemui, tetapi mungkin masih ada terperangkap di bawah runtuhan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06

SBY arah batal guna bendera GAM

Posted:

Jakarta: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, semalam memberi tempoh dua minggu kepada pihak berkuasa Aceh supaya berhenti menggunakan bendera Gerakan Aceh Merdeka (GAM) sebagai simbol wilayah itu.

"Saya masih berharap dalam masa seminggu atau dua ini akan dihentikan dan isu bendera itu tidak lagi berbangkit.

"Apa yang jelas ialah 'Merah-Putih' (bendera Indonesia) akan berkibar di seluruh negara," kata Susilo.

Bendera itu mempamerkan bulan sabit dan bintang pada latar belakang merah digunakan GAM sepanjang puluhan tahun berjuang menuntut kemerdekaan.


Ia diterima untuk dijadikan simbol Aceh selepas diluluskan Parlimen tempatan, baru-baru ini.


Susilo memberitahu demikian pada sidang akhbar di Istana Merdeka.

Beliau menggesa pentadbiran Aceh akur dengan persetujuan yang dicapai pada perjanjian damai ditandatangani beberapa tahun lalu.

Susilo berkata, beliau akan memanggil Gabenor Aceh yang juga bekas pemimpin GAM Zaini Abdullah untuk berbincang mengenai kemunculan semula simbol bekas kumpulan pemisah itu.

Beliau menyifatkan kontroversi berkait dengan penggunaan bendera itu sebagai langkah ke belakang bagi Aceh. - JG

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06

Hapus Israel dari Internet hari ini

Posted:

Baitulmaqdis: Kumpulan aktivis penggodam terkenal Anonymous bersiap sedia melancarkan serangan siber besar-besaran untuk menghapuskan Israel daripada Internet mulai hari ini.

Ia bertepatan dengan sambutan hari peringatan Holocaust di negara haram Yahudi itu.


Usaha itu akan berterusan hingga esok.

Beberapa kumpulan penggodam turut menyertai rancangan itu yang matlamatnya untuk melancarkan serangan bersama.


Rabu lalu, kira-kira 15,000 akaun Facebook penduduk Israel digodam. Menurut laporan, virus yang dilepaskan menerusi satu alamat IP membolehkan ia menyerang komputer di Israel.


Ini bukan kali pertama kumpulan pro-Palestin itu menyasarkan rejim Zionis. November lalu, Anonymous melancarkan serangan besar-besaram terhadap laman web kerajaan, bank dan syarikat perniagaan kad kredit Israel.

Anonymous merancang misi yang dikenali Op-Israel itu bulan lalu.


"Kamu tidak pernah merancang menghentikan pencabulan terhadap hak asasi manusia. Kamu tidak pernah mahu menghormati undang-undang antarabangsa.

"Kerana itu anggota kami di seluruh dunia akan bersatu dengan rakyat Palestin untuk menghapuskan kamu daripada Internet," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06

Bencana menimpa jika kami tumbang: Bashar

Posted:

Damsyik: Presiden Syria berkata, kejatuhan rejimnya akan menyebabkan ketidakstabilan di Timur Tengah "untuk tempoh bertahun-tahun."

Bashar al-Assad berkata, seluruh dunia tahu jika Syria berpecah-belah atau dikuasai pengganas, akan berlaku kekacauan di negara berhampiran. "Kemudian, akan berlaku kesan domino mungkin sehingga ke kawasan jauh dari Timur Tengah, ke barat, utara dan selatan.


"Maksudnya, ketidakstabilan akan berlaku bertahun-tahun, malah mungkin berdekad-dekad," katanya dalam temu bual dengan dua wakil media Turki, semalam.

Petikan rakaman itu dimuat naik dalam Facebook presiden itu.


Bashar juga mengecam Perdana Menteri Turki dengan menuduh Ankara "menyumbang secara langsung terhadap pembunuhan rakyat Syria." Dalam petikan temu bual diterbitkan Khamis lalu. Bashar menuduh Recep Tayyip Erdogan tidak mengulas apa-apa mengenai kebenaran sejak krisis Syria bermula. "Api yang menyala di Syria akan merebak ke Turki, tetapi beliau (Recep) tidak melihat realiti ini," katanya. Bashar berkata, Recep bekerjasama dengan Israel untuk memusnahkan Syria tetapi kerajaannya tidak akan jatuh, manakala rakyatnya terus bangkit melawan. "Kita tidak boleh benarkan pemimpin dungu, tidak matang menghancurkan hubungan di antara warga Turki dan Arab," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06

No comments:

Post a Comment