Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kek sambut orang baru

Posted:

London: Bagaimana dengan kek hari jadi ini? Tukang masak kini meraikan keajaiban hidup dengan membuat kek berupa bayi yang baru dilahirkan.

Rekaan aneh itu kelihatan seolah-olah hidup termasuk bayi yang masih mempunyai tali pusat melekat pada tubuhnya.

Sebilah gunting yang dibuat daripada gula aising melengkapkan hadiah selamat datang ke dunia yang cukup pelik itu.

Sebiji kek menunjukkan kepala, lengan dan kaki muncul dari kek berbentuk glob bumi yang dihias dengan corak bunga.

Foto

KEK bayi baru lahir, lengkap dengan tali pusat.


Manakala kek lain menunjukkan seorang bayi yang bogel meniarap sambil menghisap puting.


Satu lagi rekaan agak menakutkan apabila menunjukkan dua kepala bayi bercantum dengan mata putih tersembul.

Hidangan kek berkenaan dibuat bagi menyambut kehadiran insan cilik yang baru lahir.

Bagaimanapun, mungkin terdapat anggota keluarga yang tidak tergamak untuk memotong kek berupa bayi seakan-akan hidup itu.

Satu rekaan yang mungkin boleh dimakan ialah buah tembikai berbentuk bakul yang diisi dengan pelbagai jenis buah-buahan kelihatan seolah-olah seperti bayi di dalam kereta sorong. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

Corvette terperosok bawah trak

Posted:

London: Seorang pemandu bernasib baik apabila terselamat selepas kenderaannya terperosok di bawah trak.

Mangsa yang hanya luka kecil di kepala berjaya ditarik keluar oleh anggota bomba.

Pemandu yang tidak diketahui identitinya itu berkata, dia terselamat kerana sempat menundukkan kepala ketika kereta Corvette dipandunya merempuh belakang trak berkenaan sebelum terperosok sedalam dua meter di bawah trak terbabit.

Anggota bomba, Rick McClure, 60, yang pertama tiba di tempat kejadian di lebuh raya San Diego di Los Angeles itu berkata: "Dia sangat bertuah."


"Dia dalam keadaan baik. Tubuh pemandu biasanya berkecai selepas terperosok di bawah trak.


"Tetapi, dia tidak mengalami kecederaan serius," katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.

Bagaimanapun, bumbung kereta Corvette hitam bernilai RM231,797 itu ranap dan kereta itu dikategorikan lupus. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

Lagi lelaki mengaku 'sultan' Sulu

Posted:

Manila: Seorang lagi lelaki mendakwa Sultan Sulu dan wakilnya mendakwa dia pewaris sebenar takhta Sulu.

Wakil Datu Abunasser Sultan Badaruddin D Mohammad Bataraza semalam mendakwa dia adalah Sultan Sulu sebenar daripada keturunan isteri pertama Sultan Sulu Jamalul Alam.

Jamalul Alam didakwa sultan yang menandatangani perjanjian menyerahkan Sabah kepada Syarikat Borneo Utara.

Menurut dokumen yang diserahkan kepada akhbar Philippines Inquirer, wakil Abunasser berusaha untuk mendapatkan Presiden Benigno Aquino mengiktirafnya sebagai Sultan Sulu sebenar sejak 25 Julai 2012.


Mereka juga menulis surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, meminta bantuannya untuk mengiktiraf Abunasser sebagai sultan sebenar.


Bekas koresponden Inquirer, Arturo Sampana yang mendakwa dirinya menjadi jurucakap Abunasser berkata, Sultan Sulu yang sebenar itu bersembunyi, tetapi akan muncul di khalayak ramai dalam masa beberapa hari lagi untuk menuntut takhta yang didakwa milik beliau.

Menurut Sampana, Abunasser adalah anak keempat daripada lima beradik. Ibunya ialah Puteri Aishah Almarhum dan Datu Mohammad Bataraza.

Aishah ialah anak Puteri Sharifah Zainab, atau Puteri Indok, isteri Sultan Sulu Badaruddin II yang 'memerintah' dari 1881 hingga 1884.

Menurutnya, Badaruddin II adalah pengganti Sultan Jamalul Alam. Apabila dia mati kerana diracun, keluarganya, termasuk Aishah, bersembunyi.

Menurut Sampana, Jamalul Kiram III, yang mendakwa Sultan Sulu dan pengikutnya yang diburu pasukan keselamatan Malaysia di Sabah, hanyalah keturunan daripada isteri kedua Jamalul Alam. - Philippines Daily Inquirer

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

Hercules, anak buah ditangkap

Posted:

Jakarta: Polis Indonesia semalam menangkap 51 anggota kumpulan samseng yang diketuai Hercules Rozario Marcal kerana disyaki melakukan peras ugut di sekitar Jakarta.

"Jumlah wang yang diperas kumpulan itu mencecah beberapa juta rupiah," kata Ketua Polis Jakarta Barat, Hengki Hariadi kepada wartawan semalam.

Mereka yang menjadi mangsanya adalah usahawan.

Kegiatan Hercules tidak dapat dikesan pihak berkuasa sebelum ini kerana mangsa enggan melaporkan jenayah itu.


"Mereka takut membuat laporan polis," kata Hengki.


Operasi memburu suspek dilakukan selepas polis memperoleh bukti dan laporan daripada penyiasat yang membongkar kegiatan Hercules.

"Jenayah pemerasan dilakukannya sudah lama berlaku dan semakin meningkat dari semasa ke semasa.

"Bukti yang dikumpul pegawai kami juga sudah banyak," katanya.

Hercules dan orang bawahannya kini ditahan untuk disoal siasat di lokap balai polis Metro Jaya.

Operasi menjejaki dan menahan kumpulan berkenaan bermula malam kelmarin.

Satu sumber berkata, polis turut menemui senjata api ketika menyerbu rumah Hercules. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

Bangkok mahu serangan bom dihenti

Posted:

Bangkok: Pemberhentian serta-merta serangan bom di kawasan kediaman dan serangan terhadap orang awam yang tidak berdosa akan dimasukkan dalam agenda untuk rundingan pada 28 Mac ini antara pihak berkuasa Thai dengan wakil pejuang pemisah.

"Mereka (wakil Badan Revolusi Nasional (BRN)) akan meminta sesuatu sebagai balasan. Ia akan diketahui pada mesyuarat 28 Mac ini," kata Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan, Lt Jeneral Paradorn Pattanathabul.


Menurutnya, perbincangan itu yang akan diadakan di Malaysia dan disifatkan sebagai 'proses membina keyakinan' ke arah perjanjian damai berkekalan, akan menyaksikan 15 anggota mewakili setiap pihak.

Bagi pihak Bangkok, ia akan termasuk anggota tentera, awam dan pihak berkuasa keselamatan, wakil pertubuhan agama dan pemimpin masyarakat setempat.


Paradorn berkata, beliau tidak pasti sama ada keempat-empat wakil BRN yang hadir pada majlis menandatangani persetujuan untuk berunding pada 28 Februari lalu akan hadir pada rundingan kali ini. -The Nation

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

Perompak bodoh

Posted:

Beijing: Perompak sentiasa bertindak untuk mengelirukan polis dan penyiasat, termasuklah lelaki di atas.

Bagaimanapun, lelaki itu bukanlah tergolong dalam senarai perompak pintar.


Dia melindungi identitinya dengan menyerkup tong sampah pada kepala ketika merompak sebuah kelab malam di wilayah Yunnan, China.

Namun, tong sampah itu lut sinar, memudahkan polis mengecam wajahnya daripada rakaman CCTV.


Pengurus kelab itu berkata: "Dia mulanya memadamkan lampu di pintu dan sejam kemudian, dia naik ke tingkat dua dengan kepalanya diserkup dengan tong sampah".


Perompak berkenaan ditangkap beberapa hari kemudian. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

Sorok banduan dalam beg

Posted:

Caracas: Pihak berkuasa penjara kini melarang semua pelawat daripada membawa beg pakaian ke premis itu selepas pengawal nyaris diperdaya melalui percubaan banduan melarikan diri, lapor media semalam.

Baru-baru ini, seorang pembunuh, Gavinson Garcia, masuk ke sebuah beg pakaian dibawa teman wanitanya, Susana Blanco, dalam cubaannya memboloskan diri dari Penjara Yare II.


Bagaimanapun, rancangan itu terbongkar apabila pengawal melihat Susana, 22, bersusah-payah menarik beg pakaian berkenaan ketika melepasi pintu penjara.

Apabila beg berkenaan diperiksa, pengawal penjara menemui Garcia yang cuma bersinglet dan berseluar pendek berkerekot di dalamnya.


Akhbar El Nuevo Herald melaporkan, Garcia meletakkan kepalanya di antara kedua-dua lututnya.


Sumber berkata, Susana dibayar kira-kira RM3,500 untuk membantu Garcia melarikan diri.

Foto

PENGAWAL penjara menemui Garcia dalam sebuah beg pakaian hitam dibawa teman wanitanya ketika cuba memboliskan diri dari penjara.

"Kami percaya Garcia juga mungkin memberi wang kepada banduan lain untuk bersekongkol dengannya," katanya.


Sumber itu berkata, Garcia mungkin tersilap kerana menyangka pihak berkuasa penjara hanya menjalankan pemeriksaan ke atasnya ketika dia masuk ke situ.

"Barangkali dia tak menjangkakan kami turut memeriksanya ketika dia cuba keluar dari sini," katanya. Keadaan fizikal Garcia yang agak kecil dengan tinggi kira-kira 1.6 meter memudahkan dia dimuatkan di dalam beg berkenaan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03

Sekolah rampas 68 sampel air mani

Posted:

New York: Sebuah sekolah seni merampas 68 bekas berisi air mani seorang penuntutnya sebelum ia sempat dijadikan bahan pameran.

Menurut sumber, bahan itu ditemui dalam sebuah peti sejuk dan tindakan diambil kerana ia dianggap membawa risiko kesihatan serta keselamatan.


Pameran Take This Sperm And Be Free of Me itu membabitkan 68 bekas mengandungi air mani Marc Bradley Johnson dan ia ditawarkan kepada pengunjung untuk dibawa pulang.

Ia diadakan di Galeri Seni Visual Manhattan. Menurut Johnson, 23, bekas itu mewakili 'penciptaan, keibubapaan, keinginan, kejantanan, fantasi serta realiti', tetapi pihak sekolah berpendapat air mani berkenaan tidak lebih daripada sekadar 'bahan buangan biologi berbahaya.' Kata Johnson, dia mengambil langkah berjaga-jaga sebelum mempamerkan 'hasil seni' berkenaan. -DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03

Sewa piramid, Spinx kepada firma asing

Posted:

Kaherah: Kementerian Kewangan memang mengemukakan cadangan supaya Kementerian Antikuiti Mesir mempertimbangkan idea menyerahkan pelbagai monumen negara itu kepada firma asing sebagai langkah segera mengatasi krisis kewangan.

Khabar angin mengenai cadangan itu beredar di Internet sejak beberapa minggu lalu.


Semalam, Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti, Adel Abdel Sattar mengesahkan kewujudan cadangan berkenaan.

Kata Adel, antara monunen yang dicadangkan untuk diserahkan kepada firma pelancongan antarabangsa itu ialah piramid di Giza, Sphinx, Kuil Abu Simber dan Luxor.


"Memang ada cadangan menyewakan monumen itu, tetapi ia tidak membabitkan Qatar atau sebarang negara lain di Teluk," katanya kepada stesen televisyen ONTV Mesir, semalam.


Sebelum ini, ada laporan mendakwa projek berkenaan dikemukakan sebagai langkah segera Mesir menjala lebih banyak dana bagi mengatasi krisis kewangan. Menurut laporan itu, Qatar berminat dalam perjanjian mengkomersialkan aset sejarah paling berharga Mesir untuk tempoh lima tahun.

Sebagai balasan, Mesir menerima bayaran dianggarkan RM619 bilion - cukup untuk membayar hutang negara serta memulihkan kegawatan ekonomi semasa. Kata Adel, pada Januari lalu dia 'terkejut' apabila Kementerian Kewangan mengemukakan cadangan seorang cendekiawan Mesir, Abdallah Mahfouz, yang menawarkan lelongan bagi hak mengeksploit monumen negara itu.


"Di sebalik bantahan terhadap cadangan itu, saya mendapatkan nasihat perundangan daripada Kementerian Antikuiti dan kami bersetuju menolaknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03

Kereta jadi barang mewah

Posted:

Singapura: Ketika penduduk republik ini mengeluh dengan harga tinggi Sijil Pemilikan (COE) kereta, beberapa lagi masalah perlu mereka hadapi sebelum dapat memiliki kenderaan.

Pertama, Lembaga Kewangan Singapura (MAS) mengambil langkah mengehadkan pembiayaan untuk kenderaan bermotor.

Ini bermakna, untuk membeli sebuah kereta, mereka memerlukan bayaran pendahuluan 40 hingga 50 peratus, tidak termasuk cukai berkaitan dan COE.

Selain itu, tempoh pinjaman diubah kepada lima daripada 10 tahun. Ia membabitkan kereta baru dan terpakai, tetapi tidak motosikal dan kenderaan komersial.


Selain itu, pihak berkuasa Singapura juga akan mengenakan kadar cukai berperingkat untuk kereta penumpang berdasarkan nilai pasaran terbuka.


Langkah ini menjadikan pemilikan kereta semakin sukar bagi golongan sederhana di republik itu.

Dalam pada itu, Singapura juga akan melaksanakan denda terhadap kereta yang mengeluarkan asap pada tahap tertentu mulai Julai ini sementara sesetengah bank sudah mengumumkan kenaikan kadar faedah pinjaman.

Sebahagian besar penduduk negara itu menyuarakan rasa tidak puas hati dengan ramai berkata, tindakan terbaru itu hanya menjarakkan lagi jurang antara golongan kaya dengan miskin.

Penduduk yang enggan namanya disiarkan berkata: "Saya terfikir untuk membeli sebuah BMW3. tetapi, selepas pengumuman langkah itu, segala impian saya musnah.

"Saya perlu membayar wang pendahuluan S$200,000 (RM440,000) untuk pinjaman pinjaman 50 peratus. Sudah tiba masanya saya pindah ke luar negara."

Wang pendahuluan yang tinggi juga akan mendorong orang ramai membeli kereta lebih kecil. Ini bermakna peningkatan jumlah kereta kecil di republik itu dan menjadikan kereta eksotik lebih eksotik.

Mereka yang pasti terjejas ialah pasangan muda, keluarga dan pegawai pemasaran yang memerlukan kenderaan untuk tugas masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03

No comments:

Post a Comment